Thursday, May 5, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan E


Piala Eropah 2016: Kumpulan E

Belgium

Sejak beberapa tahun yang lalu majoriti peramal dan pengkaji bola sepak berpendapat suatu masa nanti Belgium akan menjadi penguasa bola sepak dunia yang disegani. Ya, berdasarkan ranking FIFA mereka sedang berada di landasan yang tepat. Tetapi generasi emas ini perlu membuktikan potensi mereka dan mula memenangi kejuaraan dengan Piala Eropah ini perlu menjadi permulaan mereka selepas kegagalan menepati jangkaan ramai dalam Piala Dunia 2014 yang lalu - kejohanan yang menyaksikan mereka tewas kepada Argentina pada peringkat suku akhir tanpa mencapai tahap tertinggi dalam aksi mereka.


Inilah masanya bintang muda asuhan Marc Wilmots menunjukkan kematangan mereka. Nama-nama seperti Eden Hazard, Lomelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Dries Mertens dan Divock Origi antaranya pemain yang mampu menjulang Belgium ke puncak kegemilangan Piala Eropah 2016. Mereka pernah merasai tahkta pertama ranking FIFA dan ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada pasukan yang bergelar The Red Devils ini.


Satu nama lain yang aku ingin perkenalkan ialah Michy Batshuayi. Dia menjaringkan dua gol dalam dua penampilannya dengan pasukan senior Belgium selepas melalui satu musim yang sedap di Marseille. Info mengatakan penyerang berusia 22 tahun ini memiliki kemapuan yang hampir sama dengan Benteke dan Lukaku. Namun kelebihan beliau ialah memiliki sepasang kaki yang pantas dan kuat untuk menjaringkan gol serta kerapkali menewaskan pertahanan lawan dengan skil dan helah yang mengelirukan. Jaga-jaga...


Itali

Itali adalah negara Eropah paling sukses dengan 4 kejuaraan Piala Dunia FIFA, 1934, 1938, 1982 dan 2006. Dengan satu koleksi kejuaraan Eropah pada tahun 1968 menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan setiap kali layak ke kejohanan besar seperti ini.

The Azzurri layak ke Piala Eropah 2016 dengan rekod tanpa kalah. Namun skuad asuhan Antonio Conte ini kelihatan biasa-biasa sahaja. Tiada nama-nama besar seumpama Fabio Cannavaro, Alessandro Del Piero, Gennaro Gattuso, Francesco Totti, Filippo Inzaghi, Gianluca Zambrotta, Andrea Pirlo mahupun Marco Materazzi dalam skuad kali ini.

Dua perlawanan menentang pasukan lemah, Malta hanya mencatatkan keputusan 1-0 dalam kedua-dua aksi. Dan jika dinilai secara imbas kekuatan pasukan Itali ini tiada apa yang istimewa darinya.

Menjadi naib juara pada tahun 2012 meskipun mereka gagal melepasi peringkat kumpulan dalam dua edisi Piala Dunia yang yang lepas. Tidak boleh tidak, Azzurri mesti mencapai satu keputusan terpuji untuk Piala Eropah 2016 ini. Berdasarkan bakat individu yang dimiliki dalam skuad kali ini, tidak mustahil Itali akan menjulang Piala Eropah yang kedua. Giorgio Chiellini, Daniele De Rossi, Thiago Motta, Marco Verratti dan Stephan El Shaarawy sudah tidak sabar untuk mengukir sejarah baru buat pasukan Itali.

Bukankah ia sangat manis sekiranya kita sebagai penonton bola sepak mendapat kejutan sedemikian rupa?


Republic of Ireland

Semasa aku menulis tentang pasukan ini, Leicester City baru sahaja beberapa jam dinobatkan sebagai Juara Liga England yang baru. Sekaligus menjadi pasukan ke-6 dalam sejarah pemodenan bola sepak Inggeris. Benda yang jarang berlaku seperti ini amat indah untuk dikenang apabila kita duduk melepak dengan rakan tua sambil melayan cerut Colombia barang sebatang dua.

Ia sama seperti kejayaan Denmark pada Piala Eropah 1992 dan juga Greece pada tahun 2004. Semasa aku sedang termenung mencari idea untuk menaip tentang Republic of Ireland, sesuatu yang diluar jangkaan kepala otak aku ligat melintas. Kenapa tidak boleh The Green Army ini menjadi juara Piala Eropah pada tahun ini? Hah?

Mereka mempunyai pemain seperti Shay Given, Seamus Coleman, Paul McShane, John O'Shea, Marc Wilson, Stephen Ward, Darron Gibson, Wes Hoolahan, James McCarthy, Glenn Whelan, Robbie Keane, Kevin Doyle, Shane Long dan Jon Walters yang semuanya dalam usia matang dan sedap untuk bermain bola sepak seperti gaya yang dimahukan oleh Martin O'Neill dan Roy Keane.

Martin O'Neill yang dikenali sebagai antara jurulatih yang bertaktikal tinggi mengakui kehadiran Roy Keane sebagai pembantunya memberi kesan yang positif kepada pasukan dan setiap pemain. Hasilnya mereka layak ke Piala Eropah 2016 selepas menewaskan Bosnia 3-1 dalam perlawanan play-off. Sebelum itu mereka hanya mampu berada di tangga ketiga dalam kumpulan yang turut memiliki Jerman dan Poland.

Namun begitu Republic of Ireland hanya bolos 7 gol meskipun Jerman dan Poland secara keseluruhannya berjaya menyumbat 57 gol. Dan apa yang lagi pawer ialah mereka berjaya menewaskan Jerman dalam perlawanan yang berlangsung di Dublin. Hasilnya mereka menyertai jiran Northern Ireland, Wales dan England bagi membawa semangat United Kingdom ke pentas Eropah.

Meskipun Scotland tidak turut serta bersama mereka, aku yakin roh William Wallace sedang tersenyum menumpang gembira. 


Sweden

Sweden ditendang keluar pada peringkat kumpulan dalam dua Piala Eropah yang lepas. Berdasarkan statistik ini juga ramai pemerhati bola sepak tidak bertauliah merasakan pasukan ini turut tidak akan mampu pergi jauh dalam edisi kali ini.

Ya betol mereka memiliki Zlatan Ibrahimovic - penyerang yang masih merbahaya nak mampos walaupun menginjak ke usia 34 tahun. Tetapi beliau secara individu juga tidak akan boleh menjanjikan bulan bintang kejayaan menjulang trofi Eropah di bumi Perancis nanti.

Pada pusingan kelayakan yang lalu mereka terkelucai apabila menentang Austria. Dan juga turut tewas kepada pasukan Russia yang biasa-biasa sahaja malahan huru-hara pasukannya. Kau bayangkan betapa bergelutnya Sweden kelak apabila dijadual berhadapan degan pasukan penuh berbakat Belgium dan pasukan lagenda seperti Itali.

Banyak nampaknya kerja rumah yang Erik Hamren serta anak buahnya perlu buat sebelum kaki melangkah masuk ke pesawat kapal terbang Scandinavian Airlines.


Perlawanan Tumpuan : Itali Melawan Ireland

Mungkin ia adalah perjalanan yang sedikit sukar buat Ireland untuk kempen Piala Eropah mereka pada kali ini. Namun dengan format baru yang sudah dikembangkan, nasib mereka masih boleh diukir pada pengakhiran yang lebih terhormat apabila dijadual bertemu Itali pada 22 Jun nanti meskipun tewas pada dua perlawanan awal sebelum itu.
 
Sejarah juga membuktikan Ireland memiliki memori indah apabila bertembung dengan Itali. Sudah tentu ada yang masih ingat perlawanan kedua pasukan ini pada Piala Eropah 2012 yang lalu apabila berkesudahan dengan keputusan Itali menang 2-0 hasil jaringan Balotelli dan Cassano. Ataupun adakah kenangan Ireland menewaskan Itali pada Piala Dunia 1994 dahulu akan menjadi panduan arah semangat Martin O'Neill and Co.? Marilah kita menunggunya dengan penuh debor di dada.

Pertembungan Force: Ibrahimovic Melawan Kompany.

Kedua pemain ini dijangka bertemu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan tanggal 22 Jun nanti. Sekiranya ini adalah aksi terakhir Zlantan bersama Sweden, sudah pasti beliau tidak akan duduk diam seperti kebanyakan penyerang pasukan Malaysia. Jadi kita menjangkakan Zlatan akan melincah ke kiri dan kanan. Melompat ke sana dan ke sini. Menaduk dan merebut bola tanpa henti sepanjang 90 minit perlawanan ini.

Siapa yang akan menyekatnya?

Tidak lain dan tidak bukan ialah Kapitan Belgium iaitu Vincent Kompany. Sekiranya beliau cergas, tugas mengawal Zlatan - antara pemain terbaik dalam dunia yang berbakat itu tidak akan menjadi masalah besar buat dirinya. Pertembungan dua kuasa ini akan menjadi memori manis buat seluruh pencinta bola sepak. Percayalah cakap aku ni.


Keistimewaan Kumpulan E: Kebangkitan Lukaku.

Romelu Lukaku antara kegagalan utama Belgium dalam Piala Duni 2014 yang lalu. Namun kali ini mungkin peluang untuknya bersinar agak cerah.

Dengan kekerapan peluang bermain dalam pasukan Everton, kemampuannya sedikit sebanyak semakin meningkat meskipun Everton tidak berada dalam kedudukan yang baik ketika ini. Ia juga sekaligus menjadikan Lukaku antara pemain yang paling direbutkan dalam Liga Perdana Inggeris.

Sekiranya beliau berjaya menterjemahkan ketajaman menjaringkan golnya dalam aksi antarabangsa bersama Belgium - pasukan yang penuh bakat muda bola sepak. Tidak mustahil Belgium akan menjulang Kejuaraan Piala Eropah 2016 buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak mereka.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...