There was an error in this gadget

Monday, July 14, 2014

Piala Dunia 2014 : Jerman 1 - Argentina 0.

Piala Dunia 2014 : Jerman 1 - Argentina 0

"We started this project ten years ago and what has happened today is the result of many years' work, starting with Jurgen Klinsmann. We've made constant progress, we believed in the project, we worked a lot and, if any group deserves it, it's this team. We've always played good football and I believe that over this tournament, over seven matches, we've shown the best performances of any of the teams here in Brazil. The boys have also developed a team spirit which is unbelievable." - JOACHIM LOW -

Negara hebat seperti Jerman pun menunggu sehingga 24 tahun untuk kembali menjulang Piala Dunia. Brazil juara Piala Dunia lima kali pula menjadi tuan rumah hanya untuk disingkirkan dengan cara yang amat memalukan. Argentina dengan barisan pemain berbakat yang diketuai oleh Messi mempamerkan persembahan kurang bermaya sepanjang kejohanan dan hanya semangat membawa mereka ke perlawanan akhir juga terpaksa menerima hakikat kemarau Piala Dunia mereka kini mencecah 32 tahun. Manakala pasukan Belanda pula kekal menjadi pasukan elit yang layak menjadi juara Piala Dunia tetapi masih tidak mampu menjulang piala teragung ini.

Itu belum lagi aku cerita perihal bekas-bekas Juara Piala Dunia seperti Itali, Sepanyol, England dan Uruguay yang pulang awal dalam keadaan paling keji.

Jika melihat nasib pasukan daripada Asia pula, kita boleh mengagak di mana letaknya kedudukan sebenar pasukan bola sepak Malaysia atau lebih dibanggakan dengan nama Harimau Malaya. Jepun, Korea Selatan, Iran dan Anak Angkat Asia-Australia, kesemua wakil Asia ini terkandas di peringkat kumpulan. Ini petanda bola sepak negara kita masih jauh terkebelakang ketika negara kecil, miskin, mundur, sibuk dengan perang mula mempamerkan corak permainan penuh bertenaga. Sebagai contoh Algeria dan Costa Rica yang membuktikan kepada kita bahawa bola sepak lebih daripada sekadar duduk di atas kerusi empuk sambil meneguk segelas air nyaman di dalam pejabat yang berhawa dingin. Melihat pasukan Bosnia dan Iran di Piala Dunia saja sudah membuatkan aku termenung jauh memikirkan apa virus sebenar yang ada dalam bola sepak Malaysia.

Di Malaysia pula menteri sukannya adalah daripada negeri yang tidak akan bermain dalam Piala Malaysia 2014. Di Malaysia juga ada banyak pasukan yang dinaungi oleh seorang individu ataupun satu persatuan yang bermain dalam liga dan pertandingan yang sama. Di mana intergriti bola sepak Malaysia sebenarnya?

Bila bercakap tentang Piala Dunia, bagaikan kita sudah menjadi Juara 10 kali. Penuh ghairah. Tetapi itulah romantiknya rakyat Malaysia dan Piala Dunia. Setiap 4 tahun berpusu-pusu dengan negara angkat masing-masing. Tidak terkecuali juga aku. Sampai bila harus begini? Adakah sehingga kita melihat pasukan Somalia dan Bosnia bermain di Perlawanan Akhir Piala Dunia 2054 barulah kita mula merasa cemas?

Bilakah kita akan mampu untuk bersorak dan melihat pasukan Malaysia di Piala Dunia sebenarnya?

Aku tinggalkan pelbagai soalan untuk kita semua fikir dan untuk Tengku Bola jawab. Dan aku yakin 4 tahun lagi kita akan kembali bersama-sama pasukan angkat masing-masing untuk menonton Piala Dunia Russia 2018.

Sekian.

Abang Hadristuta.
Kampung Tualang Tiga.
8: 02 AM | 14 Julai 2014.

Saturday, July 12, 2014

Prebiu Perlawanan Akhir Piala Dunia 2014: Jerman vs Argentina


Prebiu Perlawanan Akhir Piala Dunia 2014: Jerman vs Argentina

Monday, July 14, 2014  | 3.00 AM

Perlawanan akhir Piala Dunia 2014 menemukan dua gergasi bola sepak dunia iaitu Jerman dan Argentina. Ini merupakan pertemuan ketiga mereka dalam pentas akhir Piala Dunia. Pada Piala Dunia 1986, Argentina menewaskan Jerman 3-2. Empat tahun kemudian di Italia 1990, Die Mannschaft menebus kembali kekecewaan mereka dengan menundukkan Argentina 1-0 hasil jaringan penalti Andreas Brehme selepas Rudi Voller jatuh dalam kotak penalti dengan cara yang amat mencurigakan. Selepas 24 tahun kedua pasukan ini ditakdirkan untuk bersemuka kembali dalam perlawanan akhir yang semestinya menjanjikan penuh debaran dan aksi.

Argentina menyahut seruan Jerman selepas menewaskan Belanda 4-2 dalam penentuan sepakan penalti. Ketika penentuan penalti Sergio Romero telah menjadi wira Albiceleste apabila menyelamatkan 2 sepakan pasukan Belanda. Sebelum kejohanan beliau adalah 'the weakest link' dalam skuad Argentina. Namun status beliau daripada seorang pemain 'todi' berubah menjadi hero hanya dalam satu malam sahaja merupakan sesuatu kejutan. Tevez yang baru nak mula tergelak dekat rumah pun tiba-tiba diam seribu bahasa apabila Argentina memenangi pertarungan sepakan penalti.

Lionel Messi. Ermmmmsss..Bagi aku minum sirap limau kejap. Okeh. Walaupun jelas Messi kerapkali hilang di atas padang. Tetapi nampaknya Argentina masih percaya individu ini adalah Messi-ah mereka dengan pemain ini seolah-olah secara individu memacu Argentina ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014.

Messi ketika ini masih lagi mencari golnya yang kelima dalam kejohanan ini selepas kali terakhir menjaringkan gol ketika pertemuan dengan Nigeria di peringkat kumpulan. Saingan Messi nanti tidak lain dan tidak bukan ialah Thomas Muller yang juga dalam misi memintas ataupun menyamai jaringan enam gol milik James Rodriguez. Nah!! Pentas akhir sudah terbentang luas untuk Messi dan Muller bagi membuktikan mereka adalah pemain terbaik dalam kejohanan kali ini. Ulasan selanjutnya tentang kedua pemain ini akan berada di bawah.




Pasukan Jerman menempah tiket ke perlawanan akhir dengan penuh gaya. Menewaskan Brazil dengan skor 7-1. Ramai yang terkedu. Tak kurang juga berbuih mulut terkena sawan dek kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa pasukan Brazil begitu mudah diratah. Tetapi sesiapa yang mengenali Jogi Low, pastinya langsung tidak hairan dengan keputusan seperti ini. Tambahan pula apabila menentang pasukan seperti Brazil.

Joachim Low ada sejarah manis apabila bertemu dengan Argentina sejak 2006 lagi. Ketika menjadi pembantu Klinsmann, beliau menyaksikan pasukan Jerman menewaskan Argentina 4-2 dalam penentuan penalti di Suku Akhir Piala Dunia 2006. Manakala empat tahun yang lalu Low membimbing Jerman memalukan Argentina 4-0 juga pada pusingan suku akhir.

Adakah Jogi Low mampu mengukir satu lagi kenangan manis menentang Argentina di Maracana? Sekaligus menjadi negara pertama dari benua Eropah yang menjulang piala teragung ini di bumi Amerika Latin ketika seluruh umat Brazil pastinya berdiri teguh di belakang Argentina yang dalam misi menyelamatkan maruah CONMEBOL.

Jerman mampu menjadi negara pertama dari benua Eropah yang menjulang Piala Dunia di bumi Amerika Latin kerana mereka adalah sebuah pasukan yang berada pada kelasnya yang tersendiri. Mereka menjadi pasukan pertama yang menjaringkan tujuh gol dalam laga separuh akhir dalam sejarah Piala Dunia. Dan ketika ini mereka merupakan pilihan utama untuk muncul juara buat kali pertamanya sejak tahun 1990. Rekod lain turut dicipta oleh Miroslav Klose apabila individu ini menjadi pejaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia dengan 16 gol. Pada usia 36 tahun, ini mungkin Piala Dunia yang terakhir buat dirinya. Nampaknya Klose bersedia untuk mengakhiri kariernya dalam cara yang penuh bergaya.

Tiada sesiapa yang boleh menidakkan kehebatan Jerman dalam melakukan hantaran serta merencana gerakan cantik sesama mereka. Ketika menewaskan Brazil, kadangkala kelihatan pemain Jerman bergaduh sesama sendiri untuk menjaringkan gol. Berebut-rebut bak kata orang. Tetapi bergaduh dalam cara yang positif. Cara yang membolehkan Thomas Müller melengkapkan 10 jaringannya hasil daripada dua kejohanan Piala Dunia yang telah dia sertai setakat ini. Ya, Thomas Müller inilah yang mana bakatnya mula-mula dicungkil oleh Lim Teong Kim, bekas jurulatih remaja Bayern Munich's seorang manusia berbangsa Malaysia. Sekiranya Jerman menjulang Piala Dunia dan Muller muncul penjaring terbanyak kejohanan, sudah mesti Lim Teong Kim akan menjadi individu yang paling gembira.

Sebut pasal Lim Teong Kim ni, terus aku teringat pada Raisyyah Rania. Baik aku pergi bukak puasa dahulu.




Done With Iftooooor!!!! Mari kita sambung lagi prebiu berdasarkan posisi pula. Jom!

Penjaga Gol.


Reputasi Manuel Neuer sebagai salah seorang penjaga gol tebaik dunia telah mencanak naik di bumi Brazil dan ianya semakin terserlah ketika pusingan kalah mati. Selain daripada berkemampuan melakukan aksi menyelamat bertaraf dunia, penjaga gol Bayern Munich ini juga mampu beraksi sebagai 'sweeper-keeper'. Ia terbukti ketika menentang Algeria apabila dia kerap kali naik ke atas membantu barisan pertahanannya. Kadangkala kita boleh lihat Jogi Low menggeleng-geleng kecil memikirkan aksi berani mati dari penjaga golnya ini. Neuer juga menafikan cubaan gol dari Karim Benzema pada laga suku akhir. Dan apabila menentang Brazil...

"Kami nampak Neuer ada 3!!!" - begitulah kata Fred selain daripada "Aku main mane ni? Aku main mane ni?"...secara berkali-kali.

 

Macam yang aku cakap sebelum ini, Sergio Romero adalah 'the weakest link' buat Argentina. Dia hanyalah penjaga gol 'backup' buat pasukan AS Monaco sepanjang musim lepas. Mungkin kali ini rezeki berpihak kepada beliau. Tiga perlawanan tanpa bolos dalam pusingan kalah mati berjaya beliau lakukan. Tetapi cabaran sebenar  Romero adalah apabila berdepan dengan barisan serangan Jerman yang klinikal

Pada posisi ini kelebihan berpihak kepada pasukan Jerman.

Pertahanan

Pertahanan pasukan Jerman lebih tersusun selepas Joachim Low meletakkan kembali Philip Lahm bermain di posisi pertahanan kanan pada aksi menentang Perancis. Matt Hummels pula membuktikan dia bukan hanya memiliki wajah yang kacak, tetapi beliau juga adalah 'steady anchor' di posisi pertahanan tengah pasukan Jerman. Mampukah mereka kali ini menyerap asakan daripada Messi dan rakan-rakan?

Sebelum bermulanya kejohanan Piala Dunia 2014, posisi pertahanan pasukan Argentina merupakan antara masalah utama mereka. Mungkin kerana tidak setara dengan kekuatan di bahagian serangan. Tetapi mereka sekarang tidak melepaskan gol selama 330 minit dalam pusingan kalah mati - termasuk masa tambahan. 'The back four' yang terdiri daripada duo Manchester City, Pablo Zabaleta dan Martin Demichelis telah berjaya membuatkan penyerang Belanda, Arjen Robben dan Robin van Persie terpinga-pinga pada pertemuan yang lepas. Kadangkala Arjen Robben seperti sedang mencari jarum emas di atas padang, kejap-kejap jatuh, kejap-kejap jatuh.

Juga pada posisi pertahanan ini masih berpihak kepada pasukan Jerman.

Tengah
Haaa..ini adalah kekuatan pasukan Jerman. Bagaimana lancarnya enjin kereta buatan Jerman, begitulah juga licinnya bahagian tengah mereka beroperasi. Bastian Schweinsteiger dan Sami Khedira ditugaskan untuk bertahan secara kemas. Sementara itu, Toni Kroos dan Mesut Ozil pula diberi kebebasan untuk menyerang namun masih ada hadnya iaitu menyerang menggunakan akal. Jika mereka mampu bermain secara efisyen dan klinikal dihadapan gol, pastinya amat sukar buat Argentina menangani mereka.

Bagi Argentina pula mereka masih berharap yang Angel Di Maria akan pulih sebelum sepak mula perlawanan ini. Aksinya memecah benteng pertahanan dari sebelah sayap amat dirindui ketika ini. Ketika menentang Belanda, Albiceleste kelihatan bergelut dalam melakukan serangan. Manakala pemain tengah bertahan Javier Mascherano diyakini akan menjadi kunci untuk mengekang pasukan Jerman dari menyerang secara berleluasa.

Walaupun pahit, aku masih merasakan posisi tengah akan turut menjadi milik Jerman.

Serangan

Jerman memiliki Miroslav Klose, penjaring terbanyak Piala Dunia setakat ini dengan 16 gol. Dan juga Thomas Muller yang sudahpun merekodkan 10 jaringan dalam 2 penampilan di Piala Dunia.

Tetapi Argentina mempunyai Messi. Empat golnya semasa peringkat kumpulan mengingatkan kita kenapa beliau adalah individu yang menjadi pemain terbaik dunia sebanyak empat kali. Walaupaun memiliki Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain, Messi masih merupakan kunci utama kejayaan pasukan Argentina. Jika Argentina mahu menewaskan Jerman, Messi harus mencipta gol. Tidak kiralah sama ada untuk dirinya mahupun rakan sepasukan yang lain.

Buat pertama kalinya hati aku memlih Argentina untuk memenangi pertarungan di posisi ini.

Pemain Tumpuan Jerman : Thomas Müller


Penjaring kedua terbanyak ketika ini di belakang James Rodriguez (6 gol). Sebuah akhbar Inggeris ada menulis "Muller covered the most ground in the World Cup (68.8 kilometers)". Ini kerana dia mampu untuk bermain dipelbagai posisi bergantung kepada keperluan pasukannya. Dan Muller sendiri menggelarkan dirinya sebagai 'tukang interpretasi ruang' dan bukannya penyerang tradisional yang hanya menunggu bola di kaki dan menyepak tonjol dengan rambut pekannya. Adakah anugerah kasut emas tahun ini akan menjadi milik Muller?

Pemain Tumpuan Argentina : Lionel Messi


Apa lagi yang aku perlu katakan tentang pemain ini? Messi seolah-olah mempunyai gam pada sepasang kakinya. Dia secara bersahaja boleh memilih sama ada untuk menghantar bola kepada rakannya ataupun menjaringkan gol secara individu. Tekanan sebagai pemain berjersi nombor 10 sudah dapat Messi tangani dengan baik sekali. Kini dia dalam proses mengulangi legasi yang telah Maradona tinggalkan. Dan setakat ini Messi kelihantan berjaya melakukannya dengan cemerlang. Lapan gol telah dijaringkan oleh Argentina, dan empat daripadanya adalah milik Messi membuktikan betapa pentingnya pemain ini kepada  Albiceleste.

Ramalan: Jerman 3-1 Argentina

Secara kasarnya aku merasakan Jerman akan menang. Mereka hadir ke Piala Dunia ini dengan status sebagai pasukan kedua terbaik dalam ranking FIFA. Susah untuk kita menidakkan fakta bahawa pasukan Jerman adalah yang terbaik ketika ini. Mereka menjaringkan gol dari segenap posisi yang mana menjadi kelebihan utama buat Jerman.

Kemudian kita ambil kira pula pasukan Argentina yang terpaksa bermain lebih 30 minit ketika menewaskan Belanda. Manakala Jerman pula bermain sehari sebelum itu dan tidak terlampau keji sekiranya kita katakan Jerman bermain bola sepak sebenar hanya dalam tempoh 45 minit pertama ketika menewaskan Brazil.

Sebenarnya tidak patut untuk kita menafikan peluang Argentina dalam perlawanan ini. Walaupun Jerman tidak tewas sepanjang kempen Piala Dunia kali ini (Argentina juga tidak tewas), mereka pernah seri 2-2 dengan Ghana serta menang dengan skor 1-0 dalam dua perlawanan bertemu Amerika Syarikat dan Perancis. Sekiranya Argentina ingin mengejutkan Jerman, ia adalah lebih daripada sekadar bergantung harap kepada Messi.

Sekian..Selamat Menonton!!! Seperti biasa 'Majulah Bola Sepak Untuk Semua Kecuali Malaysia'.

Wednesday, July 9, 2014

Prebiu Tempat Ketiga/Keempat Piala Dunia 2014: Brazil vs Netherlands.


Prebiu Tempat Ketiga/Keempat Piala Dunia 2014: Brazil vs Netherlands

Sunday, July 13, 2014  | 4.00 AM

Brazil tewas kepada Jerman dalam aksi Separuh Akhir melalui cara yang amat memalukan. Sejak Piala Dunia 1994 aku sudah mula membenci Brazil. Tapi benci-benci aku pun takdelah sampai melompat bersorak menengok Brazil dibelasah 7-1. Dan aku masih ada perasaan sedih melihat kekalahan sebegini rupa. Sayu pilu. Lagi-lagi apabila kamera televisyen mula memfokus wajah hiba peminat Brazil yang menistiskan air mata di dalam stadium. Negara Brazil secara tiba-tiba menjadi negara paling sedih di dunia pada pagi sembilan julai dua ribu empat belas. 

Scolari wajar menyalahkan dirinya sendiri. Ketika mereka memerlukan gol. Hanya wajah Fred kelihatan di atas padang sebagai penyerang harapan. Mereka ada Ronaldinho, Robinho, Pato, Coutinho, Kaka dan Lucas Moura. Tetapi di mana pemain ini semua? Kali terakhir Fred menyentuh bola adalah ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan. Apabila masuk sahaja ke dalam padang, Fred seolah-olah hilang pedoman. "Aku main mane? Aku main mane?" Soal Fred berkali-kali kepada Scolari.

Kenapa pula aku sebut Ronaldinho? Ya, mungkin pemain ini sudah berusia 34 tahun. Tetapi mungkin amat berguna sekiranya keadaan mendesak terutamanya jika Brazil mahukan gol dari kedudukan 'set-piece'. Lihat sahaja Miroslav Klose yang sudah berumur 36 tahun. Dua tahun lebih tua dari Ronaldinho. Apa yang Klose dah buat? Menjaringkan satu gol dan sekaligus meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia setakat ini.

Apabila Brazil sudah dibelasah, muncul cakap-cakap mengatakan ketiadaan Neymar dan Thiago Silva adalah punca utama. Tak kurang juga yang menjerit di kedai mamak "Penjaga gol Queen Park Rangers boleh la bolos tujuh!" Sekali dengar macam alasan budak-budak sekolah. Tidakkah mereka sedar pemain terbaik mereka masih ramai yang tidak dipanggil? João Miranda dan Filipe Luís dari Atletico Madrid antara pemain yang dibiarkan duduk di rumah memotong rumput dan memanjat pokok petai. Menengok corak permainan David Luiz sahaja kita sudah tahu kenapa Chelsea dan Mourinho senang-senang melepaskan pemain ini ke PSG. Dan aku yakin pengurusan PSG sedang mencari-cari resit untuk mengembalikan semula Luiz ke Chelsea.

Dante? Ermmms...kalau aku yang jadi Thiago Silva. Aku masuk padang, aku terajang perut si Dante ni laju-laju. Main bola serupa Jimi Hendrix.

Ada satu ketika aku terpikir mungkin James Rodriguez sedang menjerit-jerit di depan televisyen di rumahnya "Kalau macam gini, baik bagi kami jek main". Tapi semuanya sudah terlambat. Brazil lebih layak memalukan dirinya sendiri di hadapan 200 juta umat mereka. Sekali imbas jika kita melihat jumlah jairngan, mungkin kita menyangka Kedah, jika tidak pun mungkin Arab Saudi yang sedang dibelasah Jerman. Kini hanya tempat ketiga yang akan menjadi pengubat duka buat pasukan Brazil. Manakala kekalahan Brazil kepada Jerman akan selamanya menjadi sejarah memalukan buat Brazil, dan bahan menganjing untuk semua anggota negara CONMEBOL. 

Lawan Brazil tidak lain dan tidak bukan ialah pasukan Belanda. Belanda tewas kepada Argentina dalam satu perlawanan yang mana memaksa pendukung setia bola sepak bangkit awal pagi untuk 'pray' for GAZA sambil menonton aksi membosankan. Manakala pemboikot Mekdi sedang asyik nyenyak tidur kerana siangnya akan berdoa di dada facebook. 

Ternyata Belanda tanpa pemain Surinam pada perlawanan ini ibarat Neelofa tanpa pengilat kuku. Langsung tidak berbisa dan mengancam. Belanda sebenarnya amat terhutang budi kepada pemain Surinam apabila pasukan ini menewaskan Argentina pada Piala Dunia 1998. Dan semua itu kini hanya tinggal memori. 

Pada pertemuan dengan Argentina, Belanda bermain dengan sangat negatif dan terlalu banyak bertahan. Jika menyerang sekalipun hanyalah untuk mendapatkan 'off-side'. Sesekali Van Persie seolah-olah seperti sedang beraksi untuk kejohanan Piala Filippo Inzaghi. Tiada kreativiti dalam melakukan serangan sehingga perlawanan menjadi amat bosan. 

Dalam keadaan perlawanan berakhir dengan keputusan kosong-kosong dan kepenentuan penalti, hanya mereka yang kurang waras sahaja percaya laga ini adalah separuh akhir sebenar. Bola sepak adalah hiburan. Hiburan memerlukan gol. Inikah Van Gaal yang dikatakan kaya dengan taktikal? Hantar bola pun sangkut, memang sesuailah Belanda dijodohkan untuk bertemu Brazil. Mujur aku bukan FIFA. Kalau aku jadi FIFA, awal-awal lagi aku dah suruh pasukan Belanda berhenti main dan balik hotel.

Kali ini tiada magis dari Van Gaal apabila dia sudahpun menggunakan kesemua pemain simpanannya dan bergantung harap kepada Cillessen untuk menyelamatkan air muka penyokong pasukan Oranje. Dan apabila melihat bahasa tubuh Cillessen sahaja aku sudah tahu yang beliau bukanlah satu pilihan tepat untuk menjadi hero sepakan penalti. 

Belanda akhirnya tewas. Tiada siapa yang menyangka mereka boleh mara sejauh ini. Namun pasukan Belanda kekal sebagai sebuah pasukan elit yang masih gagal menjulang Piala Dunia. Sekurang-kurangnya untuk 4 tahun lagi. Selamat bertembung buat Brazil dan Belanda. 

Pemain Tumpuan Brazil : Fred, Ramires, Hulk.
Pemain Tumpuan Netherlands : Tim Krul, Huntelaar.
Ramalan: Brazil 3-1 Netherland.

Piala Dunia 2014: Brazil 1- Jerman 7

Susah untuk kita memahami perasaan rakyat Brazil ketika ini.

Sedih, duka, terluka, malu..semuanya bercampur baur. Sebati.

Tapi ada satu cara untuk kita rasa apa yang umat Brazil sedang alami.

Kita minta FAM bida untuk Piala Dunia 2030. Amacam ready? Go!

Tuesday, July 8, 2014

Prebiu Separuh Akhir Piala Dunia 2014: Netherlands vs Argentina


Prebiu Separuh Akhir Piala Dunia 2014: Netherlands vs Argentina

Thursday, July 10, 2014 | 4:00 AM

Berjayakah Messi membawa Argentina ke persada akhir Piala Dunia buat pertama kalinya sejak tahun 1990? Ataupun mampukah Belanda meletakkan diri mereka 'back-to-back' dalam perlawanan akhir pada Isnin hadapan? Semuanya akan terjawab selepas tamatnya pertarungan dua gergasi bola sepak dunia ini pada peringkat separuh akhir yang akan berlangsung di Arena Corinthians, São Paulo.

Argentina akan turun tanpa kelibat pemain tengah penting mereka iaitu Angel Di Maria yang disahkan cedera. Dan kini timbul pula spekulasi yang aksinya bersama Argentina pada kempen Piala Dunia kali ini akan tamat lebih awal daripada yang dijangkakan.

Ini bermakna Alejandro Sabella akan bergantung sepenuhnya kepada Messi bagi mencorak serta menjaringkan gol untuk pasukan Albiceleste ini. Cuma mereka mungkin bernasib baik dengan adanya Gonzalo Higuaín yang seolah-olah bertemu kembali dengan sentuhannya sepertimana aksinya sepanjang musim lepas bersama Napoli. Selain itu, kem Argentina juga menerima berita baik tentang Sergio Aguero yang sudah mula turun berlatih dan berkemungkinan akan sembuh sepenuhnya serta dapat diturunkan untuk menentang Belanda.

Pasukan Belanda pula tidak ada apa-apa kerisauan di bahagian serangan mereka. Duo mereka Robin van Persie dan Arjen Robben setakat ini amat sukar untuk dihentikan. Kehebatan Robben juga terserlah ketika pertemuan dengan Costa Rica yang mana beliau berjaya melakukan 85 peratus hantaran dan 5 cubaan ke arah gawang. Sekali lagi Arjen Robben akan digunakan sebaik mungkin oleh Van Gaal dalam usaha mereka menewaskan barisan pertahanan Argentina yang terdiri daripada Zabaleta, Garay dan Demichelis. 

Walaupun Argentina dan Belanda memiliki barisan serangan yang boleh kita katakan setara mantapnya, pertembungan kedua pasukan ini mungkin akan ditentukan berdasarkan kemampuan mereka menguasai posesi bola. Ketika Belanda mendominasi permainan menentang Costa Rica, Oranje telah menguasai 67 peratus posesi bola. Sementara itu bagi Argentina pula yang berhempas pulas menewaskan Belgium, mereka hanya mampu menguasi bola sebanyak 46 peratus sepanjang permainan.

Jika Belanda sekali lagi berjaya menguasai bola secara total, mereka mungkin berjaya mendiamkan Messi sepanjang 90 minit permainan. Dengan ketiadaan Di Maria yang sentiasa bergerak dibelakangnya mengatur serangan, mungkin agak sukar buat Argentina apabila berdepan dengan pasukan Belanda. Yang mana kita juga tahu ini adalah perlawanan pertama buat Argentina melibatkan pasukan yang berprofil tinggi dalam Piala Dunia 2014 ini.

Pemain Tumpuan Belanda : Arjen Robben
Pemain Tumpuan Argentina: Lionel Messi
Ramalan : Belanda 2- 1 Argentina

Monday, July 7, 2014

Prebiu Separuh Akhir Piala Dunia 2014: Brazil vs Germany


Prebiu Separuh Akhir Piala Dunia 2014: Brazil vs Germany 

Wednesday, July 9, 2014 | 4:00 AM
 
1. Perlawanan antara Brazil-Germany adalah pertembungan dua pasukan terkuat dalam kejohanan pada kali ini. Brazil dalam misi menjuarai kejohanan ini di tanah air mereka sendiri. Manakala Jerman pula memburu tahkta Piala Dunia dunia mereka yang ke-4 selepas kali terahkhir menjulang trofi ini pada tahun 1990 (ketika aku masih di tadika).

2. Sejak runtuhnya tembok Berlin, pasukan Brazil telah bertemu Jerman sebanyak 9 kali dan memenangi 5 perlawanan daripadanya serta kalah dalam 2 pertemuan. Baki 2 perlawanan lagi menjadi milik Jerman.

3. Satu tragedi telah menimpa pasukan Brazil apabila pemain bintang mereka Neymar mengalami kecederaan patah tulang punggung ketika laga suku akhir menentang Colombia tempohari dan akan tersisih baki Piala Dunia 2014 ini. Hendak dijadikan lagi sadis, kapitan mereka Thiago Silva juga turut digantung satu perlawanan kerana penerimaan kad kuningnya dalam aksi yang sama. Pada pertemuan dengan Colombia, Thiago Silva telah menjaringkan gol pada minit ke-7 yang mana merupakan gol terpantas buat pasukan Brazil sejak Piala Dunia 2006. 

4. Sekali lagi kredibiliti dan kepakaran jurulatih Brazil Luiz Felipe Scolari akan diperlukan untuk mencungkil yang terbaik daripada Hulk dan Oscar bagi menjelmakan aksi hebat mereka di atas padang. Dan juga mencurahkan keyakinan kepada Dante, pertahanan yang berumur 30 tahun yang mungkin akan diturunkan buat pertama kalinya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Thiago Silva. 

5. Sebagai rekod juga, Luiz Felipe Scolari tidak pernah tewas dalam aksi di Piala Dunia ketika membimbing pasukan Brazil yang mana beliau juga adalah individu yang sama menjulang kejayaan bersama Selecao pada Piala Dunia 2002.

6. Mampukah pasukan Brazil mempertahankan rekod 41 perlawanan tanpa kalah mereka di medan sendiri? Dengan kekalahan terakhir yang mereka alami ialah pada tahun 2002 kepada pasukan Paraguay, kira-kira 12 tahun yang lalu. 

7. Sementara itu kem Jerman nampak lebih tenang selepas kejayaan menewaskan Perancis. Kemunculan semula Mats Hummels memang sejuta rahmat buat Joachim Low apabila pemain tersebut menjaringkan gol tunggal perlawanan yang membawa Jerman ke separuh akhir yang ke-13 buat Die Mannschaft. Seperti yang kita tahu juga, mereka telah mara ke perlawanan akhir sebanyak 6 kali sejak Piala Dunia 1966. 

8. Pasukan Jerman sekali lagi akan mengharapkan pemain mereka seperti Thomas Muller, Mario Gotze dan Mesut Ozil untuk menekan dan menghuru-harakan pertahanan pasukan Brazil. Dan sekiranya penyerang Lazio, Miroslav Klose menjaringkan gol dalam perlawanan ini, beliau akan menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia meninggalkan ikon Brazil, Ronaldo. Mereka berdua kini terikat bersama pada kedudukan 15 gol. 

9. Berikut ialah keputusan 3 pertemuan terakhir kedua pasukan:

  • Persahabatan Antarabangsa, Ogos 2011 | Jerman 3 (Schweinsteiger, Gotze, Schurrle) Brazil 2 (Robinho, Neymar).
  • Piala Konfederasi, Jun 2005 | Jerman 2 (Podolski, Ballack) Brazil 3 (Leite 2, Ronaldinho),
  • Persahabatan Antarabangsa, September 2004 | Jerman 1 (Kuranyi) Brazil 1 (Ronaldinho).
10. Siapa yang boleh melupakan aksi klasik pada perlawanan akhir Piala Dunia 2002, ketika Brazil menjulang Piala Dunia ke-5 mereka menewaskan Jerman 2-0 sekaligus menjadikan pasukan Selecao sebagai pemenang paling banyak untuk piala teragung ini.

11. Entah siapa yang akan memenangi perlawanan ini gamaknya. Mari kita memerah otak secara mendalam. 

Pemain Tumpuan Brazil: David Luiz
Pemain Tumpuan Germany : Thomas Muller
Ramalan : Brazil 2-2 Germany (Brazil menang penentuan sepakan penalti 3-2)

Thursday, July 3, 2014

Prebiu Piala Dunia 2014: Netherlands vs Costa Rica




Prebiu Piala Dunia 2014: Netherlands vs Costa Rica

Sunday, July 6, 2014 |4:00 AM 

Perlawanan ke-60 Piala Dunia 2014 ini adalah aksi yang ke-4 bagi peringkat Suku Akhir. Ia menemukan dua buah pasukan yang tidak pernah bertembung antara satu sama lain sebelum ini - Belanda dan Costa Rica. Belanda layak selepas menewaskan Mexico pada penghujung minit permainan. Manakala Costa Rica pula mengecewakan Greece dalam penentuan sepakan penalti setetah keduanya terikat dengan jaringan satu sama.

Belanda memulakan kempen Piala Dunia dengan aksi mantap dan pada 3 perlawanan awal peringkat kumpulan pasukan Oranje seolah-olah sukar untuk ditewaskan. Sejak itu ramai yang merasakan sudah tiba masanya untuk Belanda muncul Juara Piala Dunia buat pertama kalinya dalam sejarah sekaligus melengkapkan hagemoni mereka dalam kancah bola sepak dunia. 

Namun begitu, pengembaraan indah mereka hampir sahaja diragut dengan penuh rakus oleh pasukan Mexico. Sudahlah Mexico yang menjaringkan gol terlebih dahulu hasil gerakan menarik Dos Santos. Si Van Persie pulak seperti hilang akal apabila melihat segala cubaan ke arah gol dipatahkan oleh barisan pemain Mexico tak kiralah sama ada penjaga gol mereka, Guillermo Ochoa mahupun barisan pertahanan mereka yang diketuai oleh Rafael Marquez. 

Tetapi semangat juang pasukan Belanda tidak pernah luntur dan mereka bangkit menjaringkan gol pada minit ke-88 hasil dari cubaan dari Wesley Sneijder yang menerjah jaring. Belanda kemudiannya menjaringkan satu lagi gol melalui sepakan penalti oleh Klaas Jan Huntelaar pada minit ke-94 selepas Arjen Robben dijatuhkan dalam kotak penalti. Dua gol ini membolehkan Belanda layak ke suku akhir untuk berdepan dengan Costa Rica yang kini mula digelar sebagai The Giant Killer. 

Umum sudah mengetahui bagaimana persembahan Costa Rica apabila bertemu pasukan yang mempunyai status lebih gah daripada mereka. England, Uruguay dan Itali semuanya tidak mampu mengalahkan Costa Rica. Tetapi jika kita lihat pertemuan dengan Greece pula mereka seperti sudah kembali ke fitrah asal. Menjadi kelam kabut dan hilang punca. Mujurlah aksi Keylor Navas sangat cemerlang ketika penentuan sepakan penalti dan membawa Costa Rica mara ke suku akhir buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak mereka. 

Belanda tidak sepatutnya menjadikan keputusan perlawanan Costa Rica dengan Greece sebagai rujukan sebelum laga kedua pasukan ini. Sebaliknya mereka perlu melihat semula bagaimana 3 bekas Juara Dunia dikuburkan oleh Costa Rica sebelum ini.

Dan macam biasela..aku merasakan yang Costa Rica mungkin mampu bertahan habis-habisan untuk menangkis segala serangan pasukan Belanda. Walaubagaimanapun ketahanan mereka akan ditamatkan jua oleh Belanda yang mana akhirnya Oranje akan menang perlawanan ini dengan skor 2-0. 

Pemain Tumpuan Netherlands : Wesley Sneijder
Pemain Tumpuan Costa Rica: Bryan Ruiz
Ramalan : Netherlands 2-0 Costa Rica

Prebiu Piala Dunia 2014: Argentina vs Belgium






Prebiu Piala Dunia 2014: Argentina vs Belgium

Sunday, July 6, 2014 |12:00 AM
 
Argentina dan Belgium dipertemukan selepas kedua pasukan ini dipaksa berhempas pulas menewaskan lawan masing-masing dalam masa tambahan. Argentina-Belgium pernah 4 kali bertemu sebelum ini. Tiga perlawanan dimenangi oleh Argentina dan satu lagi berpihak kepada Belgium. Sejumlah 14 gol dijaringkan di antara mereka. Argentina menjaringkan 10 gol. Manakala Belgium pula berupaya menyumbat 4 gol sahaja. 

Sepanjang kempen Piala Dunia kali ini kita nampak pasukan Argentina terlalu bergantung kepada Messi. Malangnya Messi  gagal mendapat sokongan secukupnya dari rakan sepasukan yang lain. Kadangkala hantaran cantik Messi gagal dibaca dengan baik oleh pemain lain. Ditambah pula dengan aksi longlai secara konsisten dari trio Gonzalo Higuain, Ezequiel Lavezzi dan Sergio Aguero (cedera) yang mana setakat ni beraksi di bawah tahap sebenar mereka. 

Belgium pula walaupun beraksi kurang baik dalam peringkat kumpulan. Mereka telah menunjukkan taring sebenar mereka ketika menewaskan Amerika Syarikat dengan tidak henti-henti menyerang ke kubu Uncle Sam tersebut. Jika tidak kerana Tim Howard, Belgium mungkin boleh menamatkan permainan dalam masa 90 minit sahaja. 

Senjata Argentina terletak pada Messi. Sementara bagi Belgium pula kelebihan mereka ialah memiliki sejumlah pemain yang boleh menjaringkan gol tanpa perlu bergantung kepada individu tertentu. Dan perlawanan kedua pasukan ini akan menjadi sangat kompetitif kerana mereka akan berusaha mendapatkan gol untuk melindungi pertahanan mereka yang kurang ampuh. 
 
Pemain Tumpuan Argentina : Angel Di Maria
Pemain Tumpuan Belgium : Romelu Lukaku
Ramalan : Argentina 3-2 Belgium

Wednesday, July 2, 2014

Prebiu Piala Dunia 2014: France vs Germany


Prebiu Piala Dunia 2014: France vs Germany

Saturday, July 5, 2014 |12:00 AM
 
Prebiu kali ini akan disampaikan dalam bentuk 'point'. Aku nak tengok jauh mana dia boleh pergi. 

1. Dua bekas Juara Dunia Jerman dan Perancis akan bertembung dalam satu aksi Super Blockbuster untuk perlawanan pertama peringkat suku akhir Piala Dunia 2014. 

2. Jerman mara ke suku akhir selepas menumpaskan Algeria dalam masa tambahan dengan menjaringkan 2 gol berbalas 1. Dalam perlawanan ini Jerman lebih agresif dengan menguasai bola lebih daripada 60 peratus serta melakukan 22 percubaan tepat ke gawang. Dan Jerman juga ketika ini sudah merekodkan 31 cubaan ke arah gol dalam dua perlawanan yang mereka telah harungi. Inilah statistik yang perlu diperhatikan serta dikaji secara mendalam oleh Didier Deschamps.
 
3. Ketika menewaskan Algeria, Jerman menunjukkan yang mereka tidak hanya bergantung harap pada Thomas Muller untuk menjaringkan gol. André Schürrle dan Mesut Özil berjaya membuktikannya. Sekiranya ini berterusan berlaku, Jerman tidak perlu risau kerana ramai lagi pemain boleh memberikan kejayaan kepada Die Mannschaft. 

4. Pasukan Perancis pula layak ke suku akhir dengan menumpaskan Nigeria 2-0 hasil jaringan Paul Pogba dan gol sendiri dari Joseph Yobo. Sekarang ini sedang heboh mengatakan bahawa yang Paul Pogba sudah berjaya menjelmakan roh Patrick Viera ke dalam dirinya dengan cemerlang. Melupakan kita terus kepada figura yang bernama Abou Diaby

5. Secara keseluruhannya ia adalah persembahan mantap dari pasukan Perancis yang masih lagi belum tewas dalam kejohanan kali ini. Pertahanan mereka juga sangat padu dengan hanya melepaskan 2 gol sahaja setakat ini. 

6. Namun begitu lawan mereka kali ini adalah Jerman yang jauh lebih hebat berbanding pasukan yang telah mereka tentang baik dalam peringkat kumpulan mahupun kalah mati (Nigeria). 

7. Jerman - Perancis adalah dua pasukan yang bermain bola sepak dengan penuh gaya dan berseni serta tahu bila masa yang sesuai untuk menjaringkan gol. Kelebihan inilah yang memberi faedah kepada semua penonton yang gilakan gol. 

8. Jerman dijangka akan lebih mendominasi penguasaan bola yang mana akan menyusahkan pasukan Perancis untuk memberi saingan sepanjang 90 minit permainan.
 
9. Pemenang akan ditentukan dalam masa 90 minit permainan sahaja. Tiada masa tambahan ataupun penalti. 

10. Aku merasakan pasukan Jerman akan menang dan mara ke Separuh Akhir sekali lagi buat kali ke-13 dan ini merupakan satu rekod untuk kejohanan Piala Dunia. 

11. 'Jangan pernah menafikan kewujudan Jerman' merupakan ungkapan kuno yang tidak akan wujud tanpa sebab yang kukuh. Ini adalah Piala Dunia mereka yang ke-17 dan Jerman akan kekal sebagai model terulung sebagai sebuah pasukan yang konsisten. RIP Perancis. 

Pemain Tumpuan France : Paul Pogba
Pemain Tumpuan Germany : Thomas Muller
Ramalan : France 1-2 Germany

Tuesday, July 1, 2014

Prebiu Piala Dunia 2014: Brazil vs Colombia


Prebiu Piala Dunia 2014: Brazil vs Colombia 

Saturday, July 5, 2014 4:00 AM 

Cerita kehebatan Colombia pada Piala Dunia 204 kali ini telah tersebar di seluruh dunia. Kini mereka berjaya ke suku akhir buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak Colombia. Kegembiraan ini turut dikongsi oleh Lagenda Colombia, Carlos Valderrama. Komen beliau ketika ditemubual oleh seorang wartawan majalah sukan di gerai berger milik isterinya. 

"Abang ingat lagi masa tahun 1994 dulu ramai yang menjangkakan Colombia akan menang Piala Dunia. Tapi masa tu abang dengan Higuita telah memadam impian seluruh rakyat Colombia. Kami sangat menyesal ketika itu. Abang yakin Piala Dunia 2014 ini, Colombia boleh pergi lebih jauh ke hadapan. Tambahan pula abang perati James Rodríguez ni main sebijik macam abang muda-muda dulu." 

Valderrama juga menambah sebelum menutup gerai berger isterinya hari ini lebih awal dari biasa dek kerana mahu pulang menengok siaran langsung Piala Dunia. 

"Apa yang abang perasan ada kemerosotan ketara dalam corak permainan Brazil ni. Dan sekiranya Colombia berjaya julang Piala Dunia 2014 ini kami akan dedikasikan kejayaan ini khas buat Andreas Escobar." Kata Valderrama lagi sambil mengesat air mata di pipinya akibat tidak dapat menahan sebak. 

Kita sudah lihat bagaimana menggelabahnya Brazil hendak menewaskan Chile. Jika bukan kerana tuah Julio Cesar pada hari tersebut, seluruh Brazil sudah pasti akan kecewa. Neymar, Fred dan Oscar kelihatan hilang punca apabila melihat barisan pemain Chile yang menentukan arah tuju permainan sama ada ingin bertahan ataupun menyerang. Dunia kini sudah tahu yang pasukan Brazil boleh ditewaskan dengan terdedahnya beberapa kelemahan dan kepincangan dalam skuad Scolari ini. Oleh itu setiap pemain Brazil perlu melipatgandakan usaha jika tidak mahu malu di laman sendiri.

Mengikut rekod kedua pasukan telah bertemu sebanyak 25 kali. 15 perlawanan telah dimenangi oleh Brazil dan Colombia hanya merekodkan 2 kejayaan sahaja. Baki 8 lagi perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Manakala rekod jaringan juga lebih berpihak kepada Brazil dengan sejumlah 55 gol telah dijaringkan oleh mereka. Sementara Colombia hanya menyumbat 11 gol sepanjang kedua pasukan ini bertemu.

Sudah tentu rekod silam ini tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur nasib pasukan Colombia pada perlawanan ini. Mereka dengan bergaya menendang bekas Juara Dunia, Uruguay keluar dari pusingan 16 pasukan terbaik. Aksi James Rodríguez pula semakin memikat. 5 gol daripada 4 perlawanan ketika ini meletakkan dirinya selaku pendahulu penjaring terbanyak kejohanan. Pertahanan mereka yang diketuai Mario Yepes juga bermain dengan kemas. Hanya bolos 2 gol sahaja dalam 4 perlawanan. Jika mereka berjaya menewaskan Brazil, sejarah sekali lagi bakal tercipta dengan kemaraan mereka ke peringkat separuh akhir.

Kesimpulannya siapa yang akan memenangi saingan ini?

Brazil sudah pasti akan bermain dengan lebih baik lagi berbanding ketika menewaskan Chile. Namun mereka akan tewas dari segi skil dan kemahiran yang lebih memihak kepada pasukan Colombia. James Rodríguez juga akan menjaringkan gol dalam perlawanan ini sekaligus menghantar Brazil ke lembah kekecewaan.

Pemain Tumpuan Brazil : Neymar Jr.
Pemain Tumpuan Colombia : James Rodríguez
Ramalan : Brazil 2-3 Colombia