Wednesday, April 10, 2013

Surat Terbuka Buat TMJ

Ampun Tuanku,
 
Izinkan patik menggunakan bahasa saya dan TMJ sahaja.Terlebih dahulu saya ingin memberitahu pada TMJ bahawa betapa rakyat terujakan kehadiran dan usaha TMJ dalam kancah bola sepak Negara. Umpama menggantikan Istana Lama dengan Istana Baru, TMJ dilihat sebagai pihak yang mampu membawa impak besar kepada bola sepak Negara dengan mempelajari segala yang mampu dari Tuanku Sultan Ahmad Shah. Dengan usia yang masih muda,TMJ adalah calon paling layak menggantikan Tuanku Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden FAM apabila tiba masanya yang difikirkan sesuai oleh Tuanku Presiden FAM.
 
Malahan, TMJ juga dilihat rakyat dapat mengenepikan protokol dan birokrasi untuk menyampaikan suara peminat sukan bola sepak Negara terus ketelinga Sultan Ahmad Shah. Sebenarnya, TMJ, ramai yang tidak suka dengan Sultan Ahmad Shah tanpa mereka sendiri sedari betapa baginda telah berjasa pada sukan bolasepak Negara sejak dahulu sehingga hari ini.
 
Tentu TMJ masih ingat kegemilangan bola sepak Negara dizaman tajaan rokok. Selain rokok yang telah diharamkan menaja, Syarikat Judi dan Arak juga menjadi tulang belakang kepada Pasukan Bola Gergasi Inggeris sejak dahulu. Berbeza di Malaysia, judi dan arak amat sensitif, sedangkan tanpa iklan dan penajaan jumlah orang Islam berjudi dan minum arak tetap tidak berkurang juga, malah bertambah.
 
Dinding tebal minda inilah yang menjadi penghalang kemajuan sukan bola sepak Negara dan menjadikan Sultan Ahmad Shah, wira sebenar bolasepak Negara.
 
Dikala sukan lain merayu dan mengemis tajaan, bola sepak tetap mendapat tajaan paling banyak walaupun majoriti peminat bola sepak tempatan “mengkhianati” Liga Tempatan.
 
Kerana usaha berterusan Sultan Ahmad Shah, Kerajaan melalui KBS terus menyalurkan sejumlah dana setiap tahun untuk pembangunan sukan bolasepak. Kerana karakter Sultan Ahmad Shah, bola sepak Malaysia terhindar dari politik teruk dan jijik seperti Persatuan Bola Sepak Indonesia. Kerana SultanAhmad Shah, bola sepak tidak menerima nasib yang sama dengan persatuan badminton, takraw, tenis, lumba basikal dan lain-lain yang terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa untuk melahirkan pelapis dan jaguh baru menggantikan jaguh lama seperti Misbun, Rashid, Lee Chong Wei, jaguh takraw, jaguh hoki yang semuanya dulu mendapat tajaan rokok seperti Perilly’s, Dunhill, Rothmans dan banyak lagi.
 
Sebenarnya, hoki juga ditimpa malang yang sama, hanya bergantung kepada dana kerajaan yang tidak tentu masa merencatkan perancangan mana-mana persatuan. Tajaan pula tidak masuk kerana tiada nilai komersil. Maka,peranan Sultan dalam menarik tajaan amat didambakan oleh semua persatuan sukan. Justeru,kehadiran TMJ amat-amat dialukan bukan sahaja rakyat Johor tetapi peminat sukan bola sepak seluruh Negara.
 
Sultan Ahmad Shah dikecam dan dihina oleh peminat sukan yang dangkal dan naïf. Mereka mencemuh Presidan FAM sedangkan hendak beli tiket RM20 setahun pun mereka tidak mahu, sedangkan mereka mampu membayar ribuan ringgit untuk membeli rokok, dan melanggan siaran sukan luar Negara.
 
Halangan pertama kemajuan bola sepak Negara adalah tajaan syarikat judi dan arak yang masih belum dapat diterima masyarakat yang mindanya belum terbuka.
 
Halangan kedua adalah peminat dangkal yang hanya tahu menyalahkan pihak lain, saya pasti jika ASTRO meletakkan caj RM 5 sebulan untuk siarang lansung liga tempatan, 1000 pelanggan pun belum tentu mahu melanggan.
 
Halangan ketiga, adalah politik golongan politik dalam sukan untuk meraih populariti. Selain wang, ahli politik menggunakan sukan untuk nama mereka terus mendapat liputan media dan rakyat dan seterusnya mencerahkan peluang mereka terpilih sebagai calon yang relevan untuk ditimbangkan PM.
 
Halangan keempat adalah rasuah bola sepak dimana ia memerlukan gaji tinggi untuk ditawarkan pemain bagi mengelakkan mereka menerima rasuah, mungkin satu pelan persaraan dengan jawatan, kerja dan gaji tinggi untuk lebih 25 tahun selepas mereka bersara bola sepak sehingga mereka bersara wajib 60 tahun pula. 
 
Empat halangan ini hanya mungkin dapat diatasi oleh pemimpin berjiwa besar dan berprofil tinggi seperti Sultan Ahmad Shah dan TMJ. TMJ tidak perlu pedulikan apa rakyat dan peminat mahu kata, kerana itu sahaja yang mereka pandai, paling hebat pun mungkin menimbang bola 10 kali sahaja. TMJ harus kental dan nekad seperti Sultan Ahmad Shah dan menghayati makna perjuangan belum selesai.
 
Akhir kata Tuanku TMJ, TMJ adalah pelangi yang hadir selepas hujan. Walaupun sekejap, ia mengukir senyum dan memberi harapan matahari akan menyinar semula. Jika bukan 5 tahun mendatang, mungkin 50 tahun akan datang.Insya Allah, kita berusaha ALLAH yang menentukan. Teruskan TMJ.
 
Artikel Asal:

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...