Kabooom!!
Pintu bilik ditutup rapi. Aku pulang ke bilik hotel dengan penuh ceria selepas melepak dengan Baggio dan Maldini. Suasana senja di Florence memang mengasyikkan. Sedang aku leka melihat matahari terbenam di Sungai Arno, pintu bilik aku diketuk beberapa kali.
Ketika aku membuka pintu, tiada sesiapa di luar melainkan sebuah beg kecil berbentuk kotak empat persegi. Aku menoleh ke sebelah kiri dan kanan. Setelah mendapati tiada sesiapa pun di situ, barulah aku berani mencapai beg itu. Tatkala dibuka sahaja, terdapat sekeping tiket kapal terbang dan juga nota yang turut sama disertakan. Nota tersebut berbunyi.
"Paris sungguh indah menjelang senja. Merupakan kota romantis dan eksotis. Titus James Palani permata beharga yang makin dilupakan"
Nampaknya aku ditugaskan untuk menjejak Titus James Palani. Kali terakhir aku dengar cerita pasal dia ialah apabila Shebby Singh mempelawa Titus James untuk sesi percubaan bersama Blackburn Rovers. Aku tidak mahu guna perkataan Misi dalam tugasan ini. Sebabnya siapa yang guna perkataan Misi ni kebanyakannya akan berakhir dengan melingkup. Semacam ada satu sumpahan pula.
Titus James, suatu masa dahulu adalah budak remaja berusia 12 tahun yang menjadi tumpuan satu Malaya dek kerana kehebatannya menimbang bola tanpa rasa ragu. Aku masih ingat lagi kata-kata seorang sahabat aku, Kudin.
"Apabila aku sudah akil baligh nanti, aku nak jadi Titus James"
Aku yang ketika itu mempunyai kecerdikan 5 tahun kehadapan berbanding rakan sebaya yang lain hanya mampu tersenyum mendengar cita-cita si Kudin. Begitulah betapa hebatnya penangan fenomena Titus James. Mujur masa beliau muncul, belum ada artis yang kemaruk nak berkahwin dengan pemain bola. Kalau ada..entahlah apa akan jadi pada budak yang berasal dari Brickfield, Kuala Lumpur ini.
Mula-mula aku sampai di lapangan terbang antarabangsa Charles de Gaulle, aku tahan teksi Peugeot 406. Aku memang dah pasang niat dari Malaysia lagi nak naik teksi ni. Semuanya gara-gara terpengaruh dengan filem Taxi. Filem Taxi yang aku maksudkan ialah filem yang asal buatan Perancis tu dan bukannya yang ditiru oleh Hollywood. Cuma bezanya teksi Peugeot 406 ini ialah, ia jenis yang standard punya.
Pemandu teksi tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Pascal Cygan. Bermuka bengis dan berkepala botak. Wajahnya mirip bekas pemain pertahanan sebuah kelab bola sepak dari London. Aku cuba berteka-teki di dalam hati sahaja. Tapi tidak berani bertanya secara mulut ke mulut.
Masuk dalam teksi, sejurus aku menutup pintu kereta...
"Ya abanglah pemain pertahanan Arsenal yang 'flop' tu. Kau tak payahlah nak tahan-tahan gelak. Abang dah lali dengan caci maki orang ramai. Padahal bukan abang saja yang 'flop'. Wiltord, Jeffers pun bangang jugak. Tapi balik-balik nama abang jugak yang naik."
Menerusi cermin pandang belakang sahaja dia berkata-kata kepada aku. Renungan matanya tajam menikam kalbu. Tiba-tiba emosi pula orang tua ni. Aku terus tersengih-sengih mendengar luahan emosi si Pascal Cygan tadi. Aku cakap nak pergi Nanteuil, nak tengok rumah Titus James. Jarak Nanteuil dari Paris ada dalam 389 kilometer lebih kurang.
Dalam perjalanan, Pascal Cygan, si pemandu teksi yang juga bekas pemain Arsenal, bertanya tujuan aku bertandang ke Perancis. Aku pun dengan peramahnya berceritalah serba sedikit kepada beliau.
"Oh begitu rupanya. Abang pun kenal Titus James ni. Kalau tak silap, Nanteuil FC ni kelab kelima yang dia wakili selepas Le Havre, Quevilly, Meaux dan juga Villenoy. Dulu masa dia baru sampai sini, dia duduk dekat Rouen, rumah sepupu belah mak abang punya jiran. Kalau tak silap abang nama dia Francis Herbert. Francis Herbert dengan isteri dia, Slyvaine Wairin juga khabarnya jadi keluarga angkat Titus masa tu." - begitu mesra Pascal Cygan menceritakan perihal ringkas berkenaan Titus James.
Aku terdiam. Pandanganku dilontarkan jauh ke luar teksi. Sekawan bison yang berlari-lari di bahu jalan seolah-olah sedang mengejar teksi membuatkan diriku seperti di dalam satu percutian mewah. Biasanya pemandangan sebegitu hanya terdapat di Taman Negara Yellowstone. Entah macam mane bison boleh muncul di sini pun aku kurang periksa.
"Betol ke zaman gemilang Titus adalah semasa dia beraksi dengan kelab Villenoy?" - soal aku lagi kepada Pascal Cygan dengan kemas dan cerdas.
Pascal Cygan tidak terus menjawab. Diseloknya poket pakaian seragam, lalu sebiji 'chewing tobacco' dikeluarkan. Dibuka sarungnya dan beliau mula menyambung cerita sambil mengunyah laju.
"Ya memang betol. Titus masa tu adalah ketua pasukan bawah 18 tahun kelab Villenoy. Dia juga penjaring terbanyak pasukan dengan 16 gol. Pada hujung musim pula, Villenoy menamatkan kedudukan di tangga ke-5 liga di Paris. Satu pencapaian yang bolehlah dikatakan hebat bagi seorang pemain Asia Tenggara"
Mata aku semakin layu akibat keletihan melalui perjalanan yang jauh. Kini teksi kami sudah menginjak melalui kota Orleans. Aku lihat bangunan lama klasik masih berdiri teguh di kiri dan kanan jalanraya. Kagum melihat keutuhan struktur bangunan lama yang masih gah berdiri. Apabila teringatkan Terengganu, aku termalu sendiri sambil menggeleng kepala perlahan.
"Creeeeeeeeeeeeeet" - Teksi berhenti mengejut.
Dekat tiga jam berkereta akhirnya aku selamat sampai di Nanteuil tempat bertapaknya kelab yang diwakili oleh Titus James ketika ini. Dari sini untuk menjejak rumah Titus James tidak sukar. Sebut saja nama Titus James dan semua orang kenal anak muda ini. Ternyata 'Black Pearl from Brickfield' ni memang besar pengaruhnya di Perancis.
Aku bertanya pada seorang anak remaja, Steve Marlett yang sedang menimbang bola di kaki lima. Bandannya yang berpeluh dan tidak berbaju aku abaikan. Aku nekad menghampirinya.
Setelah memperkenalkan diri dengan serba mantap, aku ceritakan segala-galanya tentang tujuan aku ke sini. Tentang tugasan aku menjejak Titus James, kegilaan aku terhadap Chelsea dan bagaimana rindunya rakyat Malaysia kepada Titus James ini membawa aku terbang jauh ke Perancis dari Itali, walaupun dekat-dekat raya Deepavali ni susah nak dapat tiket sebenarnya.
"Oooh..pahamlah saya kenapa abang datang ke sini. Tapikan bang, kenapalah agaknya Malaysia selalu jek abaikan pemain berbakat yang main luar daripada Liga M? Ape hebat sangat ke Liga Malaysia tu? Tengok macam Wan Kuzain Wan Kamal, sekarang ni dah wakil USA bawah 17 tahun. Tak rasa ralat ke terlepas pemain berbakat macam ni?"
Satu soalan dari Marlett yang seakan-akan cuba bermain dengan emosi aku. Aku beristighfar bertalu-talu sambil memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada anak muda ini. Dengan semangat yang padu, aku lontarkan senyuman semanis tebu sambil menjawab.
"Dulu tahun 2005 kita dah panggil Titus berlatih di bawah bimbingan Bertalan Bicskei. Tapi masa ni dia tak cergas. Masa 2008 pulak, dia tidak menjawab panggilan Sathianathan untuk bermain menentang Chelsea atas alasan permit kerja. Jadi sebenarnya memang sudah ada usaha untuk membawa pulang Titus James ni. Cuma masanya sahaja belum tahu." - kemas aku melontarkan jawapan kepada Steve Marlett.
“Sebenarnya kitorang dekat Perancis ni pun tak berapa berkenan kalau Titus main untuk Malaysia. Bukannya ada faedah pun. Rosaklah reputasi pemain sehebat Titus kalau turun bermain untuk negara yang berkedudukan di tangga ke-160 FIFA. Kami semua dekat Perancis ni kira berterima kasih jugalah sebenarnya pada Malaysia sebab melahirkan bakat sehebat Titus. Meriah sikit liga kitorang”
Tidak mahu bertekak panjang, aku pun meminta arah jalan menuju ke rumah Titus James. Dari Marlett aku diberikan petunjuk ke rumah keluarga Titus. Belok kanan, belok kiri, jalan lurus, jalan bengkang-bengkok, semua ada. Sebelum aku beredar Marlett sempat bertanya soalan cepu mas.
“Bro, bila Malaysia nak layak ke Piala Dunia?”
Aku memilih untuk berdiam diri. Soalan macam tu biarlah FAM yang jawab.
Selepas beberapa minit berjalan dan beberapa batang rokok dihabiskan. Eh, maksud aku orang lain di tepi jalan yang aku ternampak hisap rokok, aku tak hisap rokok, akhirnya aku tiba juga di rumah Titus James.
Aku lihat habis basah baju aku dengan peluh. Berpeluh itu memang satu nikmat, tapi angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengenai wajahku ini lebih memberi nikmat kepadaku.
Aku lihat jam di tanganku. Tepat jam 4 petang aku tiba di hadapan rumah Titus James. Aku menunggu di luar dengan penuh mantap. Titus melangkah keluar dari rumahnya dengan sebuah senyuman manis dilontarkan kepadaku.
"Jemputlah masuk. Makanan dah lama terhidang"
Ramahnya Titus James umpama sudah bertahun mengenali diri ini. Aku melangkah penuh tertib ke dalam rumahnya. Di dalam hati aku masih lagi berharap agar susuk ini pulang berbakti kepada negara satu hari nanti.
TAMAT.
Nota: Selamat Hari Besday Soltan Bola. Tahniah pada Datuk Jamal dan Datuk Rossa. Kahkahkah...
Player dah tak mahu berbakti kepada negara, biqrkan mereka, tentu sekali ada sebabnya,
ReplyDeleteSalam kenalan daripada blogger kepada blogger moga saling tukar fikiran...
ReplyDeleteagak lawak disitu
ReplyDeleteSiapa yg percaya dgn cerita ni punya otak budak 5 tahun..
ReplyDelete