There was an error in this gadget

Wednesday, June 10, 2015

Masyarakat Majmuk Dalam Bola Sepak Malaysia

Masyarakat Majmuk Dalam Bola Sepak Malaysia

Beberapa hari yang lalu heboh juga pasal kemenangan skuad Malaysia Bawah 13 Tahun menewaskan Bayern Munich 2-1. Namun ramai juga yang tidak tahu skuad yang sama ini sudah menewaskan Chelsea FC dengan skor 6-0 dan Sevilla FC 1-0. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu terkejut berok dengan kejayaan skuad bimbingan Lim Teong Kim ini sekiranya kita betol-betol mengikuti perkembangan bola sepak di Malaysia secara mendalam. Ini kerana berdasarkan sejarah silam pemain bola sepak Malaysia akan secara rasminya menjadi tidak reti menyepak bola apabila umur mereka melebihi 23 tahun dan mula diserapkan bermain dalam Liga Malaysia yang dikelolakan oleh FAM. Oleh sebab itulah aku mengambil pendekatan rileeeeekksss apabila mendengar kisah pasukan Bayern Munich ditewaskan itu.

Selain itu juga, beberapa hari yang lalu kita disajikan dengan aksi longlai daripada pasukan bola sepak Bawah 23 tahun asuhan Ong Kim Swee. Macam yang aku pernah katakan sebelum ini 'Macam mana kita nak tahu masa depan bola sepak Malaysia? Bergelut nak tewaskan Timor-Leste dan Brunei. Dikeronyok dek Vietnam. Tak angkat muka langsung bila lawan Thailand. Lepas ni entah-entah terkelucai dengan Laos pulak.' Dan ini adalah kitaran rasmi wabak bola sepak Malaysia sekiranya baka terbaik yang dilahirkan seawal usia belum mengenal Mawar Rashid ini terjerumus ke kancah Liga Malaysia yang syok sendiri kendalian oleh saudara budiman Tengku Bola dan hulubalang FAM.  

Apa nak buat ni? Kita sudah ada baka bola sepak terbaik, tetapi kita tiada Liga bola sepak bertaraf Asia (ini tanda aras paling minima aku bagi).

Dalam pada aku scroll down setiap laman maya yang aku sertai. Aku terbaca satu pendapat iaitu mencari pemain yang ada darah campuran rakyat Malaysia dan kemudiannya diserapkan ke dalam skuad bola sepak yang sedia ada. Dan semestinya mereka ini perlu pandai bermain bola dan lebih handal daripada pemain yang sedia ada bagi melayakkan mereka beroleh kredit beraksi dengan Harimau Malaya. Mari kita terima pendapat ini dengan hati terbuka dan mengandaikan Malaysia memiliki sebuah liga bertaraf Asia (pun ini adalah tanda aras paling minima aku bagi).

Majmuk Tunjang Negara.

Adakah kita sudah letih melihat budak Melayu berkahwin dengan artis selepas menjuarai Pesta Bola Merdeka? Penat menonton aksi Kunanlan yang seperti salah acara sukan setiap kali turun padang? Atau mula hilang takjub melihat nama Yong Kuang Yong yang tidak pernah tercicir dalam senarai skuad kebangsaan meskipun jumlah piala yang dimenanginya boleh dibilang dengan sebelah jari tangan sahaja?

Kini nama-nama seperti Brendan Gan, Junior Eldstal dan Matthew Davies mula meniti di setiap bibir munggil anak muda Malaysia. Terbaru ialah Curren Ferns yang kini bermain untuk pasukan Brisbane City yang mana telah pun menyatakan hasratnya untuk menyarung jersi kuning hitam pasukan negara. Ibu beliau berasal dari Johor Bharu dan Ferns turut berminat untuk menghadiri pemilihan pasukan JDT, seterusnya menyarung jersi pasukan Harimau Selatan jika terpilih. Dan sekiranya aku tidak salah, masih banyak lagi pemain berketurunan Malaysia yang bermain di luar daripada negara Malaya ini.
 
Adakah ini antara resipi terbaik untuk berjaya?

Perancis 1998 dan 2000.

Semasa Perancis menjuarai Piala Dunia 1998, pasukan mereka dilabel sebagai The Black, Blanc and Beur (Hitam, Putih, Arab). Ini kerana majoriti daripada mereka adalah berketurunan atau berdarah luar daripada Perancis.  Antaranya dari Guadeloupe, Martinique, Algeria, Argentina, Senegal, Poland, Portugal dan Ghana.
 
Zinedine Zidane (Algeria), Lilian Thuram (Guadeloupe), Marcel Desailly (Ghanaian), Christian Karembeu (New Caledonia), Patrick Vieira (Senegal), Anelka dan Sylvain Wiltord (Martinique), Trezeguet (Argentina) adalah antara contoh pemain yang membarisi skuad Les Blues ini sekitar kejayaan pada Piala Dunia1998 dan Piala Eropah 2000.  

Manakala pada Piala Dunia 2006, skuad pilihan Raymond Domenech menyenaraikan 14 orang pemain yang lahir dari benua Afrika ataupun mempunyai keluarga asal yang berdarah Afrika. Juga tidak ketinggalan, Vikash Dhorasoo yang berasal dari India.

Resipi ini masih digunakan hingga ke hari ini dengan menyebut beberapa nama sahaja antaranya Eliaquim Mangala (Portugal), Laurent Koscielny (Poland), Pogba (Guinea), Ben Arfa (Tunisia) dan Karim Benzema (Algeria).

Tidak ketinggalan juga pasukan Belanda yang pernah bergantung harap kepada warga Surinam seperti Jimmy-Floyd Hasselbaink, Patrick Kluivert, Clarence Seedorf, Edgar Davids dan Michael Reiziger. Adakah Surinam akan menjadi antara pasukan terbaik dunia sekiranya pemain-pemain ini bermain dengan negara asalnya? Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Jerman Dan Polisi 2014 Yang Pawer Nak Mampos.

Umum mengetahui 6 orang pemain yang menjuarai Piala Dunia 2014 yang lalu adalah skuad Jerman yang sama menjuarai Piala Eropah 2009 bawah 21 tahun. Namun adunan pemain kelahiran tempatan dan kacukan merupakan antara peyumbang kepelbagaian corak pemikiran serta pembawakan watak sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Miroslav Klose dan Lukas Podolski (Poland), Mesut Ozil (Turki), Marko Marin (Bosnia), Sami Khedira (Tunisia), Jerome Boateng (Ghanian) serta Shkodran Mustafi (Albania) antara beberapa muka pemain kacukan.
 
Juga sebilangan besar pemain yang tidak terpilih pada Piala Dunia yang lalu iaitu Patrick Owomoyela, Dennis Aogo (Nigeria), Serdar Tasci (Turkish), Piotr Trochowski (Polish), Cacau (Brazilian) dan Mario Gomez (Spanish). Tidak ketinggalan pemain veteran seperti David Odonkor dan Gerald Asamoah (Ghana).

Keterbukaan Ini Bukanlah Tunjang Utama Kejayaan.

Namun begitu ini bukanlah satu-satunya jalan utama menuju kejayaan wahai saudara sekalian. Kita ambil contoh Wayne Rooney yang berdarah separuh Irish, Adam Lallana (Spain) dan  Phil Jageilka (Poland). Di manakah pula kedudukan skuad England sekarang ye? Begitu juga dengan 16 orang pemain bola sepak Algeria dalam skuad Piala Dunia 2014 yang lalu yang juga dilahirkan di Perancis.

Pokok pangkalnya setiap polisi atau langkah yang dilaksanakan itu pasti akan ada pro dan kontranya. Cuma kalau FAM dirombak secara menyeluruh itu bagi aku memang adalah langkah PALING TERBAIK.


Posted via Blogaway

1 comment:

  1. jay rodriguez pun ada baka sepanyol jgak. rio ferdinand ( st Lucia ) raheem sterling ( jamaica ) danny welbeck ( ghana ) team england tetap camtu jugak

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...