Saturday, August 27, 2016

Di Mana Mereka? Juan Sebastian Veron.


Di Mana Mereka? Juan Sebastian Veron.


Wajah uzur penuh kedut Rahmat tidak menghalang dirinya daripada menyedut asap rokok Saat sehingga kempong pipinya. Sehingga nampak tulang rahangnya. Semakin ke penghujung rokoknya, semakin laju pula hisapannya. Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...

Kerusi malasnya berayun perlahan di hadapan anjung yang dibinanya sendiri. Susunan rumah kampung yang rapat dan mesra tetangga menjadikan pemandangan jerlus terlihat kepada anjung rumah jiran hadapan. 

Mat Jambang - jiran Rahmat begitu berkobar mengibarkan bendera Argentina walaupun hari ini sudah masuk bulan kemerdekaan bagi negara Malaysia.

"Woih! Argentina la woih! Ape bendeee Malaysiaaaa" Sergah Mat Jambang pada satu hari dengan rambutnya yang kuning. Mat Jambang memang berperangai cilake. Kalau dia mengejek orang tak apa. Kalau dia kena ejek orang, habis satu kampung dia sembang baktinya sebagai ketua pasukan kompang Kampung Telangi.

Rahmat sediakala tahu jirannya itu meminati Argentina. Pemain yang paling Mat Jambang gemari ialah Juan Carlos Veron. Sambil ralit menghisap rokok, Rahmat terimbas kembali ingatannya pada Veron - pemain ysng terkenal dengan gelaran Si Ahli Silap Mata.

Mungkin karier Veron di Lazio adalah yang paling sukses sekali di Eropah. Pada musim 1999-2000 Lazio dengan suntikan kewangan tiada terhad mereka telah berjaya menjulang kejuaraan Serie A dan UEFA Super Cup.

Lazio pada musim itu dibarisi ramai pemain ternama. Sergio Coceicao, Pavel Nedved, Dejan Stankovic, Simone Inzaghi, Alen Boksic, Fernando Couto, Roberto Mancini, Sinisa Mihajlovic, Matias Almeyda, Alessandro Nesta, Diego Simeone, Marcelo Salas, Fabrizio Ravanelli, dan siapa lagi kalau bukan Juan Sebastian Veron. Sungguh meriah perjalanan bola sepak Veron di Lazio.

Walaupun begitu, kemeriahan Veron di Lazio tidak dapat diteruskan ke Liga Perdana Inggeris. Dari Lazio ke Manchester beliau memegang pangkat perpindahan pemain paling mahal di British. Veron kemudiannya dijual separuh harga kepada pasukan Chelsea. Secara jumlahnya selama tiga musim di England, hanya satu kejuaraan liga yang menjadi miliknya. Satu statistik yang menyedihkan bagi pemain yang bernama besar seperti beliau.

Namun sekembalinya beliau ke Itali sebagai pemain pinjaman untuk Inter Milan, ia bagaikan pelangi yang muncul di pagi hari selepas pepatung selesai bersenggama di atas kuntuman bunga ros merah. Wangi dan menyegarkan. Dua musim bersama Inter beliau memenangi 2 Copa Italia, Supercoppa Italiana dan juga Serie A 2005/06 selepas Juventus dilucut dari kejuaraan tersebut.

Veron kemudiannya menghabiskan sisa-sisa kariernya di Estudiantes untuk 6 musim lagi sehinggalah beliau dilantik menjadi Presiden kelab tersebut. Begitulah Veron. Tidak pernah berehat daripada bola sepak. Ini bezanya bola Malaysia dan Argentina. Patutlah Mat Jambang terlalu mencintai Argentina.
 
Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...Rahmat terus menghembus asap rokoknya sehinggalah matahari terbenam di celahan ufuk barat.

Friday, August 5, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: SUKMA Yang Longlai.



Dari Kaki Ke Pena Hitam: SUKMA Yang Longlai.

Hari ini kita tapayana ulang cerita pasal kalah 3-0 lepas tu mengungkit hal kejayaan dua tahun yang lalu. Tak kisahlah kau nak cakap ape. Kalah tetap kalah. Yang kalah akan kena maki. Yang menang kita rai. Sedangkan pasukan yang menang pun kadangkala kita maki sehingga bergegor rumah syaitan. Bukankah benar begitu wahai sedara sedari sekalian?

Okaylah..tutup hal itu. Aku nak cerita sikit perihal Sukma yang baru lepas. Ape? Sukma? Bukan Sukma Darmawan ye..

Mesti ramai yang tidak tahu bahawa Sukma baru sahaja beberapa hari meninggalkan kita. Sukma adalah Sukan Malaysia yang dilangsungkan secara dwi tahunan. Kali ini Sarawak terpilih sebagai tuan rumah. Selama seminggu dari 23 sehingga 31 Julai sebanyak 382 acara dipertandingkan di dalam 24 jenis sukan. Dalam tempoh ini sebanyak 6 rekod kebangsaan berjaya dipecahkan. Macam mana aku boleh tahu semua ini? Mungkin barangkali sebab aku handal dan berwibawa.

Engkau orang pula mengaku sahajalah yang kau mula ambil tahu pasal Sukma kali ini selepas ada pemecahan rekod yang dilakukan oleh atlit lumba lari. Bola sepak pun sama. Selepas keluar berita bergaduh sepak terajang, barulah media buat liputan. Jadilah modal untuk berita barang sehari dua ye tak? Tahu tak pasukan Perak berjaya mempertahankan pingat emas mereka dalam acara bola sepak?

Bagaimana pula dengan nasib sukan sukan yang lain? Sukan yang tiada kontroversi dan suam suam kuku? Sukan yang santun dan tertib seperti jimnastik berirama dan acara terjun wanita? Wajarkah kita biarkan Farah Ann Hadi versi anak muda muncul subur menggebu tanpa perhatian yang jitu secukupnya?

Sejak beberapa dekad ini aku merasakan Sukma sudah semakin dipinggirkan. Jika adapun liputan, namun hipsternya dan tahap tarikannya tidak sampai ke hulu hati. Ia amat berbeza ketika aku masih kecik dahulu. Sekitar tahun 90-an barangkali. Sukma ketika itu sangat dinanti dan ditunggu-tunggu. Semangat kenegerian akan meluap luap dalam tempoh seminggu. Kadangkala apabila terjumpa makwe Kelantan di jalanan yang putih gebu pun kita sanggup melempar najis hanjeng ke arahnya. Begitulah meriahnya semangat kenegerian Sukma suatu ketika dahulu. Sekarang? Haprak.

Perkara ini perlu dikaji oleh pihak yang berkaitan dengan Sukma. Bagaimana hendak menarik minat orang ramai datang ke stadium bola, balapan trek, lapang sasar, pusat akuatik, velodrome dan gelanggang badminton. Sedangkan acara yang dipertandingkan pun kita kurang pasti, macam mana pula kita nak menuju ke tempat acara yang dipertandingkan?

Haaa..inilah baik buruk yang perlu dipermolekkan serta diperkemaskan oleh mereka yang menggunakan duit dan dana rakyat (serba sedikit) untuk penganjuran sukan yang semakin kurang perhatian ini. Janganlah kira asalkan dapat buat penganjuran sahaja sudah melepasi KPI. Kena ambil kira juga sambutan dari penonton di lapangan acara, rating penonton di televisyen ataupun trending di media sosial. Takkan ini pun aku nak kena ajar?

Ramalan: Aku rasa orang ramai sekarang dah tapeduli pasal sukan lagi. Mungkin depa lagi sedap menengok rancangan realiti bodo macam Mentor, Gegar Vaganza dan Khai Bahar.