Wednesday, November 15, 2017

Piala Dunia 2018: Mesir.




Piala Dunia 2018: Mesir.

Revolusi Mesir 25, Januari 2011.

Rostam berdiri pegun di jendela asramanya. Di hadapannya rimbun pepohon kurma dipanah mentari. Dia merenung jauh melihat segerombolan umat Mesir berarak ke sana-sini. Pandangannya penuh dengan api perjuangan. Dia menoleh ke belakang. Terlihat kawan sekampungya sedang tergopoh-gapah mengemas pakaian serba ringkas untuk dibawa pulang ke Malaysia. Atas arahan kerajaan Malaysia yang aman damai dan bencikan kekecohan, maka pelajar Malaysia harus dibawa pulang sesegera mungkin sehinggalah keadaan kembali pulih di Mesir.

"Kau balik dulu. Kau balik Malaysia dulu. Nanti sampai negeri JDT sana kau kirimkan salam aku pada mak dan ayah aku ye Rahman."

"Macam mana dengan makwe kau nanti? Sabariah Imani? Kalau-kalau engkau mati nanti, boleh tak aku ambil beliau jadi bini?"

Gurauan Rahman tidak disambut dengan mesra oleh Rostam. Wajahnya masam mencuka. Pandangan matanya masih sama seperti tadi, penuh dengan api perjuangan. Satu keluhan maha berat dilepaskan di dalam rengkung.

Rostam nekad untuk tidak turut serta bersama belasan ribu pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir ke Malaysia dengan menggunakan pesawat Hercules C-130. Hari ini dia akan turun ke Dataran Tahrir untuk melihat sendiri dengan biji matanya keruntuhan kerajaan Hosni Mubarak. Dijangkakan juga Wael Ghonim akan berucap dengan nada berkobar-kobar. Dan itulah kali terakhir sebenarnya Rahman berbual dengan Rostam secara muka ke muka. Sejak dari itu Rostam telah hilang bersama sejarah Revolusi Mesir dan Arab Spring. Tiada siapa pun tahu ke mana perginya Rostam. Di mana pun Rostam berada, moga beliau tenang sentiasa. Barangkali Rahman juga sudah selamat bernikah dengan Sabariah Imani di Dewan Felda Jengka sana.

Mengimbau tanggal 25 Januari, ia adalah merupakan titik penting dalam sejarah moden Mesir. Pada hari ini bekas diktator, Housni Mubarak, untuk pertama kalinya melihat sendiri amarah rakyat. Lebih dari 100,000 pendemonstransi berkumpul di Kairo, Alexandria, Suez dan serata kota-kota besar di Mesir.

"Rakyat menuntut kejatuhan rejim Mubarak," begitulah bunyi contengan di dinding-dinding kota serata Mesir pada bulan Januari 2011 yang lalu. Kira-kira 7 tahun yang lepas.


Kejayaan Bola Sepak Mesir.

Berdasarkan rekod FIFA, ini adalah kali ke-3 Mesir layak ke Piala Dunia. Kali pertama adalah pada tahun tahun 1934. Manakala pada tahun 1990 mereka layak untuk buat kali yang kedua. Pada tahun ini mereka berjaya seri dalam 2 perlawanan menentang Republic of Ireland dan Belanda. Namun tewas kepada England dalam perlawanan terakhir. Tamat kejohanan ini Mesir berada di tangga tercorot dengan 2 mata sahaja.

Jonas Salk pernah berkata 'The reward for work well done is the oppurtunity to do more'.

Maka dengan itu, usai 12 jam kejayaan layak ke Piala Dunia 2018 di Russia, Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi mengumumkan bonus sebanyak $US85,000 kepada setiap para pemain. Dah macam perangai Malaysia. Menang sikit bagi tanah. Menang dengan Hong Kong janji nak bagi duit. Menang Piala AFF dapat pangkat Datuk. Begitulah bola sepak dan ganjaran. Sukar untuk dipisahkan.

Tidak ketinggalan juga Mohamed Salah yang turut ditawarkan sebuah villa mewah daripada seorang saudagar kaya raya, Mamdouh Abbas. Namun begitu Salah dengan rendah hati telah menolak tawaran itu dan meminta Abbas mendermakannya ke kampung halaman beliau di Nagrig, Gharbiya.

Nampak tak? Tak semua pemain bola gilakan pangkat dan tanah sebenarnya. 

Regim Mohamed Salah

Selepas 28 tahun sangap Piala Dunia, akhirnya mereka berjaya layak dan akan berlaga keting dengan pasukan handalan dunia yang lain seperti Russia, Uruguay dan Arab Saudi. Mujur kejayaan Piala Afrika banyak mereka kecapi senggang mereka sunyi dari Piala Dunia. Ada jugaklah gula-gula untuk rakyat mereka. Bukan macam Malaysia, satu apa piala pun takde. Gula-gula buat taik gigi pun tak dapat bagi. Heh!

Tidak syak lagi Mohamed Salah akan mengetuai generasi baru Mesir di Piala Dunia tahun hadapan bersama-sama El Nenny dan Ahmed Hegazi antaranya. Juga beberapa muka veteran dalam pasukan ini seperti penjaga gol mereka, El-Hadary yang akan berusia 45 tahun apabila Piala Dunia berlangsung di Russia kelak sekaligus akan menjadi pemain paling tua membuat penampilan di Piala Dunia. Dan apa yang lebih menarik ialah El-Hadary diakui sendiri oleh Lagenda Chelsea Yang Power, Didier Drogba sebagai antara lawan terbaik yang pernah dihadapinya. Kau bayangkanlah sendiri betapa tangkasnya El-Hadary ini sehingga Drogba pun memuji-muji beliau.

Berbalik semula kepada perihal Mohamed Salah tadi. Dalam satu temubual selepas membantu Mesir layak ke Piala Dunia, dengan nafas turun naik dia berkata:

"Kami dengan ini sudah bersedia untuk membanggakan seluruh umat Mesir dan Afrika. Inilah hadiah dari kami untuk 100 juta rakyat Mesir yang bersama-sama sabar serta tenang dengan kami selama 28 tahun lamanya. Terima kasih."


Siapa Tak Kenal Hector Cuper Dia Ketiak Itam.

Héctor Cúper tiba di Mesir dengan reputasi gah dan mempunyai pengalaman luas melatih pasukan terkemuka seperti Inter Milan dan Valencia. Tidak seperti Malaysia yang menggaji entah siapa-siapa untuk pasukan bola sepaknya. Selepas di google barulah kita tahun siapakah sosok dari Portugis itu.

Héctor Cúper dikatakan mendapat slip gaji sebanyak $65,000 sebulan. Jadi sudah tentulah membawa Mesir ke Piala Dunia adalah sasaran utama FA Mesir. Dan apa yang lebih manis dia akhirnya berjaya melaksanakan tugasan ini.

Sebelum perlawanan menentang Congo, Héctor Cúper dipercayai diberi rawatan tekanan darah tinggi. Mungkin akibat tekanan yang melampau menjelang pertemuan dengan Congo.

Walaubagaimanapun nama Héctor Cúper kini sudah berada dalam lipatan sejarah bola sepak Mesir selaku jurulatih yang berjaya membawa Mesir ke Piala Dunia selepas 28 tahun. Bolehlah beliau berehat dengan tenang dan fokus pada Piala Dunia 2018 nanti.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...