Di mana mereka? Juninho Paulista.
Dia berdiri pegun di hadapan tugu Wilf Mannion sambil membetolkan baju kot Abu Dhabi-nya dengan tertib. Angin sejuk Yorkshire benar-benar membuatkan bulu romanya naik mencanak bagaikan pucuk ubi mencari mentari. Tangan kanannya meraba-raba poket baju kot di sebelah kanan. Lalu sebatang vape dikeluarkan dengan penuh gaya. Punat vape ditekan dan mulutnya laju menyedut wap air perisa ND - Nora Danish. Maniiiis yang amat. Sedaaaap. Sesekali matanya hitamnya hilang naik ke atas meninggalkan mata putih sahaja. Begitulah nikmatnya menyedut aroma Nora Danish. Belum lagi menyedut orangnya.
Morgan Jones masih tidak berkelip memandang tugu Wilf Mannion - seorang lagenda bola sepak dari pasukan Middlesbrough ataupun lebih mahsyur dengan panggilan Boro. Wilfred "Wilf" James Mannion adalah penyerang berbangsa Inggeris yang bermain lebih 305 untuk pasukan senior Boro. Beliau juga pernah beraksi untuk pasukan antarabangsa England dalam hayatnya sebagai seorang pemain bola sepak. Sebagai mengenang jasanya sebuah tugu telah dibina. Ia merupakan lambang kemegahan buat pasukan yang berpengkalan di bahagian utara Yorkshire ini.
Namun Morgan tidak pernah sempat pun melihat aksi Wilf Mannion. Apa yang terimbas dalam ingatannya adalah kira-kira 20 tahun lalu ketika Middlesbrough menandatangani Juninho Paulista. Jika hari ini ia sudah menjadi perkara yang amat membosankan untuk melihat pemain dari Brazil datang bermain bola sepak di England. Tetapi ia amat berbeza pada tahun 1995 apabila Juninho Paulista datang ke liga utama England yang mana ia adalah satu perkara yang amat besar ketika itu.
Bryan Robson yang baru sahaja membawa Boro naik divisyen telah membeli pemain kecil molek yang berketinggian 5' 5" ini untuk beraksi di Teesside. Dan ia adalah satu pembuka jalan kepada kemasukan pemain-pemain luar terutamanya dari Brazil ke dalam Liga Perdana Inggeris. Pada musim berikutnya Juninho beraksi pula dengan Ravanelli yang berambut putih. Punyalah meluap-luap semangat peminat bola sepak Boro apabila melihat nama besar ini secara tiba-tiba sebaris dengan pemain suam-suam kuku seperti Robbie Mustoe dan Craig Hignett.
Bolehlah dikatakan ini sebagai zaman kegemilangan di Teesside.
Keberkesanan aksi Juninho di atas padang dan ramahnya beliau bermain bola sepak jalanan dengan anak-anak tempatan membuatkan beliau lebih dekat di hati peminat Boro.
Malangnya setiap yang manis pasti akan berakhir jua. Pada tahun 1997, Middlesbrough tersingkir dari divisyen utama Liga Inggeris selepas dalam musim yang sama tewas pada dua perlawanan akhir iaitu Piala Liga dan Piala FA. Juninho menangis teresak-esak kerana gagal mengekalkan Middlesbrough dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Dalam masa yang sama dia turut memikirkan nasibnya selepas ini dalam pasukan utama Brazil.
Demi mendapatkan tempat dalam pasukan utama Brazil untuk ke Piala Dunia 1998, Juninho telah berpindah ke Atletico Madrid. Namun malang tetap menimpa beliau. Pada 1 Februari 1998, ketika aksi liga menentang Celta Vigo, Juninho mengalami kecederaan selepas bertembung dengan pemain pertahanan, Michel Salgado yang mana menyebabkan beliau patah tulang kering. Juninho seterusnya berehat selama enam bulan dan terlepas peluang untuk beraksi di Piala Dunia 1998 yang berlangsung di Perancis.
Benar kata pepatah 'kalau dah jodoh, takkan ke mana'. Pada tahun 1999 beliau telah kembali ke Boro sebagai pemain pinjaman dari Atletico Madrid untuk tempoh setahun sahaja. Beliau memperolehi status sebagai pemain kekal untuk Boro pada tahun 2002 selepas dua tahun bermain di Brazil untuk pasukan Vasco da Gama dan Flamengo.
Dalam dua musimnya di Riverside ini, beliau sempat membantu Boro menjulang kejuaraan Piala Liga pada tahun 2004. Malangnya ia masih tidak cukup untuk mengekalkan beliau di Teesside dek kerana kecederaan berulangnya sejak daripada kakinya disabit oleh Michel Salgado.
Juninho juga dilaporkan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa menjulang Piala Liga bersama Boro adalah lebih agung daripada kejuaraan Piala Dunia 2002 milik beliau. Semangat kecintaan yang menebal terhadap kelab bola sepak Middlesbrough ini menjadikan Juninho amat disayangi oleh peminat Boro. Buktinya pada tahun 2007 beliau diundi oleh peminat Boro sebagai pemain terbaik mereka. Dan sehingga ke hari ini beliau masih kekal sebagai lagenda dan ikon di Teesside.
Selepas itu Juninho turut bermain di Celtic, Palmeiras, Sydney FC dan Ituano FC, kelab pertama beliau semasa remaja. Juninho menggantung kasut bolanya secara kekal pada tahun 2010. Kini beliau adalah Presiden bagi kelab Ituano FC.
"Apa yang abang menungkan tu?"
Lamunan panjang Morgan terhenti apabila disapa oleh Nora Danish, isteri ketiganya yang disuruh menetap di utara Yorkshire ini.
"Tidak ada apa sayangku. Sekadar mengimbau kenangan silam. Bukankah kita perlu belajar daripada sejarah untuk memperbaiki masa depan kita?" Morgan tenang mengembalikan soalan semula kepada isteri ketiganya itu. Dia menanggalkan topinya lalu menampakkan rambutnya yang kuning.
"Mari kita balik rumah bang." Ajak Nora Danish sambil mengusap manja jambang suaminya yang agak lebat itu.
"Haaa yolah sayangku. Jom."
Sebelum berlalu pergi, sempat Morgan memandang sayu ke arah Stadium Riverside. Kini pasukan Middlesbrough berada di tangga ke-4 Liga Kejuaraan. Mungkin musim depan peminat Boro dapat menonton kembali pasukan mereka beraksi di Liga Perdana Inggeris sambil ditenami lagenda mereka, Juninho Paulista yang duduk di kerusi VIP.
Juninho Paulista kekal sebagai antara nama besar dalam sejarah 139 tahun kewujudan kelab bola sepak Middlesbrough.
Posted via Blogaway