There was an error in this gadget

Thursday, January 14, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan A


Perancis.

Sekiranya dilihat pada kebangkitan beberapa pemain muda Perancis di serata liga utama di Eropah ketika ini, kita secara mudah boleh meramalkan sejauh mana perjalanan pasukan Les Bleus ini di Kejohanan Eropah kelak. Nama-nama seperti Martial, Griezmann, Pogba, Kondogbia dan Zouma mungkin sedikit masa lagi akan berdiri setanding dengan Henry, Petit, Zidane, Lizarazu dan Blanc dalam kamus sejarah bola sepak Perancis.

Dengan kelebihan beraksi sebagai tuan rumah, sudah pasti mereka ingin mengulangi kejuaraan Piala Dunia 1998 dan juga Piala Eropah 1984. Perlantikan Didier Deschamps sebagai jurulatih amat bertepatan dengan statusnya sebagai bekas kapten yang mengetuai pasukan Perancis 1998. Ini kerana Perancis memerlukan seorang jurulatih yang berkaliber untuk melentur limpahan bakat muda yang mereka miliki baik di posisi pertahanan, tengah dan juga serangan.

Sebut pasal serangan ni sudah tentu kita tidak dapat lari daripada bercakap tentang skandal yang melibatkan Karim Benzema. Sekiranya beliau tidak beraksi mungkin Didier Deschamps terpaksa mencari penggantinya. Dan ketika entri ini ditulis Olivier Giroud mungkin individu semulajadi yang sesuai untuk mengetuai barisan serangan Les Bleus. 

Hanya masa akan menentukan kematangan Martial.

Switzerland.

Sebenarnya Switzerland ini bukanlah asing dalam kancah bola sepak Eropah dan juga dunia. Pasukan kelab dari negara ini juga mula mendatangkan gerun kepada kelab gergasi eropah yang lain.

Ramai pengkaji bola sepak melihat tuan rumah bersama Piala Eropah 2008 ini sedang menuai faedah daripada program pembangunan bola sepak yang telah mereka bina. Kemunculan ramai pemain dengan latar belakang immigran sebenarnya banyak menaikkan prestasi semasa pasukan yang digelar Rossocrociati ini.

Antaranya ialah pemain kesayangan Stoke City iaitu Xherdan Shaqiri yang datang daripada Kosovar Albania. Gökhan Inler yang keluarnya berasal daripada Turki, Valon Behrami (Albania), Ricardo Rodríguez (Sepanyol + Chile), Haris Seferović (Bosnia Herzegovina). Jika dilihat kepada kebangkitan beberapa pasukan Eropah yang menggunakan immigran sebagai pemain bola sepak mereka, sudah tentu kita berasa hairan dengan Malaysia masih bermain bola sepak Gaya Malaya walaupun sudah memiliki Matthew Davies, Brendan Gan dan juga Junior Eldstal. Sememangnya bola sepak Malaysia amat unik nak mampos. Kita lupakan sebentar hal pasukan Malaysia ini dan kembali semula kepada Switzerland.

Jurulatih, Vladimir Petkovic adalah individu yang paling sesuai ketika ini untuk membawa pasukan Switzerland sekurang-kurangnya ke peringkat kalah mati pusingan kedua. Ini juga bersandarkan kemampuan mereka yang layak ke pusingan 16 pasukan pada Piala Dunia 2014 yang lalu.


Menyerlah bersama Stoke City


Albania.

Kedudukan geografi Albania yang berada di cerok selatan Eropah merupakan antara punca mereka terpinggir daripada kemajuan facebook, twitter dan instagram. Tetapi sekurang-kurangnya negara yang pernah diperintah oleh sang diktator Enver Hoxha ini terpelihara daripada pecah belah di media sosial hanya kerana hak kebebasan menyusukan anak di khalayak ramai menjadi perdebatan. Dan ini mungkin memberikan ketenangan kepada roh Mother Teresa.

Sebelum ini Albania tidak pernah bermain di peringkat elit kejohanan Eropah secara konsisten. Mereka hanya muncul di kejohanan bawah 18 tahun pada tahun 1982 dan Piala Eropah Bawah 16 tahun pada tahun 1994. Selain daripada itu tiada. Yillek. Sebab itulah berita layaknya Albania ke Piala Eropah 2016 disambut gilang gemilang oleh setiap rakyatnya. Kepulangan para pemain disambut bagaikan hero kebangsaan dengan karpet merah oleh Perdana Menteri Edi Rama. Turun sahaja daripada kapal terbang Edi Rama terus memeluk para pemain dalam suasana yang disifatkan paling bersejarah dalam bola sepak Albania. Manakala Presiden Bujar Nishani secara segera menganugerahkan Honor of National Order kepada seluruh skuad bola sepak Albania. Kalau dekat Malaysia ia adalah perbuatan yang serupa dengan memberi tanah dan pangkat Datuk. Baik sikit bagi pakej umrah satu pasukan.


Kebangkitan pasukan Albania ini dikatakan berpunca daripada asuhan dan didikan Gianni de Biasi - jurulatih yang berasal daripada Itali yang juga handal bermain dengan kepelbagaian taktikal bola sepak dengan menggunakan bakat yang terhad. Mereka juga mempunyai program pembangunan bola sepak yang baik sehingga melahirkan ramai pemain muda yang perlu diberi perhatian. Antaranya penjaga gol Erit Berisha dan pemain pertahanan Elseid Hysaj. Mereka berdua ini juga bermain di Serie A Itali. Perlu juga kita fokuskan kepada kebangkitan Berat Xhimshiti serta penyerang Armando Sadiku yang mungkin suatu hari nanti akan menggegar bola sepak di Eropah.


Romania.


Lama sebelum TMJ berfesyen rambut kuning, seluruh pasukan bola sepak Romania telah pun dahulu melakukannya. Siapa boleh lupa ketika Piala Dunia 1998 apabila mereka melakukan kerja gila dengan mewarna rambut serupa beruk kuning itu? Ya, hanya mereka yang berperangai seperti beruk kuning sahaja berani berpenampilan seperti beruk kuning. Dan skuad Romania yang membawa imej beruk kuning tetapi handal ini adalah antara pasukan yang digeruni ketika itu. Ini adalah kesinambungan skuad emas Romania pada Piala Dunia tahun 1994 yang mana mereka layak sehingga ke peringkat suku akhir. Nama-nama seperti Gheorghe Hagi, Gheorghe Popescu, Dorinel Munteanu, Dan Petrescu dan Bogdan Stelea antaranya pantas meniti di bibir kanak-kanak yang bermain bola di waktu petang ketika itu. Ia juga berdiri sebaris dengan nama-nama pendekar seperti Bitara, Hang Perkasa, Jempol, Agam, Adijaya dan Sang Guna. Tak kenal? Engkau masih hijau dalam dunia persilatan wahai anak mudeeee....


Malangnya bola sepak Romania gagal mengekalkan kehandalan mereka untuk menjadi salah satu pendekar bola sepak di Eropah dan Dunia. Tiada lagi limpahan bakat yang mereka hasilkan. Jika ada pun hanya nama Cristian Chivu dan Adrian Mutu sahaja yang menghiasi muka surat belakang akbar. Cuma Mutu pernah juga keluar di muka surat depan dek kerana skandal dadah beliau dan kontroversi bersama pasukan Chelsea.


Namun untuk kali ini pasukan Romania kelihatan berbeza di bawah seliaan Anghel Iordanescu, 65 tahun seorang ahli Senat Romania yang memiliki kharismanya secara tersendiri. Di bawah bimbingan beliau, pasukan yang digelar The Tricolorii, yang hanya layak sekali sahaja ke kejohanan besar sejak menjadi pasukan lapan terbaik di Piala Eropah 2000 - layak ke Piala Eropah 2016 dengan rekod tanpa kalah dan hanya bolos dua gol sahaja. Sudah semestinya statistik ini wajar diberi perhatian secara serius oleh pasukan yang lain.


Perlawanan Tumpuan: Perancis Melawan Romania.


Ini adalah perlawanan pembukaan yang bakal menentukan hala tujuan dalam kumplan A. Tanggal 10 Jun kelak pasukan Perancis akan menyambut kehadiran Romania di Stade De France - stadium yang hampir-hampir sahaja meletop beberapa bulan yang lepas.


Pasukan Perancis semestinya mahu melupakan kenangan pahit ketika mereka hanya mampu seri 0-0 dengan pasukan yang sama ini pada Piala Eropah 2008 yang mana akhirnya meletakkan Perancis di tempat tercorot kumpulan dan bungkus awal.


Masa untuk Pual Pogba sudah tiba.


Pertembungan Force: Paul Pogba Melawan Gokhan Inler.

Mungkin masanya sudah tiba buat Pogba menonjolkan kualitinya yang sebenar dengan Perancis sudahpun berkira-kira untuk menjuarai Piala Eropah ini di laman mereka sendiri. Cuma seperti yang kita semua tahu konsistensi adalah kunci utama untuk semua pemain bola sepak muda di muka bumi ini dan ia tidak ketinggalan turut melanda Pogba. Sekiranya beliau berjaya mengekalkan prestasinya sudah pasti pasukan Perancis akan menjadi juara pada edisi kali ini.


Kehadiran Gokhan Inler pula diharapkan mampu menyaingi Pogba apabila kedua pemain ini bertembung di perlawanan akhir peringkat kumpulan pada tanggal 19 Jun kelak. Tetapi buat masa ini pemain tengah Leicester City yang juga veteran Serie A bersama pasukan Napoli ini masih belum mendapat tempat utama dalam pasukan Musang dek kerana masalah kecederaannya dan juga kehebatan Kante serta Drinkwater.


Keistimewaan Kumpulan A: Merebut Slot Kedua

Di atas kertas tidak keterlaluan sekiranya kita katakan juara kumpulan adalah milik Perancis yang kelihatan tiada masalah untuk layak ke pusingan 16 pasukan. Tetapi pasukan mana yang akan mengiringi Perancis itu masih terbuka di antara Switzerland, Romania dan Albania. Kesemua pasukan ini bukanlah pasukan belasahan dan kekuatan untuk mara ke pusingan seterusnya amat setara sesama mereka.


Secara peribadi aku berpendapat aksi Albania melawan Switzerland di Lens, Romania menentang Switzerland di Paris dan Romania berlaga dengan Albania di Lyon merupakan perlawanan wajib tonton berbanding persembahan sarkis pasukan tuan rumah Perancis itu sendiri. Kenapa aku begitu yakin? Sebab ini adalah Mata Pena Si Hitam. Heh!!!

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...