Sunday, December 27, 2015

Kebangkitan Sebenar Ataupun Janji Palsu Semata?

Kebangkitan Sebenar Ataupun Janji Palsu Semata?

Selamat hari tinju buat seluruh warga peminat sukan bola sepak British. Krismas tanpa bola sepak di England ibarat Aidilfitri tak beraya di rumah makwe kegemaran. Ianya akan hambar dan kucar-kacir. Begitulah.

Lama juga aku tak menulis tentang perihal bola sepak Inggeris ni. Secara tiba-tiba pulak datang seru.

Sewaktu aku merangka entri ini, Manchester United sedang ketinggalan 2-0 kepada Stoke City. Tetapi harus diingat, kemunculan tulisan ini bukanlah untuk meraikan kelam-kabut di kem Manchester Merah. Saya bukanlah seorang yang kejam sebenarnya wahai rakan taulan sekalian. Tetapi kita perlu juga sebut hal tidak menang 7 perlawanan sejak 26 November 2015 serta tersingkir beraksi daripada di peringkat kalah mati UCL.

Hal Chelsea terpelosok di bawahan liga tu kita tak payahlah selalu sangat sebut. Naik bosan mendengarnya. Ini kerana penyokong Chelsea sudah mula memahami konsep kalah dan menang. Ia seperti yang tertulis dalam sebuah kitab bola sepak kuno zaman Yunani yang menjelaskan proses ini adalah merupakan suatu lumrah dalam kehidupan dan juga pertandingan bola sepak. Manakala kita sebagai penyokong pula perlu redha dan bersifat tenang, berjiwa besar, wasatiyyah dan bersikap rasional dalam menerima setiap keputusan sama ada memihak kepada kita ataupun sebaliknya. Begitulah kuatnya jaditiri peyokong kuat Chelsea ketika ini. Biar siapa pun yang melatih Chelsea, semangat dan POWER akan sentiasa meresap dalam setiap sanubari penyokong. Tidak perlulah kita sibuk menyanyi nama pengurus pasukan lain yang telah dipecat.

Okeh, berbalik kepada pasukan Manchester. Kekalahan demi kekalahan (termasuk kepada Stoke) mungkin berpunca daripada kaedah latihan dan layanan buruk daripada Van Gaal kepada sesetengah pemain Manchester. Ataupun sedang berlaku perkara yang sama telah terjadi di Stamford Bridge iaitu pemain mensabotaj pengurus. Turun bermain bola sepak di atas padang secara bangang semata-mata kerana tidak suka dengan pengurus mereka. Segala taktikal yang dirangka dibuang jauh-jauh. Masing-masing menyarung topeng muka Safee Sali dan Azamuddin Akil. Bermain bola sepak tanpa arah tuju. Ini mungkin ungkapan yang lebih tepat.

Baiklah. Malam ini Manchester tewas. Manakala Chelsea hanya mampu seri dengan Watford di Stamford Bridge. Tanggal 29 Disember kedua pasukan ini akan beradu tenaga. Entah apa nasib seterusnya bagi kedua pasukan ini hanya tuhan sahaja yang tahu.


Posted via Blogaway

Monday, December 7, 2015

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2015: Selangor Melawan Kedah.

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2015: Selangor vs Kedah
Stadium Shah Alam, Selangor.
8.45 PM | 12 Disember 2015.

Kemakmuran Kehidupan

Kejayaan Selangor mara ke perlawanan akhir disambut ramah tamah oleh seluruh penduduk manusia yang mencari rezeki di negeri Darul Ehsan ini. Ia adalah bukti bola sepak dan sejarahnya sudah dikembalikan kepada yang HAK. Manakala yang BATIL dan PALSU ditendang keluar seawal saingan. Seisi jiwa gembira tak terkata. Yang membayar tol tersenyum tidak merungut panjang. Apatah lagi yang berulang alik ke rumah urut di Damansara.  

Manakala di Darul Aman pula ku ukir namamu di awang Gunung Jerai. Disaksikan laut daun nyiur melambai. Jauh pandangan permai di situ Tanjung Dawai. Terkenang peristiwa cinta kita terurai. Oh! indahnya...Begitulah...

Sebelum aku meleret terlebih jauh. Izinkan aku untuk menyampaikan rasa simpati kepada pasukan Pahang dan Felda yang tewas pada laga separuh akhir yang lalu. Felda United membuktikan mereka pasukan yang konsisten apabila layak ke Separuh Akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut. Buat pasukan Pahang pula, status juara dua kali Piala Malaysia juga dua tahun berturut-turut mengekalkan nama mereka sebagai pasukan kuasa bola sepak di Malaysia yang akhirnya terduduk ditewaskan Sang Gergasi Merah.

Kini ia sampai ke penghujungnya. Selangor dan Kedah membuktikan mereka adalah pasukan paling hebat musim ini. Juara Piala Malaysia 32 kali dan Juara Liga Perdana 2015 ini akan bertemu untuk merebut kejuaraan mutlak Piala Malaysia, piala teragung di bumi Malaya.

Pasukan manakah akan menjadi juara untuk edisi 2015 kali ini? Adakah Selangor akan bercuti umum selama seminggu? Atau Kedah akan memberikan ganjaran mewah kepada pemain-pemain mereka? Itu semua akan terjawab menjelang tanggal kalendar 12 Disember kelak.

Ulangan 2008.

Lama dahulu ketika halkum Azraai Khor masih kelihatan dari kejauhan lensa kamera. Ketika seluar khakhis Dollah Salleh masih bersaiz 38. Dua individu ini telah bertanggungjawab membawa Kedah dan Selangor ke pentas akhir.

Pada aksi Piala Malaysia 2008, Kedah muncul juara selepas menewaskan Selangor 3-2 sekali gus mengekalkan kejuaraan ‘treble’ yang mereka menangi pada edisi 2007. Heboh 'double treble' milik Kedah ini sampai ke sempadan Siam khabarnya.
 
Pada aksi final tersebut hampir 60,000 peminat dan penyokong kedua-dua pasukan memenuhi Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menjelmakan kembali kehangatan bola sepak tanah air yang telah sekian lama sepi.
 
Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke–18 menerusi Frank Seator yang berpunca daripada sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin. Seluruh Bukit Jalil bergegar dengan paluan gendang dan sorakan separuh gila peminat merah kuning. Namun Kedah tidak mudah berputus asa. Nelson San Martin menjadi perancang utama dalam mengatur serangan ke kubu Merah Kuning dengan menjadikan Marlon James sebagai umpanan yang akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32. Dollah Salleh mula menggeleng kepala di tepi padang.
 
Khyril Muhymeen Zambri membuat percuabaan jarak jauh seminit kemudian berjaya dihalang Evans Chisulo sebelum disambar oleh Nelson untuk jaringan kedua Kedah. Kesilapan Razman Roslan lima minit kemudian tidak dipersiakan oleh Fadly Baharom yang pantas merembat tinggi menewaskan Suffian Abdul Rahman. Kini Razman Roslan pula yang menggeleng kepala tidak percaya. Kedah bergaya dengan kedudukan 3-1 untuk babak pertama.

Apabila separuh masa kedua bermula, pasukan Kedah mula mengamalkan corak permainan bertahan. Mujur ada Safee Sali memberi sedikit harapan kepada Selangor selepas menjaringkan jaringan cantik pada minit ke-78. Walaubagaimanapun ianya tidak cukup untuk menafikan kejuaraan buat Kedah.

Kembangkan Sayap Sang Helang Merah.

Ini adalah penampilan ke-11 buat pasukan Kedah di pentas akhir Piala Malaysia dan dengan berbekalkan buruan status juara buat kali ke-5 menjadi sasaran utama mereka.

Perlawanan separuh akhir kedua yang lalu, meminjam kata orang putih, ialah ‘magnificent comeback’. Bangkit menjaringkan 2 gol pada selepas ketinggalan pada minit ke-39 hasil dari jaringan pemain Felda, Syamim Yahya. Hasilnya Kedah mara ke perlawanan akhir dengan aggregate 4-3.

Untuk merumuskan secara keseluruhan, Sang Helang Merah adalah sebuah pasukan yang mantap musim ini. Khairul Helmi memimpin pasukan dengan penuh keterampilan. Bertahan bagaikan tiada hari esok bagi dirinya. Gandingan import emas Chidi Edeh dan Sandro Da Silva sering menghuru-harakan pertahanan lawan. 15 gol sesama mereka dalam Piala Malaysia musim ini adalah bukti yang tidak boleh disangkal dengan fatwa facebook. Baddrol Bakhtiar yang sentiasa cemerlang walaupun kurang menjaringkan gol. Juga aksi cemerlang pemain tempatan seperti Syafiq Ahmad dan Syazwan Zainon. Serta tenaga import Bang Seung-Hwan dan Liridon Krasniqi. Ini adalah nadi utama pasukan Kedah yang direncana dan diadun cantik oleh Tan Chen Hoe, Nidzam Adza serta Ramón Marcote.

Meminjam kata-kata seorang sahabat yang tegar melayan aksi liga perdana musim ini, Kedah terlampau ‘power’ musim ini. Sebenarnya era dominasi Kedah dalam bola sepak Malaysia ini telah lama bertapak di Malaya. Siapa boleh melupakan kecermelangan era pemerintahan sekitar awal 90-an oleh Allahyarham Ahmad Basri Akil? Revolusi bola sepak Kedah yang beliau bawa amat dahsyat.  Ketika itu, Ahmad Basri Akil selaku pengurus sedar bahawa mendapatkan khidmat import perlukan dana tambahan. Kedah pantas mencari penaja dan hasilnya pada tahun 1989 itu mereka berjaya mengikat perjanjian dengan Sharp Roxy, menjadi pasukan Asia pertama ditaja oleh syarikat elektronik itu dan kedua di dunia. Sebuah lagi kelab bawah tajaan Sharp ketika itu ialah Manchester United. Ya, kita boleh katakan Kedah setaraf dengan Manchester United hebatnya pada zaman itu. Dan ya sekali lagi, ianya lama sebelum berlakunya revolusi bola sepak selatan tanah air dengan menaikkan papan iklan elektronik serta tempat duduk recaro untuk pemain simpanan.

Kini hanya tinggal satu perlawanan sahaja untuk Kedah menjulang piala kedua tahun ini selepas Juara Liga Perdana, Kedah masih perlu menentang Selangor - pasukan paling mendadak peningkatannya akhir musim ini.

Bualan di WhatsApp dan Insta sekarang mengatakan jika Kedah menang ke atas Selangor maka hasilnya ialah pasukan Kedah dalam pembikinan semula menjadi kuasa bola di negara ini.

Tetapi dalam musim yang haru biru ini dek kerana kedatangan jerebu, semuanya boleh berlaku. Ini kerana kedua pasukan tidak langsung bertemu pada musim ini. Peluang masih terbuka dan kelemahan serta kekuatan antara kedua pasukan masih menjadi rahsia yang tidak terserlah.

Jadi, yang terbaik bagi pasukan Kedah ialah untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi di Shah Alam yang merupakan gelanggang keramat bagi pasukan Selangor.

Kebangkitan Gergasi Merah Kuning.

Apa lagi yang hendak kita katakan tentang pasukan hebat ini?

KePOWERAN penjaga gol Selangor yang berasal dari Tangkak, Norazlan Razali adalah antara faktor penting yang membawa mereka ke pentas Akhir Piala Malaysia 2015. Tiga anguerah pemain terbaik (kalau tidak silap aku) secara berturut-turut membutikan segala-galanya. Selain daripada kelincahan Andik yang seakan mengimbau kenangan 10 tahun yang lalu ketika tenaga Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy menjadi taruhan. Juga aksi tidak mengenal lelah daripada pemain-pemain lain seperti Shahrom Kalam, Nazmi Faiz, Raimi, Guilherme de Paula dan Azrif Nasrulhaq. Mereka semua inilah antara tunjang kebangkitan pasukan Selangor musim ini.

"Kami berjaya melangkah ke suku akhir dengan berbaki satu perlawanan meskipun berada dalam kumpulan maut bersama Kelantan, Felda United dan T-Team. Saya mempunyai kepercayaan penuh kepada pasukan saya. Kami tiada pemain ‘superstar’ tempatan mahupun import tapi kami berjaya bermain secara baik.”

Jelas kata-kata Mehmet Durakovic menunjukkan beliau adalah seorang jurulatih yang sangat zuhud dan sentiasa merendah diri. Yang hanya sentiasa fokus kepada tanggungjawab. Segala spekulasi luar padang dan perihal politik bola sepak di kem Selangor berjaya beliau talkinkan dengan membawa Selangor ke aksi perlawanan akhir Piala Malaysia. Inilah sifat lagenda yang sebenar.

Menentang Kedah nanti adalah merupakan MISI 33 pasukan Merah Kuning yang tertangguh hampir 4 tahun lamanya. Sepanjang tempoh ini Rozita Che Wan sudah menukar statusnya daripada janda kepada sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Tol dan minyak petrol dah berkali-kali naik di negara Malaysia. Dan pelbagai lagi peristiwa telah berlaku. Cuma MISI 33 sahaja yang masih terkandas di angka 32. Diharap pasukan Selangor hujung minggu ini berjaya melaksanakan Misi 33 dengan sempurna dan penuh terhormat. Mereka perlu berjuang seolah-olah mahu merampas kembali makwe Kedah yang terlepas dari genggaman tangan dan menegakkan kebenaran isu video Lubuk Tupah. Heh!!!

Kejaplah. Bagi aku makan nasik dulu. Dah panjang sangat ni.

Selangor atau Kedah?

Alhamdulillah...kenyang pun.

Kita berbalik semula kepada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah.

Pepatah kuno Yunani ada menyebut...

"Kalau engko Power, Piala Malaysia itu sendiri akan datang carik engko dekat rumah."

Itulah kesimpulan awal yang aku boleh buat tentang perlawanan ini. Sesiapa yang bermain bola sepak secara power dan cerdik, sudah pasti Piala Malaysia tidak akan segan datang menyinggah ke almari mereka.

Apa yang pasti, klimaks Piala Malaysia akan mencapai peringkat agung apabila kalendar menuju tanggal 12 Disember 2015. Tiada bola sepak beradat. Tiada aksi juara AFC. Tiada persembahan sarkis dari Gajah Duduk. Malahan tiada juga laungan selogan 'This is Pantai Timur'. Yang ada hanyalah sebuah perlawanan bola sepak berseni dari dua buah pasukan penuh sejarah yang bertembung bagi membuktikan siapakah yang berhak menjadi penguasa bagi penutup tirai bola sepak tahun 2015.

Sama ada Selangor mahupun Kedah yang akan mendapat Coti Peristiwa. Semuanya akan terjawab pada hari Sabtu ini.

Akhir kata "LUASKAN KUASAMU HOGOH!!!" KAHKAHKAHKAHKAH!!!


Posted via Blogaway