Monday, September 18, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Mengharap Sead Kolasinac.


Dari Kaki Ke Pena Hitam: Mengharap Sead Kolasinac.

Sebenarnya aku nak tulis serba sedikit pasal Sead Kolasinac ni sebelum perlawanan antara Chelsea dan Asenal. Malangnya ia bertembung dengan waktu prima kemunculan video Fathia Latiff yang rancak menunjuk pusat. Pada malam tersebut dua tetingkap laman sesawang aku buka serentak. Sead Kolasinac dan Fathia Latiff. Namun akhirnya laman sesawang Fathia Latiff berjaya menewaskan Sead Kolasinac tanpa melawan. Jadi aku batalkan niat menulis tentang pemain ini sebelum perlawanan Chelsea-Arsenal. Dan menyimpannya sehingga tamat laga kedua pasukan ini.

Sebenarnya tidak sukar untuk Kolasinac membuatkan minat aku terbit padanya. Empat penampilan mantap dalam Liga Perdana Inggeris dengan satu gol menarik dalam Piala Europa menjadi penanda arasnya setakat ini. Berbadan tegap serupa mesin basuh 20kg. Inilah ciri-ciri pemain pertahanan yang diidamkan oleh jurulatih seluruh dunia kecuali Malaysia. Ini kerana sebagai contoh Malaysia masih percaya dengan pemain kecil molek seperti Nazirul Naim dalam tugasan bertahan. Untuk kali ini kita biarkan hal ini barang seketika.

Jangkaan aku hampir tepat sebenarnya apabila Kolasinac mendatangkan kesukaran kepada Chelsea sehinggakan David Luiz terpaksa berkorban demi pasukan kami. Walaupun pada dasarnya tindakan Luiz itu berpunca daripada Alexis Sanchez yang terhegeh-hegeh mengejarnya dari belakang dan mendatangkan kemarahan Luiz. Luiz adalah bangsa Brazil. Bangsa Brazil pantang disauk kakinya dari belakang. Kelak ia akan membangkitkan baran di jiwa.

Berbalik kepada hal Kolasinac tadi. Adakah pemain ini jawapan kepada permulaan hambar pasukan Arsenal musim ini? Inikah kombinasi pemain dan taktikal paling mapan serta lestari buat Arsenal apabila menghadapi enam pasukan atasan liga? Hanya masa yang akan tentukan. Dan tidak salah buat penganut The Gunners mengharap pada Kolasinac. Kesian jugek Arsenal duduk nombor dua belas ni aku tengok. Dengan pasukan lawan yang tinggal sepuluh pemain pun tak dapat nak kalahkan. Lemah.

Sementara itu kem Chelsea masih tenang walapun tidak beroleh tiga mata minggu ini dan David Luiz pula digantung tiga perlawanan - termasuk pertemuan menentang Manchester City pada 1 Oktober nanti. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh adik kakak sekalian kerana Chelsea adalah sebuah pasukan power segenap posisi berlapis-lapis dahsyatnya. Umum sudah mengetahuinya sejak dahulu lagi.

Okaylah aku nak tido. Semoga berjumpa lagi. Selamat Tahun Baru 1439 Hijriah.

Nota bola: Aku sempat nengok game Juventus lawan Sassulo. Punyalah power Paulo Dybala 10 skor hatrik. Sergio Aguero pun sumbat hatrik minggu ni. Adakah dua ekor ini mampu mengubah nasib Argentina dalam kempen kelayakan Piala Dunia nanti? Hah!

Monday, September 11, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menghisap Dadah



Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menghisap Dadah

Mengikut kajian dari tahun 2012 sehingga 2014, sebuah tempat bernama Liverpool telah mencatatkan rekod seramai 116 orang manusia mati kerana kesalahan pengambilan dadah. Manakala bagi musim 2014/15 pula seramai 278 umat Liverpool dibawa ke Hospital Besar atas masalah dadah dan yang berkaitan dengannya. Ini bersamaan dengan 58 orang dari 100,000 penduduk - yang tertinggi di England. Hanya di Liverpool. Bukan London, bukan Manchester. Hanya di Liverpool. Ini adalah fakta dan bukan cerita rekaan.

Dahulu seorang pujangga tua berjambang kuning dari Gunung Ledang pernah berkata.

"Sebelum game bola jangan sesekali berani isap dadah. Jika isap membawa padah."

Selepas itu si pujangga tua berjambang kuning dari Gunung Ledang ini mengulanginya dalam bahasa Inggeris pula.

"You should not dare to suck the drug before the football game. It is danger."

Cilake jugek dah macam guna google translate pulak. Aku dengar amanat ni pun masa dalam mimpi aku selepas selesai solat Maghrib. Macam nak percaya, macam tidak. Bukannya apa takut jelmaan syaitan pulek. Tetapi selepas menonton sendiri perlawanan antara Liverpool dan Manchester Biru Cair, aku menjadi percaya akan mimpi ini.

Sedara-sedari sekalian, cikebum cikebum, itulah yang dilakukan oleh Ragnar Klavan, Joël Matip, Alberto Moreno dan seorang lagi pertahanan tahap MSSD pasukan Liverpool FC - Alex Arnold. Apakah signifikannya semua ini?

Jika bukan angkara dadah, masakan mereka berperangai khayal melepaskan 5 gol sekaligus tanpa rasa malu. Sepatutnya selepas perlawanan menentang Manchester City hari tu, adalah lebih afdal dilakukan ujian air kencing ke atas mereka berempat ini. Dan kita semua masih ingat apa yang berlaku kepada Mamadou Sakho. Tapayalah kita pergi jauh bercerita tentang masalah taktikal Klop dan kekhilafan sang pengadil. Kad merah mak nenek Mane dan segala hal berkaitannya. Puncanya adalah dadah. Dadah adalah musuh negara. Bukan sahaja di Malaysia, malahan juga England. Bermain bola sepak di bawah pengaruh dadah ni akibatnya sangat  buruk. Sebagai contoh pasukan bola sepak Malaysia juga pernah melepaskan 10 gol gaya isap dadah.

Tidak mengapalah. Kita doakan pasukan Liverpool insaf dan segera bertaubat. Mereka pun akan melayan kunjungan Sevilla dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Champions League pada hari Rabu ni nanti. Moga perkara yang baik-baik sahaja mengunjungi Anfield. Amiiiiiiiiiiiiin.

Sementara itu, Alvaro Morata setakat ini sudahpun menjaringkan 3 gol dan 2 bantuan gol dalam 3 penampilannya di Liga Perdana Inggeris. Punyalah power. Okay itu ajek aku nak kabor.

Nota Bola: Jika sesiapa mahukan ulasan mingguan berat sebelah lebih ke arah kem Manchester United, sila ke laman fb Ahmad Arieff Atan. Dia punya pasallah buat aku semangat nak menaip semula secara konsisten. Tapi aku musykil, masa Moyes dengan Van Gaal jaga Manchester United dulu sahabat aku ni lepak mana?