Tuesday, November 28, 2017

Piala Dunia 2018: Sepanyol



Piala Dunia 2018:Sepanyol

4-6-0.

Pernah pada satu ketika, Negara Malaysia bergegar dengan berita jurulatih bola sepak mereka, Vingada mengumumkan akan menggunakan formasi 4-6-0 semasa bertemu dengan Hong Kong. Makanya Safiq Rahim pun diumumkan untuk menjadi 'false 9'. Selepas aku mendengar berita ini, aku secara peribadi berdekah-dekah di dalam jamban. Adakah ini satu bentuk penghinaan secara halus ala freemason kepada pasukan bola sepak handal - Sepanyol?

Semestinya ada antara kita masih ingat yang taktikal ini telah dipopularkan oleh Sepanyol sekitar tahun 2012 dahulu. Ya, ia dipopularkan oleh Sepanyol. Tetapi dihancurkan begitu sahaja tanpa bersalah oleh Malaysia. Gila. Dan ingin aku tegaskan sekali lagi, ia adalah penghinaan kepada bola sepak Sepanyol.

Jika pasukan Malaysia menjadikan Safiq Rahim sebagai 'false 9', Sepanyol ketika itu memilih Fabregas. Adakah ini maknanya Safiq Rahim setanding dengan Fabregas? Kahkahkah..

Okay, kita abaikan 4-6-0 versi Vingada buat sementara waktu. Mari kita kembali bercakap tentang pasukan Sepanyol.

Sepanyol sebenarnya semasa Piala Eropah 2012 sedang mengalami krisis ketiadaan penyerang yang jitu. Prestasi terumbang ambing Torres disulami ketiadaan David Villa yang cedera. Ketika Sepanyol mengamalkan taktikal ini, perlawanan yang melibatkan mereka amatlah bosan. Ini kerana kurangnya cubaan ke arah gol dek kerana mereka lebih mengutamakan penguasaan bola. Kalau menang pun cumalah satu gol sahaja. Bosan pun bosanlah. Janji menang. Ini dahlah kau tahan bola pun berterabur di kaki. Nak menang jauh sekali.

Pada Piala Dunia 2018 nanti bagaimanakah pula corak permainan pasukan Sepanyol yang serba handal bermain bola sepak ini? Filosopi bola sepak Sepanyol pernah gah, makmur dan harmoni dengan tiki takanya. Sebelum ia diterajang masuk ke dalam kubur pada Piala Dunia 2014 yang lepas.

Sudah tentu kita tidak sabar untuk melihat Sepanyol yang baru. Pasukan lemah seperti Jerman, Brazil, England dan Argentina pula pastinya berebut-rebut untuk bertemu Sepanyol di perlawanan akhir. Heh!

Penampilan Terakhir Sepanyol Sebagai Sepanyol?

Catalonia sudah berjaya keluar dari Sepanyol. Secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada pasukan bola sepak Sepanyol. Nama-nama seperti Sergio Roberto, Gerrard Pique, Marc Bartra, Jordi Alba, Sergio Busquets, Cesc Fabregas dan Ballerin antaranya akan lenyap dari pasukan Sepanyol. Yang tinggal dalam pasukan Sepanyol pula ialah De Gea, Sergio Ramos, Carvajal, Monreal, Thiago Alcantara, Isco, Saul, Ander Herrera, David Silva dan Morata.

Di atas kertas kelihatan setara sahaja kekuatan kedua pasukan. Namun begitu, apa yang mengagumkan ialah, walaupun mereka di dalam konflik semasa ini, pasukan Sepanyol masih boleh bersatu bermain dalam satu unit yang kukuh sehingga mereka sekali lagi layak ke Piala Dunia 2018 tanpa ada masalah yang besar. Ini termasuk menewaskan Itali dalam perlawanan kelayakan sekaligus menamatkan rekod pasukan Azzurri yang tidak kalah selama 11 tahun dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Eropah. Ampuh.

Julen Lopetegui

Sebelum aku menggunakan google, terus terang aku tak berapa tahu sangat profil beliau selaku pemain bola sepak. Figura ini hanya aku tahu telah membawa pasukan bawah 19 dan 21 tahun pasukan Sepanyol menawan Eropah.

Antara pemain yang pernah bekerja bersama beliau ketika itu adalah Paco Alcácer, Suso, Jese, Gerard Deulofeu, David de Gea, Marc Bartra, Martín Montoya, Isco, Asier Illarramendi, Koke, Thiago Alcantara, Morata dan Rodrigo. Melihat nama-nama ini terbuktilah kenapa FA Sepanyol memilih beliau untuk menggantikan Vicente del Bosque.

Ini kerana kesinambungan hubungan antara pemain dan jurulatih sebenarnya amat penting. Lagi-lagi selepas apa yang berlaku kepada Sepanyol dalam Piala Dunia 2014 yang lalu, serta kegagalan mereka mempertahankan Piala Eropah 2016.

Setakat ini Julen Lopetegui adalah individu yang paling tepat untuk memberi kesegaran dalam pasukan Sepenyol sekaligus memacu Sepanyol semula ke puncak dunia.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...