Piala Dunia 2018: Croatia.
Kembara Bola Sepak Croatia.
Jika kita kaji secara mendalam
sejarah Croatia, mereka sebenarnya tidak pernah wujud sebagai sebuah negara
sehinggalah pada tahun 1991. Croatia kemudiannya mendapat pengiktirafan FIFA
pada Jun 1993. Namun begitu mereka sudah terlambat untuk bersaing ke Piala
Dunia Amerika 1994.
Selepas itu impak mereka kepada
bola sepak dunia amatlah besar. Pertamanya ialah apabila Croatia layak sehingga
peringkat suku akhir Piala Eropah 1996 sebelum tewas kepada pasukan Jerman
dengan skor 1-2. Masa ini sekitar Eropah mula berbisik manja tentang pasukan Croatia.
Croatia tiba untuk aksi sulung
Piala Dunia mereka pada tahun 1998 sebagai sebuah pasukan yang misteri lagi
tidak ternama. Entah siapa pemain mereka pun masih ramai yang tidak
mengenalinya. Bermula sahaja kejohanan ini Croatia mula menarik perhatian
dunia. Mereka menamatkan aksi peringkat kumpulan di belakang Argentina selepas
tewas kepada pasukan Amerika Selatan itu 1-0, namun berjaya menewaskan Jamaica
3-1 dan Jepun dengan skor 1-0.
Menunggu Croatia di pusingan
kedua selepas itu ialah Romania. Sekali lagi Romania ditewaskan dengan jaringan
1-0. Croatia kemudiannya melakar sejarah apabila menewaskan Jerman 3-0 pada
peringkat suku akhir. Dan ini kekal sebagai salah satu kejutan terbesar di
Piala Dunia.
Di separuh akhir pasukan tuan
rumah Perancis ternyata terlalu kuat untuk Croatia. Mereka tewas 2-1 kepada
Perancis dan Croatia dijadual bertemu dengan Belanda di perlawanan penentuan
tempat ketiga dan keempat.
Pasukan Croatia akhirnya menamatkan
kejohanan Piala Dunia 1998 dengan gilang-gemilang apabila berjaya menduduki tempat ke-3
selepas menewaskan Belanda dengan jaringan 2-1. Wow!
Pasca Piala Dunia 1998
Pencapaian penuh sejarah ini juga
mengangkat nama Davor Suker sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 6 gol.
Siapa yang tidak kenal beliau, sila terjun Sungai Kinabatangan sekarang jugak!
Figura ini juga telah dilantik menjadi Presiden Bola Sepak Croatia pada tahun
2012. Sesuatu yang agak mustahil akan berlaku di Malaysia yang mana untuk kita
melihat bekas pemain memegang jawatan setinggi ini.
Selain Davor Suker, nama seperti
Slaven Bilić, Zvonimir Boban, Igor Tudor dan Robert Jarni selepas itu sentiasa
meniti di bibir peminat bola sepak seluruh dunia. Secara tidak langsung mereka ini
telah menjadi Generasi Emas 1998 untuk bola sepak Croatia.
Malangnya selepas kejayaan tahun
1998 tersebut, pasukan Croatia lebih gemar bersandarkan pada kenangan silam.
Cerita tahun 1998 telah diulang beberapa kali sehinggakan generasi pemain
selepas itu gagal memberikan kejayaan yang setaraf dengan Generasi Emas 1998.
Dua kejohanan berikutnya agak
mengecewakan jika mahu dibuat perbandingan, yang mana Croatia gagal melepasi
peringkat kumpulan di edisi Piala Dunia Korea/Jepun 2002 dan Jerman 2006.
Lebih menyedihkan lagi mereka
gagal layak pada edisi 2010 dan pada tahun 2014 mereka bergelut untuk layak
selepas hanya berjaya menumpaskan Iceland dalam perlawanan play-off. Croatia
kemudiannya tersangkut lagi di peringkat kumpulan apabila hanya mampu berada di
tangga ke-3 kumpulan A di belakang Brazil dan Mexico.
Bagaimana Mereka Layak Ke Russia?
Untuk Piala Dunia 2018 ini sekali
lagi Croatia terpaksa turun bermain di perlawanan play-off menentang Greece.
Dan seperti dijangka mereka mudah menerajang keluar pasukan Greece dengan
aggregate 4-1. Kini Croatia mula digelar sebagai pasukan Playoff Master.
Walaupun begitu, Croatia masih
dianggap sebagai pasukan yang mantap dan mampu mencabar sesiapa sahaja ketika
di kemuncak prestasi. Kini mereka perlu mengembalikan semula era kegemilangan
Generasi Emas lewat 90-an. Dengan majoriti pemain pasukan Croatia kini bermain
secara kerap untuk pasukan utama di liga serata Eropah, tiada sebab mereka
tidak mampu memberi impak maksima di Russia 2018.
Pemain Harapan Croatia.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa
Luka Modric adalah pemain paling penting untuk pasukan Croatia. Buktinya beliau
dinamakan sebanyak 6 kali sebagai pemain terbaik Croatia. Bekas pemain bintang
Spurs yang kini bermain dengan Real Madrid ini merupakan asas penting kepada
pembinaan pasukan Croatia secara keseluruhannya. Beliau merupakan seorang pemain
tengah yang berkemahiran tinggi dan mampu menghadirkan pelbagai bentuk ancaman
serangan di sekitar padang.
Hari ini Modric antara pemain
tengah terbaik dunia dan pada usia 32 tahun mungkin inilah Piala Dunia terakhir
buatnya. Telah menjuarai Champions League sebanyak 3 kali dan hanya kejayaan
peringkat kebangsaan sahaja yang masih beliau dambakan.
Seorang lagi pemain tengah yang
mampu memacu Croatia lebih jauh ialah Ivan Rakitic. Sama seperti Modric, beliau
mula mencipta nama sebagai pamain nombor 10 yang tipikal. Tetapi persembahan
dan aksi Rakitic pada hari ini telah berkembang dan merangkumi segenap sisi di
atas padang. Beliau seorang pemain yang mempunyai teknik permainan yang hebat serta
sepakan jarak jauh yang merbahaya.
Macam mana hebat pun pemain
tengah seperti Modric dan Rakitic ini, pastinya ia tidak akan lengkap tanpa
kehadiran seorang penyerang yang berbisa dan tajam di hadapan gol. Siapa lagi
tuan-tuan kalau bukan Mario Mandzukic. Beliau bukan sahaja seorang penyerang
yang rajin dan bekerja keras di atas padang, tetapi juga amat kuat di udara dan
mempunyai penyudah yang baik di hadapan gol. Buat masa ini beliau telah
mengumpul 30 gol untuk negaranya dan pada usia 31 tahun, ini adalah masa yang
tepat untuk Mandzukic menyerlahkan kehebatannya di pentas dunia.
Zlatko Dalic Pembawa Sinar Baru.
Zlatko Dalic yang berumur 51
tahun ini pada mulanya hanyalah dilantik sebagai pengendali sementara pasukan
Croatia pada tanggal Oktober 2017. Beliau yang menggantikan Ante Cacic ini
akhirnya mendapat kerja tetap sebagai pengurus pasukan Croatia pada November
2017.
Tugasan pertamanya berjalan lancar
apabila berhasil menewaskan Ukraine 2-0 sekaligus menempah tiket ke perlawanan
play off untuk bertemu pasukan Greece.
Mengikut data di internet, sebelum
itu beliau pernah menjadi staff kejurulatihan pasukan bawah 21 tahun Croatia
selama 5 tahun (2006-2011). Manakala sebagai ketua jurulatih beliau telah menguruskan
pasukan seperti Varteks Varazdin, Rijeka dan Slaven Belupo di Croatia dan
pasukan Dinamo Tirana di Albania.
Selain itu beliau turut
menguruskan pasukan di Lembah Arab seperti Al Faisaly Harmah, Al Hilal dan
Al-Ain. Dalic yang mana pada usia mudanya adalah seorang pemain tengah pastinya
akan mengadun segala pengalaman miliknya menjadi satu resipi terbaik untuk
Croatia berhadapan dengan pasukan hebat seperti Argentina, Nigeria dan juga
Iceland.