There was an error in this gadget

Wednesday, May 18, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan F



Portugal
 


Kadang-kadang aku tidak gemar suasana bising. Hiruk pikuk yang mengacau lamunan aku. Aku bersandar tenang dengan tangan disilangkan ke belakang kepala untuk menongkat tengkorak geliga ini. Sambil menyandarkan kerusi ke belakang aku pejamkan mata budar ini serapi mungkin. Tidak terlalu rapat, tidak juga terlalu terbuka sehingga menampakkan mata putih kesedapan.

Secara tiba-tiba satu susuk terimbas di depan mata aku. Aku tidak pasti sama ada ia benar ataupun sekadar lintasan. Terbuka mata aku terperanjat. Aku pejamkan sekali lagi. Satu kelibat berkepala hitam dengan rambut putih serta jambang berselirat dengan misai juga dalam tona warna yang sama. Ini Abel Xavier! Guman aku di dalam hati. Lama-kelamaan imbasan wajah itu bersilang bertindih-tindih dalam bayangan kepala aku. Rui Costa, Paulo Ferreira, Fernando Couto, Jorge Andrade, Costinha, Luís Figo, Petit, Pauleta, Simão, Nuno Valente, Ricardo Carvalho, Maniche, Deco dan Nuno Gomes. Aku menjadi sedikit cemas namun denyutan jantungku masih terkawal.

Bingkas aku membuka mata dan berdiri tegak seperti ingin menyanyikan lagu Negaraku. Menggeleng kepala perlahan lalu aku melangkah longlai ke luar balkoni. Kulihat bintang sedang berterabur sana sini bekerlipan tak tentu arah. Gelisah merindu Mira Filzah barangkali.

Aku kembali memusatkan fikiran aku kepada lintasan wajah-wajah lelaki Portugis dalam bayangan kepala aku tadi. Barulah aku ingat mereka semua itu adalah barisan emas skuad bola sepak Portugal yang pernah menggegar Eropah dan Dunia dengan ceritera kebangkitan tidak kesampaian mereka itu. Ada bijak pandai dalam bola sepak pernah berkata inilah barisan pemain terbaik yang pernah wujud di Portugal. Aku tidak menolak kata-kata tersebut. Dahulu mereka semua itu adalah Portugal. Manakala Portugal itu sendiri adalah sekumpulan pemain penuh berbakat yang sepatutnya mampu menutup hikayat mereka dengan kegemilangan tersendiri. Peluang itu sudah hampir benar. Namun ia tersangkut di tangan Greece pada tahun 2004. Ia sekaligus menjadikan Portugal satu-satunya pasukan tuan rumah yang masuk ke perlawanan akhir dan kemudiannya tewas.

Kini Portugal telah banyak berbeza. Portugal itu Ronaldo. Ronaldo itu Portugal. Mampos keras pemain Real Madrid ini apabila segala tekanan diletakkan di pundaknya. Bukanlah langsung tiada pemain yang lain. Namun perhatian berlebihan yang diberikan kepada Ronaldo menjadikan pasukan ini seolah-olah hanya bergantung harap kepada dirinya seorang sahaja.

Kejohanan di Perancis kelak seakan-akan meletakkan Portugal sebagai pasukan pilihan yang paling lemah. Namun mereka perlu berasa lega apabila diletakkan dalam kumpulan F bersama Austria, Hungary dan Iceland. Bolehkah pasukan Portugal keluar dari kumpulan ini sebagai juara dan melangkah jauh sehingga ke perlawanan akhir? Tiada jawapan mapan untuk itu.

Aku kembali memandang bintang di langit yang sedang berterabur sana sini bekerlipan tak tentu arah. Gelisah merindu Mira Filzah barangkali. Begitulaaaaaah....

 
Iceland

Dengan cermat aku menutup pintu balkoni dan mengambil tempat duduk di atas sofa betul-betul di hadapan televisyen. Satu persatu saluran tivi aku tukarkan siarannya. Sehinggalah aku terhenti pada saluran berita dunia. Farid Ismet dengan nada tegas serta nafas turun naik bersuara.

"Iceland bergolak lagi. Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson meletak jawatan kelmarin sekali gus menjadi ahli politik pertama yang menjadi mangsa kepada pendedahan skandal global terhadap urusan kewangan luar pesisir yang digelar ‘Kertas Panama’."

Aku tersenyum sinis apabila teringatkan sebaris kata-kata pujangga tua di media sosial. 'Inilah akibatnya apabila memimpin bukan atas nama agama, bangsa dan negara serta tidak mendapat sokongan padu akar umbi dan derma Arab Saudi.'

Mencembikkan bibir dan aku mengakui sekurang-kurangnya pasukan bola sepak Iceland power dalam kekabutan politik mereka secara tiba-tiba ini. Malaysia? Politik hancor. Sukan lodoh. Hancor lodoh kata orang putih.

Pemain seperti Gylfi Sigurdsson (Swansea), Aron Gunnarsson (Cardiff) dan Kolbeinn Sigthorsson (Nantes) merupakan antara tonggak dan pemain bintang yang membawa Iceland ke Piala Eropah 2016. Dengan hanya berbekalkan populasi penduduk sekitar 330,000, Iceland menjadi negara terkecil untuk layak ke Piala Eropah selepas dengan automatik meninggalkan Turki dan Belanda di belakang mereka pada bulan Septembar yang lalu.

Kejayaan Iceland ini diperolehi beradasarkan gerak rangka kerja yang berdisplin serta etika berpasukan yang dibina padu oleh bekas jurulatih Sweden iaitu Lars Lagerback. Beliau juga mendapat manfaat hasil daripada sokongan kerajaan yang sejak awal tahun 2000 lagi telah membina padang tiruan di seluruh negara supaya Iceland boleh bermain lebih lama daripada lima bulan dalam tempoh setahun.

Semakin lama aku nengok muka Farid Ismet ni, naik marah pulak aku dibuatnya. Bila dia nak pencen ni?

 

Austria

Mereka tidak kalah dalam perlawanan kelayakan. Satu keputusan yang mantap serta ia menjadi batu asas kukuh yang pasukan ini adalah yang terbaik pernah wujud di Austria sejak lewat 1970-an.

Jurulatih Marcel Koller baru sahaja mengumumkan 24 senarai awal pemain yang akan menyertai skuad bagi perlawanan persediaan menentang Malta dan Belanda. Ia termasuk pemain yang menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Bundesliga iaitu Christian Fuchs (Leicester City) dan David Alaba (Bayern Munich).

Selain itu, kehadiran Marko Arnautović (Stoke City) juga perlu diberi perhatian. Musim ini beliau menjadi penjaring terbanyak untuk skuad Stokelona. Manakala gandingannya bersama Alaba dalam kempen kelayakan merekodkan sebanyak tujuh gol.

Secara peribadi aku merasakan Austria boleh melepasi peringkat kumpulan ini sekiranya Portugal gagal bertaubat daripada mengharapkan kudrat Ronaldo seorang.


Hungary

Lama juga tak nampak kemunculan Hungary di mana-mana kejohanan besar di Eropah mahupun dunia. Akhirnya setelah  hampir 30 tahun, pasukan yang tajam dari segi taktikal dan corak permainan ini keluar daripada pertapaan mereka.

Walaupun begitu laluan mereka pada pusingan kelayakan yang lalu tidaklah berapa manis. Tiga jurulatih telah dipecat. Attila Pinta,  Pal Dardai dan Bernd Storck semuanya bekerja separuh jalan. Sehinggalah muncul Andreas Moller, bekas anggota skuad Jerman yang menjulang Piala Eropah ini pada tahun 1996. Beliau berjaya menempah perlawanan play-off bertemu Norway.

Mungkin jika analisis kasar memperlihatkan pasukan ini tidak akan mampu melepasi peringkat kumpulan. Namun sekurang-kurangnya mereka boleh memberi sedikit senyuman kepada roh
Ferenc Puskas dan Laszlo Kubala.


Perlawanan Tumpuan: Portugal Melawan Austria

Semasa kempen kelayakan, pasukan Austria antara yang paling seronok untuk ditonton aksi mereka. Austria memberikan persembahan terbaik mereka dan mengejutkan peringkat kelayakan. Sudah pasti mereka sekali lagi akan mengulangi perkara yang sama kali ini.

Apabila Austria dijadualkan bertemu Portugal pada 18 June dalam perlawanan kedua, kedua pasukan ini berkemungkinan sudah memungut 3 mata penuh dalam perlawanan pertama masing-masing. Tetapi jika sebaliknya berlaku, pertemuan ini akan menjadi perlawanan wajib menang buat mereka.


Pertembungan Force: Ronaldo Melawan Arnautovic

Tinggi bergaya kacak orangnya. Pawer dalam menyerang dan mempunyai kemahiran individu tak terkalahkan. Namun mempunyai mood yang tidak menentu sehinggakan kadangkala ia memberi impak negatif kepada pasukan yang mereka wakili. 

Secara peribadi aku sendiri tidak sabar melihat aksi Marko Arnautovic di kejohanan besar, terutamanya apabila beliau akan berhadapan dengan Cristiano Ronaldo. Ini kerana Marko mulanya mengalami satu karier yang semput di Liga Perdana Inggeris. Sehinggalah awal musim ini apabila beliau dan Stoke menemui keserasian abadi. Khabar angin turut bertiup yang mengatakan Stoke sudah bersedia untuk menawarkan kontrak termahal buat Marko. Sekaligus menjadikan beliau pemain bergaji paling mahal di Stoke City.

Kedua pemain, Marko dan Ronaldo mempunyai abiliti untuk menukar haluan perjalanan kumpulan F ini. Tetapi siapakah antara mereka yang akan berjaya woih?


Keistimewaan Kumpulan F: Kecergasan dan Prestasi Ronaldo

Cristiano Ronaldo jenis yang macam manakah yang akan muncul di Perancis kelak? Superstar yang cergas serta dahagakan kejuaraan sulung terulung bersama negaranya? Atau ketua pasukan lusuh yang penat dan tak kuasa nak melayan misi menyelamatkan maruah Portugal seorang diri?

Kita sudah lihat apa yang berlaku kepada Portugal ketika Piala Dunia di Brazil. Jika mereka ingin mengubah takdir, Ronaldo perlu berusaha lebih 200%.







Thursday, May 5, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan E


Piala Eropah 2016: Kumpulan E

Belgium

Sejak beberapa tahun yang lalu majoriti peramal dan pengkaji bola sepak berpendapat suatu masa nanti Belgium akan menjadi penguasa bola sepak dunia yang disegani. Ya, berdasarkan ranking FIFA mereka sedang berada di landasan yang tepat. Tetapi generasi emas ini perlu membuktikan potensi mereka dan mula memenangi kejuaraan dengan Piala Eropah ini perlu menjadi permulaan mereka selepas kegagalan menepati jangkaan ramai dalam Piala Dunia 2014 yang lalu - kejohanan yang menyaksikan mereka tewas kepada Argentina pada peringkat suku akhir tanpa mencapai tahap tertinggi dalam aksi mereka.


Inilah masanya bintang muda asuhan Marc Wilmots menunjukkan kematangan mereka. Nama-nama seperti Eden Hazard, Lomelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Dries Mertens dan Divock Origi antaranya pemain yang mampu menjulang Belgium ke puncak kegemilangan Piala Eropah 2016. Mereka pernah merasai tahkta pertama ranking FIFA dan ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada pasukan yang bergelar The Red Devils ini.


Satu nama lain yang aku ingin perkenalkan ialah Michy Batshuayi. Dia menjaringkan dua gol dalam dua penampilannya dengan pasukan senior Belgium selepas melalui satu musim yang sedap di Marseille. Info mengatakan penyerang berusia 22 tahun ini memiliki kemapuan yang hampir sama dengan Benteke dan Lukaku. Namun kelebihan beliau ialah memiliki sepasang kaki yang pantas dan kuat untuk menjaringkan gol serta kerapkali menewaskan pertahanan lawan dengan skil dan helah yang mengelirukan. Jaga-jaga...


Itali

Itali adalah negara Eropah paling sukses dengan 4 kejuaraan Piala Dunia FIFA, 1934, 1938, 1982 dan 2006. Dengan satu koleksi kejuaraan Eropah pada tahun 1968 menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan setiap kali layak ke kejohanan besar seperti ini.

The Azzurri layak ke Piala Eropah 2016 dengan rekod tanpa kalah. Namun skuad asuhan Antonio Conte ini kelihatan biasa-biasa sahaja. Tiada nama-nama besar seumpama Fabio Cannavaro, Alessandro Del Piero, Gennaro Gattuso, Francesco Totti, Filippo Inzaghi, Gianluca Zambrotta, Andrea Pirlo mahupun Marco Materazzi dalam skuad kali ini.

Dua perlawanan menentang pasukan lemah, Malta hanya mencatatkan keputusan 1-0 dalam kedua-dua aksi. Dan jika dinilai secara imbas kekuatan pasukan Itali ini tiada apa yang istimewa darinya.

Menjadi naib juara pada tahun 2012 meskipun mereka gagal melepasi peringkat kumpulan dalam dua edisi Piala Dunia yang yang lepas. Tidak boleh tidak, Azzurri mesti mencapai satu keputusan terpuji untuk Piala Eropah 2016 ini. Berdasarkan bakat individu yang dimiliki dalam skuad kali ini, tidak mustahil Itali akan menjulang Piala Eropah yang kedua. Giorgio Chiellini, Daniele De Rossi, Thiago Motta, Marco Verratti dan Stephan El Shaarawy sudah tidak sabar untuk mengukir sejarah baru buat pasukan Itali.

Bukankah ia sangat manis sekiranya kita sebagai penonton bola sepak mendapat kejutan sedemikian rupa?


Republic of Ireland

Semasa aku menulis tentang pasukan ini, Leicester City baru sahaja beberapa jam dinobatkan sebagai Juara Liga England yang baru. Sekaligus menjadi pasukan ke-6 dalam sejarah pemodenan bola sepak Inggeris. Benda yang jarang berlaku seperti ini amat indah untuk dikenang apabila kita duduk melepak dengan rakan tua sambil melayan cerut Colombia barang sebatang dua.

Ia sama seperti kejayaan Denmark pada Piala Eropah 1992 dan juga Greece pada tahun 2004. Semasa aku sedang termenung mencari idea untuk menaip tentang Republic of Ireland, sesuatu yang diluar jangkaan kepala otak aku ligat melintas. Kenapa tidak boleh The Green Army ini menjadi juara Piala Eropah pada tahun ini? Hah?

Mereka mempunyai pemain seperti Shay Given, Seamus Coleman, Paul McShane, John O'Shea, Marc Wilson, Stephen Ward, Darron Gibson, Wes Hoolahan, James McCarthy, Glenn Whelan, Robbie Keane, Kevin Doyle, Shane Long dan Jon Walters yang semuanya dalam usia matang dan sedap untuk bermain bola sepak seperti gaya yang dimahukan oleh Martin O'Neill dan Roy Keane.

Martin O'Neill yang dikenali sebagai antara jurulatih yang bertaktikal tinggi mengakui kehadiran Roy Keane sebagai pembantunya memberi kesan yang positif kepada pasukan dan setiap pemain. Hasilnya mereka layak ke Piala Eropah 2016 selepas menewaskan Bosnia 3-1 dalam perlawanan play-off. Sebelum itu mereka hanya mampu berada di tangga ketiga dalam kumpulan yang turut memiliki Jerman dan Poland.

Namun begitu Republic of Ireland hanya bolos 7 gol meskipun Jerman dan Poland secara keseluruhannya berjaya menyumbat 57 gol. Dan apa yang lagi pawer ialah mereka berjaya menewaskan Jerman dalam perlawanan yang berlangsung di Dublin. Hasilnya mereka menyertai jiran Northern Ireland, Wales dan England bagi membawa semangat United Kingdom ke pentas Eropah.

Meskipun Scotland tidak turut serta bersama mereka, aku yakin roh William Wallace sedang tersenyum menumpang gembira. 


Sweden

Sweden ditendang keluar pada peringkat kumpulan dalam dua Piala Eropah yang lepas. Berdasarkan statistik ini juga ramai pemerhati bola sepak tidak bertauliah merasakan pasukan ini turut tidak akan mampu pergi jauh dalam edisi kali ini.

Ya betol mereka memiliki Zlatan Ibrahimovic - penyerang yang masih merbahaya nak mampos walaupun menginjak ke usia 34 tahun. Tetapi beliau secara individu juga tidak akan boleh menjanjikan bulan bintang kejayaan menjulang trofi Eropah di bumi Perancis nanti.

Pada pusingan kelayakan yang lalu mereka terkelucai apabila menentang Austria. Dan juga turut tewas kepada pasukan Russia yang biasa-biasa sahaja malahan huru-hara pasukannya. Kau bayangkan betapa bergelutnya Sweden kelak apabila dijadual berhadapan degan pasukan penuh berbakat Belgium dan pasukan lagenda seperti Itali.

Banyak nampaknya kerja rumah yang Erik Hamren serta anak buahnya perlu buat sebelum kaki melangkah masuk ke pesawat kapal terbang Scandinavian Airlines.


Perlawanan Tumpuan : Itali Melawan Ireland

Mungkin ia adalah perjalanan yang sedikit sukar buat Ireland untuk kempen Piala Eropah mereka pada kali ini. Namun dengan format baru yang sudah dikembangkan, nasib mereka masih boleh diukir pada pengakhiran yang lebih terhormat apabila dijadual bertemu Itali pada 22 Jun nanti meskipun tewas pada dua perlawanan awal sebelum itu.
 
Sejarah juga membuktikan Ireland memiliki memori indah apabila bertembung dengan Itali. Sudah tentu ada yang masih ingat perlawanan kedua pasukan ini pada Piala Eropah 2012 yang lalu apabila berkesudahan dengan keputusan Itali menang 2-0 hasil jaringan Balotelli dan Cassano. Ataupun adakah kenangan Ireland menewaskan Itali pada Piala Dunia 1994 dahulu akan menjadi panduan arah semangat Martin O'Neill and Co.? Marilah kita menunggunya dengan penuh debor di dada.

Pertembungan Force: Ibrahimovic Melawan Kompany.

Kedua pemain ini dijangka bertemu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan tanggal 22 Jun nanti. Sekiranya ini adalah aksi terakhir Zlantan bersama Sweden, sudah pasti beliau tidak akan duduk diam seperti kebanyakan penyerang pasukan Malaysia. Jadi kita menjangkakan Zlatan akan melincah ke kiri dan kanan. Melompat ke sana dan ke sini. Menaduk dan merebut bola tanpa henti sepanjang 90 minit perlawanan ini.

Siapa yang akan menyekatnya?

Tidak lain dan tidak bukan ialah Kapitan Belgium iaitu Vincent Kompany. Sekiranya beliau cergas, tugas mengawal Zlatan - antara pemain terbaik dalam dunia yang berbakat itu tidak akan menjadi masalah besar buat dirinya. Pertembungan dua kuasa ini akan menjadi memori manis buat seluruh pencinta bola sepak. Percayalah cakap aku ni.


Keistimewaan Kumpulan E: Kebangkitan Lukaku.

Romelu Lukaku antara kegagalan utama Belgium dalam Piala Duni 2014 yang lalu. Namun kali ini mungkin peluang untuknya bersinar agak cerah.

Dengan kekerapan peluang bermain dalam pasukan Everton, kemampuannya sedikit sebanyak semakin meningkat meskipun Everton tidak berada dalam kedudukan yang baik ketika ini. Ia juga sekaligus menjadikan Lukaku antara pemain yang paling direbutkan dalam Liga Perdana Inggeris.

Sekiranya beliau berjaya menterjemahkan ketajaman menjaringkan golnya dalam aksi antarabangsa bersama Belgium - pasukan yang penuh bakat muda bola sepak. Tidak mustahil Belgium akan menjulang Kejuaraan Piala Eropah 2016 buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak mereka.