There was an error in this gadget

Saturday, August 27, 2016

Di Mana Mereka? Juan Sebastian Veron.


Di Mana Mereka? Juan Sebastian Veron.


Wajah uzur penuh kedut Rahmat tidak menghalang dirinya daripada menyedut asap rokok Saat sehingga kempong pipinya. Sehingga nampak tulang rahangnya. Semakin ke penghujung rokoknya, semakin laju pula hisapannya. Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...

Kerusi malasnya berayun perlahan di hadapan anjung yang dibinanya sendiri. Susunan rumah kampung yang rapat dan mesra tetangga menjadikan pemandangan jerlus terlihat kepada anjung rumah jiran hadapan. 

Mat Jambang - jiran Rahmat begitu berkobar mengibarkan bendera Argentina walaupun hari ini sudah masuk bulan kemerdekaan bagi negara Malaysia.

"Woih! Argentina la woih! Ape bendeee Malaysiaaaa" Sergah Mat Jambang pada satu hari dengan rambutnya yang kuning. Mat Jambang memang berperangai cilake. Kalau dia mengejek orang tak apa. Kalau dia kena ejek orang, habis satu kampung dia sembang baktinya sebagai ketua pasukan kompang Kampung Telangi.

Rahmat sediakala tahu jirannya itu meminati Argentina. Pemain yang paling Mat Jambang gemari ialah Juan Carlos Veron. Sambil ralit menghisap rokok, Rahmat terimbas kembali ingatannya pada Veron - pemain ysng terkenal dengan gelaran Si Ahli Silap Mata.

Mungkin karier Veron di Lazio adalah yang paling sukses sekali di Eropah. Pada musim 1999-2000 Lazio dengan suntikan kewangan tiada terhad mereka telah berjaya menjulang kejuaraan Serie A dan UEFA Super Cup.

Lazio pada musim itu dibarisi ramai pemain ternama. Sergio Coceicao, Pavel Nedved, Dejan Stankovic, Simone Inzaghi, Alen Boksic, Fernando Couto, Roberto Mancini, Sinisa Mihajlovic, Matias Almeyda, Alessandro Nesta, Diego Simeone, Marcelo Salas, Fabrizio Ravanelli, dan siapa lagi kalau bukan Juan Sebastian Veron. Sungguh meriah perjalanan bola sepak Veron di Lazio.

Walaupun begitu, kemeriahan Veron di Lazio tidak dapat diteruskan ke Liga Perdana Inggeris. Dari Lazio ke Manchester beliau memegang pangkat perpindahan pemain paling mahal di British. Veron kemudiannya dijual separuh harga kepada pasukan Chelsea. Secara jumlahnya selama tiga musim di England, hanya satu kejuaraan liga yang menjadi miliknya. Satu statistik yang menyedihkan bagi pemain yang bernama besar seperti beliau.

Namun sekembalinya beliau ke Itali sebagai pemain pinjaman untuk Inter Milan, ia bagaikan pelangi yang muncul di pagi hari selepas pepatung selesai bersenggama di atas kuntuman bunga ros merah. Wangi dan menyegarkan. Dua musim bersama Inter beliau memenangi 2 Copa Italia, Supercoppa Italiana dan juga Serie A 2005/06 selepas Juventus dilucut dari kejuaraan tersebut.

Veron kemudiannya menghabiskan sisa-sisa kariernya di Estudiantes untuk 6 musim lagi sehinggalah beliau dilantik menjadi Presiden kelab tersebut. Begitulah Veron. Tidak pernah berehat daripada bola sepak. Ini bezanya bola Malaysia dan Argentina. Patutlah Mat Jambang terlalu mencintai Argentina.
 
Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...Rahmat terus menghembus asap rokoknya sehinggalah matahari terbenam di celahan ufuk barat.

1 comment:

  1. mat jamb tu pun talame lagi nak berehat. mintak2 la dia berehat lama baru tenang dan aman bolasepak malaysia ni

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...