Friday, January 26, 2018

Piala Dunia 2018: Maghribi



Piala Dunia 2018: Maghribi

Maghribi, Kemodenan dan Piala Dunia.

Mengikut kajian sejarawan lama, kawasan Maghribi moden telah didiami oleh manusia sejak Zaman Neolitik lagi, iaitu sekurang-kurangnya sejak 8000 tahun sebelum masihi. Kini Maghribi pantas membangun dengan ekonominya yang berteraskan pertanian, pelancongan, aeroangkasa, automotif dan juga tekstil antaranya.

Selain itu pembangunan bola sepak jugak tidak pernah diabaikan. Ia meriah sejajar dengan kepentingan memajukan negara. Seperti yang kita tahu sukan bola sepak adalah perkara yang mampu menyatukan sesiapa sahaja. Yang bercerai boleh rujuk semula. Yang berbeza parti politik boleh duduk semeja di kedai warong. Begitulah perumpamaannya.

Pada tahun 1955, Federasi Bola Sepak Maghribi atau nama inggerisnya Royal Moroccan Football Federation (RMFF) telah ditubuhkan secara rasmi. Dengan wujudnya badan ini, maka perjalanan bola sepak di Maghribi dapat dikawal selia dengan lebih sistematik dan lancar.

Rentetan daripada itu, pasukan bola sepak kebangsaan Maghribi yang bergelar Singa Atlas ini akhirnya berjaya menyertai FIFA pada tahun 1960. Kemunculan sulung mereka di Piala Dunia adalah pada tahun 1970 di Mexico dan mereka terkandas di peringkat kumpulan.

Dua edisi Piala Dunia selepas itu Maghribi menyepi.  Dan sensasi mereka sudah pastinya ketika Piala Dunia 1986 juga di Mexico apabila menjadi pasukan dari Afrika yang pertama menjuarai peringkat kumpulan.

Seterusnya Maghribi hadir lagi di Piala Dunia 1994 tetapi hanya untuk melengkapkan jadual di peringkat kumpulan. Maghribi juga cuba membida Piala Dunia 1998 namun mereka terlepas peluang tersebut kepada Perancis.

Piala Dunia 1998 turut menjadi kejohanan yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Maghribi. Mereka memerlukan 3 mata pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati dan mereka berjaya melunaskan tugasan tersebut dengan cemerlang. Scotland dibelasah 3-0 tanpa belas ehsan.

Malang sekali Brazil yang sudah layak ke pusingan kalah mati telah tewas kepada Norway sekaligus menidakkan peluang Maghribi untuk mara lebih jauh. Sorakan kegembiraan di Saint-Étienne tadinya terbantut dan bertukar menjadi babak kesedihan. Kalau diingatkan semula memang boleh menitis air mata jantan ni.

Lagenda Hadji Mengorak Langkah

Apabila ada orang bertanya kepada aku, apa yang aku tahu tentang pasukan Maghribi? Dengan tanpa ragu aku akan menjawab, Mustapha Hadji. Siapa Mustapha Hadji? Mari sini aku ceritakan.


Selain daripada gol cantik Michael Owen yang membuka namanya di pentas dunia, satu lagi gol hasil jaringan Mustapha Hadji – Lagenda Maghribi meninggalkan kesan mendalam kepada penyokong berkecuali semasa Piala Dunia 1998.

Ketika perlawanan pertama menentang Norway, dalam satu gerakan serangan balas, pemain tengah bertahan Maghribi, Taher el Khalej melorongkan bola di sebelah kiri kepada Hadji yang sudah melakukan larian sepantas harimau bintang. Dengan berbekalkan satu 'stepover' yang lincah, pertahanan Dan Eggen berjaya ditipunya. Kemudian Hadji melepaskan rembatan rendah bawah di penjuru kiri penjaga gol Norway, Frode Grodas. Gooooooooooool!!!! Dan gol ini diiktiraf antara gol terbaik kejohanan Piala Dunia untuk tahun itu.
 
 
Kehebatan Hadji di Piala Dunia 1998 ini membolehkan beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika pada tahun yang sama menewaskan dua orang lagenda Nigeria - Jay Jay Okocha dan Sundah Oliseh. Selepas itu perpindahannya dari Deportivo ke Coventry City hanya menjadikan namanya lebih dikenali di serata dunia.

Muncul Selepas Ghaib 20 tahun.

Dalam penentuan peringkat Kumpulan C Zon Afrika, Maghribi berjaya mengenepikan cabaran pasukan Ivory Coast apabila menjuarai kumpulan dengan 12 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 3 seri. Yillek kekalahan.

Maghribi menempah tiket Piala Dunia selepas 20 tahun ghaib dan ini adalah penampilan mereka yang kelima dalam sejarah FIFA.

Pada undian Piala Dunia yang lalu, dengan ranking FIFA mereka di tangga ke-40, mereka diundi dalam kumpulan B bersama juara semasa Piala Eropah - Portugal, bekas JUARA DUNIA YANG POWER NAK MAMPOS - SEPANYOL dan wakil dari Asia yang hebat Iran.



Jika tiada aral melintang pukang, Medhi Benatia sudah pasti akan mengetuai pasukannya menentang cabaran 3 pasukan yang aku sebutkan tadi. Pengalaman beliau dengan Juventus tidak perlulah aku ceritakan di sini hari ini. Barangkali di lain masa sahaja.

Pengalaman Benatia sudah pasti ditagih untuk membimbing pemain muda seperti Achraf Hakimi yang baru sahaja berusia 19 tahun namun sudah beroleh kontrak bersama pasukan Real Madrid. Ketika artikel ini ditulis beliau sudah menjaringkan 1 gol dalam 5 penampilannya musim ini bersama Real Madrid.

Manakala bahagian tengah pasukan Maghribi mempunyai adunan pemain yang matang dan sedang ranum. Mereka memiliki Karim El Ahmadi (30 tahun) dan Nordin Amrabat (33 tahun). Dan dua orang veteran ini akan dibantu oleh Sofiane Boufal (24 tahun) serta sensasi Hakim Ziyech juga berusia 24 tahun. Nampak sedap bukan?

 
Tetapi sebagai seorang penulis cerita bola yang tegas, aku secara realistilk meramalkan peluang Maghribi untuk melepasi peringkat kumpulan adalah dalam lebih kurang 28% sahaja.  Walaupun begitu aku sedikit yakin dengan sentuhan ajaib Herve Renard. Mungkin mereka mampu mencetuskan kejutan jika Renard berjaya mengadun dan mengorek yang terbaik daripada skuad Maghribi ini.


Sentuhan Afrika Hervé Renard



Siapa dia ni? Hervé Renard dilahirkan pada 30 September 1968. Seorang yang kacak bergaya berasal dari Perancis dan merupakan jurulatih semasa pasukan kebangsaan Maghribi. Betul kata orang-orang lama, lelaki Perancis ini seksi juga orangnya. Contoh terdekat cuba lihat Arsene Wenger.

Nama Hervé Renard mungkin agak asing di bumi Asia. Tetapi di rantau Afrika beliau dikenali sebagai Raja Piala Afrika. Individu ini mengukir namanya dengan Zambia dan Ivory Coast apabila membawa dua negara Afrika ini menjuarai Piala Afrika pada tahun 2012 dan 2015. Dan ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah apabila seorang jurulatih berjaya menjuarai Piala Afrika dengan dua pasukan yang berbeza.

Meskipun ramalan di 'socmed' banyak mengatakan Portugal dan Sepanyol akan menjadi pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya, namun reputasi Renard yang rajin menghasilkan kejutan mungkin akan merosakkan ramalan tak bertauliah ini. Kau orang tengok sahajalah nanti. Aku nak sambung makan nasik kejap.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...