There was an error in this gadget

Tuesday, July 24, 2012

Sarkis Match Report:Arsenal FC vs Malaysia XI

Gambar kenang-kenangan abang dan adik..


Sekali lagi kanak-kanak 'soccerkid' bertandang di bumi Malaya. Bagaikan menjadi amalan setiap tahun berjumpa skandal di sini, Arsene Wenger kembali untuk menguji Safiq Rahim dan rakan-rakan. Rajagopal seperti biasa menurunkan pemain kegemarannya kecuali dengan kehadiran Azamuddin Akil dan Shakir Shaari yang diberi peluang berada dalam kesebelasan utama. Manakala Wenger dengan selamba itik meletakkan pemain selemah Mannone dan Coquelin dalam usaha menjinakkan 'kuda liar' peliharaan Rajagopal.


Antara aksi-aksi dari jauh...

Perlawanan dimulakan dengan pemain Malaysia agak perlahan dan lembab. Farizal Marlias terpaksa mengeluarkan segala ilmunya dalam menghalang Arsenal mendapat gol. Di hadapan beliau pula terpacak dua insan mantap iaitu Subra dan Aidil. Aidil melakukan banyak aksi-aksi 18SG sehinggakan Wenger terpaksa bangun dan menyuruh Diaby naik menyertai serangan. Hasilnya Diaby berjaya 'melutut' pinggang mahal Aidil sehinggakan Rita Rudaini agak gusar menonton dari rumah. Permusuhan Diaby dan Aidil berlarutan sehingga minit ke 63' sehingga memaksa Aidil diusung keluar buat kali kedua dalam perlawanan ini.


Sementara itu, barisan tengah Malaysia yang dikemudi Safiq Rahim berjaya mendatangkan gerun kepada Mannone apabila sepakan percuma beliau memaksa Mannone menjatuhkan badan menepis sepakan padu maut tersebut. Wenger semakin gusar dan menggigil 'telur'. Sambil sibuk memikirkan apa strategi yang perlu beliau lakukan, Azmi Muslim entah dari mana muncul melakukan rembatan cantik memerangkap Mannone. Mannone hanya mampu melihat sahaja sepakan Azmi menerjah masuk menewaskannya untuk kesekian kalinya dalam perlawanan ini. Tamat separuh masa pertama Malaysia 1 - Arsenal 0. Ini memang sudah dijangka.



Gol Azmi Muslim


Masuk separuh masa yang kedua. Wenger semakin serius. Memasukkan Wallcott dan Song. Namun ia masih tidak dapat membantu pasukan 'soccerkid' ini. Malahan Malaysia yang lebih banyak menyerang dan Safee Sali berjaya mendapat peluang gol pada minit 58' apabila hanya berhadapan dengan Mannone. Namun Mannone dapat menangkap cubaan lemah dari Safee. Masa terus berlalu, Wenger semakin lemas dengan aksi-aksi mantap dari Harimau Malaya.


Rajagopal pula semakin rakus memasukkan pemain HERO lalu seperti Badrol Bahktiar, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Khyril Muhaimin, Ashari Samsuddin dan Amar Rohidan. Sedikit perisa tambahan dari Rajagopal apabila turut memberi peluang kepada muka baru seperti Rozaimi, Shakir Ali dan Amir Taj mempamerkan sedikit taring. Terlalu ramai pertukaran menyebabkan Harimau Malaya kelam kabut dan tiada persefahaman. Akhirnya 'soccerkid' berjaya menjaringkan 2 gol pada minit ke 87' dan 90'.


Begitulah sarkisnya perlawanan ini. Malaysia menguasai hampir 65% perlawanan dan mempunyai lebih cubaan tepat ke arah gol berbanding Arsenal. Harimau Malaysia mendahului sehingga minit ke 87' namun masih tidak boleh mengukir kejayaan pada malam ini. Namun apa yang menarik ialah Rajagopal memiliki 2 set pasukan Harimau Malaya anak-anak tempatan dan bukannya Riquelme yang diberikan kerakyatan Johor. Ini sangat payah untuk dilihat dalam pasukan Singapura dan Indonesia sehingga mereka terpaksa menggunakan 'pemain import' dalam Piala Suzuki nanti. Percayalah Indonesia dan Singapura sedang 'GIGIL TELUR' menyaksikan HARIMAU MALAYA pada malam ini. Jumpa lagi dalam Sarkis kedua bertemu Manchester City.


Terubat sedikit luka selepas 6 tahun tanpa piala

Thursday, July 19, 2012

Siapa Johor FA di mata Riquelme?



Ahhhhhh sudah...projek 'nadir bumi' apakah ini? Selepas Johor diributkan dengan isu Batistuta dan Uncle Seekers yang misteri, kini demam Roman Riquelme pula datang menjengah warga Malaysia. Bagaikan wabak 'selsema hanjeng' yang bisa mendatangkan mudarat kepada sesiapa jua yang mempercayainya..Dulu kita disajikan dengan berita kehadiran Gabriel Batistuta. Namun buat masa ini beliau masih tidak kelihatan di pekan Segamat membeli-belah di Jakel atapun di Bandar Tangkak bersiar-siar mencari kain untuk dibuat pakaian raya pada Raya Syawal nanti. Adakah ini omong kosong untuk menarik minat rakyat Johor kembali memenuhi stadium menonton bola sepak selepas hanyut dengan lambakan hiburan di Danga Bay? Peminat bolasepak Johor masih menantikan kelibat Gabriel Batistuta dan bukannya Fazura. Klik link di bawah ini untuk melihat senarai carta organisasi Johor FA yang terbaru. Di mana Batistuta?


Berbalik pada kisah Riquelme pula...umum sudah mengetahui betapa gempaknya 'resume' beliau di peringkat kelab dan kebangsaan. Tak perlulah kita senaraikannya. Adakah Johor FA mampu berdiri setaraf dengan  Barcelona, Villareal dan Boca Juniors? Bolehkah Johor FA memberi kepuasan maksimum kepada Riquelme sekiranya bermain hanya dalam Liga Perdana (musim depan Johor FA ganti Johor FC kot dekat Liga Super)? Adakah Riquelme berjaya membantu 10 orang 'kanak-kanak' lain menyepak bola dengan betul? Berapa pula bayaran gaji beliau? Itu adalah antara 0.55% sahaja persoalan yang timbul daripada isu Riquelme ini. Mari kita kupas satu persatu mengikut pendapat peribadi saya sendiri.


Johor FA vs Barcelona, Villareal dan Boca Juniors.


Perbezaan pasukan di atas bagaikan langit dan bumi. Baik dari segi fasiliti mahupun kualiti pasukan yang dimiliki mereka. Sedikit menyedihkan kalau kita melihat nama-nama pemain Johor FA untuk musim hadapan kerana tidak ramai yang terkenal seperti pada era 90-an dahulu. Nama-nama seperti Hasan Miskam, Nasir Yusof, Khalid Shahdan, Liew Kim Tu mahupun Omar Salim sudah cukup menjadi tarikan untuk Alistair Edward dan Abbas Saad turut sama mewakili Johor ketika itu. Riquelme pasti akan berkerut seribu sekiranya ditanya sama ada mengenali Fauzi Kasim ataupun tidak. Dan saya cukup pasti ramai rakyat Johor juga akan berkerut sejuta apabila mendengar nama tersebut.

Apa yang sepatutnya perlu dilakukan oleh Johor FA adalah menjadi kuasa bolasepak Malaysia selama mana yang boleh dan kemudian barulah bermimpi untuk membeli Mesut Ozil ataupun Mario Balotelli. Bayangkan pasukan negeri Kelantan yang 'power' pun tidak perlu membuat pembelian mewah seperti ini kerana organisasi mereka cukup mantap dari setiap aspek. Sila kukuhkan kedudukan dalam Liga, jadilah juara Piala Malaysia 5 kali berturut-turut dan saya pasti Johor FA akan menguasai pentas ASIA. Ketika itu Shinji Kagawa sendiri yang menawarkan diri untuk bermain dengan pasukan Johor FA.


Kepuasan Nafsu Bolasepak Riquelme.



Pemuda di Argentina dan juga Brazil kebanyakannya mahukan keseronokan ketika bermain bolasepak. Macam mana hendak seronok kalau rakan sepasukan bermain bola ala-ala main congkak? Perkara ini berlaku pada setiap pasukan negeri dan Malaysia. Ketepatan hantaran dan kejituan rembatan tidak dimiliki oleh ramai pemain di Malaysia. Maka tidak hairanlah sekarang ini Safee Sali kelihatan 'bodoh' apabila bermain untuk Malaysia tetapi maha cerdik ketika bersama Pelita Jaya. Perkara yang sama ini akan turut berlaku pada Riquelme. Beban yang beliau pikul akan bertambah berat dan kesudahannya beliau akan menjadi bosan serta mula mencari alasan untuk meninggalkan pasukan Johor FA. Jangan salahkan saya kalau tragedi Tony Cottee berulang kembali.


Gaji Mahal? Takde hal.


Paling-paling busuk pun mesti Riquelme meminta gaji sebanyak RM1 JUTA. Memang agak murah kalau hendak dibandingkan dengan gaji Didier Drogba dan Nicholas Anelka di Shanghai Shenshua. Tetapi alangkah lebih molek sekiranya Johor FA dapat membuat satu-dua pembelian berkualiti. Sebagai contoh Ervin Boban ataupun Daren Stewart adalah antara import terbaik yang pernah mereka miliki. Membayar pemain luar dengan harga yang melampau hanya untuk beraksi dalam Liga yang  diubah formatnya setiap tahun adalah sesuatu perkara yang gila. Bolasepak di Malaysia adalah tempat yang kurang baik untuk membuat pelaburan perniagaan. Jadikan Malaysia seperti Jepun, kemudian baru kita fikir macam mana mahu mengaut keuntungan daripada penjualan jersi pemain bintang yang dibeli. 


Kesimpulan 


Secara jujurnya memang tidak salah kalau mahu membeli Riquelme. Cuma keadaan Liga Malaysia dan pasukan Johor FA itu sendiri yang tidak berapa nak ada itulah yang menjadi masalahnya. Sekiranya Liga M berada pada Kelas A, semua ini akan menjadi logik dan tidaklah nampak seperti lawak 'karoot komedia' yang hanya muncul seminggu sekali menggeletek tali pusat peminat bolasepak di Malaysia. Setakat ini sahaja dahulu bicara saya tentang bolasepak Johor. Iya saya orang Johor..sama juga macam Mawi..WORLD!!!

Friday, July 13, 2012

Harimau Malaya: Part II

Salam..Part II ini kebanyakannya hasil tulisan aku sendiri..campur aduk juga dengan tulisan brader Lucius Maximus..kredit to dier lagi...

7 April 2012


Player Focus Preview: Selangor vs Terengganu
Amri Yahyah.
Dalam dunia hanya ada satu Amri Yahyah. Satu-satunya pemain bolasepak yang menumpaskan 2 penjaga gol MenU (Edwin van der Sar & Ben Foster) dalam 90 minit permainan. Satu pencapaian yang hanya menjadi impian tak kesampaian buat Nando Torres atau Si Dubuk Liar bernama Didier Drogba. Pemusnah Red Devils ini walaupun sudah agak berusia tetapi mempunyai pengalaman yang berharga menentang kelab-kelab EPL. Mengamalkan pemakanan tempe secara sihat, gandingan beliau dengan Balaban malam ini tidak mustahil bakal menggentarkan Muslim Ahmad & Co.Like they said in Tanjung Karang, you don't mess with tempe eater.



8 April 2012


Inilah dia lumrah bolesepak Malaysia. Apabila tidak menang maka keluarlah alasan pemain kepenatan,perjalanan yang jauh,main lebih game sebab AFC cup dan sebagainya. Ini yang Rajagopal marah ni...Abang beliau si Wenger tak pernah pun bagi alasan macam ni. Bak kata pepatah Inggeris,"kalau takut dilambung ombak,jangan berombak di tengah malam".

9 April 2012


Preview Liga Super:Singapore vs Perak.
Selasa:10 April 2012(7.45 pm)
"Ater kome ingat kome Singa kome udah beso?Gajoh pun tumpo dengan teman" - ujar peminat No.1 The Yobs, Kak Limah Kampung Pisang.

Dijangka Akmal Rizal anak kelahiran Jitra Kedah dengan mudah akan memusnahkan Singapore malam esok.Bak kata Hang Nadim "Ibarat Singapore dilanggar todak gamaknyer..."



10 April 2012



"Saya tidak tahu (hukuman) itu kerana tidak dimaklumkan mengenainya dan saya berada di Singapura," titah baginda.


17 April 2012



Preview Pemain Fokus : T-Team Vs Kelantan
Daudsu Jamaluddin.
Peribahasa purba Kelantan ada menyebut bahawa 'Kelantan itu Daudsu dan Daudsu pula adalah Kelate'. Ya sememangya Red Warriors tidak dapat dipisahkan dengan Daudsu, ibarat lagu dan irama. Anak jati Kelantan ini merupakan antara pemain dalam skuad Harimau Malaya yang menjuarai Pestabola Merdeka 2007. Seterusnya beliau diserap ke skuad senior tetapi sehingga hari ini sekadar mengumpul hanya 10 caps. Mungkin bagi Daudsu, the only country for him is Islamic Republic of Kelantan. Namun malam ini beliau bakal melakukan tugas amal untuk Kelantan berdepan T-Team. Daudsu juga pemegang rekod pemain bolasepak tempatan yang paling banyak ada page dalam Facebook, terima kasih kerana gol sendiri yang disumbatnya dalam perlawanan akhir Piala FA 2011. Ganah Daudsu sumbak gol sendiri!


4 May 2012


Khutbah Jumaat:Edisi Bola.
Meminjam kata-kata hikmah dari seorang rakan, FAM = SAMAN = FAM. Begitulah hubungan karib antara FAM dan saman. Ibarat si buta yang berjalan memerlukan tongkat. Terbaru, Persatuan Bolasepak Sarawak didenda 29,500 dan Johor FC pula didenda 20,000. Mungkin si bijaksana di FAM mengatakan bahawa inilah sahaja caranya untuk mendidik penyokong bolasepak dan FA Negeri. Namun tertanya-tanya juga kemanakah semua duit ini pergi?Adakah ia digunakan untuk menyediakan meehun dan karipap sardin bagi minum petang semasa Mesyuarat Jawatankuasa FAM yang jarang-jarang diadakan itu?



10 May 2012


Burung Biru?Naga Merah? Tetapi nama gelaran pasukan bolasepak kita ialah Harimau Malaya bersempena mengambil nama spesis harimau dari nama yang sama yang hanya wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Tidak ada kena-mengena dengan isu politik atau perkauman. Dan Pak Belang bernama Harimau Malaya ini (Panthera tigris malayensis nama saintifiknya di Malaysia, Panthera tigris jacksoni di seluruh dunia) dinamakan Harimau Malaya atau Malayan Tiger sebab alamat rumah dia di Semenanjung Tanah Melayu/Malaya, sebab itu bukan dinamakan Harimau Malaysia atau Harimau 1Malaysia. Tak percaya tanya Animal Planet!

Harimau Malaya: Part I

Karya kali ini ingin mengabadikan segala 'post' di facebook profile saya. Kebanyakannya dari hasil tulisan saudara Lucius Maximus. Kredit kepada beliau. Moga ia menjadi salah satu arkeb negara buat kenang-kenangan..terimalah...

23 February 2012



Majoriti penyokong Malaysia ialah yang begini. Apa yang aku katakan sebelumnya sebagai 'the silent majority' dan hanya bising bila gol dijaringkan atau pemain Malaysia beraksi secara bangang. Tengok brader yang pakai jersi Malaysia itu, tak lain dan tak bukan mesti tengah maki pemain Malaysia. Brader (ke akak?) jersi Chelsea sebelah dia pula jenis yang mungkin tak peduli pasal bola Malaysia tapi lebih prihatin dengan bola Inggeris. Dia turun stadium pun sebab masa itu Chelsea datang lawan Malaysia di Stadium Shah Alam. Mereka inilah yang orang katakan 'bersorak ketika menang tetapi tidak menyokong ketika kalah'. Habis nak buat macam mana, dah pilihan hidup mereka begini.

24 February 2012



Ini abang Mansor Abdul Khoni, jika tak silap aku orang panggil dia Tok Mo. Siapa rajin tengok acara sukan yang melibatkan Malaysia pasti perasan Tok Mo ini, dengan kompangnya, bendera Malaysia dan perangai tak reti duduk diam. Baik menang atau kalah, main bagus atau bangang, Tok Mo tidak pernah berputus asa memberi sorakan. Penglibatan Tok Mo dalam karier menjadi tukang sorak Malaysia untuk semua jenis sukan ini sudah bertahun lamanya. Malahan jauh lebih lama sebelum istilah Ultras dikenali oleh awek-awek Facebook atau makcik Felda. Tapi apa yang pasti, Tok Mo bukan Ultras walaupun ciri-ciri beliau boleh dikatakan sama macam kebanyakan Ultras (kecuali bab usia). Sebaliknya Tok Mo bernaung di bawah kumpulan bernama Famemas.

25 February 2012



Kemudian selain dari Famemas ada pula kelab penyokong yang sepenuhnya milik swasta, seperti Team Malaysia yang ditaja oleh TM. Bayar yuran keahlian, dapat baju seragam dah boleh jadi ahli Team Malaysia dan peluang berlakon dalam iklan TV. Lagi senang kalau diri sendiri itu kakitangan TM. Oleh kerana di belakangnya ialah sebuah syarikat telekomunikasi gergasi, Team Malaysia dapat bajet yang cukup untuk pergi Sukan SEA macam Famemas. Dan seperti mana Famemas itu dilihat agak kerajaan, Team Malaysia dilihat agak korporat dan ini membuatkan sebilangan besar rakyat Malaysia yang anti berpersatuan tidak berminat dengan kelab sebegini. Atas sebab itu juga Team Malaysia ini dilihat tidak sebulu dengan Ultras Malaya yang cukup anti dengan benda-benda kapitalis ini, selain dari kedua puak ini sejak kebelakangan dilihat selalu bersaing di stadium ketika perlawanan bola.

27 February 2012


Tetapi ada juga yang masih suka berpersatuan, khususnya dalam kes bola sepak peringkat negeri. Mereka ini ahli-ahli kepada persatuan penyokong negeri dan pada masa yang sama juga mungkin ahli JKKK atau Belia 4B dan tak mustahil juga ahli UMNO berdaftar. Ini adalah kelompok penyokong yang telah wujud sejak zaman Semi Pro lagi. Kecenderungan mereka ialah untuk memukul rebana atau kompang sepanjang perlawanan, juga menggunakan bateri yang berkuasa selama 90 minit. Persatuan sebegini juga lazimnya akrab dengan persatuan bola sepak negeri selain biasa bergesel bahu dengan YB yang juga ahli majlis pimpinan persatuan bola sepak negeri.

28 February 2012



Untuk persatuan penyokong ini juga, jika pasukan bola sepak negeri mereka berjaya, kecenderungan mereka ialah untuk memuja-muja YB selaku presiden persatuan bola sepak negeri. Ini selalunya dizahirkan melalui kain rentang 'glossy' dengan muka YB tersebut ditempek sebesar alam. Bajet untuk kain rentang mahal sebegini tidak mustahil datang dari poket YB sendiri atau tabung cawangan UMNO terlibat sementara tempahan kain rentang mestilah dibuat di syarikat Bumiputera yang dimiliki oleh salah seorang ahli UMNO cawangan tersebut.

29 February 2012


Kemudian, ada pula kelompok yang sebegini. Ya jenis yang jangan dibuat main dalam hal ehwal bola sepak. Mereka ini boleh saja terdiri dari ahli persatuan penyokong atau kelompok 'silent majority' tadi. Tapi sekali bila dah panas, mereka tidak teragak-agak untuk mengkepala bana sesiapa pun. Ini baru tahap keluar kain rentang bajet ciput. Lagi 'real' punya marah ialah bila baling botol atau bakar mercun. Tahap 'dewa' punya marah pula boleh membawa kepada bakar stadium. Tapi terus terang, maki hamun boleh lagi diterima tapi baling botol, bakar mercun atau bakar stadium itu dah dikira bangang namanya.

1 March 2012


Namun ada juga jenis yang tenang, penyabar dan sudah cukup gembira kalau dapat ke stadium untuk makan kuaci atau burger. Mereka ini ialah Ultras Kuaci atau Ultras Burger. Bersorak ketika menang, makan kuaci ketika semua pemain sedang menggaru telor di padang dan mungkin pulang awal kalau dah jenis tak ada harapan nak menang. Amat sukar dilihat ketika zaman gelap bola sepak Malaysia. Tetapi bila dah mula ada cerah sikit-sikit masa depan bola negara mereka ini akan kembali rajin turun ke stadium sekaligus mengukir senyuman di wajah akak jual kuaci atau brader jual burger.

2 March 2012


Samalah juga dengan satu lagi kelompok penyokong yang boleh dikatakan baru muncul ini. Iaitu Ultras Awek. Dahulu sangat sukar dilihat tetapi kini seperti sudah menjadi kebiasaan di stadium. Mungkin satu masa dulu kecenderungan mereka sekadar menyarung jersi Manchester United dan menemani boyfie mereka yang ala-ala David Beckham atau Cristiano Ronaldo ke Hartamas Square untuk bola sepak Inggeris hujung minggu. Tapi kini dengan Manchester United sudah jatuh nombor dua dan pemain paling hensem mereka hanya tinggal Shrek Rooney, para gadis beralih arah ke Harimau Malaya, Apex dan juga adik Nazmi Faiz. Kaedah sokongan mereka ialah bertepuk-tepuk ketika Apex menangkap bola atau menggigit jari bila adik Nazmi Faiz dijatuhkan pihak lawan. Mereka juga cenderung bergambar ketika perlawanan supaya ada gambar untuk dimuat naik ke Facebook nanti. Tak kisahlah, sekurang-kurangnya ada bahan cuci mata untuk Ultras Kuaci dan Ultras Burger.

7 March 2012


Bagi yang telah mengikuti bola Malaysia lama sebelum zaman Piala AFF 2010 pasti tahu tentang HarimauMalaya.Com. Bermula dengan hanya beberapa kerat, HMC mula dikenali ramai apabila mereka buat gila dengan menyarung jersi hitam kuning Malaysia ketika Manchester United turun ke Bukit Jalil pada tahun 2009. Sekali pun berdepan puluhan ribu rakyat Malaysia keturunan Manchester, HMC tetap lantang memberi sokongan sehingga pemain macam Ari Yahyah pun boleh menewaskan Edwin van der Sar dan Ben Foster. Mengikut sumber tertentu asalnya Ultras Malaya bersekutu dengan HMC sejak tahun 2007, tetapi pada tahun 2010 berlaku perpecahan di antara HMC dan Ultras Malaya akibat perbezaan ideologi dan hari ini kedua-dua entiti telah membawa haluan masing-masing.

8 March 2012



Dan yang terakhir sekali, tidak lain dan tidak bukan ialah Ultras Malaya. Dari hanya beberapa kerat ketika tahun 2007 dan sewaktu Harimau Malaya dikepala banakan dalam Piala Asia, kini suku-sakat Ultras telah bercambah malahan turut wujud di kalangan penyokong pasukan negeri. Awalnya tidak diterima oleh kelompok penyokong yang lain, tetapi kini populariti mereka semakin meningkat dengan keupayaan mengumpul bala tentera yang ramai pada setiap perlawanan dan kelantangan mereka di stadium. Seperti Ultras lain di serata dunia, Ultras Malaya adalah penyokong yang radikal dan fanatik. Tetapi radikal-radikal mereka pun masih belum mampu menurunkan Sultan Bola dari takhta kesultanan bola sepak FAM.

21 March 2012

Harapan terakhir umat bolasepak nampaknya kini terletak pada satu susuk tubuh yang power lagi berdaulat. Ya, tidak lain dan tidak bukan Sultan Bola sajalah yang boleh mencabar Sepp Blatter. Dengan status sebagai Raja Melayu dan sokongan padu dari Perkasa dan Parti Cap Keris tidak mustahil Ketuanan Bolasepak Melayu dapat ditegakkan satu hari nanti.

23 March 2012

Kurangnya promosi bermakna kurangnya minat rakyat Malaysia kepada liga tempatan. Kerana kita ketandusan maklumat, berita dan juga gosip. Kita tahu dan arif mengenai perpindahan pemain luar ke kelab lain dan nilai bayarannya tetapi kita tidak tahu apa-apa mengenai pergerakan pemain tempatan. Namakan 25 pemain Kedah untuk musim ini dan kita semua akan ternganga mulut. Namakan 25 pemain Manchester United setiap permulaan musim dan kita ada maklumatnya.

28 March 2012

Satu masa dulu di zaman Malaysia bermain bolasepak sebenar, Liga M kita sangat popular dan mewah. Jumlah penonton yang datang ke stadium tidak boleh dikira dengan jari tangan atau kaki. Dan liga bolasepak kita sangat mewah sehingga pasukan negeri boleh pergi ke Eropah untuk perlawanan pemanas badan dan setiap pemain mampu memiliki sebuah Honda Civic ‘mayat’ dengan duit bermain bola. Sumber kemewahan bolasepak kita pada waktu itu selain kerana kepadatan penonton di stadium adalah kerana wang tajaan yang dihulurkan oleh Dunhill. Khabarnya sebanyak RM33 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun lamanya, membawa kepada jumlah penuh RM330 juta.

29 March 2012

FAM yang sebenarnya makan hati dengan FA negeri. Bila Harimau Malaya bermain macam Kucing Malaya dulu semua pihak menuding jari pada FAM tapi yang sebenarnya FA negeri juga bersalah. Grassroot development, atau pembangunan akar umbi sepatutnya bermula dari FA negeri. Tapi aku nak tanya berapa kerat FA negeri yang ada menganjurkan liga bolasepak negeri atau membuka akademi bolasepak di peringkat negeri secara berkesan? Jawab.

4 April 2012

Kesimpulannya dari senario bola sepak domestik Malaysia ini adalah mudah. Sebuah pasukan perlu menjadi seperti Terengganu pada musim lepas, yakni bermain dalam Liga Super, bermain hingga ke perlawanan akhir Piala FA dan juga Piala Malaysia untuk mendapatkan sejumlah 44 perlawanan kompetitif. Dan itu pun ia masih kurang 1 perlawanan dari kadar purata 'standard' yang boleh kita sasarkan untuk mana-mana pasukan pro di seluruh dunia. Tapi kalau bermain terlalu banyak perlawanan, bukankah pemain akan keletihan?Itu soalan yang selalu dibangkitkan khususnya di Malaysia. Dan juga alasan yang kerap digunakan oleh jurulatih dan pemain khususnya selepas mereka kalah dalam satu perlawanan antarabangsa. Ketika negara bola sepak lain sedang sibuk mencari jalan meningkatkan kecergasan pemain supaya mereka boleh bermain jumlah perlawanan semaksimum mungkin di Malaysia kita masih lagi mencari jalan untuk kurangkan perlawanan supaya pemain tidak letih. Ini saja sudah jelas menunjukkan mentaliti bola sepak kita yang mundur.

6 April 2012

Fokus Player Preview PDRM VS ATM:Hairuddin Omar
Siapakah pemain Malaysia pertama yang merobek gawang Chelsea? Siapakah pemain Malaysia yang mengakhir ketandusan gol Malaysia selama 12 tahun menentang lawan dari England sejak Matlan Marjan kali terakhir melakukannya pada 1991? Hairuddin Omar ialah orangnya wahai adik-adik, turut popular dengan nama Hai-O. Tinggi lampai, bernafsu buaya dan pandai melompat, beliau pernah menumpaskan John Terry dalam pertarungan udara pada tahun 2003 untuk menyumbat gol Malaysia ketika bertemu Chelsea.Kejayaan Hairuddin Omar menjulang Piala Malaysia 3 kali bersama 3 pasukan berlainan (Terengganu, Neger Sembilan & Kelantan) bagaimanapun tidak ada sangkut paut dengan amalan minum air tapisan berteknologi nano keluaran Hai-O Marketing.

Monday, July 9, 2012

Malaysia vs Manchester City:Satu Lagi Projek Sarkis dalam diam.

Malaysia vs Manchester City


Yahoo!!!Satu lagi projek sarkis dari FAM akan menemui anda. Malaysia vs Manchester City akan diadakan pada 30 Julai 2012 ini. Perlawanan bakal diadakan di stadium Bukit Jalil. Berikut adalah senarai pemain Harimau Malaya yang bakal dipanggil untuk pertemuan menentang Manchester Biru Cair ini...



Kedah:
Amar Rohidan
Khyrill Muhymeen
Baddrol Bakhtiar

Selangor:
Asrarudin Putra
Bunyamin Omar
Norazlan Razali
Safiq Rahim

N. Sembilan:
Shakir Ali
S. Kunalan
Farizal Marlias
Shahurain Abu Samah

Kelantan:
Khairul Fahmi
Shakir Saari
Subramaniam
Norshahrul Idlan

Terengganu:
Ashaari Samsudin
Muslim Ahmad
Faizal Muhammad

Pahang:
Azzamudin Akil

Harimau Muda:
Mahali Jasuli
Fadhli Shas

Sabah:
Rozaimi Abd Rahman

ATM:
Aidil Zafuan
Azmi Muslim
Amirizwan Taj

Felda United:
Yong Kuong Yong

Pelita Jaya:
Safee Sali

Sunday, July 8, 2012

Malaysia Layak ke Piala Dunia 2058.

Seorang sahabat bergambar dengan Piala Dunia milik Malaysia suatu hari nanti.


Ya. Itu adalah sasaran aku secara peribadi sekiranya ditanya bila masa paling sesuai untuk Malaysia layak ke Piala Dunia. Layak secara merit dan bukannya sebagai tuan rumah. Sudah 40 tahun kita tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke Piala Dunia. Jika dikira dari Piala Dunia Brazil 2014 ke Piala Dunia 2058, ada 12 edisi kesemuanya. Dan ia akan menjangkau masa selama 44 tahun. Kemudian ditolak pula Piala Dunia 2058, maka akan ada 40 tahun untuk FAM membuat persediaan. Tetapi pernahkah anda mendengar sasaran dari pihak FAM bila untuk mereka layak ke Piala Dunia? Adakah mereka lebih bersenang hati dengan setiap 4 tahun hanya untuk terkandas di pusingan pertama kelayakan Piala Dunia?


Sudah letih sebenarnya becakap tentang kebebalan FAM ini. Ibarat mencurah yougurt di daun keladi. Melekat sekejap, tetapi selepas itu dimakan semut. Memang tiada faedah kita melontarkan pelbagai idea untuk memajukan bolasepak ketika ini kerana selagi tidak berubah pucuk pimpinan FAM, maka setakat itu sahajalah bolasepak kita. Pada 2058 nanti, saya membayangkan Presiden FAM ketika itu adalah Safee Sali yang telah pun berumur 74 tahun (sama umur dengan aku) dan berada pada penggal terakhir sebagai presiden. Itu hanya sebagai bayangan sahaja kerana bagi saya amat penting memiliki presiden yang mempunyai naluri jiwa cintakan bolasepak selain pengalaman luas dalam bidang ini. Bukannya seorang yang hanya tahu duduk beralaskan sofa empuk dan ditemani penghawa dingin berjenama di pejabat.


Seperti yang kita tahu lewat ini begitu banyak konflik yang melibatkan FAM dan bolasepak Malaysia. Dari isu pemecatan Tan Sri Anuar Musa hinggalah yang terbaru isu kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun. Persatuan ini masih bermain drama dan kelihatan ketandusan cita-cita. Setiap kegagalan akan diletakkan di atas bahu pemain dan jurulatih. Tahun ini misi kita adalah mempertahankan Piala AFF Suzuki yang sewajibnya kita menang. Entah sampai bilalah kita nak menjadi jagoan asia tenggara yang tak seberapa ini. Itupun masih lagi bergelut untuk menewaskan pasukan seperti Myanmar dan Filipina. FAM yang tidak diubah pentadbirannya ini akan sentiasa mengecewakan hati seluruh peminat bolasepak Malaysia sehinggalah kiamat menjelma.


Saya yakin dengan bakat pemain yang ada sekarang ini. Cuma ia memerlukan satu badan yang bijak untuk mengeksploitasikan bakat-bakat yang sedia ada. Di dalam skuad Ong Kim Swee begitu ramai pemain yang berkualiti. Begitu juga dengan anak muda di sekolah Bukit Jalil serta pemain muda dari seluruh Malaysia. Sekiranya Nazmi Faiz berjaya mengembangkan kariernya di Portugal, maka tidak mustahil untuk kita melihat kebanjiran pemain Malaysia keluar bermain di Liga utama eropah seperti mana yang sedang dilakukan Jepun dan Korea. Dengan paksi yang dibina dari pemain ini maka sudah tentu kita akan menjadi pencabar di peringkat Asia dalam tempoh 20 tahun lagi. 


Saya rasa cukuplah 4 perenggan ini ek...hehehe..tulis panjang-panjang nanti kena tangkap pulok...Percayalah!! Menjelang 2058 kita akan layak ke Piala Dunia itupun dengan harapan Presidan FAM dan konco-konconya mengundurkan diri dengan cara terhormat mulai dari sekarang.  Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk meletakkan jawatan selepas meraih kejayaan Juara Piala Suzuki 2010 serta menjuarai 'Back-toBack' Pingat Emas Sukan Sea. Ini kerana sudah 40 tahun lamanya bolasepak Malaysia berada dalam kegelapan samada di peringkat Asia apatah lagi dunia. Sememangnya kita sudah cukup sengsara dengan tempoh ini. Selamanya gelap....

Bolasepak Malaysia

* Gambar pinjam dari seorang sahabat - Ujang - 

Tuesday, July 3, 2012

Apa yang FAM dan pengamal bolasepak Malaysia boleh pelajari daripada Kejohanan Euro 2012??


Salah satu skrin di Stadium Bukit Jalil dah rosak 'berabad' lamanya...bila mau 'repair'?

Kemudahan-kemudahan mesti dijaga dengan baik untuk menarik minat orang ramai datang ke stadium.


Menurut Jurulatih Ukraine Oleg Blokhin, kemudahan yang baik akan menarik lebih ramai orang untuk datang menonton bola sepak dan ini akan mempengaruhi pembangunan bola sepak. Sebagai contoh Stadium Olimpik Kiev yang menjadi tuan rumah perlawanan akhir telah dibuka pada tahun 1923. Bandingkan dengan Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil yang semakin merosot dari segi kemudahannya sejak kebelakangan ini walaupun ia siap pada 1998. Selain itu, kualiti padang juga perlu diberi perhatian kerana ia akan menghadirkan peningkatan permainan pasukan yang beraksi. Pemilik stadium tempatan mungkin boleh mengambil ini sebagai contoh terbaik.


Saiz adalah bukan segala-galanya.


Selama bertahun-tahun, alasan yang sering dikaitkan dengan kegagalan di peringkat antarabangsa bagi Malaysia ialah 'pemain kami adalah terlalu kecil'. Sepanyol, yang baru sahaja memenangi Piala Eropah, membawa skuad yang mempunyai ketinggian dengan purata hanya 180 sentimeter.


Gambar hiasan yang tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati.




Ini adalah masa depan kita!!!


Penting untuk mempunyai satu pelan induk untuk pembangunan akar umbi.

Sepanyol dan Jerman adalah contoh terbaik yang sempurna kerana mereka menetapkan sasaran lebih 10 tahun lalu dan telah dilaksanakan sepenuhnya pada masa ini seperti yang kita tahu ia telah membawa kesan yang besar pada kemajuan bolasepak mereka.



Bermain untuk negara anda adalah satu penghormatan tertinggi.

Orang-orang Eropah menunjukkan betapa bermaknanya bagi mereka untuk memakai jersi kebangsaan mereka. Steven Gerrard dari England dan pemain Itali, Danielle De Rossi adalah hanya dua contoh pemain yang telah sedaya upaya untuk menjalankan khidmat bermain untuk negara mereka walaupun mengalami masalah kekejangan dan keletihan.

Demi negara yang terchenta...



Liga domestik yang kukuh dan berkualiti akan pasti menghasilkan pasukan kebangsaan yang mantap dan berdaya saing.

Hampir semua pasukan yang mengambil bahagian memiliki liga yang berkualiti dan berdaya saing. Pasukan yang bermain di separuh akhir boleh dikatakan antara empat liga yang terbaik di Eropah dan ia tidak menghairankan bahawa majoriti pemain keempat-empat pasukan tersebut datang dari liga mereka sendiri. Rakyat Malaysia bolehlah menumpang sedikit kegembiraan daripada kenyataan bahawa Nazmi Faiz sedikit masa lagi akan beraksi dalam Liga Portugal.

Bukan lagi mimpi


Bola sepak boleh dijadikan kerjaya

Akhirnya, ibu bapa di Malaysia harus mangambil perhatian bahawa bola sepak juga boleh menjadi periuk nasi buat anak-anak mereka, jika mereka benar-benar mahu melakukannya. Bukan hanya tahu menghantar anak mereka menjadi artis AF/MENTOR dan sebagainya. Kebanyakan pemain bola sepak di Eropah pada hari ini bermula dari bawah, namun kini mereka telah berjaya setelah melalui usaha yang gigih.

Baik punyer...!!!


Sumber:Goal.com.