Sunday, October 8, 2017

Di Mana Mereka: Gareth Barry.

Di Mana Mereka: Gareth Barry.

Ramai daripada kita tahu yang Gareth Barry hari ini bermain di West Brom Albion. Beliau juga baru sahaja secara rasmi menjadi pemain yang mencatatkan penampilan terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris. Dengan rekod sebanyak 632 penampilan, beliau berjaya mengatasi lagenda Manchester United - Ryan Giggs. Sebagai info tambahan nak bagi panjang tulisan ini - Ryan Giggs sebelum ini memintas rekod David James.

Gareth Barry memulakan kariernya dengan Aston Villa pada tahun 1998. Di sinilah dia menempa nama sebagai antara pemain tengah terbaik di England. Bukan di dunia. Merasalah juga beliau Piala Kejuaraan Intertoto pada tahun 2001. Entah piala apelah nama macam syarikat perjudian ajek.

Namun malang sekali kewujudannya dalam kem bola sepak England sentiasa dibayangi dengan kelincahan Frank Lampard dan Steven Gerrard. Walau macam mana power mak nenek sekalipun aksi Barry untuk Aston Villa, namanya dalam pasukan England adalah bukan yang pertama. Gagal.

Walaubagaimanapun kelibat beliau secara tiba-tiba didambakan untuk kelab Manchester Biru. Mungkin untuk melengkapkan kuota pemain tempatan berbangsa Inggeris maka City pun membelanjakan £12 Juta untuk khidmatnya selama 5 tahun.

Seperti biasa barangsiapa yang berpindah dari kelab cap ayam kepada kelab kaya raya mestilah akan dikecam. Tidak ketinggalan juga Barry si Lagenda Villa. Kata-kata nista seperti mata duitan, kacang lupakan kulit segera menjadi zikir di bibir pendukung setia pasukan Aston Villa. Tetapi Barry tenang membalasnya dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 2011-12 berserta Piala FA pada musim sebelumnya.

Kebanjiran pengurus di Manchester City bermakna pemain juga perlu ditukar ganti. Barry akhirnya dipinjamkan ke Everton Football Club pada musim 2013-14. Semusim selepas itu beliau menjadi pemain tetap di Everton dan mengumpul 131 penampilan. Piala kejuaraan tiada. Kesian.

Kini dia bermain untuk pasukan West Bromwich Albion dan bercadang untuk meneruskan kerja sebagai pemain bola sepak sehingga berusia 40 tahun. Tak cukup lagi ke simpanan KWSP dia ni?

Sementara itu Barry juga ada mendedahkan bahawa senaman yoga menjadikan dirinya kekal cergas dan bertenaga. Selain tidak merokok dan menjauhkan diri daripada lorong pelacuran.

Apabila ditanya kepadanya perlawanan manakah yang menjadi kegemaran beliau? Begini jawapannya sambil menekup mulut.

"Perlawanan paling sedap sudah tentu ketika kami Manchester City berkenduri gol menewaskan Manchester United 6-1. KahKahKah."


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...