Showing posts with label Piala Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Piala Malaysia. Show all posts

Saturday, October 22, 2016

Piala Malaysia 2016: Selangor Melawan Kedah.


Piala Malaysia 2016: Selangor Melawan Kedah.


Senja nan merah tadi aku tertidur di atas sejadah. Elok comei duduk bersimpuh siap bagai. Sekali imbas tak ubah seperti seorang pendekar metafizik yang kepenatan menjual air liur.

Dalam mimpi yang permai itu aku didatangi Sang Tua dari Gunung Ledang. Berjambang dan kekuningan rambutnya. Sekali imbas tak banyak beza dengan rupa beruk kuning. Dia menghampiri aku yang sedang leka melapah daging kerbau untuk santapan makan malamku. Lalu dia berbisik ke telinga kananku dan berkata dengan yakin.

"Anak mudeeeee..Piala Malaysia tahun ini akan sekali lagi menjadi milik pasukan Selangor. Bersaksilah engkau wahai anak mudeeeee yang bijaksana..."

Kaaaaapooof!!!

Aku pun terjaga dari lena dengan senyuman palong lebar di wajah. Hampir ke cuping telinga. Dengan muka manja baru bangun tidur aku menggosok-gosok mata bundar ini dengan tertib. Di hujung jari terlunjuk aku korek taik mata yang sempat melekat lalu aku jentik ianya jauh-jauh. Sejauh mentari di ufuk timur.

Kini aku berasa sedikit segar. Dalam keadaan baring tanpa belengah dengan segera jari lincah aku menaip ulasan jujur tentang perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 di telefon cerdikku. Ya. Piala Malaysia. Satu kejohanan bola sepak tertua serta teramat agung di rantau Asia yang mempunyai prestij dan nilai sejarah tersendiri. Piala yang kalau negeri engkau menang pun kau akan terhegeh-hegeh mintak cuti peristiwa. Takkan kau dah lupe?

Aku dapat tahu sejak setahun yang lalu ada beberapa suara sumbang yang mengatakan ini piala kampung. Ini piala tak penting. Piala pelengkap jadual dan pelbagai tohmahan serupa budak baru layan bola sejak 2010. Sebagai seorang lelaki yang berdarah pendekar, aku kesian pada mereka. Sangat kesian.

Oleh itu mari aku ceritakan serba sedikit kenapa aku berbeza pendapat dengan sesetengah orang yang memandang enteng Piala Malaysia ini.

Bola sepak aku dengan pasukan Kedah ini ada kisah romantisnya yang sendiri. Secara jujur aku mula menengok Piala Malaysia pada tahun 1993. Dengan mengulang tayang tanpa rasa jemu VHS perlawanan akhir antara Kedah dan Singapura nama-nama seperti Ahmad Sobri, Radhi Mat Din, kembar Farouk dan Feriza Ismail, Nidzam Adzha Yusof, Peter Nieketin, Alubumi Adigun dan Jan Janostak sentiasa kekal dalam ingatan aku sehingga kini. Semasa Kedah menewaskan Singapura ketika itu hampir seluruh umat Malaysia meraikannya. Aku yakin kau orang yang terkial-kial memboikot Piala Malaysia baru-baru ni entah dah buang tali pusat ke belum masa tu.

Seperti musim lepas, tahun ini Kedah sekali lagi akan menghadap pasukan paling power dalam sejarah Piala Malaysia iaitu tidak lain dan tidak bukan pasukan Selangor. 

Sejarah pasukan Selangor ini tidak perlulah kita ceritakan dengan berulang kali. Naik muak mendengar kehebatannya. Dari segi sejarah memang Selangor tak terkalahkan. Dari dulu hinggga kini tidak terkalahkan. Pasukan Kedah sendiri baru sahaja menang 4 kali Piala Malaysia berbanding Selangor yang secara bersahaja merekodkan 33 kejuaraan.

Walaupun Selangor masih tiada jurulatih tetap, presiden bola sepak yang sibuk ke gerai nasik lemak anak dara dan tandas stadium yang tidak semenggah, mereka masih mampu melangkah ke Perlawanan Akhir dengan penuh bergaya. Tidak perlu juga bilik persalinan siap dengan jakuzi. Mebazir. Inilah perbezaan antara pasukan matang seperti Selangor dengan pasukan lemah yang mengharapkan ehsan pemotongan mata untuk kekal dalam liga super. Jurangnya sangat jauh. Selangor sentiasa 2.6 billion langkah ke hadapan. Paham?

Minggu depan adalah penetuan segala-galanya. Penentu sama ada pasangan suami isteri akan balik beraya Deepavali ke Kedah atau meraikannya di Batu Caves sahaja. Penentu negeri mana yang akan mendapat cuti peristiwa. Ia adalah perlawanan penentu maruah. Siapa menang mereka adalah pasukan yang power dan kuat. Manakala pasukan yang tewas akan memikul malu barang seminggu dua. Tugas kita ialah menyokong pasukan yang disayangi ini tanpa berbelah bahagi. Bukanlah susah sangatkan?

Ramalan: Aku amat berharap agar Kedah tak menurunkan mana-mana pemain yang sudah memiliki kad kuning ataupun sedang dalam penggantungan. Nanti Selangor menang percuma pulak Piala Malaysia. Nak tolong kawan pun berpada-pada jugaklah yeeee. 


Friday, September 16, 2016

Suku Akhir Piala Malaysia 2016.



Suku Akhir Piala Malaysia 2016.
9.00 malam, Std Shah Alam.
17 September 2016.

1) Siapa cakap Piala Malaysia ni tak penting, dia ketiak itam. Dia jeles.

2) Kelantan, PDRM, Negeri Sembilan, Kedah, T-Team, Felda, Selangor dan PKNS semuanya pasukan hebat dalam Liga Malaysia yang masih kekal beraksi di pusingan Suku Akhir Piala Malaysia 2016. Pasukan kau mana?

3) Felda bertemu T-team di Jengka nanti dijangka akan berlangsung sengit kerana kedua pasukan telah seri dalam pertemuan pertama 1-1. Jadi peluang kepada kedua pasukan ini masih terbuka.
4) Sekarang ini kalau di Felda, dari Bukit Goh membawa ke Bera, dari Jengka hingga ke Kertong, orang-orang di sana hanya bercakap tentang kehebatan pasukan Felda mereka. Aku mendapat info di Kuantan pun sama. Sekarang ni orang Pahang dah mula sokong Felda ke sebab team negeri demeh dah lodoh? Jarang nampak update status dekat fesbuk sekarang ek?

5) Di dalam Liga Super, Kelantan dan PDRM hanya dipisahkan dengan 3 mata. Kelantan di tangga ke-6 dengan 25 mata. Manakala PDRM berada di tangga ke-8 mempunyai 21 mata.

6) Dalam perlawanan pertama yang telah berlangsung di Kota Bharu tempohari menyaksikan PDRM selesa dengan bekalan 2 gol berbalas 1 yang dijaringkan oleh pasukan Kelantan. Mampukah PDRM mengekang kehandalan pasukan Kelatan asuhan Popov nanti? Hah?


7) Umum mengetahui Selangor tetap akan ke Separuh Akhir walau pasukan apa pun yang akan melawan mereka. Huru-hara penswastaan dalam kem Selangor tidak akan menjadi penghalang untuk pasukan power ini mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia.

8) Pasukan Selangor ini walaupun presidennya mempunyai adik bernama Azwan Ali, mereka tetap tenang. Kau hado? Hek eh!

9) Yang bising-bising pasal Presiden FAS ni sebenornya jenis yang lepak mamak nengok bola hanya minum air kosong dengan makan roti krim vanilla. Langsung tak pawer.

10) Dalam pada itu pasukan penuh beradat iaitu Negeri Sembilan akan cuba menidakkan kelebihan pasukan Kedah yang akan bermain di Darul Aman. Bolehkah Nismilan mengawal dan seterusnya menamatkan kekebalan Kedah di Darul Aman?

11) Apa-apa pun tidak mustahil Nismilan boleh mencatat kemenangan nanti jika mereka kekal fokus bermain bola menggunakan otak. Lagipun skor aggregate kedua pasukan ini masih lagi 0-0 dan peluang jelas terbuka kepada Nismilan mahupun kedah.

12) Di akhir wisel nanti pasukan Kelantan, Felda, Selangor dan Kedah akan melangkah ke Separuh Akhir dengan bergaya dan penuh megah. Kau ingat ramalan aku ni.

13) Selamat Hari Malaysia.

Nota: Pasukan lemah sahaja yang akan anggap Piala Malaysia ni tak penting.

Monday, December 7, 2015

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2015: Selangor Melawan Kedah.

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2015: Selangor vs Kedah
Stadium Shah Alam, Selangor.
8.45 PM | 12 Disember 2015.

Kemakmuran Kehidupan

Kejayaan Selangor mara ke perlawanan akhir disambut ramah tamah oleh seluruh penduduk manusia yang mencari rezeki di negeri Darul Ehsan ini. Ia adalah bukti bola sepak dan sejarahnya sudah dikembalikan kepada yang HAK. Manakala yang BATIL dan PALSU ditendang keluar seawal saingan. Seisi jiwa gembira tak terkata. Yang membayar tol tersenyum tidak merungut panjang. Apatah lagi yang berulang alik ke rumah urut di Damansara.  

Manakala di Darul Aman pula ku ukir namamu di awang Gunung Jerai. Disaksikan laut daun nyiur melambai. Jauh pandangan permai di situ Tanjung Dawai. Terkenang peristiwa cinta kita terurai. Oh! indahnya...Begitulah...

Sebelum aku meleret terlebih jauh. Izinkan aku untuk menyampaikan rasa simpati kepada pasukan Pahang dan Felda yang tewas pada laga separuh akhir yang lalu. Felda United membuktikan mereka pasukan yang konsisten apabila layak ke Separuh Akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut. Buat pasukan Pahang pula, status juara dua kali Piala Malaysia juga dua tahun berturut-turut mengekalkan nama mereka sebagai pasukan kuasa bola sepak di Malaysia yang akhirnya terduduk ditewaskan Sang Gergasi Merah.

Kini ia sampai ke penghujungnya. Selangor dan Kedah membuktikan mereka adalah pasukan paling hebat musim ini. Juara Piala Malaysia 32 kali dan Juara Liga Perdana 2015 ini akan bertemu untuk merebut kejuaraan mutlak Piala Malaysia, piala teragung di bumi Malaya.

Pasukan manakah akan menjadi juara untuk edisi 2015 kali ini? Adakah Selangor akan bercuti umum selama seminggu? Atau Kedah akan memberikan ganjaran mewah kepada pemain-pemain mereka? Itu semua akan terjawab menjelang tanggal kalendar 12 Disember kelak.

Ulangan 2008.

Lama dahulu ketika halkum Azraai Khor masih kelihatan dari kejauhan lensa kamera. Ketika seluar khakhis Dollah Salleh masih bersaiz 38. Dua individu ini telah bertanggungjawab membawa Kedah dan Selangor ke pentas akhir.

Pada aksi Piala Malaysia 2008, Kedah muncul juara selepas menewaskan Selangor 3-2 sekali gus mengekalkan kejuaraan ‘treble’ yang mereka menangi pada edisi 2007. Heboh 'double treble' milik Kedah ini sampai ke sempadan Siam khabarnya.
 
Pada aksi final tersebut hampir 60,000 peminat dan penyokong kedua-dua pasukan memenuhi Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menjelmakan kembali kehangatan bola sepak tanah air yang telah sekian lama sepi.
 
Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke–18 menerusi Frank Seator yang berpunca daripada sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin. Seluruh Bukit Jalil bergegar dengan paluan gendang dan sorakan separuh gila peminat merah kuning. Namun Kedah tidak mudah berputus asa. Nelson San Martin menjadi perancang utama dalam mengatur serangan ke kubu Merah Kuning dengan menjadikan Marlon James sebagai umpanan yang akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32. Dollah Salleh mula menggeleng kepala di tepi padang.
 
Khyril Muhymeen Zambri membuat percuabaan jarak jauh seminit kemudian berjaya dihalang Evans Chisulo sebelum disambar oleh Nelson untuk jaringan kedua Kedah. Kesilapan Razman Roslan lima minit kemudian tidak dipersiakan oleh Fadly Baharom yang pantas merembat tinggi menewaskan Suffian Abdul Rahman. Kini Razman Roslan pula yang menggeleng kepala tidak percaya. Kedah bergaya dengan kedudukan 3-1 untuk babak pertama.

Apabila separuh masa kedua bermula, pasukan Kedah mula mengamalkan corak permainan bertahan. Mujur ada Safee Sali memberi sedikit harapan kepada Selangor selepas menjaringkan jaringan cantik pada minit ke-78. Walaubagaimanapun ianya tidak cukup untuk menafikan kejuaraan buat Kedah.

Kembangkan Sayap Sang Helang Merah.

Ini adalah penampilan ke-11 buat pasukan Kedah di pentas akhir Piala Malaysia dan dengan berbekalkan buruan status juara buat kali ke-5 menjadi sasaran utama mereka.

Perlawanan separuh akhir kedua yang lalu, meminjam kata orang putih, ialah ‘magnificent comeback’. Bangkit menjaringkan 2 gol pada selepas ketinggalan pada minit ke-39 hasil dari jaringan pemain Felda, Syamim Yahya. Hasilnya Kedah mara ke perlawanan akhir dengan aggregate 4-3.

Untuk merumuskan secara keseluruhan, Sang Helang Merah adalah sebuah pasukan yang mantap musim ini. Khairul Helmi memimpin pasukan dengan penuh keterampilan. Bertahan bagaikan tiada hari esok bagi dirinya. Gandingan import emas Chidi Edeh dan Sandro Da Silva sering menghuru-harakan pertahanan lawan. 15 gol sesama mereka dalam Piala Malaysia musim ini adalah bukti yang tidak boleh disangkal dengan fatwa facebook. Baddrol Bakhtiar yang sentiasa cemerlang walaupun kurang menjaringkan gol. Juga aksi cemerlang pemain tempatan seperti Syafiq Ahmad dan Syazwan Zainon. Serta tenaga import Bang Seung-Hwan dan Liridon Krasniqi. Ini adalah nadi utama pasukan Kedah yang direncana dan diadun cantik oleh Tan Chen Hoe, Nidzam Adza serta Ramón Marcote.

Meminjam kata-kata seorang sahabat yang tegar melayan aksi liga perdana musim ini, Kedah terlampau ‘power’ musim ini. Sebenarnya era dominasi Kedah dalam bola sepak Malaysia ini telah lama bertapak di Malaya. Siapa boleh melupakan kecermelangan era pemerintahan sekitar awal 90-an oleh Allahyarham Ahmad Basri Akil? Revolusi bola sepak Kedah yang beliau bawa amat dahsyat.  Ketika itu, Ahmad Basri Akil selaku pengurus sedar bahawa mendapatkan khidmat import perlukan dana tambahan. Kedah pantas mencari penaja dan hasilnya pada tahun 1989 itu mereka berjaya mengikat perjanjian dengan Sharp Roxy, menjadi pasukan Asia pertama ditaja oleh syarikat elektronik itu dan kedua di dunia. Sebuah lagi kelab bawah tajaan Sharp ketika itu ialah Manchester United. Ya, kita boleh katakan Kedah setaraf dengan Manchester United hebatnya pada zaman itu. Dan ya sekali lagi, ianya lama sebelum berlakunya revolusi bola sepak selatan tanah air dengan menaikkan papan iklan elektronik serta tempat duduk recaro untuk pemain simpanan.

Kini hanya tinggal satu perlawanan sahaja untuk Kedah menjulang piala kedua tahun ini selepas Juara Liga Perdana, Kedah masih perlu menentang Selangor - pasukan paling mendadak peningkatannya akhir musim ini.

Bualan di WhatsApp dan Insta sekarang mengatakan jika Kedah menang ke atas Selangor maka hasilnya ialah pasukan Kedah dalam pembikinan semula menjadi kuasa bola di negara ini.

Tetapi dalam musim yang haru biru ini dek kerana kedatangan jerebu, semuanya boleh berlaku. Ini kerana kedua pasukan tidak langsung bertemu pada musim ini. Peluang masih terbuka dan kelemahan serta kekuatan antara kedua pasukan masih menjadi rahsia yang tidak terserlah.

Jadi, yang terbaik bagi pasukan Kedah ialah untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi di Shah Alam yang merupakan gelanggang keramat bagi pasukan Selangor.

Kebangkitan Gergasi Merah Kuning.

Apa lagi yang hendak kita katakan tentang pasukan hebat ini?

KePOWERAN penjaga gol Selangor yang berasal dari Tangkak, Norazlan Razali adalah antara faktor penting yang membawa mereka ke pentas Akhir Piala Malaysia 2015. Tiga anguerah pemain terbaik (kalau tidak silap aku) secara berturut-turut membutikan segala-galanya. Selain daripada kelincahan Andik yang seakan mengimbau kenangan 10 tahun yang lalu ketika tenaga Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy menjadi taruhan. Juga aksi tidak mengenal lelah daripada pemain-pemain lain seperti Shahrom Kalam, Nazmi Faiz, Raimi, Guilherme de Paula dan Azrif Nasrulhaq. Mereka semua inilah antara tunjang kebangkitan pasukan Selangor musim ini.

"Kami berjaya melangkah ke suku akhir dengan berbaki satu perlawanan meskipun berada dalam kumpulan maut bersama Kelantan, Felda United dan T-Team. Saya mempunyai kepercayaan penuh kepada pasukan saya. Kami tiada pemain ‘superstar’ tempatan mahupun import tapi kami berjaya bermain secara baik.”

Jelas kata-kata Mehmet Durakovic menunjukkan beliau adalah seorang jurulatih yang sangat zuhud dan sentiasa merendah diri. Yang hanya sentiasa fokus kepada tanggungjawab. Segala spekulasi luar padang dan perihal politik bola sepak di kem Selangor berjaya beliau talkinkan dengan membawa Selangor ke aksi perlawanan akhir Piala Malaysia. Inilah sifat lagenda yang sebenar.

Menentang Kedah nanti adalah merupakan MISI 33 pasukan Merah Kuning yang tertangguh hampir 4 tahun lamanya. Sepanjang tempoh ini Rozita Che Wan sudah menukar statusnya daripada janda kepada sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Tol dan minyak petrol dah berkali-kali naik di negara Malaysia. Dan pelbagai lagi peristiwa telah berlaku. Cuma MISI 33 sahaja yang masih terkandas di angka 32. Diharap pasukan Selangor hujung minggu ini berjaya melaksanakan Misi 33 dengan sempurna dan penuh terhormat. Mereka perlu berjuang seolah-olah mahu merampas kembali makwe Kedah yang terlepas dari genggaman tangan dan menegakkan kebenaran isu video Lubuk Tupah. Heh!!!

Kejaplah. Bagi aku makan nasik dulu. Dah panjang sangat ni.

Selangor atau Kedah?

Alhamdulillah...kenyang pun.

Kita berbalik semula kepada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah.

Pepatah kuno Yunani ada menyebut...

"Kalau engko Power, Piala Malaysia itu sendiri akan datang carik engko dekat rumah."

Itulah kesimpulan awal yang aku boleh buat tentang perlawanan ini. Sesiapa yang bermain bola sepak secara power dan cerdik, sudah pasti Piala Malaysia tidak akan segan datang menyinggah ke almari mereka.

Apa yang pasti, klimaks Piala Malaysia akan mencapai peringkat agung apabila kalendar menuju tanggal 12 Disember 2015. Tiada bola sepak beradat. Tiada aksi juara AFC. Tiada persembahan sarkis dari Gajah Duduk. Malahan tiada juga laungan selogan 'This is Pantai Timur'. Yang ada hanyalah sebuah perlawanan bola sepak berseni dari dua buah pasukan penuh sejarah yang bertembung bagi membuktikan siapakah yang berhak menjadi penguasa bagi penutup tirai bola sepak tahun 2015.

Sama ada Selangor mahupun Kedah yang akan mendapat Coti Peristiwa. Semuanya akan terjawab pada hari Sabtu ini.

Akhir kata "LUASKAN KUASAMU HOGOH!!!" KAHKAHKAHKAHKAH!!!


Posted via Blogaway

Sunday, November 2, 2014

Ulasan Minit ke Minit Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 : JDT vs Pahang  


Heboh cakap-cakap di jalanan mengatakan malam ini adalah ibarat penentu hidup dan mati buat Zainal Abidin Hassan. Pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau. Namun hatinya tetap tenang. Beliau membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa sudah sampai masanya dia beroleh gelaran Datuk sekaligus menjadi detik yang paling dibanggakan pernah dicapai dalam hidupnya. Harapan untuk membelasah JDT di Bukit Jalil menjadikan semangat dalam dirinya berkobar-kobar. 

Sebelum perlawanan lain pula ceritanya. Tiket semuanya habis dalam sekelip mata. Tidak kiralah yang membeli secara atas talian mahupun yang beratur. Kebanyakannya habis dilanyak oleh Pak Menteri yang sibuk menghadiahkan tiket untuk orang kampung yang memangkah mereka menang di DUN masing-masing. Maka tidak hairanlah banyak kelihatan muka-muka yang seperti pertama kali turun ke stadium.

Pada jam 6.00 petang, penyokong sudah mula membanjiri stadium. Segenap pelosok Stadium penuh dengan kenderaan. Jumlah penonton yang ramai pada malam ini dijangka akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga air, kuaci dan berger.

Sementara itu di dalam bilik persalinan Razman Roslan si ketua pasukan tidak henti-henti meniupkan semangat rakan-rakan.

"Aku Razman Roslan. Dan aku sedang melihat sebuah pasukan bola sepak negeri kesayangan aku menuju ke arah kejayaan. Malam ini tiada alasan untuk kalah!!! Kita telah mara sejauh ini dan tamatkan ia dengan penuh kebanggaan!!!!"

Pesanan Razman disambut dengan sorak sorai gemuruh dari seluruh pasukan. Ada antara mereka yang hampir menangis mengenangkan terpaksa berpuasa dek kerana bonus kejuaraan Piala FA yang masih belum kelihatan dalam Maybank2u dan CIMB Clicks. Terlalu banyak cabaran yang telah mereka lalui sepanjang semusim ini. Tapi itu semua dijadikan pemangkin semangat buat mereka berjuang habis-habisan merebut kejuaraan Piala Malaysia secara berturut-turut.

Hujan yang turun membasahi rumput di Bukit Jalil pada hari perlawanan bagaikan satu rahmat buat anak buah Zainal Abidin Hassan. Mereka melangkah gagah ke atas padang dengan penuh bangga kerana stadium dipenuhi dengan lautan hitam kuning. Lagu negaraku berkumandang dan secara tiba-tiba darah pejuang Mat Kilau menyelinap ke dalam urat darah pemain Pahang. Bulatan dibuat oleh kesebelasan pasukan Pahang sambil doa dilafazkan oleh pemain beragama Islam. Tidak ketinggalan juga Gopinathan dan Matias Conti yang memohon ketenangan dengan cara mereka yang tersendri.

Preeeeetttt!!!!

Pengadil Nagor Amir meniupkan wisel permulaan.

Sepuluh minit pertama Pahang lebih mengancam dengan larian-larian deras dari Azamuddin Akil dan Gopinathan dari sebelah kanan dan kiri padang. Peluang Pahang muncul pada minit ke-14 apabila Gopi dijatuhkan disebelah kiri kotak penalti pasukan JDT. Sepakan percuma diambil oleh Azidan Sarudin yang berambut kuning. Tangan diangkat memberi isyarat kepada rakan yang berada dalam kotak penalti. Satu sepakan lencong dilepaskan secara deras. Bola berpusing menuju tepat ke arah kepala satu susuk sasa yang dikenali ramai - Dickson Nwakaeme yang sebelum itu melompat tinggi menewaskan Asraruddin Putra.

Gooooooool!!!!!!

Seluruh penyokong JDT terdiam sebentar. Ada juga yang berpura-pura melihat talipon di tangan masing-masing. Kini yang kedengaran hanya keluhan tak sudah dari lidah pendukung setia JDT.

Tersentak dengan ketumpulan barisan hadapan pasukan JDT, Bojan Hodak bingkas bangun. Dia kelihatan membisikan sesuatu ke telinga Mahali Jasuli yang bermain di bahagian pertahanan kanan. Nampaknya Mahali diarahkan untuk melakukan lebih tekanan kepada bahagian pertahanan Pahang dengan melakukan lebih kerap hantaran silang ke dalam kotak penalti.

JDT akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 selepas hantaran silang Mahali berjaya mengkucar-kacirkan keadaan dalam kotak penalti pasukan Pahang. Secara tiba-tiba juga bola terjatuh tepat dihadapan Diaz yang seperti biasa tidak mensia-siakan peluang yang terhidang sebegitu rupa.

Dua minit selepas itu malapetaka mula menimpa Pahang. Ketua pasukan mereka, Razman Roslan didapati menampan bola menggunakan tangan dan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan JDT. Figueroa tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus memberi nafas lega kepada seluruh penyokong JDT. Khairul Azhan tertewas lagi buat kali yang kedua.

Tamat separuh masa pertama. JDT 2 - Pahang 1.

Ketika masa rehat, Zainal Abidin Hassan berpesan kepada pemainnya agar menyerang habis-habisan.
"Dalam kamus bola sepak aku, tiada istilah kalah. Seri apatah lagi. Hari ini hari kita. Masuk padang dan selesaikan JDT. Serang mereka dari segenap arah. Ingat tu!!!"

Sekali lagi bulatan dibuat. Dengan nafas turun naik, ketua pasukan Razman Roslan yang masih sedih dengan kesilapannya pada separuh masa pertama tadi melaungkan kata-kata semangat dengan tona suara sedikit syahdu sambil disambut oleh rakan sepasukan yang lain.

"HOGOH PAHANG HOGOH!!!!" Bergegar bilik persalinan pasukan Pahang dengan sorakan semangat mereka.

Sejurus sebelum semua pemain keluar dari bilik persalinan, Zesh Rehman dipanggil oleh Zainal Abidin Hassan. "Zesh, aku nak kau bersiap sedia. Aku tak sedap hati ni", bisik Zainal ke telinga capang milik Zesh Rehman.

Separuh masa bermula. Namun nampaknya tuah masih menjauhi Pahang apabila Saifulnizam Miswan didapati menumbuk perut Amri Yahyah pada miniti ke-68. Kelihatan Amri Yahyah berguling-guling serupa kena 'chokeslam'. Tipudaya cilik yang kemas. Saifulnizam a.k.a Poyeng dilayangkan kad merah. Seluruh Pahang seakan-akan berduka.

Namun Pahang masih tidak mengenal erti tewas. Serangan demi serangan diatur mereka. Rezeki Tuhan siapa yang tahu?

Khalid Jamlus yang dari tadi tidak henti-henti menyuruh pemain Pahang berjuang habis-habisan (padahal dia dulu pun sibuk 'berjuang' dalam disko) akhirnya tersenyum di bilik ulasan Astro Arena apabila Nwakaeme berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71. Ini adalah gol keduanya malam ini. Mengucap panjang semua penonton JDT di stadium hatta di rumah sekalipun. Manakala keraian gol dari pasukan Pahang dilakukan dengan penuh inzal. Pemain Pahang meraikan gol seperti mereka berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini semua rakyat Pahang boleh berasa lega. Yang berada di rumah dengan tenang boleh ke dapur sebentar untuk membancuh sirap. Manakala seluruh kedai di sekitar Pekan dan Temerloh kembali ceria dengan sorakan gembira. Inilah yang dinamakan bola sepak sebenar. Kini rakyat Pahang semakin yakin peluang buat mereka menjulang Piala Malaysia sekali lagi masih ada.

Preeeeetttt!!!!

Keadaan kekal 2-2 sehingga tamat masa penuh.

Zainal Abidin Hassan melakukan perubahan taktikal pada permulaan masa tambahan dengan mengeluarkan Conti bagi memberi peluang kepada Zesh Rehman mempamerkan bisa. Razman ditarik bermain di posisi pertahanan kanan manakala Damion Stewart dan Zesh Rehman membentuk gandingan padu di bahagian pertahanan tengah. Kebijaksanaan ini berhasil apabila Pahang berjaya mengheret JDT ke penentuan sepakan penalti dengan hanya bermain dengan 10 orang sahaja.

Penentuan penalti dimulakan dengan Pahang terlebih dahulu mengambil sepakan penalti. Gol demi gol dijaringkan oleh pemain yang dipertanggungjawabkan. Kini kedudukan menjadi 4-3. Penendang ke-4 bagi pasukan JDT iaitu Mat Yo mesti menjaringkannya jika tidak mahu melihat JDT menangis di hujung perlawanan.

Penyerang kebangsaan, Mat Yo 'The Linesman' meletakkan bola di titik penalti. Para pemain yang lain masih menunggu dengan penuh debaran di tengah padang. Penjaga gol Pahang sudah bersedia. Jika dia berjaya menepis sepakan ini dan kemudian Pahang berjaya menjaringkan gol terakhir, maka dia akan dianggap wira. Penyokong Pahang ketika ini bersorak untuk memberi sokongan. Mat Yo berlari-lari anak dan dengan kencang merembat ke sebelah kanan gol. Khairul Azhan bagaikan seorang Spiderman Pencen melayangkan badan ke arah yang betul dan berjaya menepis bola tersebut keluar.

Pemain JDT tergamam. Penyokong dan pemain Pahang melompat kegembiraan. Kini kedudukan masih lagi 4-3 dan Pahang mempunyai kelebihan. Jika penalti terakhir ini berjaya dijaringkan, maka Pahang akan menjadi Juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Tugas penalti terkahir diserahkan kepada Hafiz Kamal. Setelah mengucup bola dan meletakkannya di atas titik penalti, cuma satu sahaja benda yang ada dalam fikiran beliau. Sepak sekuat hati ke arah kiri gol! Al Hafiz cuba memberi sedikit tekanan dengan melakukan aksi melompat-lompat di atas garisan gol dan menendang tiang. Mulutnya terkumat-kamit menbaca doa. Dari kejauhan terlihat Zanal Abidin Hassan menutup muka tidak mahu melihat sepakan ini. Hafiz Kamal tenang dan membuat satu sepakan padu ke kiri gol. Al Hafiz melayangkan badan ke arah yang bertentangan. Bola menerjah jaring. Goooooooooooool!!!!!!

Para penyokong yang tadi belum habis meraikan kejayaan Khairul Azhan, kini terus menyambung sorak kemenangan Pahang. Pemain JDT tertunduk kecewa. Semua pemain serta pegawai Pahang meluru ke arah Hafiz Kamal bagi meraikan sepakan penalti beliau. Dua hero pada malam ini disanjung, Dickson Nwakaeme dengan 2 gol darinya dan Hafiz Kamal dengan penalti kemenangan.

Pahang kini sah bergelar juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Tamat perlawanan dengan Pahang menang penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam masa penuh permainan. Seluruh negeri Pahang turut bersorak kegirangan. Sudah tentu malam ini akan menjadi satu malam yang panjang buat warga Pahang untuk meraikan kegembiraan mereka.

Akhirnya Pahang berjaya juga melenyapkan angkuh pasukan JDT dan dalam masa yang sama masih ramai yang berkerut seribu apabila nama Safiq Rahim diumum sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Heh?

Tamat.

Friday, October 17, 2014

Berdoalah Untuk Kesejahteraan Tiang Bendera Penjuru Padang



Lupakan perihal tak bertamadun isu 130 keping tiket. Lupakan perangai burok anak raja sanjungan negeri selatan tanah air yang menyepak tiang bendera. Tertanya-tanya juga aku apalah dosa tiang tersebut. Lupakan segala perkara tentang liga syok sendiri. Ini kerana minggu ini kita akan kembali disajikan dengan liga penjajah yang berkualiti tinggi selepas berehat selama hampir 2 minggu.

Aksi pembukaan minggu ini akan menemukan antara pasukan Manchester City dengan Spurs. Manchester City yang dalam usaha mengejar pasukan di puncak liga iaitu Chelsea sangat mengharapkan kejayaan dalam pertemuan ini. 3 mata adalah sasaran mereka. Bahagian serangan pasukan Manchester City mungkin tidak berdepan masalah besar apabila Sergio Aguero dan Edin Dzeko dijangka akan diturunkan selepas masing-masing kembali dari tugasan antarabangsa. Dzeko juga cemerlang ketika beraksi bersama Bosnia dan mungkin akan menjaringkan gol sekali lagi dalam masa seminggu. Cuma bahagian tengah mereka mungkin sedikit pincang apabila Yaya Toure tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini. Tempatnya mungkin akan diambil alih oleh Frank Lampard. Jika Sapik Rahim adalah anugerah tuhan kepada peminat bola sepak Malaysia. Lampard pula adalah anugerah tuhan kepada seluruh peminat bola sepak England. Begitulah POWERnya bekas pemain Chelsea ini yang mempunyai sentuhan amt tajam apabila berada di hadapan gol.

Mauricio Pochettino ketika ini pening dengan prestasi semasa pasukannya apabila hanya mampu menjaringkan 4 gol dalam 5 perlawanan liga mereka. Walaupun begitu Emmanuel Adebayor masih menjadi pilihan bookie bola sepak untuk menjaringkan gol buat pertama kalinya sejak kali terakhir melakukannya pada bulan Ogos. Dalam masa yang sama juga pendukung pasukan Spurs masih boleh tersenyum lebar dengan prestasi semasa Nacer Chadli yang setakat ini telah menjaringkan 5 gol dalam 7 perlawanan liga. Di samping beliau juga hadir Christian Eriksen yang beraksi cemerlang setakat awal musim ini serta dalam pemburuan menjaringkan gol ketiganya buat Spurs.

Mungkin akan ada sedikit saingan daripada pasukan Spurs. Namun sekiranya Manchester City mula menjaringkan gol, pasukan dari London itu akan tenggelam dan terus hanyut.

Selepas itu kita akan dihidangkan dengan pertarungan menarik melibatkan pasukan yang bermasalah dengan deretan kecederaan pemain iaitu Arsenal menentang Hull City. Satu-satunya pasukan yang belum tewas musim ini iaitu Chelsea, merantau ke Selhurst Park untuk bertemu Crsytal Palace. Southampton yang kini di tangga ketiga liga akan menerima kunjungan Sunderland bagi mencari kemenangan pertama selepas kedua pasukan seri sesama mereka dalam 3 perlawanan sebelum ini. Manakala Swansea bertemu Stoke City yang setakat ini kebal dalam 3 aksi di Britannia.

Perlawanan penutup aksi Liga Perdana Inggeris minggu ini akan melibatkan pasukan yang tidak akan bermain di pertengahan minggu. West Brom akan menunggu kunjungan Manchester United dengan Saido Berahino pastinya menjadi tumpuan utama pada laga ini. Saido Berahino telahpun menjaringkan 6 gol setakat ini dengan 5 daripadanya dijaringkan di Hawthorns. Berdasarkan statistik tahyul pula The Baggies hanya berjaya menang 2 perlawanan sahaja ketika mereka turun bermain pada hari Isnin. Tahyul yang akan memberikan sedikit harapan buat pemuja syaitan merah.

Selain itu Manchester United juga tidak perlu bimbang dengan ketiadaan Wayne Rooney kerana masih memiliki Van Persie, Falcao dan Di Maria untuk merobek gawang The Baggies yang dikawal kemas oleh Ben Foster. Robin van Persie juga mempunyai rekod yang baik ketika berdepan dengan WBA apabila meledak 4 gol dan membantu 2 jaringan gol dalam 7 pertembungan. Macam mana Manchester United? Boleh dapat 3 mata? Aku optimis Manchester United boleh dapat 3 mata dalam perlawanan ini. Tetapi aku lagik yakin selepas perlawanan tu kita takkan dapat lihat Van Gaal terajang 'corner flag'. Gila apa buat perangai budak-budak macam gitu? Heh!!

Monday, November 4, 2013

Ulasan Minit ke Minit Kelantan vs Pahang



Hujan yang turun membasahi rumput di Shah Alam bagaikan satu rahmat buat anak buah Dollah Salleh. Mereka melangkah gagah ke atas padang dengan sedikit perasaan bangga kerana stadium dipenuhi dengan lautan kuning. Walaupun kurang berbanding penyokong Kelantan, namun sergahan sorakan daripada tentera Tok Gajah mampu membuatkan sesiapa sahaja berasa gentar.

Ada cakap-cakap mengatakan malam ini adalah peluang buat Pahang mengulangi sejarah gemilang pada tahun 1992. Seluruh skuad membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa mereka bukannya pasukan muda belasahan. Harapan untuk menewaskan Kelantan di Shah Alam semakin berkobar-kobar selepas dengan bersahaja Pahang menumpaskan Sarawak di separuh akhir. 

Usai lagu negaraku berkumandang, secara tiba-tiba darah pejuang Mat Kilau menyelinap ke dalam urat darah pemain skuad Tok Gajah ini. Bulatan dibuat oleh kesebelasan pasukan Pahang sambil doa dilafazkan oleh pemain beragama Islam. Tidak ketinggalan juga Surendran dan Gopinathan yang memohon ketengangan dengan cara mereka yang tersendri.

Sebelum perlawanan bermula, Jalaluddin Jaafar si Ketua Pasukan ataupun lebih mesra dengan panggilan Abang Jalal sempat berpesan kepada semua rakannya. 
"Beraksilah umpama ini perlawanan terakhir dalam hidup kamu!! Ingat, jurulatih tidak menjadikan kita pemain terbaik. Semua ini kurniaan dari Tuhan kepada kita. Bakat yang kita ada membolehkan kita mewakili skuad Tok Gajah. Jangan sesekali menghampakan harapan rakyat Pahang"
Pesanan Abang Jalal disambut dengan sorakan semangat dari seluruh pasukan. Ada juga segelintir pemain yang hampir menitiskan air mata mengenangkan pelbagai cabaran yang telah mereka lalui sepanjang semusim ini. Tapi itu semua dijadikan pemangkin semangat buat mereka malam ini. Mereka kini bersedia untuk misi yang sangat penting. Misi '92!!

Preeeeetttt!!!!

Pengadil Nagor Amir meniupkan wisel permulaan.

Sepak mula dari pasukan Kelantan. Selama 20 minit perlawanan berlangsung dan penguasaan bola masih setara antara kedua pasukan. Namun hujan yang turun bagaikan rahmat besar buat Pahang. Penyerang harapan mereka Azammuddin Akil berjaya mendapat peluang terhidang, tapi cubaan beliau gagal menewaskan Khairul Fahmi. Seluruh penyokong Tok Gajah terdiam sebentar. Hanya titis hujan sahaja yang kedengaran ketika ini.

Tersentak dengan ketumpulan barisan hadapan pasukan Pahang, Dollah Salleh bingkas bangun. Dia kelihatan membisikan sesuatu ke telinga Amirulhadi yang bermain di bahagian tengah. Nampaknya Amirulhadi diarahkan untuk melakukan lebih tekanan kepada bahagian tengah Kelantan yang dikawal oleh Badri Radzi. Hasilnya selepas 32' minit permainan, Pahang telah menguasai 60% kawalan bola. 

Tamat separuh masa pertama. Kedudukan terikat 0-0. 

Ketika masa rehat, Dollah Salleh berpesan kepada pemainnya agar lebih fokus. Jadikan perlawanan ini sebagai tonik untuk lebih mengharumkan nama Pahang. Dengan nafas turun naik, ketua pasukan Abang Jalal melaungkan kata-kata semangat sambil di sambut oleh rakan sepasukan yang lain. HOGOH PAHANG HOGOH!!!! Bergegar bilik persalinan pasukan Pahang dengan sorakan semangat mereka.

Separuh masa kedua dimulakan oleh pasukan Pahang. Dollah Salleh melakukan perubahan taktikal dengan mengeluarkan Surendran lalu memasukan Fauzi Roslan 'The Anak Pekan'. Azammuddin Akil diletakkan di kawasan sayap untuk lebih mengancam pertahanan Kelantan dengan hantaran silang serta gerakan lincah beliau.

Ternyata percaturan ini berkesan apabila hantaran lintang dari Azammuddin Akil berjaya ditanduk cantik oleh Matias Conti yang melonjak tinggi bagaikan helang di udara. Satu tandukan lambung ke sebelah kanan gawang Khairul Fahmi sudah cukup memberi Pahang kelebihan 1 gol ketika ini pada minit ke-59.

Belum pun sempat habis kuaci yang dimakan oleh penonton Kelantan semasa waktu rehat tadi, pasukan mereka kini sudahpun ketinggalan. Pemain Pahang meraikan gol seperti mereka seperti berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini semua rakyat Pahang boleh berasa lega. Yang berada di rumah dengan tenang boleh ke dapur sebentar untuk membancuh kopi. Manakala seluruh kedai di sekitar Bentong dan Jerantut yang memilih saluran RTM bergegar dengan ulasan berapi-rapi dari Hasbullah Awang. Kini rakyat Pahang semakin hampir dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia.

Bojan Hodak bingkas bangun dan terus memanggil Fakri Saarani untuk memanaskan badan. Nampaknya Fakri akan dibawa masuk untuk menggantikan Zairo Anuar yang tenggelam ditelan Hafiz Kamal. Bojan berpesan kepada Fakri Saarani supaya mengasak kubu pasukan Pahang habis-habisan yang mana setakat ini amat kebal dikawal oleh Damion Stewart dan Razman Roslan. Fakri mengangguk seperti faham walaupun Bojan tidak berbahasa Kelantan.

Apabila Fakri masuk, aura milik beliau terasa sungguh mengujakan. Seluruh stadium bersorak nama beliau. Yang berada di kedai mamak pula terus menambah 2 cawan sirap ais lagi. Mungkin untuk membasahi tekak yang kekeringan kelak akibat memaki hamun pemain tersebut.

Ternyata pasukan Kelantan tidak mengenal erti tewas. Serangan demi serangan diatur mereka. Hasilnya Fakri Saarani berjaya menguji Khairul Azhan menerusi tandukan cantik pada minit ke-84, namun penjaga gol muda Pahang tersebut menepis dengan tenang cubaan tersebut.

Pada minit ke-92, gawang Pahang sekali lagi diuji. Hantaran Indra Putra berjaya mencari Nor Farhan yang bijak melepasi perangkap offside. Namun beliau masih gagal menewaskan Khairul Azhan walaupun berhadapan satu lawan satu. Mengucap panjang semua penonton Pahang di Stadium Shah Alam hatta di rumah sekalipun. 

Preeeeetttt!!!!

Tamat perlawanan dengan Pahang menang 1-0. Walaupun bukan menang dengan bergaya, tetapi ia sudah cukup untuk menggembirakan seluruh warga Pahang. Seluruh negeri Pahang turut bersorak kegirangan. Hasbullah Awang tak henti-henti memuji 'Golden Boy' Pahang iaitu Azammuddin Akil. Semua umat Malaysia terlupa sebentar tentang JDT dan Pablo Aimar.

Akhirnya Pahang pula yang berjaya  melenyapkan angkuh pasukan Kelantan.

Tamat.


Wednesday, October 30, 2013

Perlawanan Akhir 2013: Kelantan vs Pahang


Perlawanan Akhir 2013: Kelantan vs Pahang
Stadium Shah Alam, Selangor.
8.45 PM | 3 November 2013.

Sebelum apa-apa, aku ingin menyampaikan rasa simpati kepada pasukan Sarawak dan ATM yang tewas pada laga separuh akhir yang lalu. Aku faham kekalahan merupakan sesuatu yang pahit untuk ditelan. Jadi aku doakan semoga mereka cepat sembuh dari luka kekalahan hendaknya.

Satu lagi suka untuk aku ingatkan. Ini bukan pertemuan 'This Is Pantai Timur' lagi. Ini adalah antara Kelantan dan Pahang. Dua pasukan teragung yang memiliki sejarah dan kegemilangan masing-masing. 

Kelantan Masih Dahagakan Kejayaan.

Perlawanan separuh akhir kedua yang lalu, meminjam kata orang putih, ialah ‘magnificent comeback’. Bangkit menjaringkan 2 gol pada minit-minit akhir, selepas ketinggalan hampir 82' minit permainan merupakan satu aksi yang sukar dilupakan oleh seluruh pejuang dan pendukung setia pasukan yang dikenali dengan jolokan The Red Warriors ini.

Untuk merumuskan keseluruhan, The Red Warriors masih cemerlang tanpa kelibat Subra Kental dan Daudsu The Card Collector. Nik Shahrul ‘overlapping’ macam tak cukup padang. Piya datang semangat ‘Kapitan Marvel’. Shakir Shaari macam kereta kebal. Dickson menghuru-harakan pertahanan lawan. Indra Putra cemerlang walaupun terlepas beberapa peluang terbaik. Farhan, perrrrgh! Para pemain simpanan: terutamanya Fakri Saarani terbaik dalam membalas kepercayaan yang diberi oleh Bojan Hodak.

Meminjam kata-kata seorang sahabat, Kelantan terlampau ‘power’ buat masa ini. Sebenarnya era dominasi Kelantan dalam bola sepak Malaysia ini masih hijau. Semuanya bermula pada 2009. Tetapi sejak dari 2009 hingga 2013, Kelantan telah menjuarai 2 Piala Malaysia, 2 Liga Super dan 2 Piala FA. Ini merupakan satu dominasi yang total.

Dengan hanya baki 1 sahaja perlawanan untuk Kelantan menjulang piala kedua tahun ini selepas Piala FA, Kelantan masih perlu menentang Pahang. Ya, Pahang pasukan paling mendadak peningkatannya musim ini.

Bualan di jalanan sekarang ialah jika Kelantan menang ke atas Pahang maka hasilnya ialah Kelantan akan mengekalkan statusnya sebagai Kuasa Baru Bola Sepak Malaysia.

Tetapi dalam musim yang cacamarba ini, semuanya boleh berlaku. Kelantan dan Pahang bertemu sebanyak 4 kali musim ini. 2 kemenangan berpihak kepada Kelantan (aksi di Kota Bharu) manakala 2 seri ketika bermain di Darul Makmur. 

Jadi, yang terbaik ialah untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi di Shah Alam kerana ia adalah gelanggang berkecuali buat kedua-dua pasukan.



Inilah Masanya Buat Pasukan Pahang.

1992......
"Apa lagi yang boleh saya katakan? Pastilah gembira. Kami melakukan double, cukup untuk membuktikan Pahang adalah yang terbaik. Berbanding apa yang saya menangi di Manchester United, kejayaan ini jauh lebih bermakna!" - Mike Brown Jurulatih Pasukan Pahang. 
Seluruh rakyat Pahang wajib bergembira dengan kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013. Dari Karak di barat ke Kuantan di timur, dari Jerantut di utara sehingga Rompin di selatan, semuanya sudah tidak sabar mengulangi kejayaan tahun 1992.

Aku memang memasang keyakinan semenjak Pahang membungkuskan JDT (perlawanan pertama Liga Super, 3-2) bahawa anak buah Dollah Salleh ini berpotensi menjulang sekurang-kurang sebiji piala musim ini. Dan sebaik saja Pahang layak ke suku akhir, aku yakin mereka akan sampai ke perlawanan akhir.

Pahang seperti biasa ialah pasukan yang bermain dengan corak yang kita panggil 'free flowing football'. Pantas, menyerang dan cantik. Menggunakan sepenuhnya kepantasan pemain sayap yang mereka miliki untuk melakukan hantaran lintang yang merbahaya ke dalam kotak penalti. Penuh idealisme. Apa yang ada pada diri Dollah Salleh ialah dia seorang pakar taktikal idealisme yang semulajadi. Lihat apa yang dia lakukan kepada Sarawak dan PKNS sebelum ini. Hancor lodoh dibueknyo.

Gol Fauzi Roslan ataupun lebih mesra dengan panggilan Koji pada aksi separuh akhir yang lepas sudah cukup manis untuk menampung keperluan gula dalam badan semua peminat Tok Gajah. Jadi, kurangkan pengambilan gula untuk hari ini demi menyahut saranan kerajaan.

Koji. Ketenangan, tanpa sedikit rasa debaran dan keraian hebat selepas jaringan. Dia mungkin tak dapat mengambil tempat Mathias Conti, tapi, siapa yang perlukan Conti bila anak jati kelahiran Pekan itu mula mengganas di hadapan gawang?

Kedatangan Pahang ke Kuching bagaikan sang gajah menyerah diri kepada si bujang senang. Namun seperti juga keadaan sebenar, tak pernah pula aku dengar cerita gajah dimakan buaya. Tetapi Pahang tetap memberikan penyokong mereka 'kepanasan' dan 'kehausan'. Agak tertekan jugak la perasaan menghabiskan 90 minit.

Jentera tengah Pahang ketika ini antara yang terbaik dalam sejarah. Amirulhadi dan Azidan Sarudin bertindak baik untuk menguasai bahagian tengah. Dengan Amirulhadi dan Azidan menguasai sepenuhnya bahagian tengah, baik Gopi mahupun Surendran mereka bebas untuk naik ke atas dan melakukan serangan. Selain itu mereka juga masih memiliki Faizol Husin dan Hafiz Kamal yang sentiasa bersedia untuk mengganas sekiranya diberi peluang.

Kelantan atau Pahang?

Keseluruhan musim ini Kelantan secara purata menguasai 68% setiap perlawanan tetapi kita semua tahu Bojan Hodak kadangkala lebih mementingkan keputusan dari gaya permainan. Sekali lagi ini adalah contoh terbaik pragmatisme dalam bolasepak mengalahkan idealisme.

Dollah Salleh dan para peminatnya gerenti tak puas hati dengan pendapat ikhlas aku ini.

Jadi sama ada Kelantan atau Pahang, siapa pilihan juara?

Namun apa yang pasti, orgasme Piala Malaysia akan mencapai kemuncak apabila kalendar menuju tanggal 4 November 2013. Sama ada kita terpaksa berpuasa tomyam selama sebulan, atau melilau mencari ikan patin masak tempoyak. Semuanya akan terjawab Ahad ini.

Akhir kata "UNDURLAH SOLTAN BOLA DEMI BOLA SEPAK NEGARA"


Tuesday, October 22, 2013

My Team 2013



Walaupun masih lagi berbaki 3 perlawanan dalam Liga Malaysia musim ini. Namun senarai kesebelasan utama terbaik musim ini telah pun berjaya saya kumpulkan. Setiap individu ada senarai pemain terbaik masing-masing. Dan ini adalah pilihan saya berdasarkan aksi di dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

My Team 2013 ini tidak termasuk pemain import dan Lions XII. Taktik yang akan saya gunakan ialah 3-5-2. Dah, tidak perlu rasanya saya menulis panjang lebar. Berikut adalah senarai pemain terbaik 2013 Liga Malaysia mengikut pengamatan dan kajian peribadi saya. 
 
Penjaga Gol


Al-Hafiz Hamzah
  • Jika tidak salah, rasanya Zamir Selamat adalah penjaga gol utama JDT. Namun selepas hanya 2 perlawanan liga yang tidak cemerlang, tempatnya telah di ambil alih oleh Al-Hafiz Hamzah. Bermula dari itu, Al-Hafiz Hamzah terus menjadi pilihan pertama Fandi Ahmad. Jika beliau mempunyai barisan pemain pertahanan yang mantap, sudah pasti rekodnya akan lebih cemerlang. Ketiadaannya paling dirasai apabila JDT tewas 6-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia.


Pertahanan

Nik Shahrul Azim
  • Buat masa ini beliau adalah pemain pertahanan  muda yang terbaik dalam negara selain Fahdli Shas. Boleh bermain di mana sahaja posisi di bahagian pertahanan sama ada kiri, kanan mahupaun tengah. Fleksibeliti yang dimiliki beliau ini memudahkan dirinya menjadi pilihan automatik jurulatih sekiranya rakan pertahanan yang lain mengalami kecederaan.

Amirizwan Taj
  • Mungkin ramai yang tidak menggemari corak permainan beliau. Tetapi secara peribadi saya amat meminati stail pemain ini. Gemar naik ke atas dan berani melakukan serangan menyerlahkan ciri-ciri pertahanan zaman moden. Corak permainan yang berbeza daripada tipikal pertahanan yang bermain dalam Liga Malaysia.

Razman Roslan
  • Penjenamaan semula yang berjaya daripada Dollah Salleh. Di Pahang dia bermain sebagai bek tengah. Konsisten dan lebih tenang seiring dengan kematangan usianya. Musim ini adalah milik beliau. 


Tengah

Junior Eldstal
  • Akhirnya kita memilik pemain yang berfizikal antarabangsa. Walaupun agak perlahan, tetapi beliau sering melakukan kerjanya di bahagian tengah dengan sempurna. Mungkin musim depan dia akan menjadi semakin matang apabila Sarawak bermain dalam Liga Super yang lebih mencabar daripada Liga Perdana.

Badri Radzi
  • Apa lagi yang perlu dikatakan mengenai pemain ini? Konsisten sejak 4 tahun yang lalu. Dan secara konsisten juga tidak berjaya menembusi pasukan kebangsaan Malaysia. Kehebatan dia ni tak perlu saya ceritakan lebih lanjut. Semua orang dah tahu.

Amirul Hadi
  • Satu lagi produk kejayaan penjenamaan semula dari Dollah Salleh. Beraksi bagaikan remaja 21 tahun. terbukti pertukaran posisi daripada sayap kanan kepada pemain tengah amat berbaloi untuk dirinya. Musim ini merupakan antara yang terbaik buat dirinya.

Sayap

Azwan Roya
  • Awe melakukan tugasnya dengan cemerlang di JDT. Namun sayangnya tiada sokongan yang jitu daripada pemain yang lain. Ketika di awal musim, Awe jelas amat serasi apabila dipadankan bersama Guiza dan Mat Yo dibahagian depan JDT. Cuma terlalu banyak perlawanan yang seakan-akan beliau seperti bermain bola sepak seorang diri.

Nor Farhan
  • Berada pada kelasnya yang tersendiri. Tajam apabila berada di depan gol. Yang ini pun aku malas nak cerita panjang. Siapa yang nengok Liga Malaysia musim ini mesti tahu betapa hebatnya pemain ini.

Penyerang

Norshahrul Idlan
  • Mat Yo masih lagi yang terbaik di Malaysia. Itulah kenyataan yang pahit tapi wajar ditelan dengan redha. Walaupun tidak sehebat dulu, tetapi aksinya masih lagi berbisa. Dan apabila bola berada di kakinya, beterabur pertahanan lawan cuba menumpaskan beliau. 


Amri Yahyah
  • Tua dan masih mantap. Setia bersama Selangor. Jelas pemakanan tempe yang konsisten banyak membantu beliau mengekalkan stamina sehingga pada usia begini. Lebih layak bermain untuk Malaysia berbanding Abang Jalal.


Simpanan
 
Khairul Fahmi
Aidil Zafuan
Mahali Jasuli
Nazmi Faiz
Azamuddin Akil

Sunday, October 20, 2013

Separuh Akhir Piala Malaysia 2013: KELANTAN vs ATM



Peringkat Separuh Akhir Perlawanan Kedua
25 Oktober 2013 (Jumaat)

Secara tulus ikhlas dari hati yang suci ini, aku memang mahu Kelantan menang. Kenapa? Pasal kalau Kelantan menang Piala Malaysia lagi musim ini, sekurang-kurangnya kita boleh dengar cerita penglipurlara baru dari peminat mereka. Ini dah setahun aku dengar "kami dah menang treble lah musim lepas!!" dan "kitorang menang treble bergaya macam dinasti Qin". Bosan kau tahu? Bosan tahap perlawanan JDT menentang JFA. 

Nampak gayanya The Battle of Kota Bharu Jumaat ini pasti meletop. Kalau Kelantan menang, impian ATM untuk memenangi Piala Malaysia sekali lagi hancur di tangan pasukan yang sama seperti musim lepas. Pada waktu yang sama Annuar Musa akhirnya berjaya "menolak Kelantan dari tenggekkan senggama mereka".

Kekalahan ATM 1-2 di Selayang ibarat petanda awal badai kedua yang bakal melanda mereka di Kota Bharu pula. Seperti awan hitam yang kelihatan jauh di ufuk, perlahan-lahan hampir untuk menyelimuti ATM dalam kegelapan. Pada saat yang getir ini, ATM perlu berjuang sekuat mungkin umpama melawan Durjana Sulu di Lahad Datu.

Aksi perlawanan pertama memperlihatkan tiupan angin deras mirip sebelum melandanya badai. Takdir seperti bergurau, ibarat memberitahu imbangan kekuasaan akan berpindah dari Selayang ke Kota Bharu. Seawal minit ke-15, Kelantan sudah di depan, namun ATM dilegakan dengan jaringan penyamaan dari Jayaseelan. Tetapi Nor Farhan tampil memberikan kembali kelebihan kepada Kelantan pada minit ke-78.

Untuk seketika Sathianathan, pengurus ATM, kelihatan bakal berakhir dengan kegagalan. Timbal balik di Stadium keramat Kelantan seakan menidakkan peluang mereka untuk bangkit. Ketika inilah sentuhan ajaib Sathianathan ditagih untuk di adun sebati inti roti dengan barisan pemain terbaik mereka seperti Hairuddin Omar, Marlon Alex dan Martelotto.

Pada kali ini juga aku tidak mahu meneka jumlah gol yang akan mereka jaringkan. Dikhuatiri ada yang akan berkecil hati. Tetapi jika diambil kira prestasi semasa Indra Putra, Badri Radzi, Nor Farhan dan tidak ketinggalan Dickson, kita seakan sudah boleh mengagak siapa yang akan bertemu Pahang di perlawanan akhir nanti. 

Saturday, October 19, 2013

Separuh Akhir Piala Malaysia 2013: SARAWAK vs PAHANG



Peringkat Separuh Akhir Perlawanan Kedua
26 Oktober 2013 (Sabtu).

Aku suka lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz. Hafiz anak jati negeri Sarawak dan lagu-lagu beliau memang mahakarya contohnya seperti Awan Nano, Masih Jelas dan Ku Akui. Siapa yang tak suka Bahagiamu Deritaku  atau Hafiz memang tak layak baca Mata Pena Si Hitam.

Sarawak sebuah pasukan negeri yang hebat, macam Hafiz dan itu tidak dapat dinafikan. Begitu juga dengan Pahang yang begitu berbangga dengan adanya Siti Nurhaliza. Tapi kekuasaan dan kehebatan itu tidak akan kekal selama-lamanya. Ini kerana Kelantan memiliki Neelofa sebagai senjata pembunuh yang sedang menanti sama ada Sarawak mahupun Pahang di perlawanan akhir.

14 tahun lamanya selepas kali terakhir Sarawak menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Kini apa yang pasti, ada sinar di hujung terowong. Mereka telah melalui satu musim tanpa kalah di Liga Perdana. Dan ia wajar diakhiri dengan penuh kelas - menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2013.

Setiap ruang vakum kelemahan ketika tewas 3-1 di Darul Makmur wajib diisi. Sudah masanya Sarawak bangkit dan menjadi kuasa dominan bola sepak Malaysia. Apa lagi yang mahu ditunggu?

Hari Sabtu ini fokus kita semua bakal bertumpu ke Stadium Negeri Sarawak dalam apa yang boleh dikatakan sebagai ujian paling getir buat Pahang. Ya, Pahang perlu bermati-matian untuk mempertahankan kelebihan 2 gol mereka.

Menang dan prospek menewaskan Pahang agak cerah sekiranya Sarawak beroleh 2 gol awal dan seterusnya mengikat kedudukan menjadi 3-3. Tetapi jika kalah walaupun 1-0, kemungkinan besar Pahang akan mara ke akhir dengan selesa.

Pahang mungkin berada dalam musim terburuk mereka. Itupun sekiranya persembahan bertenaga mereka di awal musim tidak di ambil kira. Tapi mereka yang kaki bangku dan otak tepu saja akan menganggap Pahang ialah kari ayam yang enak dibedal. 

Pahang akan bermain habis-habisan Sabtu ini. Sama seperti tahun 1992 apabila mereka menundukkan Kedah biarpun risikonya beraksi di Sarawak amat tinggi. Tok Gajah adalah pasukan tradisi yang kaya dengan sejarah silam. Mereka perlu menjaga prestij dan kejantanan mereka, tetapi bukannya dengan melondeh seluar kepada Sarawak agar rekod mereka tidak lebur begitu sahaja. Pahang perlu menang agar Soltan Bola boleh terus berkuasa.

Untuk sekali ini, aku tidak letakkan sebarang ramalan mahupun tilikan. Sebab ramai yang tidak gemarkan 'prediciton' ketika berbicara hal bola sepak. Kita tengok sajalah perlawanan hari Sabtu nanti.

Sunday, October 6, 2013

Separuh Akhir Piala Malaysia 2013: ATM vs KELANTAN


Peringkat Separuh Akhir Perlawanan Pertama
18 Oktober 2013 (Jumaat)  

Peringkat Separuh Akhir Perlawanan Kedua
25 Oktober 2013 (Jumaat)


Saban tahun ketika Raya Haji memang musim yang agak sibuk dalam kancah Piala Malaysia. Mana dengan nak tangkap lembu buat korban, nak penuhkan peti ais dengan santan, nak bakar lemang lagi dengan nak berebut alat kawalan jauh TV sebab ayah nak tengok bola tapi anak pula nak tengok Akademi Fanstasia Raya Haji Special.

Namun jadual Raya yang padat ketika Raya Haji tidak pernah mengganggu fokus pemain ATM. Sangat bergaya ketika menyingkirkan Temasik bagaikan seekor rama-rama yang pantas hinggap pada kuntuman bunga ros lalu menyedut seluruh madunya.

Sejak dua tahun ini pasukan ATM memang amat merbahaya dan merupakan pasukan yang perlu dihormati oleh setiap lawannya. Jika tidak, lihatlah apa yang sudah terjadi kepada Lions XII. Lauk pauk untuk santapan Raya Haji.

Kelatan meneruskan kesinambungan tahun-tahun yang lepas apabila dengan bergaya menumpaskan JDT yang lemah itu. Desas-desus yang dibawa oleh Bobo yang mengatakan kejayaan ini adalah hadiah Raya Haji daripada JDT hadiah adalah bohong semata-mata. Dah kalah tu terima je la. Luaskan Lubokmu.

Kelantan yang mencatat kemenangan bergaya 6-1 ke atas JDT dijangka akan kembali menampilkam aksi lebih bertenaga apabila berdepan ATM kelak. Dikson dan Obinna pula yang sudah insaf akan berjanji tidak akan mengeluarkan skil bola sepak tertingginya kerana perbuatan itu dianggap menghina pihak lawan. Nampaknya peminat bola sepak tempatan amat risau dengan perkembangan ini kerana ia akan memperlihatkan standard sebenar pemain tempatan.

Tetapi bagi aku mudah sahaja. Kalau Ronaldo dan Messi yang buat skill macam gitu mesti kamu orang kagum. Ini bila Awang Import yang buat kepada pemain tempatan kesayangan korang, bukan main marah lagi. Tidak professional lah, itulah inilah. Ahhhhhhhhhhh!!!!

Dengan kebengapan JDT, mungkin Kelantan tidak berdepan masalah besar. Tetapi lawan mereka kali ini adalah ATM, pasukan yang mereka tewaskan pada pentas akhir tahun lalu. Pertarungan yang sengit akan berlaku. Namun Kelantan akhirnya akan menewaskan ATM.

Ramalan: 1st Leg ATM 2-1 Kelantan | 2nd Leg Kelantan 3-1 ATM
Kelantan layak Aggregate 4-2.

Separuh Akhir Piala Malaysia 2013: PAHANG vs SARAWAK



Peringkat Separuh Akhir Perlawanan Pertama
19 Oktober 2013 (Sabtu)

Peringkat Separuh Akhir Perlawanan Kedua
26 Oktober 2013 (Sabtu)


Pahang seperti biasa layak ke separuh akhir dengan tenang dan membuktikan aku bukanlah pakar dalam meramal perihal keputusan perlawanan bola sepak yang berkaitan dengan pasukan Pahang. Aku meramal sekadar berdasarkan pemerhatian peribadi aku sahaja. Suka atau tidak, kadangkala ia memihak kepada kita, kadangkala tidak.

Tapi ini bukanlah hal yang sebenarnya ingin kita sembangkan. Kecintaan aku pada bola sepak itu adalah lebih penting dari segala hal. Kalau tak suka dengan ramalan dan cara penulisan aku, itu korang punya pasal. Prinsip aku yang bongkak ini akan tetap diteruskan.

Pahang menewaskan PKNS dengan penuh bergaya. Persembahan bertenaga daripada kesemua pemain Pahang membuktikan mereka adalah barisan terbaik yang pernah dimiliki Pahang selepas skuad Pahang 1992. Jika tidak menyerupai skuad 92 sekalipun, namun bayang-bayangnya masih tetap ada. 

Perlawanan selepas Raya Haji ini diharap tidak menjadi ujian besar buat pemain Pahang selepas beraya sakan dengan rendang kambing daging korban. Jika Pahang sedikit bernasib baik, pertemuan dengan Sarawak nanti akan menjadi makanan ruji sahaja buat anak buah Dollah Salleh. Secara keseluruhannya, untuk kekal dengan prestasi cemerlang sehingga penghujung tahun adalah pencapaian yang baik. Statistik menunjukkan bahawa pasukan yang berada di puncak pasca separuh akhir lazimnya bakal menjuarai Piala Malaysia.

Tapi itu hanya statistik.

Layaknya Sarawak ke peringkat separuh akhir pula adalah seperti yang aku jangkakan. Walaupun kurang meyakinkan ketika menewaskan Sime Darby, namun Sarawak masih gagah melayakkan diri. Korang tak perlu risau sebab aku takkan salah Taib Mahmud kalau Sarawak kalah kepada Pahang kelak. Sebab politik dan sukan tidak boleh dicampur adukkan kau tahu? Sukan adalah sukan. Politk sampah kita buang jauh-jauh. Itu pesan sang bijak pandai.

Lebih kurang 20 tahun jugak Ngap Sayot menyepi. Cuma sekarang ni peminat Bujang Senang agak bising sikit dengan harapan mereka untuk menjulang Piala Malaysia kembali cerah, sama cerah macam budak lelaki bawah umur yang hajatkan duit raya dari saudara mara ketika Hari Raya Korban.

Oleh itu, para peminat Bujang Senang bolehlah menyambut Raya Haji ini dengan penuh kesederhanaan tanpa perlu rasa bongkak kerana bab menewaskan Pahang ini sudah macam kebiasaan buat Sarawak, bukan macam JDT.

Tetapi aku meramalkan Pahang bakal menang 3-0 ke atas Sarawak di Darul Makmur dan kemudiannya tewas 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri.

Akhir kata, selamat menyembelih Lombu.

Ramalan: 1st Leg Pahang 3-0 Sarawak | 2nd Leg Sarawak 2-0 Pahang
Pahang layak Aggregate 3-2.

Thursday, September 26, 2013

Piala Malaysia 2013: Suku Akhir

 
 
Peringkat Suku Akhir Perlawanan Pertama
 

September 2013 (Jumaat)

Pahang mln Selangor PKNS FC
8.45mlm, Stadium Darul Makmur, Kuantan
 
Bukanlah hendak memberi ulasan berat sebelah, apatah lagi berfikiran sempit bagaikan umat Barisan Nasional. Namun berdasarkan pemerhatian terperinci saya, PKNS amat berpeluang cerah untuk layak ke Separuh Akhir. PKNS menyudahkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas dengan hampir sahaja mengutip 18 mata maksimum. Memberikan aksi penuh inspirasi sepanjang kempen Piala Malaysia ini dengan hantaran kemas dan pantas yang seringkali membuatkan pasukan lawan terpinga-pinga serta bertanya di dalam hati.."aku sedang lawan Barcelona kah?"
 
Kebijaksanaan jurulatih Haji Abdul Rahman tidak perlu dipersoalkan lagi. Dengan bantuan dari Anuar Abu Bakar, pasukan PKNS kali ini nampak lebih garang dan bersemangat. Kehadiran Nazmi Faiz sejak April lepas turut banyak mengubah corak permainan secara total pasukan kelab dari Selangor ini. Tidak lupa juga sumbangan cemerlang dari pemain lain seperti Roman Chmelo, Reshafiq Alwi, Helmi Rameli dan penjaga gol yang sedang berada dalam prestasi terbaik, Ramezey Che Ros.
 
Pahang pula hanya layak ke suku akhir dengan perbezaan jumlah bolos sahaja berbanding skuad Jang. Tidak banyak harapan untuk peminat Tok Gajah ini selepas mereka melalui satu musim yang tidak konsisten. Pada satu-satu perlawanan, pasukan Pahang akan beraksi seperti Real Madrid dan tidak mampu untuk dikalahkan. Namun Pahang juga boleh secara tiba-tiba menjadi bangang seperti pasukan QPR tanpa usul periksa.
 
Sedikit tips untuk pasukan Pahang ialah jangan terlalu berharap pada Matias Conti sahaja untuk menjaringkan gol. Pemain yang lain seperti Gopi, Alex, Amirulhadi dan Azidan perlu lebih berani untuk melakukan gerakan bagi membolehkan pasukan Pahang mejaringkan gol. Jika ini dapat dilakukan, tidak mustahil untuk Dollah Salleh menambah koleksi pialanya hujung musim ini.
 
Ramalan: 1st leg : Pahang 1 - PKNS 3 | 2nd leg: PKNS 1 - Pahang 1
PKNS layak dengan Aggregate 4:3
 

September 2013 (Sabtu) 
 

Lions XII FC mln ATM
7.45mlm, Stadium Jalan Besar, Singapura
 
Sekiranya ingin mengembalikan nostalgia Piala Malaysia ke era 90-an dahulu. Saya memilih Lions XII untuk ke separuh akhir. Terlalu banyak kelebihan yang diberikan kepada Lions. Sehinggakan naik menyampah diri ini. V. Sundramoorthy sudah pasti ingin memberikan kejayaan piala buat Lions sebagai hadiah perpisahan sebelum musim depan berpindah ke Negeri Sembilan.
 
ATM pula seri pada 2 perlawanan terakhir dan ini menunjukkan pasukan bimbingan Sathianathan masih belum stabil sepenuhnya. Cuma kehadiran Marlon Alex sahaja yang melegakan peminat pasukan ATM. Sekiranya beliau menjaringkan gol. Amat sukar untuk melihat pasukan ini tewas. Nama-nama besar dalam pasukan ATM seperi Hai-O, Martelotto, Shukor, Rezal dan juga Irwan Fadli sememangnya akan berjuang berhabis-habisan untuk pasukan ATM bagi menebus kekecewaan tahun lepas.
 
Ramalan: 1st leg : Lions XII 2 - ATM 0 | 2nd leg: ATM 1 - Lions XII 1
Lions XII layak dengan Aggregate 3:1
 

Johor Darul Takzim FC mln Kelantan
8.45mlm, Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunus, JB 
 
Kalau dah jodoh tidak kemana. JDT sebenarnya berpeluang menebus kesedihan tewas pada perlawanan akhir Piala FA yang lalu dalam perlawanan ini. Tetapi itupun hanya jika mereka tidak bermain bola sepak secara bangang. Kisah Mat Yo dan isterinya mengaburi kehebatan perlawanan ini. Dari segi barisan pemain pasukan JDT, tiada apa yang menarik. Ini kerana ada antara mereka sudah pun tahu nasib mereka musim depan. Jadi tidak hairanlah kalau lebih dari 6 orang pemain JDT bermain bola secara bangang apabila menentang Kelantan kelak.
 
Ini adalah skuad Kelantan yang sebenar dan berada pada standard yang sepatutnya. 9 gol dalam 3 perlawanan termasuk kejayaan menyumbat 4 gol ketika menewaskan Pahang tempohari merupakan petanda bahawa Kelantan sudah bersedia untuk melakukan double dalam Piala Malaysia. Bojan Hodak akan gembira dan ketawa terbahak-bahak di hujung musim ini.
 
Ramalan: 1st leg : JDT 2 - Kelantan 2 | 2nd leg: Kelantan 3 - JDT 1
Kelantan layak dengan Aggregate 5:3


SF KL Sime Darby FC mln Sarawak
8.45mlm, Stadium Majlis Perbandaran Selayang
 
Musim gemilang Sarawak akan menjadi lebih bermakna andai mereka berjaya menjulang Piala Malaysia 2013. Ini adalah masa yang tepat untuk mereka berdasarkan barisan pemain yang mereka miliki. Junior, Bobby, Joseph Kallang dan Zamri Morshidi antara generasi baru yang memikul tanggunjawab untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Sarawak seperti zaman Awang Mahyan dulu. 
 
Namun lawan mereka di peringkat separuh akhir ini bukan sebarangan pasukan. Sime Darby merupakan naib juara Liga Perdana 2013. Menamatkan liga di tangga kedua di belakang Sarawak dengan hanya 4 mata yang membezakan antara mereka. Mungkin hanya nasib sahaja yang akan menentukan pasukan mana yang akan pergi ke separuh akhir.
 
Ramalan: 1st leg : KL Sime Darby FC 0-0 Sarawak | 2nd leg: Sarawak 1-0 KL Sime Darby FC
Sarawak layak dengan Aggregate 1:0 

Tuesday, September 17, 2013

Piala Malaysia 2013: Terengganu vs Kelantan




Terengganu vs Kelantan
8.45 malam
Sultan Ismail Nasiruddin Shah stadium
Siaran Langsung Astro Arena 801
 
 
Tiket habis dijual seawal jam 2.30 petang menunjukan perlawanan ini amat penting dan teragung buat rakyat pantai timur. Kelantan amat memerlukan 3 mata pada perlawanan ini sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk ke suku akhir. Begitu juga dengan pasukan Terengganu. Jadi tidak menghairankan sekiranya tiket perlawanan ini habis begitu awal.
 
Kelantan pada aksi malam ini dijangka akan diperkuatkan kembali dengan kehadiran Shakir Shaari, Fakri Saarani dan Nik Shahrul yang baru selesai dengan tugas negara dan harimau muda. Manakala Khairul Fahmi yang pulih dari kecederaan juga akan memperkuatkan barisan utama pasukan Kelantan.
 
Pemain Kelantan perlu segera melupakan kekalahan kepada Negeri Sembilan di tempat sendiri tempohari dan kembali mempamerkan aksi terbaik mereka apabila wisel sepak mula bertemu Terengganu ditiupkan.
 
Tetapi Bojan Hodak silap sekiranya memandang rendah keupayaan skuad Penyu ini. Kejayaan Terengganu yang menjinakkan Pahang 2 minggu yang lepas membuktikan anak buah Elavarasan masih perlu diberi perhatian oleh setiap lawan mereka. Manakala kejayaan menundukkan Perak 2-1 dalam perlawanan persahabatan merupakan tonik ajaib buat mereka menjelang aksi menentang Kelantan.
 
Zubir Azmi yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Pestabola Merdeka sudah pasti akan bersemangat untuk menyekat larian merbahaya Nor Farhan dari sebelah kanan pasukan Kelantan. Seperti biasa juga tumpukan perhatian kepada pemain berprofil tinggi seperti Ashaari Samsudin, Manaf Mamat, Indra Putra dan juga siapa lagi kalau bukan Fakri Saarani.
 
Ramalan: Terengganu akan mengutip 3 mata berdasarkan kapasiti mereka yang turun sebagai tuan rumah. Namun kedudukan kedua pasukan ini masih juga ditentukan oleh keputusan perlawanan antara Negeri Sembilan dan Pahang.

Monday, August 26, 2013

Piala Malaysia 2013: Johor vs ATM



Johor mln ATM
8.45 malam
Std Majlis Perbandaran Pasir Gudang
Siaran Langsung TV1
 
 
Ramai  yang terkejut melihat prestasi semasa pasukan Johor. Namun tidak bagi saya kerana saya sentiasa memantau persembahan pasukan yang menamatkan Liga Perdana 2013 ini di tangga yang ke-3. Apa yang jelas lagi sohih ialah pasukan Johor lebih hebat berbanding JDT. Jika tidak, kenapa terlalu ramai pemain JFA yang dicilok sesuka hati oleh JDT? Ye tak?
 
Selepas 2 perlawanan, kini Johor berada pada kedudukan selesa kumpulan A. Hasil daripada satu seri ketika berhadapan Selangor dan satu kemenangan bertemu Sime Darby.
 
Semangat juang yang dipamerkan ketika menumpaskan Sime Darby walaupun mereka dipaksa beraksi dengan 10 orang pemain wajar dikekalkan. Jadi sekiranya Johor berjaya mengejutkan ATM, peluang mereka untuk ke suku akhir amat cerah sekali. Selain itu, kesempatan beraksi di gelanggang sendiri iaitu Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang wajar dipergunakan sepenuhnya untuk mengutip 3 mata sekaligus meninggalkan pasukan-pasukan lain.
 
ATM kini kembali mendapat sentuhan magis daripada Marlon Alex dan ia jelas terhasil ketika mereka berjaya menewaskan Selangor 2-3. Walaupun belum cergas 100% tetapi kehadirannya di atas padang amat diperlukan oleh rakan sepasukannya. Perkembangan ini membuatkan Sathianathan kembali lega selepas tewas mengejut ketika perlawanan pertama menentang Sime Darby.
 
Sekali lagi ATM akan bergantung kepada pengalaman Hairuddin Omar yang akan diadun rapi dengan kelincahan pemain muda seperti Fitri Omar dan Jayaseelan.
 
Ramalan: Walaupun beraksi di tempat lawan, ATM jelas pilihan utama untuk memenangi perlawanan ini. Pemain yang dimiliki oleh ATM seperti Bruno Martelotto, Shukor Adan dan Rezal Zambery merupkan tunjang buat pasukan The Gladiators yang akan memberikan kejayaan buat mereka. ATM menang 1-3.