Sunday, August 16, 2015

Di Mana Mereka? Gary Mabbutt.

Di Mana Mereka? Gary Mabbutt.

Jika disebut nama Gary Mabbutt secara spontan ketika aku sedang makan mee goreng mamak dengan teh ais, nescaya akan tersembur semua makanan tersebut dari mulut munggil aku ni. Ini kerana aku mengakui tidak pernah mendengar nama beliau sebelum ini. Ia membuktikan aku masih hijau dalam arena bola sepak seantero dunia meskipun mula berjinak-jinak secara serius sejak tahun 1993 lagi.

Secara tiba-tiba aku tiada ilham untuk menulis entri Di Mana Mereka? Punyalah banyak pemain bola dalam muka bumi ni. Tapi kalau tengah kering idea, tetap kontang sampai ke sudah.

Munculnya nama Gary Mabbutt ini daripada seorang sahabat media sosial, Yassir Zain namanya. Aku mendapat info orangnya hitam manis serta menjadi kegilaan ramai anak dara. Aku rasa cukup setakat itu sahaja aku ceritakan berkenaan beliau.  

"Gary Mabbutt. Sebab gaya dia ala-ala Mehmet Durakovic."

Ringkas sahaja jawapan Yassir Zain dalam aplikasi WhatApp yang bermastautim di Mountain View, California tersebut.

Setelah aku kaji secara mendalam. Gary Mabbutt ini menghidap kencing manis rupanya. Pada April yang lepas beliau baru sahaja selesai menjalani satu pembedahan besar-besaran yang berkaitan dengan penyakit ini.

Dalam satu temubual beliau ada berkata, "Mesti engko tak pernah jangka atlit macam aku ni boleh kena kencing manis bukan? Aku nasihatkan engko pergi jumpa doktor cepat-cepat kalau mula terasa pelik-pelik pada kaki engko."

Mabbutt mula dikesan menghidap kencing manis pada usia 17 tahun. Pada 1982 beliau menjadi pemain pertama yang menghidap kencing manis yang mewakili pasukan Tiga Singa.

Karier bola sepak beliau bersama Spurs bolehlah juga dikatakan amat membanggakan. Menjuarai Piala UEFA 1984 dan juga Piala FA England pada tahun 1991 selaku ketua pasukan. Beliau bersara pada tahun 1997 selepas mengalami kecederaan kaki yang mana menamatkan tempoh 16 tahunnya bersama Spurs. Setakat hari ini beliau merupakan pemain kedua paling lama yang pernah beraksi untuk pasukan dari London itu.

Selepas bersara daripada arena bola sepak selaku pemain, beliau juga tidak boleh berkhidmat selaku jurulatih atas keterbatasan yang beliau alami kesan daripada penyakit kencing manisnya yang kronik.

Jadi Gary Mabbutt banyak menghabiskan hayatnya dengan kerja-kerja amal. Pada Piala Dunia 2010 di Afrika, beliau merupakan antara duta pilihan dalam kejohanan tersebut. Selain itu juga beliau merupakan duta bagi pasukan Tottenham Hotspur dan FA England.

Selesai sahaja aku menulis entri ini, aku hempaskan segelas air sirap bandung bersoda ke lantai sebagai peringatan kepada diri aku akan betapa pentingnya menjaga kesihatan. Risau aku semakin menjadi-jadi apabila mendapat tahu tahun lepas sahaja seramai 2.6 Juta penduduk Malaysia menghidap kencing manis.

Engkau tak risau ke?

Semoga Gary Mabbutt sihat sejahtera hendaknya dan mampu menyampaikan mesej kesihatan kepada seluruh anak bangsa dunia.


Posted via Blogaway

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...