There was an error in this gadget

Saturday, April 26, 2014

Piala Dunia 2014 : Iran



Piala Dunia 2014 : Iran 


Pengenalan 

Iran bermain bola sepak. Malaysia juga masih lagi bermain bola sepak. Tapi Iran sudah 4 kali layak ke Piala Dunia. Malaysia pula tidak pernah. Iran tidak mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Malaysia jadi pak turut Uncle Sam. 

Sebenarnya tiada apa yang berkaitan di situ. Jadi janganlah engkorang marah ke aku pulak. Dan jangan pulak menuduh aku geng syiah. 

Di rantau Asia, pasukan Iran memiliki reputasi yang membanggakan. Sebagai contoh, untuk Piala Asia sahaja mereka sudah layak 13 kali (termasuk 2015) dan muncul juara 3 kali berturut-turut. Tetapi ianya berlaku lama dahulu dalam edisi 1968, 1972 dan 1976 dan semenjak itu Iran tidak lagi berjaya menjulang Piala Asia. Manakala bagi Piala Dunia pula, mereka bermain pada edisi 1978, 1998, 2006 dan 2014. 

Dari tahun 1978 sehinggalah 1998, pasukan Iran hilang dari peta bola sepak dunia. Dan tempoh 20 tahun ini adalah satu kejatuhan yang agak lama. Kejatuhan mereka dalam kancah bola sepak dunia sinonim dengan kejatuhan kerajaan Shah Reza Pahlavi, biarpun Iran layak secara konsisten dalam Piala Asia pasca Revolusi Islam Iran. 

Melihat kepada kumpulan F yang turut disertai Argentina, Nigeria dan Bosnia, Iran sekali lagi dijangka sukar untuk melepasi peringkat kumpulan. Jika Khodadad Azizi, Karim Bagheri, Ali Daei dan Mehmed Mahdavikia dulu gagal melaksanakannya, apalah pula harapan yang ada pada Team Melli hari ini? 


Jurulatih: Carlos Queiroz. 


Selepas beberapa tahun bergantung nasib pada jurulatih tempatan, Iran kembali menoleh kepada kepakaran dari Eropah. Lalu Carlos Queiroz dilantik menjadi jurulatih pada 2011. 

Barisan pemain Team Melli yang dipilih oleh Carlos Queiroz merupakan campur aduk pemain dari berbagai kelab di Iran Pro League dan juga beberapa pemain yang beraksi di sekitar Eropah. Setakat artikel ini ditulis, Carlos Queiroz memiliki 55.88 peratus kemenangan dalam 34 perlawanan yang beliau lalui bersama skuad Iran. Satu rekod yang boleh disandarkan untuk Piala Dunia 2014 kelak. 


Ketua Pasukan: Javad Nekounam. 


Setelah 6 tahun berkelana di Sepanyol bersama kelab Osasuna, pemain tengah berpengalaman ini kembali semula ke Iran untuk bermain bersama Esteghlal FC. Kini pada usia 33 tahun beliau bersama pasukan Al-Kuwait dan setakat ini sudah mengharungi 7 perlawanan dan menjaringkan 1 gol untuk kelab ini. 

Manakala rekodnya sebagai pemain kebangsaan Iran juga amat membanggakan dengan sudah mencatat 37 gol daripada 136 penampilan antarabangsanya. Pencapaian yang menjadikan beliau si pemegang lilitan lengan. 


Pemain Bintang: Masoud Shojaei. 


Tinggi dan kreatif. Pernah membentuk gandingan padu bersama Nekounam ketika mereka beraksi untuk Osasuna. 

Ketika Nekounam sudahpun kembali ke tanah Arab. Masoud Shojaei masih tabah merantau di negara orang dengan menjadi pasukan Las Palmas sebagai destinasinya sejak dari tahun 2013 lagi. 
  

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Reza Ghoochannejhad.


Selain daripada dua pemain Iran yang pernah bermain dengan kelab Sepanyol Osasuna yakni Javad Nekounam (sebagai kapten) dan Masoud Shojaei. Team Melli juga memiliki pemain lain yang tidak kurang hebatnya. Antaranya ialah Reza Ghoochannejhad. 

Pemain ini turut menjadi sandaran buat Team Melli dengan rekod beliau 9 gol daripada 11 perlawanan menjadi bukti kepentingan Reza Ghoochannejhad sebagai mesin gol pasukan Iran. 

Berhijrah dari Standard Liege ke Charlton Athletic pada Januari 2014 dan telahpun menjaringkan 1 gol dari 14 aksinya bersama The Addicks. 

Thursday, April 24, 2014

Piala Dunia 2014 : Bosnia and Herzegovina



Piala Dunia 2014 : Bosnia and Herzegovina 


Pengenalan 

Negara yang  merdeka pada tahun 1992 ini berjaya melayakkan diri buat kali pertama dalam Piala Dunia selepas menjuarai kumpulan G. Gol jaringan Vedad Ibisevic telah membawa mereka ke Brazil. Walaupun berkongsi jumlah mata dengan pasukan Greece, namum kelebihan jaringan ternyata berpihak kepada mereka dengan 30 gol. 

Sebut pasal Bosnia, ingatan aku pantas terimbas pada pertemuan singkat aku dengan lagenda bola sepak Itali. 

..........Sambil makan, Maldini membuka mulut memulakan bicara. 

“Aku fikir pasukan Bosnia sangat bertuah kerana telah layak ke Piala Dunia tahun depan .” 

Baggio meletakkan sudu dan garfu. Aku dan Taruddin hanya terdiam. Muka tegas Roberto Baggio tajam merenung mata kami berdua secara bergilir-gilir. Kemudian dia mengalihkan pandangan matanya ke arah Maldini pula. 

“Itu aku tau Dini...tapi yang hairannya negara depa baru saaaaat ja merdeka tahun 1992. Masa Bosnia perang dulu, Malaysia kelam kabut hantaq askar pergi sana tolong. Entah apa depa buat dekat bola depa, tiba-tiba layak ke Piala Dunia 2014.,” jawab Baggio pula. 

Mana aku nak letak muka aku ni? Negara Bosnia ini mempunyai 3.83 juta penduduk sahaja kalau Soltan Bola dan sahabat sekalian mahu tahu. FAM tak nak jawab ke kenapa Malaysia payah sangat nak layak ke Piala Dunia? 


Jurulatih: Safet Susic. 

Melatih Bosnia sejak 2009. Tempoh 4 tahun sudah cukup buat beliau untuk menyediakan sebuah pasukan hebat yang mampu layak sehingga ke Piala Dunia. Dahsyat. 

Suatu ketika dahulu beliau adalah seorang pemain tengah kreatif yang telah bermain lebih daripada 350 perlawanan untuk Paris St Germain. Sebelum bersama Bosnia, karier kejurulatihan beliau banyak berlegar-legar di sekitar negara Perancis dan Turki. 


Ketua Pasukan: Emir Spahic. 

Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang latar belakang pemain ini jika kita bercakap tentang kemahsyuran. Namun beliau dikenali di negaranya sebagai seorang ketua pasukan yang penuh pengalaman. 

Kini beraksi untuk Bayer Leverkusen sebagai pertahanan tengah. Pada usia 33 tahun, dia telahpun beraksi di banyak Liga serata Eropah antaranya Croatia, Russia, France, Spain dan di Bosnia sendiri, 


Pemain Bintang: Edin Dzeko. 


Jika dikaji secara kasar, kita jarang dapat melihat aksi Edin Dzeko setiap minggu untuk Manchester City. Ini kerana persaingan yang ketat untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad Manuel Pellegrini tersebut. 

Tetapi rekod 33 gol jaringannya dalam 60 penampilan antarabangsa bersama Bosnia membolehkan nama beliau berada dalam senarai teratas setiap kali perlawanan melibatkan negara bekas jajahan Yugoslavia ini. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Miralem Pjanic. 


Ketika AS Roma menghabiskan sejumlah £10 Juta pada 2011 untuk memiliki pemain ini, ramai yang berkerut seribu. Tetapi tidak termasuk aku. Aku masih tenang sambil melayan Liga Super Malaysia yang kacau bilau. 

Hanya pada usia 24 tahun, pemain tengah serangan ini berjaya membuktikan kualiti beliau dengan kehebatan teknikal yang tinggi. Dia juga boleh bermain sebagai pemain sayap kiri dan kanan kerana mempnuyai dua belah kakinya yang 'hidup'. 

Monday, April 21, 2014

Piala Dunia 2014 : Argentina


Piala Dunia 2014 : Argentina

Pengenalan

Jika dikaji menerusi sejarah bola sepak Argentina, mereka hanya sekali gagal layak ke Piala Dunia iaitu pada tahun 1970. Manakala 3 edisi yang lain adalah disebabkan mereka enggan mengambil bahagian atas alasan politik. 

4 tahun yang lepas Argentina telah memilih Maradona sebagai jurulatih mereka. Pendekatan ini bagi aku sebenarnya lebih kepada beromantisme terhadap sejarah. Dan Argentina hanya mengharapkan barisan pemain bintang mereka untuk menyerlah.   

Namun lambakkan pemain yang berbakat sahaja tidak mampu menjulang Argentina kepada kejayaan yang lebih mutlak. Apa yang dikesalkan ialah persembahan mereka kurang menyakinkan apabila tiba di kejohanan sebenar meskipun menguasai pusingan kelayakan dengan mudah semudah mudahya, tiada yang mudah melainkan yang mudah mudah belaka. 

Tahun ini Argentina sekali lagi tampil dengan menjanjikan corak permainan penuh menarik dengan barisan pemain serangan hebat seperti Higuain, Lavezzi, Aguero, dan tidak ketinggalan Messi. Sebenarnya inilah gaya Argentina sejak dahulu lagi dan aku amat sukakannya. Gandingan beberapa pemain yang bertubuh kecil yang sebenarnya mampu memberi kejayaan kepada mereka. 


Jurulatih: Alejandro Sabella. 


Mungkin nama Alejandro Sabella tidak sebesar Maradona. Pernah bermain di Liga Inggeris bersama Sheffield United dan Leeds United semasa zaman mudanya.   

Sabella kemudiannya mula melatih Argentia pada July 2011. 

"Kami tahu pasukan lawan pasti gerun dengan barisan serangan Argentina," ujar beliau dalam laman sesawang rasmi pasukan bola sepak Argentina. Namun apabila ditanya tentang peluang Carlos Tevez yang telah menjaringkan 18 gol dalam Serie A musim ini untuk bermain di Piala Dunia, beliau hanya menguap dan meneruskan makan kacang. 

Jadi, di sini bukan sahaja taktikal yang menjadi taruhan utama, tapi paling penting sejauh mana Alejandro Sabella menjadi seorang motivator terulung. 


Ketua Pasukan: Javier Mascherano.   


Ketua pasukan Argentina ini pernah memenangi 2 kali pingat emas sukan olimpik iaitu pada 2004 dan 2008. Selepas itu dengan tanpa ragu, bekas lagenda Argentina Jorge Voldano dan Jorgen Solari menganggap pemain ini sebagai antara pemain tengah terbaik dunia. 

Namun apabila bersama Barcelona, dia lebih banyak diturunkan sebagai pertahanan tengah. Ini kerana kemampuannya dalam bertahan disamping kekurangan pemain Barcelona untuk beraksi di posisi ini. 


Pemain Bintang: Lionel Messi. 


Lionel Messi adalah antara beberapa pemain era moden yang memiliki reputasi hampir serupa dengan Maradona. Ini dibuktikan lagi dengan kejayaan dia menggondol anugerah Ballon d’Or untuk 4 musim berturut-turut sebelum dirampas kembali oleh Cristiano Ronaldo. 

Sekali lagi Argentina akan bergantung harap kepada Messi untuk membawa kejayaan serta Piala Dunia dan ia bergantung pada apa yang akan berlaku di sekelilingnya. 

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Marcos Rojo.


Tinggi lampai dan berbadan sasa. Mempunyai kaki kiri yang kuat. Kini bermain untuk Sporting Lisbon. 

Hanya baru berusia 24 tahun dan semakin mula mendapat kepercayaan jurulatih Sabella untuk pilihan kesebelasan utama pasukan Argentina. 

Saturday, April 12, 2014

Piala Dunia 2014: Perancis


Piala Dunia 2014: Perancis


Pengenalan.

Kira-kira 110 tahun yang lalu pasukan bola sepak Perancis telah ditubuhkan. Selain menduduki tempat ketiga di Sweden pada tahun 1958, Perancis telah lama dianggap sebagai negara yang pulang awal ataupun dalam bahasa yang lebih kejam, BUNGKUS. Namun lakaran tersebut mula berubah apabila munculnya satu susuk yang memimpin Perancis dalam Piala Dunia 1982 iaitu Michel Platini. Pada edisi 1982 ini mereka berjaya menduduki tangga ke-4. Satu kejayaan yang mencetuskan fenomena kepada seorang individu bernama Platini. 

Perancis kemudiannya hanya berjaya muncul sekali sebagai juara pada edisi 1998 yang juga ketika itu beraksi sebagai tuan rumah. Nama-nama seperti Zinedine Zidane, Fabien Barthez, Bixente Lizarazu, Emmanuel Petit, Lilian Thuram dan Youri Djorkaeff antaranya menjadi basahan bibir setiap peminat bola sepak ketika itu. Namun selepas 16 tahun kejayaan ini pasukan Perancis masih kekal hidup dalam kenangan silam. 

Walaupun begitu mereka masih antara kuasa bola sepak besar dunia yang perlu disegani. Ini dibuktikan dengan kemampuan mereka mengejutkan ramai apabila layak ke perlawanan akhir Piala Dunia 2006 sebelum Zidane mengakhiri kariernya dengan cara yang menyedihkan sewaktu Itali bergelar juara menerusi penentuan penalti. 

Menariknya skuad Perancis kali ini bertunjangkan barisan pemain yang masih muda usianya. Antaranya ialah kapitan Hugo Lloris (27), Varane (20), Paul Pogba (21) dan juga penyerang terbilang Real Madrid, Karim Benzema (26). Menengok dari usia mereka, pasukan ini terbukti mempunyai potensi untuk maju lebih jauh lagi. Itu belum lagi aku sebut nama pemain lain seperti Ribery, Matuidi, Clichy, Giroud dan Nasri. Melihat senarai penuh skuad Perancis untuk Piala Dunia 2014 kelak sudah pasti akan menaikkan adrenalin pencinta pasukan Les Blues ini. 


Jurulatih: Didier Deschamps. 


Didier Deschamps adalah ketua pasukan Perancis yang menjulang Piala Dunia 1998. Kredibiliti beliau sebagai pemain tidak perlu dibahaskan lagi. 

Sebagai seorang pengurus pula, dia berjaya memberikan Marseille kejuaraan Ligue 1 pada musim 2009-10 dan juga membimbing AS Monaco ke perlawanan akhir Champions League 2003-04. 

Didier Deschamps juga seorang pengurus yang menitikberatkan kekuatan pasukan melalui pertahanan dan kita akan dapat lihat nanti sama ada beliau berjaya memberikan Perancis Piala Dunia ke-2 ataupun tidak. 


Ketua Pasukan: Hugo Lloris. 


Penjaga gol terbilang yang mewakili Tottenham ini memegang peranan sebagai ketua pasukan semenjak sebelum bermulanya Euro 2012. 

Walaupun wajahnya tidak sebengis José Luis Chilavert mahupun Oliver Kahn, tetapi beliau masih lagi tersenarai antara 20 penjaga gol terbaik dunia masakini. Apa yang pasti ialah ketangkasan Hugo Lloris akan menjadi penentu masa depan Perancis dalam Piala Dunia kali ini. 


Pemain Bintang: Franck Ribery 


Antara masalah utama Perancis ialah untuk mencari pemain yang boleh mencipta keajaiban seperti lagenda mereka Zinedine Zidane. Kenyataan bahawa Frank Ribery adalah pemain yang diharapkan dapat mencetuskan kebangkitan pada edisi 2014, sememangnya tidak dapat diragui lagi. 

Walaupun begitu, beliau hanya menduduki tempat ke-3 untuk Ballon d’Or 2013 di belakang  Messi dan Cristiano Ronaldo. Kelincahan serta kepantasan beliau di bahagian sayap untuk pasukan Bayen Munich turut membantu kelab ini memenangi kejuaraan Champions League dan 4 tahkta Bundesliga. 

Ribery yang usianya sudahpun mencecah 31 tahun yakin inilah peluang terakhir beliau untuk menjulang Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan Perancis.  Mungkin tekanan untuk memenangi Piala Dunia ini akan membantu dirinya menjadi inspirasi kepada seluruh skuad Les Blues. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Paul Pogba 


Mungkin ada segelintir peminat Manchester United yang berjujuran air mata setiap kali melihat aksi pemain ini bersama pasukan Juventus. Beliau meninggalkan kelab Manchester untuk mendapatkan lebih banyak peluang bermain dengan menyertai Juventus pada tahun 2012. 

Hanya berumur 21 tahun dan kelihatan masih banyak masa dan ruang peningkatan buat pemain ini. 

Tuesday, April 8, 2014

Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 12


Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 12  | 11 April 2014 (Jumaat) 


Johor Darul Ta'zim vs PKNS FC 

Cesar Ferrando Jimenez wajar kembali menurunkan Safiq Rahim dalam kesebelasan utama JDT. Selain daripada sudah berkahwin dengan Zandra Hakimi, Safiq Rahim adalah bekas ketua pasukan Harimau Malaya yang dahulunya kerap menjadi arkitek jentera tengah JDT. Keserasian beliau dengan barisan serangan yang dipertajamkan oleh Norshahrul serta Safee Sali yang juga dahulunya merupakan antara gandingan berbisa dalam Piala AFF 2010 memang tidak dapat disangkal lagi. 

Minggu lepas JDT hanya mampu seri 1-1 dengan PKNS di Shah Alam. Jadi JDT semestinya mahu mencari 3 mata apabila kini beraksi sebagai tuan rumah pula. 

Walaupun begitu PKNS pasti tidak redho menjadi mangsa JDT di Larkin. Tetapi kelebihan akhirnya mungkin akan berpihak kepada tuan rumah meskipun ada sesetengah penyokong mereka sudah mula putus harapan dengan Jiminez. 

Pemain Tumpuan Johor Darul Ta'zim : Mahali Jasuli 
Pemain Tumpuan PKNS FC : Patrick Ronaldinho Wleh 
Ramalan : Johor Darul Ta'zim 1 - 0 PKNS FC 


Terengganu vs Sarawak

Pasukan Terengganu kembali bernyawa musim ini selepas mereka dibimbing oleh Haji Abdul Rahman. Secara peribadi beliau adalah tokoh bola sepak yang aku hormati. 

Sarawak yang tewas ketika menjadi tuan rumah di Kuching minggu lepas akan ke Kuala Terengganu pula. It’s a do or die mission buat Sarawak yang menghuni tangga  ke-8 liga dan juga jurulatih mereka Robert Alberts. 

Robert Alberts, atau nama panjangnya Robert René Alberts, akan membuktikan kepakaran taktikal beliau apabila memastikan peluang Sarawak untuk bersaing dalam Liga Super terus hidup. Menyedari bahawa skuad Ngap Sayot kali ini perlu meraih kemenangan, Robert Alberts menggunakan taktik intimidasi serta pendekatan bercorak fizikal untuk mengatasi Terengganu. 

Pemain Tumpuan Terengganu : Nor Farhan 
Pemain Tumpuan  Sarawak : Rashid Aya 
Ramalan Terengganu 2 - 1 Sarawak 



Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 12  | 12 April 2014 (Sabtu) 

Selangor vs Perak 

“Ini dugaan besar buat saya. Allah Taa’la mungkin hendak menguji saya”! 

Begitulah kata Pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad mengenai insiden keengganan pemain Lubnan, Imad Gaddar beraksi dalam perlawanan dengan Selangor di Stadium Perak, minggu lepas. Gaddar, 23, yang baru diikat Perak dan disahkan boleh bermain malangnya menghampakan Bos Gaurus apabila enggan beraksi dalam perlawanan pertamanya itu. Tindakan Imad itu mencatat sejarah sendiri dalam Liga Super apabila menjadi pemain pertama ditamatkan kontrak belum pun sempat beraksi untuk pasukan barunya. 

Aku pun tak tahu macam mana pasukan Perak ini diuruskan. Tetapi menengok daripada kedudukan carta Liga Super, dan kes terbaru ini kita semua sudah tahu betapat kucar-kacirnya mereka menguruskan pasukan bola sepak mereka. Mamat yang marah-marah aku itu hari pasal aku tak 'UP' pasukan kesayangan dia ni pun dah hilang ke mana agaknya. Ditelan gua barangkali. 
  
Oleh itu, Selangor akan menang di Shah Alam. 

Pemain Tumpuan Selangor : Paulo Rangel 
Pemain Tumpuan Perak: Imad Gaddar  :-) 
Ramalan : Selangor 2  - 0 Perak 


Pahang vs T-team 

Dua perlawanan, dua kemenangan. Apa benda yang dimakan pemain Pahang sebenarnya ni? 

Pahang menamatkan pusingan pertama Liga Super dengan bersemayam tenang di takhta Liga. Permainan mereka juga semakin bagus, ada taktikal dan strategi. Untuk perbandingan boleh katakan setaraf dengan Everton. Lawan Chelsea memang tak dapatlah tapi setakat Arsenal apa ada hal? 

Sebagai sebuah negeri yang pernah diletakkan di bawah sistem Residen British, Pahang banyak mewarisi kemahiran bola sepak gaya Eropah terumanya England. Hantaran lintang yang agak tepat, banyak ’through pass’, stamina kuda serta ’winning mentality’. Mereka gemar menggunakan kelebihan full back yang pantas untuk flanking attack dan hantaran lintang ke dalam kotak. Hasilnya...Nah!!! Pahang kekal Makmur di persada Liga Super. 

Pemain Tumpuan Pahang : Zesh Rahman 
Pemain Tumpuan T-team : Ramzul Zahini Adnan 
Ramalan : Pahang 3 - 0 T-team 


LionsXII vs Sime Darby FC 

Pasukan LionsXII yang bermain dalam liga super kali ini mengharapkan tenaga anak muda tempatan untuk merobek gawang gol setelah ketiadaan pemain naturalisasi mereka. Dan penyelamat itu muncul dalam bentuk Safuwan Baharudin dan Khairul Amri. Dua pemain yang sangat berbakat. 

“Mereka adalah masa depan pasukan kebangsaan kami. Dengan pemain asing di samping kadang-kadang sukar bagi pemain muda Singapura untuk masuk, tetapi Safuwan Baharudin dan Khairul Amri telah lakukan yang terbaik dan mereka layak untuk berada dalam kesebelasan utama kelak,” jelas Fandi Ahmad yang mengharapkan kemenangan sekali lagi ke atas Sime Darby FC dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Supar nanti. 

Pemain Tumpuan LionsXII : Safuwan Baharudin 
Pemain Tumpuan Sime Darby FC : Juzaili Samion 
Ramalan: LionsXII 3 - 0 Sime Darby FC 


ATM FA vs Kelantan 

Pasukan ATM, perennial underachievers musim ini akan berdepan tugas berat untuk mengatasi Kelantan dalam perlawanan pertama pertama pusingan kedua Liga Supar ini meskipun beraksi sebagai tuan rumah. 

"Mungkin keyakinan ini hilang kerana ATM menduduki tangga kedua tercorot liga hingga memberi kesan negatif kepada sikap pemain ketika dalam permainan. Namun kehadiran semula penjaring terbanyak liga musim lalu, Marlon Alex James selepas ini mampu meningkatkan kembali motivasi serta keyakinan pemain lain," kata Sathianathan ketika dihubungi oleh seorang wartawan murahan. 

Buat pasukan Kelantan pula, khabar angin yang mengatakan bahawa Rajagopal akan mengambil alih jawatan dari Steve Darby bertambah kuat berikutan kegagalan The Red Warriors mengekalkan rentak cemerlang mereka musim ini. Jangan lupa temujanji bersama kedua pasukan ini pada jam 8:45 malam Sabtu dan lupakan segala aksi bola sepak antarabangsa terutamanya Liga Inggeris. 

Pemain Tumpuan ATM FA : Marlon Alex 
Pemain Tumpuan Kelantan : Shawky Yazid 
Ramalan: ATM FA 2 -1 Kelantan 

Friday, April 4, 2014

Piala Dunia 2014: Honduras


Piala Dunia 2014: Honduras

Pengenalan 

Jangan terkejut berok kalau anda mendapat tahu yang rakyat Honduras hanya berjumlah 7.7 Juta umat sahaja dan bukannya 28 Juta. Dan jangan juga terkejut hanjeng apabila dengan jumlah penduduk sebegini ramai, Honduras telah layak ke Piala Dunia sebanyak 3 kali. Ini membuktikan betapa pentingnya kualiti bebanding kuantiti.

Okay, jadi bila lagi Harimau Malaya nak main dalam Piala Dunia? Tunggu harimau bertanduk? Aku tinggalkan soalan ini untuk dijawab oleh penyokong setia Soltan Bola. 

Kali pertama Honduras bermain dalam Piala Dunia ialah pada edisi 1982 di Sepanyol. Honduras berada dalam Kumpulan 5 bersama Northern Ireland, pasukan tuan rumah Sepanyol dan Yugoslavia. Seri 2 perlawanan dengan Sepanyol dan Northern Ireland manakala tewas 0-1 kepada Yugoslavia memaksa Héctor Zelaya rakan-rakan pulang awal. Itali muncul juara Piala Dunia 1982. 

Kali kedua ialah pada edisi 2010 di Afrika Selatan. Honduras diundi dalam Kumpulan H sekali lagi bersama Sepanyol, Chile dan Switzerland. Mereka seri 0-0 dengan Switzerland, kalah dua perlawanan, 2-0 di tangan Sepanyol dan 1-0 kepada Chile. Menduduki tangga ke-4 Kumpulan H, Honduras pulang awal lagi. Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2010. 


Jurulatih: Luis Fernando Suarez 

Jangan engkorang terkeliru nama jurulatih ini dengan penyerang Liverpool yang dahsyat itu. Luis Suarez yang ini berusia 53 tahun dan berasal dari Colombia. 

Sebelum bersama Honduras, dia telah membimbing Ecuador mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2006 namun malangya ketika itu mereka tewas dengan sepakan percuma daripada David Beckham. 


Ketua Pasukan: Noel Valladares. 


Penjaga gol veteran dan tua yang berusia 36 tahun ini membuat penampilan bersama skuad Honduras pada tahun 2000 dan sejak itu dia telah mengumpul sebanyak 118 penampilan di peringkat antarabangsa. 

Walaupun dia bukanlah seorang penjaga gol yang tinggi seperti Halim Napi atau Omar Salim. Tetapi dengan ketinggian 5 kaki 10 inci ini beliau masih mempunyai tidak balas yang pantas dan menakjubkan, 


Pemain Bintang: Carlo Costly. 

Berlainan pula ceritanya dengan Carlo Costly. Penyerang yang berusia 31 tahun ini mempunyai ketinggian 6 kaki 4 inci dan membolehkannya bersaing dengan mana-mana barisan pertahanan. Kalau setakat Evra ataupun Clichy tu memang celah gigi beliau sahaja. 

Mempunyai pengalaman yang luas dan kini bermain untuk kelab tempatan di Honduras iaitu Real C.D. España. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Jerry Bengtson. 


Nama penuhnya ialah Jerry Ricardo Bengtson Bodden. Dia bermain sebagai seorang penyerang untuk pasukan New England Revolution di Major League Soccer. 

Sekiranya engkorang masih ingat, dia telah muncul antara sensasi ketika sukan Olimpik London selain daripada Neymay dan menjadi penjaring terbanyak pusingan kelayakkan dengan 9 gol. 

Wednesday, April 2, 2014

Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 11


Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 11  | 4 April 2014 (Jumaat) 


PKNS vs JDT 

Nada kecewa diluahkan oleh pengurus pasukan JDT, Bojan Hodak ketika ditanya tentang kegagalan mereka mengutip 3 mata sewaktu menentang Sarawak. "Kami menguasai perlawanan tetapi apabila asakan bertubi-tubi dilakukan, kami tetap masih buntu menjaringkan gol. Ia pasti menyukarkan kami mencari kemenangan, tambah pula pasukan lawan `berkampung' di kotak penalti," ujar beliau sebelum tergesa-gesa meninggalkan majlis. 

Ramai peminat bola sepak tidak sabar menantikan pertarungan antara Paksi Kejahatan JDT dan Paksi Kebaikan PKNS ini yang akan berlangsung pada hari Jumaat jam 8:45 malam dan kedua pasukan ini mejanjikan satu perlawanan yang sengit dan menghiburkan. 

Pemain Tumpuan PKNS : Aminudin 
Pemain Tumpuan JDT: Lucho Figueroa 
Ramalan PKNS 2 - 2 JDT 


Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 11  | 5 April 2014 (Sabtu) 


Sarawak vs Terengganu 

Liga Super akan bersepak mula seperti biasa pada malam Sabtu dengan tuan rumah, Sarawak bertemu jaguh Pantai Timur, Terengganu. Debaran Sarawak menanti kunjunganTerengganu adalah ibarat debaran tentera Rentap menantikan kunjungan Empayar British bimbingan James Brooke beratus tahun dahulu. James Brooke dan tenteranya cuba menakluki Gunung Sadok dengan membawa 4,000 tentera. Ya lama dulu lagi rakyat Sarawak sudah berperang mempertahankan tanah mereka. 

Tiga mata adalah penting untuk tuan rumah. Tetapi Terengganu FA telah menetapkan sasaran juara liga super untuk skuad mereka biarpun pada mulanya mereka bukanlah pasukan pilihan. 

Pemain Tumpuan Sarawak : S. Chanturu 
Pemain Tumpuan Terengganu : Zairo Anuar 
Ramalan Sarawak 1 - 2 Terengganu 


Kelantan vs ATM FA 

Jika musim lepas perlawanan ini sudah semestinya akan menjadi sangat-sangat sengit. Tetapi untuk kali ini aku jamin ia akan menjadi perlawanan berat sebelah yang akan dikuasai sepenuhnya oleh Kelantan walaupun mereka terpaksa bermain dalam Piala AFC pada pertengahan minggu. Ini semua disebabkan penurunan prestasi pasukan ATM yang mendadak. 

Selain dari misi layak ke Piala AFC setiap tahun dan hanya melengkapkan jadual kejohanan, Kelantan juga mempunyai misi yang lain. Kejuaraan Liga Super adalah kayu pengukur keupayaan negeri dari pantai timur yang kecil molek ini dalam meneruskan survival mereka di arena bola sepak tempatan. 

Pemain Tumpuan Kelantan : Mohamed Shawky 
Pemain Tumpuan ATM FA : Bruno Martelotto 
Ramalan Kelantan 3 -0 ATM FA 


Perak vs Selangor 

Selangor sebelum ini telah pun menewaskan Hanoi T&T dalam Piala AFC dan kemenangan ini menerima reaksi positif kebanyakannya dari peminat bola sepak tempatan. Kali ini mereka bakal membuktikan keupayaan menewaskan Perak pula. Manakala Piala AFC kekal menjadi pentas terbaik untuk menguji keupayaan mereka. 

Lantas Piala AFC dan Liga Super ibarat sambil berkapal selam, minum air buat Selangor. Pertamanya untuk membuktikan kekuatan bola sepak mereka bagi bergelar juara di peringkat Asia atau paling tidak memberikan cabaran yang terbaik. Kedua ialah membuktikan keupayaan Selangor untuk menjulang kejuaraan Liga Super 2014 selepas kali terakhir melakukannya pada 2010. 

Pemain Tumpuan Perak : TIADA 
Pemain Tumpuan Selangor : Afiq Azmi 
Ramalan Perak 0 - 2 Selangor 


T-team vs Pahang 

Ramai yang tahu Negeri Tok Gajah ini adalah merupakan negeri kesayangan FAM. Tapi bagi aku ia bukanlah masalah utama buat sebuah negeri besar dan maju seperti Pahang yang sentiasa melahirkan bakat-bakat terbaik yang muncul dari seluruh pelusuk negerinya. Dan yang lebih manis lagi kejayaan Pahang hari ini adalah hasil daripada projek pembangunan bola sepak mereka yang teratur dan ianya bukan datang dengan melakukan pembelian mewah sema-mata. 

Aku tahu masih ramai sebenarnya di luar sana tidak bersetuju dengan status anak emas FAM ini. Walaupun begitu kebencian ini mungkin tidak mencapai tahap kehinaan serta kemarahan yang sama dengan apa yang telah Tuhan Harun telah lakukan di Pahang. 

Jadi...tak usahlah aku berbelit-belit lagi. Makanya aku memilih Pahang untuk menewaskan T-team. Mukatamad. 

Pemain Tumpuan T-team : Nelson Marcelo 
Pemain Tumpuan Pahang: Dickson Nwakaeme 
Ramalan T-team 1 - 3 Pahang 


Sime Darby FC vs LIONS XII 

Pada mulanya ramai yang marah dengan kemasukan LIONS XII dalam liga Malaysia. Tetapi kemasukan LIONS XII juga sebenarnya dapat memberi kesan positif buat bola sepak Malaysia. Reputasi bola sepak Malaysia kini dipandang lebih tinggi dengan adanya LIONS XII yang merupakan antara negara sukan bola sepak terulung di Asia Tenggara. Dan kuasa-kuasa bola sepak Malaysia yang lain kini mempunyai pencabar baru yang perlu mereka tangani. Kelantan, JDT dan Selangor tidak lagi boleh bersenang-lenang. 

Tidak apa LIONS XII berada dalam liga Malaysia kerana ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala negara kita dengan mereka. 

Sementara itu Sime Darby pula sudah semestinya bersedia 130% untuk mengejutkan pasukan LIONS XII selepas mereka berjaya menumpaskan ATM 3-2. 

Pemain Tumpuan Sime Darby FC: William Mensah 
Pemain Tumpuan LIONS XII : Safuwan Baharuddin 
Ramalan Sime Darby FC 1 - 1 LIONS XII

Piala Dunia 2014: Ecuador


Piala Dunia 2014: Ecuador


Pengenalan 

Kira-kira 15.5 Juta penduduk negara Ecuador bergembira pada tanggal 15 Oktober 2013 meraikan kejayaan mereka layak ke Piala Dunia buat kali ke-3 dalam tempoh 12 tahun. Seluruh Quito bercahaya dengan sorakan keriangan. Pelangi seakan-akan menyinari setiap kepala warga Ecuador. 

Ya, mereka layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil dan ia wajib disambut dengan penuh riang. Walaupun begitu, Presidennya Rafael Correa masih tenang dengan tidak gopoh memberikan pangkat Datuk dan sebidang tanah kepada setiap pegawai, jurulatih dan pemain pasukan Ecuador. 

Mereka layak beraksi di Brazil selepas menduduki tempat ke-4 dalam pusingan kelayakan Zon Amerika Selatan dengan mendahului Uruguay hanya melalui perbezaan gol. Tanggungjawab sebenar mereka adalah untuk melepasi peringkat kumpulan yang terdiri daripada Perancis, Honduras dan Switzerland. 

Manakala pencapaian terbaik mereka pada edisi 2006 iaitu layak ke pusingan 16 pasukan tebaik wajar diulangi ataupun dalam bahasa bola sepak perlu diperbaiki. Dengan kedudukan rangking FIFA di tangga ke-23, pasukan ini perlu diperhatikan secara teliti kerana kemampuan mereka amat luar biasa. 
  

Jurulatih: Reinaldo Rueda

Rueda adalah seorang cerdik pandai dalam pelajaran. Ini dibuktikan apabila dia telah memiliki Master dari Universiti Cologne, Jerman. Dia kemudiannya menyambung pelajaran bersama FIFA dan UEFA untuk melayakkan dirinya terlibat dalam bola sepak. Kejayaan beliau membawa  Honduras layak ke Piala Dunia 2010 buat pertama kali selepas 28 tahun adalah yang termanis dalam kariernya. 

Dia juga pernah melatih beberapa kelab di Colombia antaranya Independiente Medellín, Deportivo Cali dan Cortuluá. 

Sebagai seorang pemain pula dia hanya mampu bermain untuk kelab amatur sahaja. Kesiaaaan. 


Ketua Pasukan: Antonio Valencia.   

Jika kita duduk minum petang dan menyebut nama pemain ini, sudah pasti perbualan kita tidak akan ada tamatnya. Pelbagai kejadian pahit manis maung masam masin telah beliau lalui. Seperti kebanyakan kanak-kanak yang gilakan bola sepak, Valencia tidak dapat lari daripada menyepak bola dengan berkaki ayam. Dan dari situ bermulalah hidupnya dengan bola sepak. 

Sirah hidupnya menceritakan bagaimana Valencia yang memulakan kariernya dengan pasukan El Nacional akhirnya membawa dirinya berkelana ke Eropah dan sehingga kini mewakili kelab terhebat dalam sejarah Manchester United. 

Setakat ini dia telah menjaringkan 8 gol daripada 68 penampilan antarabangsanya bersama Ecuador. 


Pemain Bintang: Édison Méndez.

Siapa Edison Mendez? Beliau bukan sekadar pakcik tua yang berusia 35 tahun yang boleh engkorang abaikan. Dia adalah salah seorang lagenda dalam pembikinan untuk Ecuador. Kekuatan kaki kanannya adalah senjata utama beliau. 

Edison Mendez telah bermain dengan pelbagai kelab dari Ecuador, Mexico, Netherlands, Brazil dan Colombia. Melihat pengalamannya sahaja sudah amat menggerunkan.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Felipe Caicedo.


Tahukah enkorang yang Felipe Caicedo juga pernah melalui zaman kegelapan? Sama dengan Hairuddin Omar sekarang ni? Ya..pada tahun 2008 semasa dia bermain untuk Manchester City di bawah pengurusan Mark Hughes beliau hanya mampu beroleh 27 penampilan sahaja. Manakala selainnya dia hanya dipinjamkan ke kelab Sporting CP, Málaga dan juga Levante. 

Ini lah yang dinamakan 'hidup ni kekadang di atas kekadang di bawah' dan itulah yang berlaku pada Felipe Caicedo. Pada usia hanya 25 tahun, dia perlu menyerlahkan potensi sebenarnya demi memacu Ecuador pergi jauh dalam Piala Dunia 2014.