Showing posts with label dunia. Show all posts
Showing posts with label dunia. Show all posts

Friday, January 26, 2018

Piala Dunia 2018: Maghribi



Piala Dunia 2018: Maghribi

Maghribi, Kemodenan dan Piala Dunia.

Mengikut kajian sejarawan lama, kawasan Maghribi moden telah didiami oleh manusia sejak Zaman Neolitik lagi, iaitu sekurang-kurangnya sejak 8000 tahun sebelum masihi. Kini Maghribi pantas membangun dengan ekonominya yang berteraskan pertanian, pelancongan, aeroangkasa, automotif dan juga tekstil antaranya.

Selain itu pembangunan bola sepak jugak tidak pernah diabaikan. Ia meriah sejajar dengan kepentingan memajukan negara. Seperti yang kita tahu sukan bola sepak adalah perkara yang mampu menyatukan sesiapa sahaja. Yang bercerai boleh rujuk semula. Yang berbeza parti politik boleh duduk semeja di kedai warong. Begitulah perumpamaannya.

Pada tahun 1955, Federasi Bola Sepak Maghribi atau nama inggerisnya Royal Moroccan Football Federation (RMFF) telah ditubuhkan secara rasmi. Dengan wujudnya badan ini, maka perjalanan bola sepak di Maghribi dapat dikawal selia dengan lebih sistematik dan lancar.

Rentetan daripada itu, pasukan bola sepak kebangsaan Maghribi yang bergelar Singa Atlas ini akhirnya berjaya menyertai FIFA pada tahun 1960. Kemunculan sulung mereka di Piala Dunia adalah pada tahun 1970 di Mexico dan mereka terkandas di peringkat kumpulan.

Dua edisi Piala Dunia selepas itu Maghribi menyepi.  Dan sensasi mereka sudah pastinya ketika Piala Dunia 1986 juga di Mexico apabila menjadi pasukan dari Afrika yang pertama menjuarai peringkat kumpulan.

Seterusnya Maghribi hadir lagi di Piala Dunia 1994 tetapi hanya untuk melengkapkan jadual di peringkat kumpulan. Maghribi juga cuba membida Piala Dunia 1998 namun mereka terlepas peluang tersebut kepada Perancis.

Piala Dunia 1998 turut menjadi kejohanan yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Maghribi. Mereka memerlukan 3 mata pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati dan mereka berjaya melunaskan tugasan tersebut dengan cemerlang. Scotland dibelasah 3-0 tanpa belas ehsan.

Malang sekali Brazil yang sudah layak ke pusingan kalah mati telah tewas kepada Norway sekaligus menidakkan peluang Maghribi untuk mara lebih jauh. Sorakan kegembiraan di Saint-Étienne tadinya terbantut dan bertukar menjadi babak kesedihan. Kalau diingatkan semula memang boleh menitis air mata jantan ni.

Lagenda Hadji Mengorak Langkah

Apabila ada orang bertanya kepada aku, apa yang aku tahu tentang pasukan Maghribi? Dengan tanpa ragu aku akan menjawab, Mustapha Hadji. Siapa Mustapha Hadji? Mari sini aku ceritakan.


Selain daripada gol cantik Michael Owen yang membuka namanya di pentas dunia, satu lagi gol hasil jaringan Mustapha Hadji – Lagenda Maghribi meninggalkan kesan mendalam kepada penyokong berkecuali semasa Piala Dunia 1998.

Ketika perlawanan pertama menentang Norway, dalam satu gerakan serangan balas, pemain tengah bertahan Maghribi, Taher el Khalej melorongkan bola di sebelah kiri kepada Hadji yang sudah melakukan larian sepantas harimau bintang. Dengan berbekalkan satu 'stepover' yang lincah, pertahanan Dan Eggen berjaya ditipunya. Kemudian Hadji melepaskan rembatan rendah bawah di penjuru kiri penjaga gol Norway, Frode Grodas. Gooooooooooool!!!! Dan gol ini diiktiraf antara gol terbaik kejohanan Piala Dunia untuk tahun itu.
 
 
Kehebatan Hadji di Piala Dunia 1998 ini membolehkan beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika pada tahun yang sama menewaskan dua orang lagenda Nigeria - Jay Jay Okocha dan Sundah Oliseh. Selepas itu perpindahannya dari Deportivo ke Coventry City hanya menjadikan namanya lebih dikenali di serata dunia.

Muncul Selepas Ghaib 20 tahun.

Dalam penentuan peringkat Kumpulan C Zon Afrika, Maghribi berjaya mengenepikan cabaran pasukan Ivory Coast apabila menjuarai kumpulan dengan 12 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 3 seri. Yillek kekalahan.

Maghribi menempah tiket Piala Dunia selepas 20 tahun ghaib dan ini adalah penampilan mereka yang kelima dalam sejarah FIFA.

Pada undian Piala Dunia yang lalu, dengan ranking FIFA mereka di tangga ke-40, mereka diundi dalam kumpulan B bersama juara semasa Piala Eropah - Portugal, bekas JUARA DUNIA YANG POWER NAK MAMPOS - SEPANYOL dan wakil dari Asia yang hebat Iran.



Jika tiada aral melintang pukang, Medhi Benatia sudah pasti akan mengetuai pasukannya menentang cabaran 3 pasukan yang aku sebutkan tadi. Pengalaman beliau dengan Juventus tidak perlulah aku ceritakan di sini hari ini. Barangkali di lain masa sahaja.

Pengalaman Benatia sudah pasti ditagih untuk membimbing pemain muda seperti Achraf Hakimi yang baru sahaja berusia 19 tahun namun sudah beroleh kontrak bersama pasukan Real Madrid. Ketika artikel ini ditulis beliau sudah menjaringkan 1 gol dalam 5 penampilannya musim ini bersama Real Madrid.

Manakala bahagian tengah pasukan Maghribi mempunyai adunan pemain yang matang dan sedang ranum. Mereka memiliki Karim El Ahmadi (30 tahun) dan Nordin Amrabat (33 tahun). Dan dua orang veteran ini akan dibantu oleh Sofiane Boufal (24 tahun) serta sensasi Hakim Ziyech juga berusia 24 tahun. Nampak sedap bukan?

 
Tetapi sebagai seorang penulis cerita bola yang tegas, aku secara realistilk meramalkan peluang Maghribi untuk melepasi peringkat kumpulan adalah dalam lebih kurang 28% sahaja.  Walaupun begitu aku sedikit yakin dengan sentuhan ajaib Herve Renard. Mungkin mereka mampu mencetuskan kejutan jika Renard berjaya mengadun dan mengorek yang terbaik daripada skuad Maghribi ini.


Sentuhan Afrika Hervé Renard



Siapa dia ni? Hervé Renard dilahirkan pada 30 September 1968. Seorang yang kacak bergaya berasal dari Perancis dan merupakan jurulatih semasa pasukan kebangsaan Maghribi. Betul kata orang-orang lama, lelaki Perancis ini seksi juga orangnya. Contoh terdekat cuba lihat Arsene Wenger.

Nama Hervé Renard mungkin agak asing di bumi Asia. Tetapi di rantau Afrika beliau dikenali sebagai Raja Piala Afrika. Individu ini mengukir namanya dengan Zambia dan Ivory Coast apabila membawa dua negara Afrika ini menjuarai Piala Afrika pada tahun 2012 dan 2015. Dan ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah apabila seorang jurulatih berjaya menjuarai Piala Afrika dengan dua pasukan yang berbeza.

Meskipun ramalan di 'socmed' banyak mengatakan Portugal dan Sepanyol akan menjadi pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya, namun reputasi Renard yang rajin menghasilkan kejutan mungkin akan merosakkan ramalan tak bertauliah ini. Kau orang tengok sahajalah nanti. Aku nak sambung makan nasik kejap.

Wednesday, April 2, 2014

Piala Dunia 2014: Ecuador


Piala Dunia 2014: Ecuador


Pengenalan 

Kira-kira 15.5 Juta penduduk negara Ecuador bergembira pada tanggal 15 Oktober 2013 meraikan kejayaan mereka layak ke Piala Dunia buat kali ke-3 dalam tempoh 12 tahun. Seluruh Quito bercahaya dengan sorakan keriangan. Pelangi seakan-akan menyinari setiap kepala warga Ecuador. 

Ya, mereka layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil dan ia wajib disambut dengan penuh riang. Walaupun begitu, Presidennya Rafael Correa masih tenang dengan tidak gopoh memberikan pangkat Datuk dan sebidang tanah kepada setiap pegawai, jurulatih dan pemain pasukan Ecuador. 

Mereka layak beraksi di Brazil selepas menduduki tempat ke-4 dalam pusingan kelayakan Zon Amerika Selatan dengan mendahului Uruguay hanya melalui perbezaan gol. Tanggungjawab sebenar mereka adalah untuk melepasi peringkat kumpulan yang terdiri daripada Perancis, Honduras dan Switzerland. 

Manakala pencapaian terbaik mereka pada edisi 2006 iaitu layak ke pusingan 16 pasukan tebaik wajar diulangi ataupun dalam bahasa bola sepak perlu diperbaiki. Dengan kedudukan rangking FIFA di tangga ke-23, pasukan ini perlu diperhatikan secara teliti kerana kemampuan mereka amat luar biasa. 
  

Jurulatih: Reinaldo Rueda

Rueda adalah seorang cerdik pandai dalam pelajaran. Ini dibuktikan apabila dia telah memiliki Master dari Universiti Cologne, Jerman. Dia kemudiannya menyambung pelajaran bersama FIFA dan UEFA untuk melayakkan dirinya terlibat dalam bola sepak. Kejayaan beliau membawa  Honduras layak ke Piala Dunia 2010 buat pertama kali selepas 28 tahun adalah yang termanis dalam kariernya. 

Dia juga pernah melatih beberapa kelab di Colombia antaranya Independiente Medellín, Deportivo Cali dan Cortuluá. 

Sebagai seorang pemain pula dia hanya mampu bermain untuk kelab amatur sahaja. Kesiaaaan. 


Ketua Pasukan: Antonio Valencia.   

Jika kita duduk minum petang dan menyebut nama pemain ini, sudah pasti perbualan kita tidak akan ada tamatnya. Pelbagai kejadian pahit manis maung masam masin telah beliau lalui. Seperti kebanyakan kanak-kanak yang gilakan bola sepak, Valencia tidak dapat lari daripada menyepak bola dengan berkaki ayam. Dan dari situ bermulalah hidupnya dengan bola sepak. 

Sirah hidupnya menceritakan bagaimana Valencia yang memulakan kariernya dengan pasukan El Nacional akhirnya membawa dirinya berkelana ke Eropah dan sehingga kini mewakili kelab terhebat dalam sejarah Manchester United. 

Setakat ini dia telah menjaringkan 8 gol daripada 68 penampilan antarabangsanya bersama Ecuador. 


Pemain Bintang: Édison Méndez.

Siapa Edison Mendez? Beliau bukan sekadar pakcik tua yang berusia 35 tahun yang boleh engkorang abaikan. Dia adalah salah seorang lagenda dalam pembikinan untuk Ecuador. Kekuatan kaki kanannya adalah senjata utama beliau. 

Edison Mendez telah bermain dengan pelbagai kelab dari Ecuador, Mexico, Netherlands, Brazil dan Colombia. Melihat pengalamannya sahaja sudah amat menggerunkan.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Felipe Caicedo.


Tahukah enkorang yang Felipe Caicedo juga pernah melalui zaman kegelapan? Sama dengan Hairuddin Omar sekarang ni? Ya..pada tahun 2008 semasa dia bermain untuk Manchester City di bawah pengurusan Mark Hughes beliau hanya mampu beroleh 27 penampilan sahaja. Manakala selainnya dia hanya dipinjamkan ke kelab Sporting CP, Málaga dan juga Levante. 

Ini lah yang dinamakan 'hidup ni kekadang di atas kekadang di bawah' dan itulah yang berlaku pada Felipe Caicedo. Pada usia hanya 25 tahun, dia perlu menyerlahkan potensi sebenarnya demi memacu Ecuador pergi jauh dalam Piala Dunia 2014. 

Wednesday, March 19, 2014

Piala Dunia 2014 : England



Piala Dunia 2014 : England

Pengenalan

Pertama sekali aku mahu bertanya? Kenapa umat Malaysia ramai memilih skuad England? Walaupun skuad ini memang susah nak menjulang Piala Dunia. Tetapi adakah ianya adalah satu pilihan yang lucu? Ataupun adakah dengan memilih sebuah pasukan yang lemah serta tiada harapan untuk menang Piala Dunia menunjukkan seseorang itu seperti tiada ilmu dan pengetahuan tentang sejarah bola sepak? 

Kenapa tidak boleh menyokong England? Menyokong pasukan England sebenarnya memberi kepuasan dan juga tekanan secara serentak. Kita tidak akan dapat semua itu apabila menyokong Belanda atau Portugal. Bagi sesetengah orang, memilih England itu adalah kerana England itu sendiri dekat dihati.

Jadi ingin aku tegaskan. Menyokong England tidak kelakar. Menyoal kenapa menyokong England itu yang lucu.

Jurulatih:  Roy Hodgson. 


Mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan. Tidak kira sama ada di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Pada usia yang sudahpun mencecah 66 tahun, ini mungkin adalah merupakan peluang terakhir beliau untuk mencari sesuatu kejayaan manis buat skuad 3 Singa ini. 

Jadi, Roy Hodgson adalah individu paling penting untuk mengelakkan England daripada kalah awal dan para pemain melepak di pantai sekitar Rio de Janeiro bersama dengan WAGs - WAGs mereka. 


Ketua Pasukan: Steven Gerrard. 


Gerrard sedang melalui satu musim yang terbaik dalam keriernya bersama Liverpool. Kapitan ini akan berusia 34 apabila Piala Dunia Brazil bermula. Namun pengalaman luasnya amat penting buat pasukan England yang masih mencari-cari Piala Dunia yang kedua buat mereka. 

Apa yang penting sekarang ialah dia perlu mengekalkan kecergasan dan mengelakkan diri daripada mengalami kecederaan. 


Pemain Bintang: Wayne Rooney. 


Kita masih tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain ini meskipun sejak dua menjak ini namanya kurang mendapat publisiti di serata dunia. Dan Rooney masih antara pemain terbaik yang perlu diberi perhatian.

Walau bagaimanapun seluruh dunia juga masih tidak lupa bagaimana aksi Wayne Rooney yang kaku seperti tidak biasa bermain bola ketika England di belasah Jerman (4-1) 4 tahun yang lalu. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Ross Barkley. 


Sekiranya beliau diberi peluang, aku yakin satu lagi pemain bintang akan lahir dari England. 

Pemain muda Everton ini mula disebut-sebut sebgai Paul Gascoigne Muda (inilah yang selalu media Inggeris angankan). Adakah Ross Barkley mampu menggegar seperti Gazza telah lakukan pada Piala Dunia 1990? 

Friday, February 28, 2014

Piala Dunia 2014: Uruguay


Piala Dunia 2014: Uruguay

Pengenalan

Ketika zaman awal tertubuhnya organisasi bola sepak antarabangsa, Uruguay adalah kuasa dunia sebenar. Sebelum Piala Dunia diadakan, mereka telah memenangi pingat emas olimpik 1924 dan 1928. Oleh kerana mereka adalah pasukan terbaik era mereka, Uruguay telah diberi keistimewaan untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia yang pertama, yang mana mereka mudah memenangi perlawanan tersebut mengatasi Argentina.

Atas sebab politik Uruguay tidak menyertai dua kejohanan Piala Dunia yang berikutnya, namun mereka kembali dengan bergaya pada tahun 1950 apabila meelakukan kejutan paling terbesar dalam sejarah kejohanan dengan menewaskan Brazil di Estadio do Maracana untuk menjulang trofi Piala Dunia. Kejayaan ini dikenali sebagai 'Maracanazo'.

Meskipun membuat kemaraan cemerlang pada tahun 1954 dan 1970, mereka akhirnya mengalami kejatuhan mendadak dan kejohanan 2010 di Afrika Selatan menyaksikan kebangkitan mereka kembali apabila menduduki tempat ke-4. 

Jurulatih: Oscar Tabarez.


Oscar Tabarez semasa usia mudanya banyak menghabiskan karier bola sepak beliau di Argentina dan Mexico dengan mewakili kelab seperti Sud América, Sportivo Italiano, Montevideo Wanderers, Fénix dan Puebla. Namun pada usia 32 tahun beliau sudahpun bersara daripada menyepak bola.

Susuk berbangsa Uruguay  yang berusia 66 tahun ini dikenali sebagai 'El Maestro' di atas kejayaan gemilangnya kariernya sebagai pengurus. Dia sudah bersama Persatuan Bola Sepak Uruguay sejak dari 2006 lagi. Kejayaan manis beliau adalah menamatkan Piala Dunia 2010 di Afrika di tempat ke- 4 serta setahun kemudiannya pula menjuarai pula Copa America.


Ketua Pasukan: Diego Lugano. 


Diego Lugano berpindah ke West Brom pada Ogos 2013 daripada kelab PSG. Namun setakat ini hanya melakukan 5 penampilan sahaja untuk kelab tersebut. Tetapi penampilan terbaik beliau adalah ketika beraksi dengan kelab Turki, Fenerbache dan dianggap sebagai lagenda oleh kelab tersebut.

Memiliki 31 penampilan untuk Uruguay sudah cukup melambangkan betapa berpengalamannya pemain ini di pentas antarabangsa dengan usianya yang mencecah 33 tahun. 


Pemain Bintang:  Luis Suarez.


Siapa lagi kalau bukan beliau? Hero untuk negaranya Uruguay dan juga kelab paling bersejarah di muka bumi yang beliau wakili iaitu Liverpool. Menjadi penjaring terbanyak untuk kempen kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan dengan 11 gol sudah cukup untuk menceritakan betapa hebatnya pemain ini. Mari kita berharap agar pemain ini tidak tercedera dan dapat beraksi pada bulan Jun hadapan.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan:  Abel Hernandez.


Beliau berjaya bangkit semula selepas menjalani pembedahan jantung semasa usia remajanya. Sudah beraksi bersama kelab Itali, Palermo sejak dari 2009 dan kini telah mengumpul 28 gol daripada 100 penampilannya.

Dia merupakan antara pemain yang paling dikehendaki oleh kelab-kelab besar di Eropah. Pencapaian terbaiknya adalah ketika menjaringkan 4 gol dalam Piala Konfederasi 2013.

Thursday, February 20, 2014

Piala Dunia 2014: Ivory Coast



Piala Dunia 2014: Ivory Coast 

Pengenalan

Romantiknya bola sepak dengan jiwa rakyat Ivory Coast ialah apabila pasukan bola sepak mereka berjaya menamatkan perang sivil yang telah berlarutan selama 5 tahun dengan melayakkan diri ke Piala Dunia 2006. Sedangkan di negara kita penyokong pasukan negeri masing-masing masih sibuk 'berperang' di dalam dan luar stadium serupa tidak berotak dengan berkelahikan pasukan kesayangan mereka yang bermain untuk Liga bertaraf D. 

Selepas Didier Drogba membantu pasukan Ivory Coast layak ke Piala Dunia 2006, beliau mencabar Presiden Gbagbo untuk menamatkan perang saudara. Beliau membuat rayuan ke atas para pejuang perang dan meminta mereka untuk meletakkan senjata mereka. Permintaan Drogba dan rakan-rakannya itu dibalas dengan persetujuan mengadakan gencatan senjata selepas kali pertamanya tercetus perang sivil ini pada tahun 1999. Seluruh Ivory Coast terasa aman buat seketika dan meraikan kejayaan pasukan bola sepak mereka layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya dalam sejarah. 

Piala Dunia edisi 2014 ini adalah yang ke-3 buat mereka selepas 2006 dan 2010. Sebagai rekod juga Ivory Coast masih belum berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Dunia dengan secara keseluruhannya menduduki tangga ke-19 (2006) dan 17 (2010). Peminat bola sepak masih lagi menantikan potensi sebenar pasukan ini untuk menggegar kejohanan paling berprestij di muka bumi ini. 


Jurulatih: Sabri Lamouchi. 


Susuk yang kacak dan bergaya ini dilahirkan di Lyon, Perancis pada  9 November 1971. Semasa zaman mudanya, Lamouchi telah mewakili negara Perancis sebanyak 12 kali. 

Hayatnya sebagai pemain bola sepak banyak dihabiskan di Perancis dan Itali. Kemudiannya pada usia 42 tahun, beliau ditawarkan untuk menguruskan Ivory Coast yang merupakan negara pertama yang akan dilatihnya. 


Ketua Pasukan: Didier Drogba. 


Kata orang, tidak manis dan tidak baik memperkecilkan kelemahan pasukan lain. Jadi aku tidak akan menulis tentang kejayaan Didier Drogba yang telah menjaringkan 15 gol dalam 15 perlawanan menentang Arsenal. Aku juga takkan menulis mengenai statistik yang menunjukkan selama 1175 minit Drogba turun bermain menentang Arsenal, beliau sudah menjaringkan satu gol untuk setiap 78 minit dan 20 saat bagi aksinya. 

Bagi sesetengah pemain, pada usia 35 tahun ini mungkin gereja sudah mula menjadi sahabat karib. Tetapi ia tidak berlaku kepada figura hebat yang telah mengecapi pelbagai kejayaan baik di Perancis, England dan terkini Turki. Kelibatnya masih lagi diperlukan oleh negara beliau. Mungkin ini juga adalah peluang terakhirya untuk bersama Ivory Coast di Piala Dunia. 


Pemain Bintang: Yaya Toure. 


Yaya Toure sememangnya pemain terbaik Afrika buat masa ini. Di Manchester City dia adalah umpama Batu Bersurat di tengah padang. Mampu bertahan dengan cemerlang dan boleh menjaringkan gol serta seorang pengambil sepakan percuma yang baik. 

Sekiranya Yaya Toure mendapat bantuan secukupnya dari keseluruhan pasukan. tidak mustahil dia dapat menterjemahkan aksi yang serupa ketika bersama Manchester City dalam Piala Dunia 2014 nanti. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Serge Aurier. 


Pemain yang berusia 22 tahun ini sedang beraksi untuk pasukan Toulouse sebagai bek kanan. Dia yang juga memiliki kerakyatan Perancis membuat debut untuk Ivory Coast pada 8 Jun 2013 ketika perlawanan menentang Gambia. 

Persembahan yang cemerlang dalam kempen Piala Dunia nanti sudah semestinya akan menarik perhatian kelab besar di serata Eropah.