Showing posts with label Jepun. Show all posts
Showing posts with label Jepun. Show all posts

Sunday, June 24, 2018

Jepun Melawan Senegal


Jepun Melawan Senegal

Jepun dan Senegal menang dalam perlawanan pertama mereka. Jepun berjaya mengejutkan Colombia. Manakala Senegal pula menewaskan Poland. Tiada siapa menjangka kedua pasukan ini berjaya menang dalam laga pertama mereka. Sekiranya salah satu antara mereka mendapat 3 mata malam ini, peluang untuk mara ke pusingan 16 pasukan semakin cerah. 



Sekali lagi tumpuan akan diberikan kepada Shinji Kagawa dan Sadio Mane yang akan memikul amanah negara masing-masing. Namun aku lebih tertarik dengan daya kerja Yuya Osako dan Mbaye Niang dalam aksi sebelum ini. Kedua pemain ini mampu menjadi penentu kejataa kepada pasukan masing-masing.

Jepun adalah pasukan yang paling degil di Asia. Senegal pula berkelebihan dari segi kualiti pemain yang mereka miliki. Jadi, keputusan seri adalah yang paling sesuai untuk mereka. Jepun 2 - 2 Senegal.

Thursday, August 31, 2017

Piala Dunia 2018: Jepun pasukan kedua dari Asia yang berjaya layak. Hah!


Empat tahun dahulu aku ada menulis satu entri tentang pasukan Jepun yang menjadi pasukan pertama layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil. Entri pendek tersebut ada di link di bawah ini:

http://hadriegas.blogspot.my/2013/06/jepun-pasukan-pertama-layak-ke-piala.html

Seronok sebenarnya ada pasukan bola yang sedap dan kuat ni. Pasukan bola Malaysia pula aku dah lupa bila kali terakhir mereka menang bergaya dan berfaedah. Sebab itulah apabila pasukan bawah-23 tahun Sukan Sea layak ke Perlawanan Akhir, kita terkinja-kinja keseronokan. Inilah buktinya kita amat dahagakan pasukan bola yang kuat dan sedap.

Tahniah Jepun kerana sekali lagi layak ke Piala Dunia mengiringi satu lagi pasukan dari Asia - Iran. Ia bagaikan semudah mengira sifir 9 sebelum masuk ke kelas. Bagaikan rutin setiap empat tahun. Malaysia? Thailand pun duduk tempat corot dalam perinkat kumpulan kelayakan Piala Dunia ni. Jangan nak mimpilah kita layak ke Piala Dunia kecuali menjadi tuan rumah. Hah!

Saturday, February 22, 2014

Piala Dunia 2014: Jepun


Piala Dunia 2014: Jepun

Pengenalan 

Apabila berbicara tentang pasukan Jepun ini ia sedikit sebanyak mendatangkan sentimental pada jiwa kebangsaan aku. Manakan tidak, pasukan yang pernah setara tahap dengan Malaysia kini sudah terlalu jauh meninggalkan kita dari segenap segi cabang bola sepak. Jepun pernah belajar menguruskan liga dari Malaysia dan mereka memulakan Liga J hanya dengan barisan pasukan yang terdiri daripada kilang-kilang di serata Jepun. 

Setelah lebih 20 tahun Tun Doktor Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur, selama itulah juga kita terlalu asyik memandang ke Timur. Tetapi hanya setakat pandang sahajah, buatnya tidak. Kalau ada yang di ikut mungkin hanya rentak irama J-Pop dan K-Pop.

Sejak kali pertama menjejakkan kaki di Piala Dunia 1998, Jepun sudah tidak menoleh kebelakang lagi. Mereka tampil secara berturut-turut dalam edisi 2002 (sebagai tuan rumah bersama Korea Selatan), 2006 , 2010 dan juga 2014. Berdasarkan 14 perlawanan mereka di Piala Dunia, mereka berjaya memenangi 4 perlawanan, 3 seri dan 7 kekalahan. Manakala menjaringkan 12 gol dan bolos 16 gol. 

Apa yang jelas Jepun sudah pasti mahu pergi lebih jauh daripada hanya beraksi di Pusingan 16 pasukan (melakukannya sebanyak dua kali pada 2002 dan 2010). Kejayaan layak ke suku akhir mungkin adalah satu permulaan bagi membuktikan mereka adalah Gergasi Asia yang sebenar. 

Jadi, sekarang kita tahu. Tahu betapa bolasepak Jepun telah berubah dari pasukan kilang menjadi pasukan yang mencabar di Piala Dunia. Tahu betapa bolasepak Malaysia makin hari semakin ke belakang, macam Liga Malaysia dan 13 pasukan negerinya. 


Jurulatih : Alberto Zaccheroni. 


Engkorang wajib segan jika mengaku meminati sukan bola sepak tanpa tidak mengenali figura ini. Selama 30 tahun terlibat dalam kancah pengurusan, dia telah menguruskan pelbagai kelab bola sepak gergasi di Itali seperti Inter Milan, AC Milan dan Juventus. Juga beberapa kelab lain seperti Udinese, Lazio, Bologna dan juga Torino. 

Walaupun terpaksa bersara daripada bola sepak sebelum umurnya mencecah 30 tahun, kejayaannya dalam bidang pengurusan selepas itu sedikit sebanyak mampu mengubati kesedihannya. Antaranya beliau berjaya menjulang kejuaraan Serie A musim 1998 - 1999 serta berjaya membantu Jepun menjulang Piala Asia buat kali ke-4 pada tahun 2011. 


Ketua Pasukan: Makoto Hasebe. 


Dengan berbekalkan 70 penampilan bersama pasukan Jepun, beliau adalah antara pemain senior yang mana telah membuat penampilan pertamanya pada 11 February 2006. 

Di Bundesliga namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau telah menjadi pemain Jepun kedua yang memenangi gelaran Bundesliga pada musim 2008-2009 bersama pasukan Wolfsburg. Pada tahun 2013 beliau telah berpindah ke  FC Nurnburg 


Pemain Bintang: Shinji Kagawa. 


Mungkin musim ini tidak memihak kepada Shinji Kagawa.  Beliau tidak dapat peluang turun beraksi secara kerap dengan keadaan kelabnya yang kacau bilau menghadkan dia daripada menyerlahkan prestasi sebenar di atas padang. 

Walaupun begitu rekodnya ketika beraksi dengan pasukan Jepun amat memberansangkan. Kagawa telah mengumpul 16 gol daripada 52 aksinya sudah cukup untuk menceritakan kemampuan beliau sebagai pemain tengah yang kreatif dan merbahaya di hadapan gol. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Keisuke Honda. 


Perpindahannya secara percuma daripada CSKA Moscow ke AC Milan menjadikan beliau adalah pemain Jepun pertama yang mewakili kelab gergasi Itali tersebut. 

Beliau seorang pemain yang mempunyai ketepatan tinggi dalam melakukan hantaran serta seorang pengambil sepakan percuma yang cemerlang. Honda adalah  nadi penting buat Jepun dalam Piala Dunia 2014 kelak. 

Friday, June 14, 2013

Piala Konfederasi 2013: Brazil vs Japan





Perlawanan pertama Piala Konfederasi ini akan menemukan Juara Asia, Jepun menentang pasukan tuan rumah Brazil. Ia satu kegemparan yang amat ditunggu oleh seluruh warga dunia. Kejayaan Brazil menewaskan Perancis Ahad lepas memberi sedikit keyakinan kepada anak buah Felipe Scolari. Namun kita tidak boleh menidakkan keupayaan Jepun yang hebat sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia ini apabila menjadi negara pertama yang layak menyertai tuan rumah Brazil.  

Menjelang perlawanan ini, setiap mata sudah akan pasti tertumpu kepada Neymar dari Brazil dan Shinji Kagawa serta Keisuke Honda dari Jepun. Neymar akan berjuang berhabisan untuk membuktikan dia bukan sekadar wajah 'budak poster' dari Brazil. Manakala Kagawa sepanjang musim pertamannya ini amat cemerlang bersama Manchester United. Sudah pasti form yang sama akan dibawa terus ke Piala Konfederasi ini. Jika dilihat dari segi kapasiti bakat serangan yang Jepun miliki, saya yakin Zacherroni mampu mengejutkan Brazil.
 
Selain itu, menarik untuk melihat bagaimana pemain seperti Paulinho dan Makoto Hasebe berkembang dalam keojohanan ini selepas prestasi cemerlang yang mereka pamerkan lewat ini. Ramai yang memandang rendah pasukan Jepun dalam kejohanan kali ini, dan saya juga terpaksa setuju dengan pendapat majoriti. Brazil mungkin akan menang dengan jumlah gol yang tipis.
 
Ramalan: Brazil 2 - Jepun 1  
 

Thursday, June 13, 2013

Piala Konfederasi 2013 - JEPUN



Jurulatih: Alberto Zaccheroni

Jasa beliau yang paling dingati ialah kejayaan menjulang scudetto bersama AC Milan pada 1999. Beliau juga meminati  sistem 3-4-3. Menjadi jurulatih yang memenangi Piala AFC 2011 dan juga merupakan pengurus pertama yang berjaya membawa pasukannya layak ke Piala Dunia 2014. Mungkin sudah masanya untuk Zaccheroni berehat dan menenangkan diri sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia tahun depan. Tetapi dengan adanya Piala Konfederasi ini, tidak salah rasanya menambah pingat kejayaan untuk pasukan Jepun. 


Penjaga gol: Eiji Kawashima (Standard Liege), Shusaku Nishikawa (Sanfrecce Hiroshima), Shuichi Gonda (FC Tokyo).

Saya mungkin akan memilih Eiji Kawashima sebagai pilihan utama untuk menjaga gawang Jepun dengan 44 caps yang telah beliau miliki serta mengambil kira  keterlibatan beliau dalam Piala Dunia yang lepas. Sudah pasti dia mendapat beberapa pengalaman yang baik untuk digunakan dalam kejohanan ini. Kawashima juga merupakan salah satu penjaga gol terbaik di Belgium Pro-League buat masa ini. Penjaga gol kedua, Nishikawa  mungkin akan dapat membantu apabila keadaan diperlukan. Tetapi masih banyak yang perlu dipelajari oleh penjaga gol ketiga, Gonda yang hanya mempunyai hanya satu cap sahaja setakat ini.

 
Pertahanan:Yasuyuki Konno (Gamba Osaka), Yuzo Kurihara (Yokohama F Marinos), Masahiko Inoha (Jubilo Iwata), Yuto Nagatomo (Inter Milan), Atsuto Uchida (Schalke), Maya Yoshida (Southampton), Hiroki Sakai (Hannover), Gotoku Sakai ( Stuttgart).

Apabila menonton aksi Nagatamo di Inter Milan, dia seolah-olah mempunyai bateri di dalam jantungnya serta tidak pernah kong. Dia boleh berlari selama 90 minit atau lebih. Seorang pertahanan yang sangat baik dan sesuai dengan perancangan skuad Zaccheroni ini. Lebih banyak hantaran lintang yang berkualiti perlu dilakukan oleh Nagatomo disamping larian obornya itu. Maya Yoshida yang beroleh 29 penampilan untuk Southampton musim ini juga antara nadi utama pertahanan Jepun. Selain itu, pemain seperti H. Sakai, G.Sakai dan Uchida sudah pasti akan menambahkan elemen Jerman sekiranya mereka dipanggil turun beraksi.

 
Tengah:Yasuhito Endo (Gamba), Kengo Nakamura (Kawasaki Frontale), Makoto Hasebe (Wolfsburg), Hajime Hosogai (Hertha Berlin), Keisuke Honda (CSKA Moscow), Hideto Takahashi (FC Tokyo).

Yasuhito Endo, mempunyai 128 caps untuk Jepun (tertinggi). Beliau adalah seorang lagenda yang terbaik pernah dimiliki oleh Jepun. Tersenarai sebanyak 10 kali dalam Best-Eleven J-league. Juga terkenal dengan ketepatan yang luar biasa dalam mengambil sepakan percuma. Endo telah membentuk tulang belakang yang padu dalam skuad Jepun ini. Beliau juga memiliki IQ bola sepak yang sangat tinggi. Lebih tinggi dari Shukor Adan saya rasa. Kehadiran beliau adalah untuk memberi inspirasi kepada seluruh skuad.

Beraksi di samping beliau adalah Hasebe, bintang dari Bundesliga ini merupakan ketua pasukan yang boleh diharapkan ketika pasukan Jepun amat dahagakan kepimpinan beliau. Nama Keisuke Honda seolah-olah tidak perlu diperkenalkan lagi. Pemain tonggak CSKA Moscow sedang berusaha untuk menambah jumlah 42 caps miliknya hanya pada usia 27 tahun.
 

Penyerang: Ryoichi Maeda (Jubilo), Shinji Okazaki (Stuttgart), Mike Havenaar (Vitesse Arnhem), Takashi Inui (Eintracht Frankfurt), Shinji Kagawa (Manchester United), Hiroshi Kiyotake (Nuremburg)

Dari senarai yang disebut di atas, ternyata Shinji Kagawa adalah yang paling menonjol di barisan hadapan Jepun. Beroleh 39 caps dan mendahului penyerang veteran Maeda yang hanya mempunyai 23 caps walaupun sudah 6 tahun bersama Samurai Biru. Okazaki akan menjadi penyerang utama sambil Shinji Kagawa akan bermain dibelakangnya. Dengan formasi 4-2-3-1, mungkin Shinji akan beroperasi pada sebelah kiri dan menolak Okazaki untuk bermain lebih ke hadapan.

 
Ramalan: Setelah dikaji bersama-sama pembantu saya Jenna Haze dan Tori Balck, kami tidak melihat Jepun akan layak melepasi peringkat kumpulan. Matahari mungkin akan menyinar, namun apabila udara wisel ditiup, mungkin ia akan mula terbit dari barat. Nampak tak perumpaan dahsyat di situ? Tempat ketiga akan menjadi terpuji untuk Jepun. Manakala tempat kedua akan membuatkan Soltan Bola terus menggeleng kepala atas dan bawah.