Thursday, March 17, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan C


Jerman 

Tidak perlu sebenarnya untuk aku bercerita panjang tentang pasukan Jerman ini. Semua sudah sedia maklum Jerman merupakan pasukan terbaik buat masa ini. Adakah mereka akan melakukan double dengan menjuarai Piala Eropah 2016 selepas dua tahun yang lalu menjulang Piala Dunia? 

Secara dasarnya sejarah yang dicipta oleh Jerman Barat (Juara Piala Eropah 1972 dan Piala Dunia 1974) mungkin akan berulang sekali lagi sekiranya pasukan bimbingan Joachim Low mengekalkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan ini berlangsung kelak.

Ada juga cakap-cakap yang mengatakan pasukan ini semakin kehilangan aura. Ini kerana Philipp Lahm sudah bersara. Manakala Bastian Schweinsteiger semakin menuju ke lembah yang hina selepas berpindah ke Manchester United. Secara kebetulan juga Jerman telah dikejutkan dengan kekalahan kepada Poland dan Republic of Ireland dalam kempen kelayakan yang lepas. Ini membuktikan pasukan Jerman bukanlah terlalu kebal sebenarnya.


Namun begitu Joachim Low pastinya akan menggunakan pemain muda yang segar bugar dari serata dunia. Sebagai contoh Leroy Sané, Kevin Trapp, Marc-André ter Stegen, Ginter, Kruse, Kramer dan ramai lagi. Kemungkinan besar juga khidmat Marco Reus akan digunakan secara total pada kali ini selepas pemain ini terlepas aksi Piala Dunia yang lalu akibat kecederaan.


Masalah ketiadaan pemain nombor 9 othordox selepas persaraaan Miroslav Klose mungkin akan diisi oleh Thomas Muller yang pada ketika ini sedang bergembira dengan rekod jaringannya bersama Bayern Munich. Di atas kertas, mara ke perlawanan akhir adalah wajib bagi Die Mannschaft.


 

Andriy Yarmolenko

Ukraine 

Selain daripada menjadi tuan rumah bersama Poland empat tahun yang lalu (hanya untuk tersingkir di peringkat kumpulan), Ukraine tidak pernah layak ke kejohanan eropah sebelum daripada itu. Pada edisi kali ini mereka terpaksa menewaskan Slovenia pada masa tambahan dalam peringkat play-off untuk membolehkan mereka beraksi di Perancis.

Walaupun begitu, keupayaan pasukan ini tidak sepatutnya diambil mudah. Semasa perlawanan peringkat kumpulan menentang Sepanyol di Sevilla dan Kiev, mereka hanya tewas tipis 1-0 bagi kedua-dua aksi tersebut. Ini membuktikan Ukraine masih lagi sebuah pasukan yang mampu melakukan kejutan sekiranya mereka serius dan bersungguh-sungguh.


Andriy Shevchenko sudah lama menggantung kasut bola. Namun kewujudan Yevhen Konoplyanka dan Andriy Yarmolenko pastinya akan menghadirkan gentar kepada barisan pertahanan pasukan lawan bagi menyekat pergerakan licik kedua pemain sayap sensasi ini.





 
Poland

Di Piala Dunia, Poland sudah dua kali mencapai kedudukan sebagai pasukan di tempat yang ketiga dalam tujuh penampilan mereka. Namun bagi kejohanan Eropah, Poland masih lagi hijau. Ini adalah penampilan yang ketiga mereka selepas tahun 2008 dan 2012. Kemanakah hala tujuan pasukan ini di Perancis kelak?


Poland yang barisan serangannya diketuai oleh Robert Lewandowski diakui sebagai salah seorang penyerang paling tajam di dunia pada ketika ini. Lihat sahaja rekod jaringannya bersama Bayern Munich. Rasa hendak menangis sahaja. Namun membandingkan Lewandowski dengan Marco van Basten mungkin agak melampau. Cukup sekadar melabelkan nasib Lewandowski sama seperti Zlatan Ibrahimovic di Sweden dan Gareth Bale di Wales. Namun kesemua mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri serta dikelilingi barisan pemain yang berbeza kemampuannya. Siapakah selain Lewandowski yang akan diharapkan oleh Poland?


Kamil Glik adalah pemain pertahanan yang wajar diberi perhatian. Pemain kelab Torino ini sudah pun membuat 26 penampilan dengan catatan statistik 24 bentesan dengan 39% daripadanya adalah sukses. Kuba Blaszczykowski tidak perlu diceritakan lagi tentang kemampuannya. Manakala Grzegorz Krychowiak adalah nadi kepada kejayaaan back-to-back pasukan Sevilla dalam pertandingan Piala Europa.


Melihat kepada kejayaan Poland menewaskan Jerman dalam perlawanan kelayakan yang lepas tanpa jaringan Lewandowski (Arkadiusz Milik dan Sebastian Mila yang menyumbat gol) adalah bukti pasukan ini mempunyai barisan pemain yang mantap.


 


Ireland Utara

Ireland Utara adalah salah satu pasukan yang melakukan kejutan dengan layak ke Piala Eropah 2016 pada kali ini. Ia sekaligus menamatkan penantian selama 30 tahun mereka. Mungkin ini adalah peluang terbaik mereka untuk mengukir sejarah tersendiri bagi bola sepak negara yang majoriti penduduknya memegang kepercayaan Protestan.


Nama -nama seperti Roy Carroll, Jonny Evans, Chris Brunt dan Paddy McNair adalah antara pemain yang berpengalaman bergesel bahu dengan pemain terbilang BPL saban minggu. Ini juga boleh dikira sebagai elemen penting bagi menyumbang survival Ireland Utara dalam Piala Eropah 2016 ini.


Kesimpulannya, tiada apa yang perlu dirisaukan oleh Ireland Utara selain daripada bergembira menikmati peluang bermain di pentas tertinggi Eropah ini.







Perlawanan Tumpuan: Ukraine Melawan Poland

Kemungkinan besar Jerman akan menjuarai kumpulan ini. Jadi secara tidak langsung perebutan tempat kedua akan menjadi saingan antara Ukraine dan Poland. Bukanlah untuk menidakkan kemampuan Ireland utara. Namun secara fitrahnya begitulah.


Berdasarkan sejarah pula Poland tidak pernah menewaskan Ukraine sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2000. Ketika ini  Andriy Shevchenko masih lagi bermain dan cuba membolosi gawang Poland yang dikawal kemas oleh Jerzy Dudek. Masa dan zaman sudah berubah. Kini Poland dan Ukraine dengan barisan pemain yang sedang meningkat naik. Tumpukan perhatian kita semua kepada Andriy Yarmolenko  dan Robert Lewandowski. Dua sensai yang sedang hangat buat masa ini.





 


Pertembungan Force: Lewandowski Melawan Neuer

Tidak syak lagi inilah pertembungan paling dinantikan oleh umat seluruh galaksi yang suatu masa dahulu kemarok hendak menengok pertembungan antara Julia Rais dan Sofea Jane, namun tidak kesampaian.


Manuel Neuer bertembung dengan Lewandowski. Adakah kekebalan Neuer akan dirobek oleh ketajaman Lewandowski? Di Bayern Munich kedua mereka memainkan peranan yang berbeza. Tapi dalam matlamat yang sama - demi kejayaan The Bavarians. Di Perancis nanti masing-masing akan memikul amanah kebangsaan. Persoalannya...bolehkah Lewandowski membolosi gawang Neuer sebanyak 5 kali dalam masa sembilan minit? Hah?




Leroy Sane

 

Keistimewaan Kumpulan C: Anak Muda Dari Jerman.

Jerman tidak pernah ketandusan bakat muda. Bola sepak mereka mengalami transformasi total kira-kira 18 tahun yang lalu. Pemain muda mereka bersilih ganti memenuhkan skuad utama Jerman. Satu pergi. Sepuluh mari. Kini nama Leroy Sane disebut-sebut sebagai permata baru pasukan Jerman. Anak muda yang beraksi untuk kelab Schalke 04 ini seakan sudah bersedia untuk diangkat sebagai pemain utama Jerman.


Selain itu Julian Draxler yang bermain untuk Wolfsburg , Max Meyer dan Leon Goretzka yang bersama kelab Schalke juga antara pemain yang mampu membawa keampuhan yang berbeza kepada pasukan Jerman. Joachim Low sememangnya manusia yang bertuah.