There was an error in this gadget

Monday, January 25, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan B


England

Kempen kali ini menyaksikan England menang kesemua perlawanan kelayakan mereka. Adakah ini membuktikan mereka sudah bersedia untuk menakluk Eropah pertengahan tahun ini?

Malangnya aku berpendapat pasukan England masih belum menampakkan peluang meyakinkan bagi mereka untuk menjuarai Piala Eropah ini. Apatah lagi selepas melalui satu aksi longlai dalam Piala Dunia 2014 yang lepas. Khabarnya ketika itu ramai juga penyokong pasukan Singa Tiga Bersaudara ini yang ketiaknya hitam dek kerana England yang pulang bungkus awal. Sekali imbas England yang ketika itu membariskan Joe Hart, Steven Gerrard, Daniel Sturridge, Wayne Rooney dan sensasi Raheem Sterling mampu pergi jauh. Malangnya ia tidak berlaku dan telah menjadi rutin bagi pasukan England yang mana hips-nya melebihi kemampuan sebenar keseluruhan pasukan.

Sekali lagi Tok Roy Hodgson berhadapan tugas mencabar membawa generasi yang lebih muda usianya berbanding skuad yang dibawanya ke Brazil dua tahun yang lalu. Secara dasarnya hanya Wayne Rooney sahaja daripada generasi emas sebelum ini yang masih tinggal cuba menuai simpati Tok Roy. Tetapi kemerosotan prestasi semasanya mungkin akan mengakibatkan dirinya terlepas daripada menjadi pilihan utama dalam kesebelasan skuad England. Terpilih itu sudah pasti. Tetapi untuk bermain sebagai pemain utama mungkin masih samar-samar. Ini kerana Tok Roy masih mempunyai banyak pilihan lain sebagai contoh Jamie Vardy dan sudah tentu Harry Kane - penyerang yang tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. (cilaka aku ter-ulang pulak tulisan yang lepas)

Tok Roy mungkin berhasrat untuk mengekalkan kerjanya sehingga Piala Dunia Russia 2018 kerana simpanan EPF dan KWSP-nya masih belum mencukupi untuk dijadikan bekalan di hari muka. Walaubagaimanapun KPI untuk beliau sangat tinggi. Layak ke suku akhir sahaja khabarnya belum mampu memuaskan hati FA England. Greg Dyke - Pengerusi FA England sudah pasti tidak akan berdiam diri sekiranya skuad England sekali lagi menjadi hiburan sarkis pada Piala Eropah 2016 ini nanti.
Tidak Perlukan Sentuhan Yang Banyak Untuk Meyumbat Gol

Wales 

Semenjak tahun 1958, Piala Eropah 2016 yang akan datang ini adalah kejohanan besar pertama buat negara yang begitu popular dengan kambing biri-biri dan janda Michael Douglas - Catherine Zeta-Jones. Emmmmmms...

Sepanjang tempoh itu juga ramai nama-nama besar sudah kecewa tak patut punya. Antaranya ialah Ian Rush, Mark Hughes, Mendiang Gary Speed, Craig Bellamy dan tidak lain tidak bukan Lagenda Kerinting - Ryan Giggs. Kali ini Chris Coleman yang mewakili kekecewaan generasinya berupaya menebus kesedihan lampau dengan membuktikan skuad asuhannya mampu memberikan sedikit harapan ataupun kegembiraan kepada seluruh warga Wales. Dan ketika entri ini ditulis, Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) telah menerima 52,160 permohonan tiket berbanding hanya 17,000 yang diperuntukkan untuk mereka. Begitulah terujanya rakyat Wales untuk melihat aksi pasukan kesayangan mereka di hadapan mata mereka sendiri.

Seperti yang kita semua tahu pasukan ini dibentuk dengan tiang asasnya berdiri satu figura bernama Gareth Bale dan bukannya Pirlo Versi Liverpool iaitu Joe Allen. Bale adalah nadi pasukan Wales. Dia menjaringkan gol, membantu jaringan dan menghuru-harakan pasukan lawan dengan larian kencang serta gerakannya yang licik dan penuh visi. Wales begitu berharap agar Bale mampu menyuntik inspirasi kepada pasukannya walaupun dia berkemungkinan besar akan dikawal ketat sepanjang aksinya di Perancis nanti. Apa yang pasti sekiranya Wales mampu layak ke pusingan kedua sahaja pun ia umpama kenduri besar berlauk Biryani Biri-biri buat seluruh umat Wales.

From Russia With Love

Russia 

Seperti biasa apabila sebut sahaja pasal Russia, aku mesti terbayang Maria Sharapova dengan dress pendeknya menjerit-jerit garang membalas asakan pihak lawan dengan pukulan kilasnya. Mesti. Aku masih ingat kata-kata Maria ketika beliau muncul dalam mimpi aku dua tahun yang lalu.

"Wahai abang Hadri, sekiranya pukulan kilas Maria dapat ditingkatkan, permainan Maria juga akan bertambah padu di atas gelanggang." Begitulaaah...

Bolehlah aku simpulkan di sini kempen kelayakan Piala Eropah bagi pasukan Russia sebagai kacau bilau. Haru biru. Hancor lodoh. Mana tidaknya, dalam proses ini mereka terpaksa memecat Fabio Capello dan melantik pengurus CSKA Moscow, Leonid Slutsky pada bulan Ogos yang lalu serta dalam masa yang sama beliau masih berkhidmat untuk kelabnya.

Slutsky yang dipertanggungjawabkan untuk membawa Russia layak ke Perancis adalah seorang ahli sukan yang sedih ketika hayatnya masih menyepak bola. Ini kerana pada usia 19 tahun dia terpaksa bersara daripada arena bola sepak selepas terjatuh daripada pokok ketika hendak menyelamatkan kucing jirannya. Walaupun begitu, masih tidak diketahui tentang tahap kesahihan cerita ini kerana ia bukannya datang daripada 'wasap group sebelah'.

Walaupun Slutsky berjaya menang baki perlawanan kelayakan yang dibimbingnya, beliau masih menghadapi masalah yang sama dengan Capello. Iaitu kekurangan 'pool' pemain kerana kebanjiran pemain import di dalam Liga Perdana Rusia yang sedang meningkat naik. Dengan kebanyakan pemain Russia yang agak veteran, Slutsky perlu segera mencari resepi terbaik untuk mengelak daripada pasukan Russia terpaksa pulang awal.


Slovakia

Secara dasarnya ramai yang tidak meletakkan sebarang harapan besar kepada skuad Slovakia. Berdasarkan rekod juga ini adalah penampilan kedua mereka dalam kejohanan besar selepas menyertai Piala Dunia 2010. Ketika menulis entri ini aku berasa hairan kenapa pasukan Malaysia pada suatu masa dahulu seronok benar ke Slovakia untuk program latihan. Apa kurangnya Jepun dan Amerika Syarikat? Ini membuktikan bola sepak Malaysia sangat pelik. Kita abaikan isu ini buat sementara waktu.

Masih terbayang-bayang di layar fikiran aku ketika Piala Dunia 2010 lalu yang mana Slovakia menewaskan Itali (ketika itu Itali adalah penyandang juara) dalam satu perlawanan penuh dramatik berkesudahan dengan skor 3-2. Itali tersungkur dan pendukung Azzurri serata dunia menangis tersesak-esak sambil nama Kamil Kopunek menjadi zikir cacian di bibir mereka. Manakala Slovakia pula meneruskan survial mereka untuk layak ke pusingan 16 pasukan tetapi kemudiannya tewas kepada pasukan Belanda (naib juara Piala Dunia 2010).

Pasukan bimbingan Jan Kozak menampilkan aksi garang di sepanjang kempen kelayakan yang lepas. Mereka menewaskan Ukraine ketika bertandang di Kiev serta mengejutkan Sepanyol dalam proses mengumpul kemenangan dalam 6 perlawanan berturut-turut. Ia sekaligus secara keseluruhannya meletakkan Slovakia di tangga kedua untuk beraksi automatik di Perancis.

Sebenarnya Slovakia adalah pasukan yang perlu diberi perhatian walaupun di atas kertas nasib perjalanan mereka di Perancis kelak masih kelihatan terumbang-ambing. Ini kerana Slovkia secara taktikalnya adalah sebuah pasukan yang serba boleh. Mereka mampu menyerap dalam semua keadaan. Dan sudah tentu mereka perlu dilihat sebagai pasukan yang merbahaya kerana memiliki seorang pemain yang bernama Marek Hamsik.

Hamsik Yang Berwajah Peragut

Perlawanan Tumpuan:  England Melawan Wales

Jurulatih Wales, Chris Coleman seboleh-bolehnya tidak mahu perkara seperti ini berlaku kepadanya. Tetapi apa boleh buat. Sudah takdir menemukan antara Wales dan England. Tanggal 16 Jun nanti kedua pasukan ini akan bertembung di Lens dalam perlawanan yang disifatkan sebagai penuh dengan talian persaudaraan.

Berdasarkan rekod Wales tidak pernah menewaskan England secara kompetitif sejak tahun 1984. Statistik pertemuan kedua pasukan dari tahun 1879 pula menunjukkan England memenangi sejumlah 66 perlawanan, seri 21 dan tewas hanya 14 pertemuan.

Namun kini Wales sudah banyak berbeza dengan kewujudan pemain seperi Aaron Ramsey dan sudah tentu Gareth Bale yang mana pernah menolak untuk mewakili England ketika usianya masih muda remaja. Oleh itu pertembungan bersejarah ini pastinya akan menjadi tumpuan buat seluruh penggemar bola sepak Great Britain.

POWER BALE

Pertembungan Force:  Skrtel Melawan Penyerang England
Siapa yang tidak kenal kepada Martin Skrtel? Belliau adalah seorang pemain pertahanan yang keras, berani mati serta berhati kering. Dia pernah berlaga kepala dengan Diego Costa dan sering menjadikan Olivier Giroud seakan-akan seperti Safee Sali di atas padang.

Sekali lagi dia berpeluang beradu tenaga dengan penyerang dari England yang saban minggu dihadapnya tanpa rasa jemu. Namun siapakah yang akan Skrtel tentang di Perancis nanti? Adalah Wayne Rooney akan kembali ke prestasi asalnya? Ataupun Harry Kane - penyerang yang tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. (eh aku ter-ulang lagik) Mungkin juga Daniel Sturridge - rakan sepasukannya di Liverpool yang mampu pulih sebelum sepak mula di Perancis. Siapa tahu bukan?

Aaaahhhhh!!! Persetankan siapa pun yang akan dipilih oleh Tok Roy kelak. Apa yang pasti ketua pasukan Slovakia ini bersedia untuk menyabit dan meragut kaki siapa pun yang akan berdepan secara fizikal dengannya nanti.


Ini Makan Dia!!!

Keistimewaan Kumpulan B: Sejauh Mana Perjalanan England?

Banyak yang diperkatakan tentang kemampuan pasukan England setiap kali mereka beraksi di pentas tertinggi bola sepak antarabangsa. Tidak ketinggalan juga pada Piala Eropah kali ini. Kemungkinan besar keyakinan mereka sedikit meningkat berbanding semasa menyertai Piala Dunia 2014 yang mana mereka berada dalam kumpulan yang sama dengan Italy dan Uruguay. Namun begitu Slovakia, Russia dan terutamanya Wales masih mempunyai faktor-x yang tersendiri untuk mengejutkan England.

Perlawanan pertama menentang Wales kelak akan menentukan arah tuju pasukan England. Jika kalah, tugas untuk layak ke pusingan seterusnya akan lebih sukar dan mencabar.

Perlu diingat kali terakhir England memenangi kesemua perlawanan kelayakan mereka adalah ketika Piala Eropah 1988. Mereka kemudiannya tewas dalam perlawanan pembukaan dengan satu lagi pasukan jiran, Ireland dengan skor 1-0. Seterusnya tewas lagi baki dua perlawanan kepada pasukan Belanda dan USSR. Hasilnya bungkus dan pulang awal. Adakah akan berlaku dejavu kepada pasukan Tiga Singa Bersaudara? Hah?

Thursday, January 14, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan A


Perancis.

Sekiranya dilihat pada kebangkitan beberapa pemain muda Perancis di serata liga utama di Eropah ketika ini, kita secara mudah boleh meramalkan sejauh mana perjalanan pasukan Les Bleus ini di Kejohanan Eropah kelak. Nama-nama seperti Martial, Griezmann, Pogba, Kondogbia dan Zouma mungkin sedikit masa lagi akan berdiri setanding dengan Henry, Petit, Zidane, Lizarazu dan Blanc dalam kamus sejarah bola sepak Perancis.

Dengan kelebihan beraksi sebagai tuan rumah, sudah pasti mereka ingin mengulangi kejuaraan Piala Dunia 1998 dan juga Piala Eropah 1984. Perlantikan Didier Deschamps sebagai jurulatih amat bertepatan dengan statusnya sebagai bekas kapten yang mengetuai pasukan Perancis 1998. Ini kerana Perancis memerlukan seorang jurulatih yang berkaliber untuk melentur limpahan bakat muda yang mereka miliki baik di posisi pertahanan, tengah dan juga serangan.

Sebut pasal serangan ni sudah tentu kita tidak dapat lari daripada bercakap tentang skandal yang melibatkan Karim Benzema. Sekiranya beliau tidak beraksi mungkin Didier Deschamps terpaksa mencari penggantinya. Dan ketika entri ini ditulis Olivier Giroud mungkin individu semulajadi yang sesuai untuk mengetuai barisan serangan Les Bleus. 

Hanya masa akan menentukan kematangan Martial.

Switzerland.

Sebenarnya Switzerland ini bukanlah asing dalam kancah bola sepak Eropah dan juga dunia. Pasukan kelab dari negara ini juga mula mendatangkan gerun kepada kelab gergasi eropah yang lain.

Ramai pengkaji bola sepak melihat tuan rumah bersama Piala Eropah 2008 ini sedang menuai faedah daripada program pembangunan bola sepak yang telah mereka bina. Kemunculan ramai pemain dengan latar belakang immigran sebenarnya banyak menaikkan prestasi semasa pasukan yang digelar Rossocrociati ini.

Antaranya ialah pemain kesayangan Stoke City iaitu Xherdan Shaqiri yang datang daripada Kosovar Albania. Gökhan Inler yang keluarnya berasal daripada Turki, Valon Behrami (Albania), Ricardo Rodríguez (Sepanyol + Chile), Haris Seferović (Bosnia Herzegovina). Jika dilihat kepada kebangkitan beberapa pasukan Eropah yang menggunakan immigran sebagai pemain bola sepak mereka, sudah tentu kita berasa hairan dengan Malaysia masih bermain bola sepak Gaya Malaya walaupun sudah memiliki Matthew Davies, Brendan Gan dan juga Junior Eldstal. Sememangnya bola sepak Malaysia amat unik nak mampos. Kita lupakan sebentar hal pasukan Malaysia ini dan kembali semula kepada Switzerland.

Jurulatih, Vladimir Petkovic adalah individu yang paling sesuai ketika ini untuk membawa pasukan Switzerland sekurang-kurangnya ke peringkat kalah mati pusingan kedua. Ini juga bersandarkan kemampuan mereka yang layak ke pusingan 16 pasukan pada Piala Dunia 2014 yang lalu.


Menyerlah bersama Stoke City


Albania.

Kedudukan geografi Albania yang berada di cerok selatan Eropah merupakan antara punca mereka terpinggir daripada kemajuan facebook, twitter dan instagram. Tetapi sekurang-kurangnya negara yang pernah diperintah oleh sang diktator Enver Hoxha ini terpelihara daripada pecah belah di media sosial hanya kerana hak kebebasan menyusukan anak di khalayak ramai menjadi perdebatan. Dan ini mungkin memberikan ketenangan kepada roh Mother Teresa.

Sebelum ini Albania tidak pernah bermain di peringkat elit kejohanan Eropah secara konsisten. Mereka hanya muncul di kejohanan bawah 18 tahun pada tahun 1982 dan Piala Eropah Bawah 16 tahun pada tahun 1994. Selain daripada itu tiada. Yillek. Sebab itulah berita layaknya Albania ke Piala Eropah 2016 disambut gilang gemilang oleh setiap rakyatnya. Kepulangan para pemain disambut bagaikan hero kebangsaan dengan karpet merah oleh Perdana Menteri Edi Rama. Turun sahaja daripada kapal terbang Edi Rama terus memeluk para pemain dalam suasana yang disifatkan paling bersejarah dalam bola sepak Albania. Manakala Presiden Bujar Nishani secara segera menganugerahkan Honor of National Order kepada seluruh skuad bola sepak Albania. Kalau dekat Malaysia ia adalah perbuatan yang serupa dengan memberi tanah dan pangkat Datuk. Baik sikit bagi pakej umrah satu pasukan.


Kebangkitan pasukan Albania ini dikatakan berpunca daripada asuhan dan didikan Gianni de Biasi - jurulatih yang berasal daripada Itali yang juga handal bermain dengan kepelbagaian taktikal bola sepak dengan menggunakan bakat yang terhad. Mereka juga mempunyai program pembangunan bola sepak yang baik sehingga melahirkan ramai pemain muda yang perlu diberi perhatian. Antaranya penjaga gol Erit Berisha dan pemain pertahanan Elseid Hysaj. Mereka berdua ini juga bermain di Serie A Itali. Perlu juga kita fokuskan kepada kebangkitan Berat Xhimshiti serta penyerang Armando Sadiku yang mungkin suatu hari nanti akan menggegar bola sepak di Eropah.


Romania.


Lama sebelum TMJ berfesyen rambut kuning, seluruh pasukan bola sepak Romania telah pun dahulu melakukannya. Siapa boleh lupa ketika Piala Dunia 1998 apabila mereka melakukan kerja gila dengan mewarna rambut serupa beruk kuning itu? Ya, hanya mereka yang berperangai seperti beruk kuning sahaja berani berpenampilan seperti beruk kuning. Dan skuad Romania yang membawa imej beruk kuning tetapi handal ini adalah antara pasukan yang digeruni ketika itu. Ini adalah kesinambungan skuad emas Romania pada Piala Dunia tahun 1994 yang mana mereka layak sehingga ke peringkat suku akhir. Nama-nama seperti Gheorghe Hagi, Gheorghe Popescu, Dorinel Munteanu, Dan Petrescu dan Bogdan Stelea antaranya pantas meniti di bibir kanak-kanak yang bermain bola di waktu petang ketika itu. Ia juga berdiri sebaris dengan nama-nama pendekar seperti Bitara, Hang Perkasa, Jempol, Agam, Adijaya dan Sang Guna. Tak kenal? Engkau masih hijau dalam dunia persilatan wahai anak mudeeee....


Malangnya bola sepak Romania gagal mengekalkan kehandalan mereka untuk menjadi salah satu pendekar bola sepak di Eropah dan Dunia. Tiada lagi limpahan bakat yang mereka hasilkan. Jika ada pun hanya nama Cristian Chivu dan Adrian Mutu sahaja yang menghiasi muka surat belakang akbar. Cuma Mutu pernah juga keluar di muka surat depan dek kerana skandal dadah beliau dan kontroversi bersama pasukan Chelsea.


Namun untuk kali ini pasukan Romania kelihatan berbeza di bawah seliaan Anghel Iordanescu, 65 tahun seorang ahli Senat Romania yang memiliki kharismanya secara tersendiri. Di bawah bimbingan beliau, pasukan yang digelar The Tricolorii, yang hanya layak sekali sahaja ke kejohanan besar sejak menjadi pasukan lapan terbaik di Piala Eropah 2000 - layak ke Piala Eropah 2016 dengan rekod tanpa kalah dan hanya bolos dua gol sahaja. Sudah semestinya statistik ini wajar diberi perhatian secara serius oleh pasukan yang lain.


Perlawanan Tumpuan: Perancis Melawan Romania.


Ini adalah perlawanan pembukaan yang bakal menentukan hala tujuan dalam kumplan A. Tanggal 10 Jun kelak pasukan Perancis akan menyambut kehadiran Romania di Stade De France - stadium yang hampir-hampir sahaja meletop beberapa bulan yang lepas.


Pasukan Perancis semestinya mahu melupakan kenangan pahit ketika mereka hanya mampu seri 0-0 dengan pasukan yang sama ini pada Piala Eropah 2008 yang mana akhirnya meletakkan Perancis di tempat tercorot kumpulan dan bungkus awal.


Masa untuk Pual Pogba sudah tiba.


Pertembungan Force: Paul Pogba Melawan Gokhan Inler.

Mungkin masanya sudah tiba buat Pogba menonjolkan kualitinya yang sebenar dengan Perancis sudahpun berkira-kira untuk menjuarai Piala Eropah ini di laman mereka sendiri. Cuma seperti yang kita semua tahu konsistensi adalah kunci utama untuk semua pemain bola sepak muda di muka bumi ini dan ia tidak ketinggalan turut melanda Pogba. Sekiranya beliau berjaya mengekalkan prestasinya sudah pasti pasukan Perancis akan menjadi juara pada edisi kali ini.


Kehadiran Gokhan Inler pula diharapkan mampu menyaingi Pogba apabila kedua pemain ini bertembung di perlawanan akhir peringkat kumpulan pada tanggal 19 Jun kelak. Tetapi buat masa ini pemain tengah Leicester City yang juga veteran Serie A bersama pasukan Napoli ini masih belum mendapat tempat utama dalam pasukan Musang dek kerana masalah kecederaannya dan juga kehebatan Kante serta Drinkwater.


Keistimewaan Kumpulan A: Merebut Slot Kedua

Di atas kertas tidak keterlaluan sekiranya kita katakan juara kumpulan adalah milik Perancis yang kelihatan tiada masalah untuk layak ke pusingan 16 pasukan. Tetapi pasukan mana yang akan mengiringi Perancis itu masih terbuka di antara Switzerland, Romania dan Albania. Kesemua pasukan ini bukanlah pasukan belasahan dan kekuatan untuk mara ke pusingan seterusnya amat setara sesama mereka.


Secara peribadi aku berpendapat aksi Albania melawan Switzerland di Lens, Romania menentang Switzerland di Paris dan Romania berlaga dengan Albania di Lyon merupakan perlawanan wajib tonton berbanding persembahan sarkis pasukan tuan rumah Perancis itu sendiri. Kenapa aku begitu yakin? Sebab ini adalah Mata Pena Si Hitam. Heh!!!

Sunday, January 10, 2016

Kemeriahan BPL Bukan Untuk Ballon d'or



Kemeriahan BPL Bukan Untuk Ballon d'or.


Ayda Jebat dengan bibir nipisnya pernah bersenandung di dalam lagu dengan nada kelam kabut:

"Jaaaangan-jaaaangan kau terburu-buruuuu. Jaaaaaangan-jaaaaangan pandai menghukumku..Tunggu..Jangan cepat nak laywbewl ku..."


Begitulah juga bagi sesetengah peminat bola sepak di Malaya yang melabelkan Liga Perdana Inggeris (BPL) adalah yang terbaik di muka bumi. Mungkin ada benarnya kerana ia tidaklah dimonopoli oleh sesebuah kelab sahaja. Sebagai contoh di Sepanyol ia adalah pertembungan antara Real Madrid dan Barcelona. Cuma akhir-akhir ini sahaja Atletico Madrid mula mencuri peluang menyelit di antara dua kelab El Classico itu. Di Jerman kita ada Bayern Munich dan Borussia Dortmund. Di Perancis pula dikuasai oleh Paris Saint Germain. Cuma di Serie A buat masa ini ia akan menyedihkan sedikit dengan pelbagai isu yang melanda liga di negara tersebut. Yang itu kita kena kaji dikesempatan yang lain pula.

Bagi aku pula secara kasarnya Liga Perdana Inggeris musim ini adalah antara musim yang terbaik pernah aku saksikan sepanjang usia 32 tahun aku. Selain daripada keterjunaman pasukan Chelsea ke lembah kehinaan, aksi terumbang-ambing pemain Liverpool untuk memahami gegenpressing serta Van Gaal yang ghout. Kita juga disajikan dengan persembahan mantap beberapa pasukan yang selama ini 'bawah hanjeng'. Antaranya West Ham, Leicester City, Crystal Palace dan Watford. Selain itu ada antara penyerang handalan dunia semakin tumpul di hadapan gol. Manakala penyerang tidak popular mula mencuri tumpuan dan mungkin juga tempat ke Piala Eropah 2016 bersama pasukan negara masing-masing. Inilah warna-warni BPL yang bukannya dimonopoli oleh satu atau dua pasukan sahaja bagi setiap musim.

Pertengahan minggu ini kita akan disajikan dengan beberapa pertembungan menarik. Antaranya ialah perlawanan melibatkan Newcastle dan Manchester United. Pada laga pertama kedua pasukan ini hanya mampu seri tanpa jaringan. Berdasarkan rekod, Manchester United hanya tewas sekali sahaja dalam 12 pertemuan terakhir di St. James' Park. Mungkin statistik awal ini mampu menambah keyakinan kepada pemuja Syaitan Merah di serata alam yang semakin membenci Van Gaal. Boring juga sebenarnya bila The Red Devils mula bercakap pasal pengurus imaginasi mereka setiap minggu. Pada hal Val Gaal itu adalah jodoh dari syurga buat Manchester United. Kencing manis lembam macam pun dia adalah pengurus semasa yang perlu diberi sokongan. Lainlah kalau Rafa Benitez. Itu lain ceritanya.

Manchester City pula akan mengadap Everton sekali lagi selepas tewas dalam aksi Piala Carling minggu lepas. Jika diperhatikan secara mendalam semacam ada yang tidak kena pada barisan pertahanan pasukan Manchester City selepas ketiadaan Kompany. Ingin saya tegaskan nama-nama seperti Otamendi, Mangala mahupun Demichelis masih tidak mendatangkan gerun kepada barsian penyerang yang bermain di BPL.

Keberantungan City kepada Aguero untuk menyumbat gol bagi pasukan mereka juga kadangkala mengehadkan peluang bagi pemain lain untuk menyerlah. Tetapi City sepatutnya tidak perlu panik serupa minah rempit share berita pasal makwe kena culik dekat facebook. Ini kerana dengan barisan pemain yang mereka miliki sebenarnya tiga mata boleh menjadi milik mereka. Cuma suka aku mengingatkan bahawa Everton masih pasukan yang terbaik di Liverpool. Ini fakta yang tidak boleh kita semua sangkal lagi. Tidak percaya? Bandingkan sahaja statistik antara Lukaku dengan Lewanbenteke. Hah? Nampak tak?

Di Anfield pula akan berlangsung pertemuan antara Liverpool dan pendahulu liga, Arsenal. Bagi The Kops ia merupakan bala yang datang secara bertimpa-timpa. Ini kerana Liverpool terpaksa menentang Arsenal dalam keadaan pasukan mereka berdepan dengan masalah kecederaan pemain pada tahap nazak. Ya, walaupun Arsenal turut menghidapi sindrom yang sama, tertapi ia tidaklah seteruk yang sedang dialami oleh Liverpool. Terbaru ia melibatkan Coutinho dan Lovren. Mereka berdua ini menyertai senarai panjang pemain yang sedang cedera di Liverpool - Origi, Sturridge, Henderson, Ings, Skrtel dan Sakho (sekadar menyebut beberapa sahaja).

Menengok kepada prestasi semasa pasukan Arsenal ini menjadikan aku berasa bangga dengan si tua Wenger. Wenger membuktikan dirinya masih relevan di Arsenal dan juga BPL. Sekurang-kurangnya selepas BPL kehilangan Alex Ferguson dan Mourinho, kita masih mampu menatap wajah tua Wenger setiap minggu. Secara peribadi aku masih belum nampak kredibiliti pengurus lain untuk menghiburkan kancah BPL. Dulu aku ingatkan Moyes boleh jadi modal hiburan. Namun jodohnya dengan BPL tidak panjang. Ciaaaan..

Perlawanan terkhir untuk aksi ke-21 ini adalah antara Spurs dan Leicester. Jika Spurs menang, maka mereka akan menghampiri Arsenal. Jika Leicester menang pula, maka Arsenal tidak akan semakin selesa di persada liga. Tidak dapat dipastikan sama ada Jamie Vardy dapat turun beraksi dalam perlawanan ini. Jika tidak, Leicester yang sudah gagal menjaringkan gol dalam 3 perlawanan terakhir mereka ini akan menemui kesukaran apabila bertandang ke White Hart Lane.

Namun apa yang pasti Harry Kane sudah tentu akan membuat kemunculan. Kane yang ada sekarang bukanlah Kane yang wujud pada awal musim ini yang selalu tidak berfungsi di atas padang dan sering gagal menjaringkan gol. Walaupun agak lambat mendapat sentuhan gol, Kane sudah menjaringkan 11 gol dalam kesemua 20 penampilan liganya setakat ini.  Dia (Kane) tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. Sebagai contoh Lewanbenteke yang lembab di dalam kotak penalti.

Apa dia abang kakak? Chelsea? Ya ada...mestilah ada..

Pasukan Chelsea pula seperti biasa akan bermain dengan penuh tertib dan berhati-hati apabila dijadual menentang West Brom Albion dalam pertemuan yang heboh dilabelkan sebagai MINGGU KEBANGKITAN CHELSEA.

Jikalau Chelsea menang kita perlu eksyen dan berlagak. Jikalau kalah pula, kita sambung kutuk JDT. Simple.