There was an error in this gadget

Tuesday, July 30, 2013

Piala Malaysia 2013 - Kumpulan C

 
Kumpulan C:
Kelantan
Pahang
Terengganu
Negeri Sembilan
 
 
 
Dari kejauhan seakan-akan 3 pasukan pantai timur dalam kumpulan ini akan menelan skuad Jang bulat-bulat tanpa ada belas ehsan di hati.  Tapi ada benarnya pandangan ikhlas aku ni. Jika dilihat prestasi Nogori dalam liga super musim ini, memang jelas mereka akan menjadi belasahan dalam kumpulan C ini. Walaupun ada beberapa pemain Nogori yang beraksi cemerlang secara individu sperti Nazrin Nawi dan Shahurain, namun ia bukanlah jaminan buat skuad Jang untuk layak ke suku akhir. Impian The Jangs untuk melihat pasuakn ini beraksi di pentas final buat kali ke-4 dalam masa 5 tahun mungkin akan lebur di pertengahan jalan. Mohon bertabah.
 
Menjadi pilihan juara kumpulan C ini sudah semestinya Kelantan. Persembahan mantap dihujung kempen liga super serta kejayaan menjulang Piala FA merupakan bukti utama The Red Warrior adalah pasukan terkuat dalam kumpulan ini dan calon pilihan Juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Kelantan ketika ini dilihat memiliki ramuan lengkap untuk bergelar juara setelah kembalinya pengurus pasukan Haji Azman Ibrahim.
 
Terengganu dan Pahang pula dijangka akan merebut slot kedua untuk ke suku akhir. Mungkin pertemuan sesama mereka akan menentukan siapa yang akan mengiringi pasukan Kelantan. Disini kelebihan berpihak kepada Pahang. Pemain pasukan Pahang baik tempatan mahupun import mempunyai kelebihan berbanding pasukan Terengganu.  Jika Dollah Salleh berjaya mengembalikan persembahan cemerlang Tok Gajah seperti permulaan musim ini, setiap pasukan yang berhadapan mereka akan menjadi lauk. Percayalah!!
 
Ramalan: Tidak sukar untuk meramal Kelantan menjadi juara kumpulan dan Nogori menjadi pasukan tercorot. Namun yang menarik untuk disaksikan ialah pertarungan antara Pahang dan Terengganu. Walaubagaimanapun pasukan Pahang akan muncul pasukan kedua terbaik dalam kumpulan C berbekalkan semangat pasukan Soltan Bola.


Monday, July 29, 2013

Piala Malaysia 2013 - Kumpulan B

 
 
Kumpulan B
Johor DT
PKNS FC
T-Team
Felda United
 
 

Kesemua pasukan dalam kumpulan B adalah pasukan yang beraksi untuk Liga Super musim ini. Namun berdasarkan statistik head-to-head musim ini, JDT dan PKNS adalah pilihan utama untuk mengisi tempat pertama dan kedua dalam kumpulan B ini. JDT telah menewaskan PKNS (3-1) (3-1)  dan T-Team (1-0) (2-1) musim ini. Manakala hanya mampu seri dengan Felda (0-0) (1-1). Jika keputusan aksi Liga Super ini menjadi kayu pengukur untuk JDT, rasanya mereka tiada masalah untuk layak ke pusingan seterusnya.
 
Bagi PKNS pula, kekecewaan musim lepas apabila hanya mampu menduduki tempat tercorot dalam saingan peringkat kumpulan, mungkin akan mampu diubati musim ini. Barisan pemain terbaik milik mereka seperti Patrick Ronaldinho, Nazmi Faiz dan Nizab Ayub mampu memacu pasukan bimbingan Haji Abdul Rahman ini untuk mara lebih jauh lagi musim ini. Sindrom kalah kepada pasukan lemah, tapi menang dengan pasukan lebih hebat merupakan satu-satunya penyakit yang perlu mereka tangani segera menjelang aksi sebenar 20 Ogos ini.
 
Bukanlah hendak menidakkan kemampuan pasukan Felda dan T-team, tetapi amat jelas kedua pasukan ini tidak mampu berdaya saing dengan PKNS dan JDT. Keduanya hambar dalam saingan liga. T-Team hanya mampu menjaringkan 20 gol dan bolos 33 gol. Manakala Felda yang menghuni tangga kedua tercorot pula menjaring 13 gol sahaja serta membenarkan gawang mereka bolos sebanyak 35 kali dalam saingan Liga Super dan merupakan pasukan paling banyak bolos musim ini.
 

Ramalan: JDT akan menjuarai kumpulan B ini dengan penuh bergaya sambil PKNS akan mengiringi mereka untuk ke pusingan suku akhir. T-team dan Felda yang sudah sebati dengan kekalahan akan meredhakan diri mereka menghuni tangga ketiga dan keempat kumpulan B.

Piala Malaysia 2013 - Kumpulan A


Kumpulan A
Selangor 
ATM
Sime Darby 
Johor FA

Apa akan jadi dengan MISI 33 Selangor untuk musim ini apabila mereka diundi bersama ATM (Naib Juara Piala Malaysia 2012), Sime Darby (Naib Juara Liga Perdana 2013) dan Johor FA (Ke-3 Liga Perdana 2013). Selangor akan berada dalam keadaan bahaya jika Irfan Bakti sedikit lupa diri dengan menganggap pasukan seperti Johor dan Sime Darby adalah ayam. Tetapi jika dilihat di atas kertas, ATM dan Selangor memang tidak bermasalah besar untuk layak ke peringkat seterusnya.
 
Dengan mengambil kira standard Liga Perdana yang masih jauh rendah, hampir mustahil untuk kita saksikan Sime Darby dan Johor FA melakukan kejutan. Namun begitu kedua pasukan ini wajar diberi perhatian serius oleh ATM dan Selangor. Sime Darby memiliki Karlo Primorac yang berasal dari Croatia yang telah menjaringkan 24 gol dari jumlah keseluruhan 51 gol yang mereka jaringkan musim ini. Manakala Johor FA boleh berbangga dengan susuk Muriel Orlando yang telah menjaringkan 17 gol sepanjang kempen Liga Perdana mereka tahun ini.
 
Masalah kecederaan dan kegagalan mengekalkan konsistensi adalah faktor utama kenapa ATM begitu longlai pada separuh kedua Liga Super. Secara kasar, pasukan ini dilihat sudah lengkap dan mempunyai ciri-ciri untuk pergi lebih jauh lagi. Jadi, kembalinya semula Hairuddin Omar dan Marlon Alex menjelang perlawanan pembukaan nanti merupakan tonik paling mujarab untuk pasukan bimbingan B. Sathianathan ini.  
 
Ramalan: Selangor seperti biasa akan layak ke peringkat seterusnya berpaksikan pengalaman dan kepakaran mereka beraksi dalam Piala Malaysia. ATM akan mengiringi Selangor. Manakala Sime Darby dan Johor FA akan bertanding sesama mereka untuk merebut tempat tercorot.

Saturday, July 27, 2013

Piala Malaysia 2013 - Diskusi Fakta Menarik Buat Pedoman Serta Analisis Mengenalpasti Impaknya Dalam Siasah Rakyat 1 Malaysia. PART 1


Aku sebenarnya tak tahu mahu letak tajuk apa, jadi main letak je panjang berjela. Biar nampak ilmiah sikit, meminjam pesan rakan sekuliah aku dulu bila nak buat assignment, tajuk yang panjang nampak ilmiah dan boleh mengelirukan pensyarah tentang apa isi sebenar assignment kita.

Liga Super 2013 Malaysia baru sahaja menamatkan tirai. Kini tiba Piala Malaysia yang menjadi fokus utama setiap warga 1 Malaysia. Apakah yang seronoknya Piala Malaysia ni? Mari kita selidik dengan tabah hati dan cekal minda dengan memfokuskan kemeriahannya terutamanya ketika Perlawanan Akhir.


1) Romantiknya bolasepak Malaysia, biar ranking kita di belakang kepulauan Samoa sekalipun, bila tiba perlawanan akhir Piala Malaysia meriahnya macam perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Tiket habis dijual, segenap pelosok masyarakat datang bertandang, dari Sultan Bola, orang politik, selebriti tanah air hingga ke Mat Pet dan Mat Rempit. Itu yang seronoknya bolasepak Malaysia. Selepas setahun menghabiskan musim bolasepak dengan liga yang caca marba kurang siuman, pengurusan tunggang langgang dan juga skuad kebangsaan yang tenggelam timbul, kita semua akan disajikan dengan puncak syahwat yang paling tinggi dalam arena bolasepak tanah air.

2) Segala masalah prestasi dan pengurusan bolasepak bakal dilupakan melalui 90 minit aksi merepek di stadium yang lebih besar dari Wembley. Lazimnya pasukan yang lebih kurang aksi merepeknya bakal menjulang piala keramat yang diberi nama Piala Malaysia. Yang asalnya barangkali mungkin sebuah piala usang yang ditemui kelasi British dalam setor kapal perang HMS Malaya mereka.

3) Biar apa pun asal-usul Piala Malaysia atau mutu permainan yang disajikan oleh pasukan bertanding, ianya tetap disambut meriah sejajar dengan prestijnya sebagai kejohanan piala bolasepak tertua di Asia. Malah Coppa Italia dan DFB-Pokal juga tidak setua sejarah Piala Malaysia.

4 ) Maka lazimnya seperti tahun-tahun sebelum ini, bila tiba perlawanan akhir Piala Malaysia tumpuan akan diberikan secara khusus untuk 90 minit aksi merepek ini. Sebab Piala Malaysia sajalah peluang untuk rakyat Malaysia berhimpun ramai-ramai dekat 90,000 orang bawak bendera, kain rentang bagai tanpa ditembak gas pemedih mata atau disembur air. Piala Malaysia sajalah peluang rakyat Malaysia nak bersorak dan melompat macam kera ala-ala tengok perlawanan akhir Piala Dunia, tak pun Piala Asia.

5) Maka abila tiba hari yang dinanti-nantikan, penuhlah Stadium Nasional Bukit Jalil dengan para penyokong. Pegawai-pegawai FAM pun tersenyum girang. Iyalah selama ini masa musim Liga Super banyak kerusi kosong dari penonton. Masa Piala Malaysia inilah ada rasa gah sedikit, rasa macam kat Camp Nou.

6) Sekali bila RTM memberikan lampu hijau siaran langsung yang diulas tidak lain dan tidak bukan lagi oleh Tuan Haji Hasbullah Awang, terpampanglah dengan jelas lautan manusia yang boleh membuatkan mana-mana pihak terkeliru dan tertanya-tanya, Bukit Jalil atau Anfield-kah ini?

7) Melihat kepada kepadatan stadium ini sekurang-kurangnya membuatkan kita merasa bolasepak Malaysia masih ada nilainya dalam sekupang dua. Apa lagi selepas hampir setahun disajikan dengan liga yang langsung tidak super yang jumlah penontonnya boleh dibilang dengan jari.

Piala Malaysia 2013


Kumpulan A: 
Selangor, 
ATM, 
Sime Darby, 
Johor


Kumpulan B: 
Johor DT, 
PKNS FC, 
T-Team, 
Felda United


Kumpulan C: 
Kelantan, 
Pahang, 
Terengganu, 
Negeri Sembilan


Kumpulan D: 
Lions XII, 
Perak, 
Sarawak, 
Kedah

Friday, July 26, 2013

Renungan Bola Jumaat: 10 Perkara.



Renungan Bola Jumaat: 10 Perkara.
 
 
1. Pemergian Tito
 
Jumaat lepas, Barcelona mengumumkan pemergian Tito Vilanova yang meletakkan jawatan untuk menyambung rawatan penyakit barahnya.
 
 
2. Chelsea Power!!
 
Chelsea dengan mudah menewaskan Harimau Malaya 4-1 dengan gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Fadli Shas.
 
 
3. Piala Telekom
 
Bayern Munich menjulang piala pertama mereka musim ini di bawah asuhan Pep Guardiola apabila menewaskan Mönchengladbach 5-1. Satu permulaan yang baik.
 
 
4. Selamat Tinggal Reina.
 
Rodgers sudah menyatakan persetujuan untuk menjual Pepe Riena musim ini atas alasan kewangan kelab.


5. Jurulatih Baru

JDT bersedia melantik Cesar Ferrando Jimenez sebagai Ketua Jurulatih yang baru manakala Fandi Ahmad akan menjadi pembantunya.


6. Hiddink Letak Jawatan

Guus Hiddink meletakkan jawatannya sebagai pengurus pasukan Anzhi.


7. Jurulatih Baru.

Barcelona melantik Gerardo Martino sebagai pengurus kelab baru mereka. Zaman gelap sudah bermula? Mungkin..


8. Cereka Saga Suarez

Ia masih belum berakhir. Suarez dikatakan akan menghantar 'transfer request' kepada pihak pengurusan kelab, ketika Liverpool turut bersedia meletakkan nilai £50 Juta pada beliau.


9. Bayern Munich 2 - Barcelona 0.

Pep  Guardiola menewaskan pasukan lamanya dalam satu perlawanan persahabatan di Allianz Arena dengan gol-gol dijaringkan oleh Lahm dan Mandzukic.


10. Kedah FA

Menteri Besar Kedah, Dato' Paduka Mukhriz bin Mahathir dilantik sebagai Presiden Kedah FA yang baru selepas menang tanpa bertanding.

Saturday, July 20, 2013

Mencari Faedah Logikal Dalam Aksi Persahabatan Kelab Sarkis.




Aku tak pasti apakah hidayah yang turun di atas umbun-umbun kepala aku bila secara tiba-tiba nak bercerita pasal bola sepak Malaysia. Ataupun dengan lebih tepat lagi Harimau Malaya. Aku dah semakin bosan sebenarnya dengan karenah dan perangai FAM ni. Bosannya aku sampaikan tahap kalau aku jumpa orang atasan FAM ni, aku nak ludah muka depa bertalu-talu.
 
Kehadiran Chelsea dan Barcelona sememangnya tidak akan membawa apa-apa faedah pun. Kenapa aku begitu yakin dan takabbur sebegini rupa? Kerana FAM pun turut berperangai seperti ini setiap kali disoal tentang apa untungnya perlawanan sarkis ini kepada Harimau Malaya.
 
Berpuluh tahun dahulu kita sudah menentang Arsenal. Tradisi kemudiannya diteruskan sehingga kini. Kalau kau berkahwin mesti dah beranak pinak. Tapi FAM sejak dulu hingga kini kekal mangkuk hanyunnya. Cukuplah bicara tentang kejayaan Piala Suzuki dan Sukan Sea. Jangan jadi seperti Liverpool. Muak. Sepatutnya kita sudah dapat tengok Harimau Malaya pergi lebih jauh dari sekarang ni. Pasukan tetap dalam kejohanan Piala Asia sebagai contohnya. 
 
Skuad hasil dari sekolah bukit jalil ini pada dasarnya memang tinggi potensinya. Tapi ia hanya ketika mereka berusia 23 tahun ke bawah. Apabila mereka melepasi umur itu, segalanya berubah dengan drastik. Yang cerdik seperti Safiq Rahim menjadi bangang serupa orang tak pernah main bola. Yang tajam di depan gol macam Safee Sali menjadi tumpul bagaikan Peter Crouch. Kenapa ini semua selalu berlaku?
 
Kalau kita ikut perkembangan bola Malaysia, peringkat umur di bawah 23 tahun (19, 17, 15 dan lain-lain) kita memang cemerlang. Kalau setakat Thailand tu memang selamber kita tapau buat juadah berbuka puasa. Fenomena penyakit ini sepatutnya perlu diatasi segera sebelum ia menjadi wabak zombie yang tak dapat diubati lagi. Jika tidak ada tindakan segera dengan perangai syok sendiri FAM sekarang ini, tidak mustahil bola sepak Malaysia akan terus bergerak ibarat mayat hidup.

Friday, July 19, 2013

Renungan Bola Jumaat: 10 Perkara.



Renungan Bola Jumaat: 10 Perkara.

1) Shahid Khan

Orang kaya dari Pakistan telah membeli pasukan Fulham dari pemilik lamanya Mohamad Al Fayed dengan nilai ambil alih antara £150 Juta ke £200 Juta.


2) Borussia Dortmund

CEO Borussia Dortmund, Hans-Joachim menjangkakan seorang lagi pemain akan dibawa masuk ke dalam pasukan selepas mereka membeli WatzkeHenrikh Mkhitaryan, Pierre-Emerick Aubameyang and pertahanan Sokratis Papastathopoulos.


3) Rintihan Ribery.

Ribery mengatakan dia berhak mendapat anugerah Ballor d'Or setelah kejayaannya memberi hatrik kepada Bayern Munich musim lepas.


4) Thiago Alcantara

Bayern Munich mengumumkan pembelian sah Thiago Alcantara dengan nilai perpindahan  sebanyak €20 juta.


5) Chelsea - Arsenal

Chelsea menang 1-0 menentang Singha All Stars. Manakalan Arsenal membelasah Vietnam 7-1.


6) Harimau Malaya

Pasukan Rajagopal berjaya seri 0-0 ketika menentang Chonburi FC dalam satu aksi yang maha sengit.


7) Piala Malaysia

Sepak mula akan bermula pada 20 Ogos 2013. Semoga berjaya!!!


8) Pemain Terbaik

Goal.com dengan rela hati memilih Piya sebagai pemain terbaik Liga Super 2013.


9) Cavani ke PSG

Edinson Cavani melengkapkan perpindahan ke PSG dengan kontrak bernilai 63 Juta Euro.


10) Selamat Sampai

Chelsea tiba di Malaysia semalam untuk menghadapi pasukan Rajagopal dalam siri aksi pemanas badan mereka di Asean.

Monday, July 15, 2013

Di Mana Mereka? Jorge Campos

 
 
Ketika aku merenung sayu ke arah jersi serupa kain perca Liverpool, ingatan aku pantas melayang kepada satu susuk pemain Mexico yang seringkali tampil dengan corak jersi ceria macam baju raya gamaknya. Susuk kecil dari Mexico ini bernama Jorge Francisco Campos Navarrete atau lebih manja dengan panggilan El Brody atau Chiqui-Campos ataupun El Chapulín.
 
Ketika kita semua berdekah-dekah ketawa melihat telatah comel Rosfaizul dan Nasril Nourdin yang seringkali membuat aksi menangkap bola dengan hujung hidung, Jorge Campos sebenarnya telah lama menggembirakan seluruh umat dunia. Sesuatu yang tidak diketahui oleh kebanyakan budak JDT.
 
Jorge Campos terkenal dengan sifat berdaya saing yang tinggi sehinggakan suatu hari beliau sanggup menawarkan diri untuk menjadi penyerang kerana kekurangan aksi kesebelasan utama bersama pasukan Pumas. Kalau di Malaysia, pemain seperti Zamir Selamat tu selamanyalah selesa duduk di bangku simpanan memerhatikan aksi Al Hafiz. Perbezaan sikap yang jelas antara pemain Malaysia dan Mexico.
 
Ketika musim pertama beliau bersama Pumas sebagai seorang penyerang, beliau berjaya merekodkan 14 gol dan juga bersaing dalam perebutan penjaring terbanyak liga. Beliau juga berjaya menjaringkan 31 gol dalam 7 tahun kariernya bersama pasukan Pumas. Karier penuh warni-warni beliau di peringkat kelab diteruskan sehingga ke tahun 2004. Antara kelab yang beliau wakili ialah Cruz Azul, Atlante, Tigres, Puebla, Los Angeles Galaxy dan Chicago Fire.
 
Di peringkat antarabangsa pula Jorge Campos telah muncul sebagai penjaga utama dalam 2 edisi Piala Dunia iaitu 1994 dan 1998 dengan mengutip 130 caps untuk negaranya. Beliau kemudian menjadi pembantu pengurus pasukan Mexico dari tahun 2004 sehingga 2006.
 
Ketika ini beliau lebih senang untuk santai di beranda rumahnya pada waktu petang menikmati matahari terbenam sambil menghisap rokok Malboro.
 
Jorge Campos - A Colourful Goalkeeper.
 
 
 

Tuesday, July 2, 2013

Di Mana Mereka? Andrés Escobar



Minggu lepas aku bercerita tentang Roberto Baggio yang terkenal dengan sepakan penalti ke langitnya ketika Piala Dunia 1994. Tetapi bagi kanak-kanak yang membesar dengan cerita alih suara Gaban dan Suria Perkasa Hitam pasti tidak akan dapat melupakan satu susuk pemain bola yang bernama Andrés Escobar.

Andrés Escobar Saldarriaga ialah seorang bekas pemain bolasepak kebangsaan Colombia.
 
Beliau merupakan seorang pemain pertahanan yang hebat. Mula mewakili Colombia pada tahun 1988 dan pada tahun 1994, Escobar bermain untuk pasukan Colombia yang telah melayakkan diri ke pertandingan akhir piala dunia di Amerika Syarikat dengan rekod kelayakan cemerlang, menundukkan Argentina 5-0 di Buenos Aires, seterusnya menjadikan Colombia antara pasukan pilihan untuk menang di USA 1994.
 
Andrés Escobar hanya pernah sekali menjaringkan gol untuk Colombia iaitu didalam perlawanan persahabatan dengan England di Wembley. Malangnya, Escobar tidak dikenangi kerana jaringan beliau di Wembley itu tetapi jaringan gol sendirinya menentang USA di piala dunia 1994. USA menang 2-1 dan mengakibatkan Colombia gagal ke pusingan kedua.
 
Anak saudara Escobar bernama Felipe yang menyaksikan gol sendiri pakciknya itu secara langsung dikaca televisyen terus berkata kepada ibunya, "mereka akan membunuh Andres."
 
Benar kata Felipe. Sepuluh hari kemudian, seorang lelaki bernama Humberto Castro Muñoz (gambar dibawah) telah menembak Escobar sebanyak 12 kali di bandar Medellin, Colombia dan untuk setiap tembakan, Muñoz berteriak, "Gol!". Pembunuhan Escobar ada kaitan dengan kekalahan judi jumlah besar puak-puak gangster di Colombia.


 
Escobar pernah berkata bahawa beliau sukakan sukan bolasepak kerana tidak seperti sukan lawan lembu (bullfighting), pemain tidak akan mati. Alangkah ironinya. Sejak itu juga kalau aku terjaringkan gol sendiri ketika bermain bola petang-petang, mesti aku mengigau di waktu malam.
 
Itulah dia cerita sedih Andrés Escobar. Di Malaysia ini kalau pasukan negara kalah 5-0, kena kutuk sahaja. Itu pun ada yang melenting.
 
Andrés Escobar - in his case, football is a matter of life and death.

 
(Sumber: wiki, footballblog.co.uk)

Monday, July 1, 2013

Kelantan Juara Piala FA 2013 : JDT is the Starter Before Main Course

Ketika aku memandu menuju ke pejabat tadi, masih jelas gaya sepakan ala torpedo pemain Kelantan Nor Farhan yang kemudian berlari sambil menepuk-nepuk dada serta logo Red Warriors di jersinya dan itu diaaaa.....satu gaya bagai Ultraman mem-fire rasaksa gorgon yang dicopy baik sekali.

Tangan didepakan penuh bergaya!

Nor Farhan memang terbaik. Beliau berlari disetiap inci padang tanpa penat dan menunujukkan yang beliau memang selayaknya bermain untuk Kelantan.

Nor Farhan punya cita-cita dan selera besar. Beliau mahu menang kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia. Double! Sifat ini jelas TIADA PADA SAFIQ RAHIM. Entah apa tujuan Safiq Rahim main bola agaknya? Cukupkah dengan beraksi depan kamera instagram bersama Zandra Hakimi? Banyak pemain ternama yang berpindah kelab kerana mahukan kejuaraan atau cabaran baru. Tengok Fakri Saarani, 3 bulan je dengan Atlético S.C, lepas tu balik Kelantan sebab merasakan pasukan itu tidak sehebat mana dan tidak mampu memberikan sebarang piala kepada beliau.

Apakah pula yang Mat Yo lakukan di atas padang? Menjaringkan gol selepas pengadil meniupkan wisel membatalkannya dan seterusnya emosional, komplen sana sini untuk keselurang 90 minit permainan. Aku yakin, masa Mat Yo skor gol batal tu, ramai B.O.S dah senyum-senyum, mereka terbayangkan kemenangan akan berlaku lagi. Tetapi mereka lupa, yang mereka lawan bukannya kecik anak, Negeri Sembilan atau Pahang. Bojan Hodak bukan Dollah Salleh la!
 
Enjin pasukan di bahagian tengah dikawal baik oleh Piya (Man Of The Match), Nor Farhan dan Shakir. Safiq Rahim asyik kene kejar bola aje la aku tengok. Kesian. Fandi Ahmad letak dia main first eleven. Tak sesuai. Tapi letak siapa-siapa pun sama aje bangangnya. Main kasar pandai, main bola macam Badul. Nazri Ahmad? nama pun tak bunyi footballer, Farid Ramli? dia silap tak marking Nor Farhan kemas-kemas. Safee Sali? dia ada main ke Sabtu lepas? tak nampak pulak :P
 
Syed Azhar Syed Kamar‎ mengadili perlawanan dengan baik. Banyak kali juga Nunez cuba memperdayakan beliau dengan bergolek-golek jatuh bagaikan nangka busuk. Tetapi dia tidak mudah tertipu dengan taktik lapok seperti kanak-kanak berkulop bermain bola di waktu senja.

Citer banyak pun tak guno. Kelantan berada di landasan sebenar untuk DOUBLE musim ini. Pahang dah pandai buat-buat kalah. Semua ini skrip sama semenjak awal musim lagi. Cuma tak ramai yang nak terima kenyataan bahawa KELANTAN adalah jaguh bola sepak Malaysia yang tak terkalah!
 
Kepada geng Gomo Klate Gomo semua, teruskan poyo dan angkuh sekurang kurangnya selama 3 bulan. Jangan kesian sama JDT dan juga Pahang. Mari kita gulai mereka. Mari kita rapatkan barisan dan maju bersama One Klate (1Klate yang original) dan kita insafkan Harimau Selatan dan Tok Gajah. Mereka tak layak jadi juara Malaysia!
 
Nogori Sembilan? Jangan buang masa.

Prebiu Liga Super Perlawanan 21



Liga Super 21 Jul 02, 2013 (Selasa)

Orang kata, takkan hilang bola Melayu di dunia. Jadi, aku dengan rela hati meneruskan analisis Liga Super Malaysia dengan hanya memfokuskan kepada 3 perlawanan sahaja. Kenapa? Sebab game yang lain itu sudah tidak bermakna dan kurang menarik. Di bawah ini adalah prebiu 3 perlawanan yang melibatkan Selangor, Lions XII dan Johor Darul Takzim FC yang mana pasukan ini berpeluang merangkul dan memeluk cium trofi Liga Super 2013. Selamat mengantuk sambil membaca!!


| Jika keputusan perlawanan pada 2 Julai 2013 (Selasa) |

Lions XII Menang
Lions XII akan bergelar juara jika mengalahkan Felda United di Jalan Besar. Tidak kira apa pun keputusan perlawanan Selangor dan Johor Darul Takzim

Lions XII Seri
Jika Lions XII seri. Selangor dan Johor Darul Takzim menang. Kejuaraan akan ditentukan pada perlawanan terakhir.
Jika Lions XII seri, Selangor dan Johor Darul Takzim seri atau kalah. Kejuaraan milik Lions XII.

Lions XII Kalah
Jika Lions XII kalah. Selangor dan Johor Darul Takzim menang atau seri. Kejuaraan akan di tentukan pada perlawanan terakhir.
Jika Lions XII kalah. Selangor dan Johor Darul Takzim kalah. Kejuaraan milik Lions XII.
 
Rasukan Sang Gergasi Merah
Selangor mln Terengganu PBDKT T-Team
8.45mlm, Std Shah Alam

Mungkin ini peluang terakhir. Atau ia adalah kurniaan rezeki buat sang gergasi merah. Lions XII seakan-akan masih belum mampu bergelar juara dan mereka sebenarnya silap dengan memandang rendah keupayaan Selangor. Hanya 3 mata sahaja yang dicari oleh Irfan Bakti dan pemainnya. Mereka mensasarkan untuk menjadi 3 pasukan terbaik. Tetapi kini mereka bersaing untuk merebut kejuaraan liga walaupun ia sudah berada pada penghujungnya.

Kehebatan Si Tua Amri Yahyah tidak perlu dipersoalkan lagi. Hanya peminat Jalaluddin Jaafar sahaja yang selalu tidak dapat terima kenyataan bahawasanya Amri Masih boleh beraksi di peringkat tertinggi. Aksi mengapung diri 'The Matrix' dari pemain ini sudah pasti akan membuatkan pemain remaja pasukan T-Team terkejut dan diserang demam.

Ruangan sukan akhbar tabloid unggul negara, Sinar Harian yang setaraf dengan The Sun Uk juga The Mirror telah meramalkan Selangor akan memenangi perlawanan menentang T-Team ini dan menjadi juara Liga Super 2013 dalam keluarannya hari ini. Walaubagaimanapun, ianya hanya terdapat didalam akhbar sisipan untuk Negeri Selangor / Kuala Lumpur sahaja. Mereka yang berada diluar kawasan, sila layari url berikut.
 
Pemain Tumpuan Selangor: Amri Yahyah
Pemain Tumpuan T-Team: Damir Ibric
Ramalan: Selangor 3 - T-team 1


Ubat Pelali Harimau Selatan
Negeri Sembilan mln Johor Darul Takzim FC
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Liga Perdana seakan-akan sudah mengalu-alukan kedatangan The Jangs musim depan. Dikhabarkan paluan kompang dan rebana sedang menanti mereka. The Jangs pasukan yang sudahpun tersungkur ke Liga Perdana musim depan akan melayani kunjungan JDT di Paroi Selasa ini selepas JDT dimalukan di perlawanan akhir Piala FA Sabtu lepas kepada Kelantan.

Kembalinya Aidil Zafuan ke dalam barisan pertahanan JDT yang sangat hilang punca Sabtu lepas mungkin akan menambah sedikit kekuatan kepada mereka. Apa yang jelas, Tharmini Saiban dan Muslim Ahmad bukannlah seorang pemain menggunakan otak ketika bermain. Sebab itulah apabila Aidil tiada, habis kucar-kacir pertahanan JDT. Walaupun kadangkala otak Aidil juga turut hilang entah kemana ketika bermain, namun bangangnya masih boleh dibendung.

Kini apa yang perlu dilakukan oleh Fandi Ahmad adalah mengutip 3 mata penuh selepas Piala FA hilang dari genggamannya. Jika tidak kariernya dalam bahaya.
 
Pemain Tumpuan JDT: Aidil Zafuan
Pemain Tumpuan: Shahurain Abu Samah
Ramalan: Negeri Sembilan 1 - JDT 2
 

Juarakah Mereka?
Lions XII FC mln KL Felda United FC
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura
 
Ramai umat Malaysia yang bermimpi untuk melihat FELDA mengalahkan Lions XII sekaligus mencerahkan peluang pasukan Selangor dan JDT untuk merebut takhta Liga Super 2013. Tetapi bagi aku, peluang itu amat tipis. Senipis kulit bawang. Kenapa? Kerana Lions XII terlampau kuat untuk setiap pasukan negeri/kelab yang bermain di dalam Liga Super terutamanya ketika mereka beraksi di atas padang plastik. Dan yang sedihnya pasukan ini banyalah berumur bawah 23 tahun. Semua 11 pasukan Malaysia dalam Liga Super tidak mampu menghalang pasukan Temasik ini dari menjulang kejuaraan sulung mereka di bumi Malaya.

Cakap banyak pun tidak guna. Lions XII akan mudah meratah FELDA dan sekaligus menjulang Piala Liga Super digelanggang mereka sendiri. Maka, kamu semua tidak akan dapat melihat Prebiu Liga Super Perlawanan 22 daripada aku. Selamat Maju Jaya FAS!!!
 
Pemain Tumpuan Lions XII: Mohd Shafiq Abdul Ghani
Pemain Tumpuan FELDA: Rudie Ramli
Ramalan: Lions XII 2 - FELDA 0