Di mana mereka? Diego Tristan.
Dunia bola sepak pernah menyajikan kita dengan aksi hebat penyerang terbaik dunia antaranya seperti Bebeto, Romario, Dwight Yorke, Andy Cole, Thierry Henry, David Trezeguet, Raul, Fernando Morientes, Alessandro Del Piero dan Filippo Inzaghi.
Tetapi ingatkah anda pada nama Diego Tristan? Tidak? Maafkan saya...ini bermakna anda adalah seorang yang masih hijau dalam arena bola sepak dunia. Tidak mengapa. Mari kita sama-sama menyelusuri dan mengenali serba sedikit profil pemain yang bernama Diego Tristan ini.
PENGENALAN
Lama sebelum wujudnya Diego Costa yang berwajah tua kerepot, dunia bola sepak awal era 2000 pernah dihiasi dengan kelincahan aksi Diego Tristan di hadapan gol sehinggakan beliau digelar sebagai 'The Slippery Lizard'. Namun begitu, lain pula ceritanya dengan bola sepak Malaysia ketika itu yang lebih banyak melahirkan penyerang berjenis 'The Sleepy Lizard'. Tak apalah, kita abaikan sahaja kisah mereka ini buat sementara.
Sepanjang tempoh singkat kemahsyuran Diego Tristan, beliau telah membantu Deportivo La Coruña - pasukan agong daripada Sepayol ketika itu memenangi kejuaraan Copa del Rey dan Supercopa de España pada tahun 2002, serta kejayaan mara ke peringkat separuh akhir Champions League musim 2004. Siapa boleh melupakan kejayaan dramatik Deportivo pada laga suku akhir ketika menewaskan AC Milan? Walaupun watak utama masa itu adalah seorang lagi lagenda iaitu Walter Pandiani, namun nama Diego Tristan kekal terpalit dalam sejarah Champions League sebagai antara anggota pasukan 'fairy tales' yang dibimbing oleh Javier Irureta.
PERMULAAN KARIER
Pemain kelahiran La Algaba ini adalah hasil produk program pembangunan pemain muda dari Real Betis. Diego Tristan yang pada mulanya bermain untuk Real Betis B telah berpindah ke pasukan RCD Mallorca B dan menghabiskan musim 1998/1999 di Divisyen Segunda. Hanya selepas semusim di liga kedua Sepanyol, masuk sahaja musim 1999/2000, Tristan berkelana pula ke pasukan RCD Mallorca yang mana di sinilah bermulanya perangai rajin menyumbat gol beliau.
Tanggal 12 September 1999, Diego Tristan mendapat peluang pertamanya untuk bermain dalam La Liga apabila diturunkan dalam perlawanan antara RCD Mallorca dengan CD Numancia. Tamat sahaja musim 1999/2000, Diego Tristan merekodkan 18 gol dalam 35 penampilan pertamanya di pentas La Liga.
Media Sepanyol mula memuji-muji kehebatan beliau dan juga memasang angan-angan pemain ini turut akan mampu memperkuatkan jentera serangan pasukan negara Sepanyol.
HAMPIR MENJADI GALACTICOS
Perkhabaran tentang kehebatan Diego Tristan ini mula menarik minat pasukan utama di La Liga. Dan seperti biasa Real Madrid-lah yang paling terkedepan dalam perihal memancing pemain-pemain bintang. Tambahan pula Real Madrid baharu sahaja tewas dalam perebutan takhta La Liga bagi musim 1999/2000. Maka pemain baru yang hebat perlu cepat dibawa ke Real Madrid.
Presiden Real Madrid ketika itu, Lorenzo Sanz dengan segera cuba mendapatkan Diego Tristan bagi menambah koleksi penyerang The Galacticos yang sudah pun memiliki Raul dan Fernando Morientes.Tamak haloba betol.
Namun malangnya perpindahan ini tidak berjaya dilaksanakan apabila Florentino Perez melangkah sebagai Presiden di Bernabeu dan memulakan legasi pemerintahannya di Real Madrid. Apa yang jelas Florentino Perez sudah ada nama pemain yang ingin dibawanya ke Bernabeu iaitu siapa lagi kalau bukan Luis Figo. Jadi, dengan kadar segera nama Diego Tristan tercicir dari senarai pembelian pasukan Real Madrid.
Melihat pada peluang yang terhidang lagi lazat ini, juara bertahan La Liga ketika itu, Deportivo muncul dengan bidaan £8 juta yang mana ia dilihat sebagai antara pembelian berbaloi dalam sejarah bola sepak moden. Diego Tristan kemudiannya membina repustasi beliau sebagai pemain nombor 9 yang lengkap, pakar dalam memecah pertahanan lawan, skill bola sepak yang tinggi dan kepantasan serta ketangkasan menjaringkan gol yang tak terbendung.
MESIN GOL
Musim pertama (2000/2001) Diego Tristan di Deportivo dibayangi oleh kehebatan seorang lagi penyerang power nak mampos iaitu Roy Makaay. Walaupun begitu beliau masih mampu menjaringkan 19 gol dalam 29 penampilannya di atas padang. Dan ini merupakan satu statistik yang hebat. Dengan pantas juga namanya menjadi sebutan di serata dunia.
Pada musim 2001/2002, Diego Tristan telah mencapai kemuncak dalam kariernya sebagai pemain bola sepak. Beliau menyudahkan kempen musim tersebut dengan merekodkan 21 gol dalam 35 aksi di La Liga serta 6 biji gol di pentas Eropah. Ia sekaligus membolehkan beliau menjulang trofi Pichichi pada penghujung musim tersebut.
Kecemerlangan beliau pada musim ini menarik perhatian José Antonio Camacho si ketiak basah untuk memanggil beliau masuk ke dalam skuad Sepanyol bagi kejohanan Piala Dunia Korea Selatan/Japan 2002. Diego Tristan sempat muncul dalam 2 perlawanan pembukaan menentang Slovenia dan Paraguay. Kedua-dua perlawanan dimenangi Sepanyol dengan skor 3-1. Sedih sekali pada perlawanan kedua ketika menentang Paraguay beliau telah tercedera dan tempatnya diambil oleh Morientes untuk digandingkan dengan Lagenda Raul Gonzalez.
Maka bermulalah kerjayanya yang penuh dengan kecederaan...
KECEDERAAN BERULANG
Selepas kecederaannya di Piala Dunia itu, aksi Diego Tristan 'sudoh tak serupo mulo'. Ada sahaja sakit yang beliau hadapi. Walaupun selepas Roy Makaay meninggalkan Deportivo untuk bermain dengan Bayern Munich, Diego Tristan masih tidak mampu mengulangi kehebatan lampaunya. Paling kesian pernah pada musim 2003/2004 beliau hanya mampu bermain 10 perlawanan penuh sahaja untuk Deportivo. Abang sedih dik. Soooob...soooob...
Diego Tristan kemudiannya menyudahkan enam musim bersama Deportivo La Coruña dengan 78 gol dalam 177 perlawanan. Hebat betul.
Selepas itu beliau ada juga menyepak bola di kelab bola sepak lain seperti Mallorca (2006-07), Livorno (2007-08), West Ham United (2008-09), dan Cádiz (2009-10). Namun nama 'The Slippery Lizard' semakin hilang ditelan zaman dek kerana kecederaan berulang yang sering dialami serta kehidupan tidak tentu hala beliau di luar padang.
Pada tahun 2010 Diego Tristan telah mengumumkan persaraannya dari bola sepak dan Cadiz adalah pasukan terakhir yang diwakilinya. Ternyata 6 musim beliau di Deportivo adalah yang paling gemilang dalam kariernya. Dengan Deportivo banyak sejarah mereka cipta bersama. Jika kita lihat kedudukan La Liga hari ini, pastinya susah untuk dipercayai Deportivo pernah mendatangkan gerun kepada lawan mereka di serata Eropah. Hari ini Deportivo bergelut dengan zon relegasi. Kesian.
DI MANA TRISTAN?
Diego Tristan dahulunya seorang pemain bola sepak yang merbahaya sekiranya cergas kini sudah bertukar wajah seolah-olah mengalami obesiti dah gout.
Sekitar bulan Mac 2016, beliau muncul dengan badan berisi ketika perlawanan persahabatan untuk pasukan veteran Atlético Algabeño. Berdasarkan sumber juga Tristan adalah salah seorang anggota kejurulatiahan untuk pasukan pelapis kelab amatur yang berpengkalan di Andalusia ini. Meletop-letop 'socmed' masa ni seperti tidak percaya melihat kegemukan pada badan Diego Tristan.
PENGAJARAN
Mungkin ini adalah antara kisah dongeng tipikal seorang pemain bola sepak yang hebat namun dihalang oleh kecederaan dan juga kegagalan membendung populariti. Jika Diego Tristan berjaya mengawal kehidupannya, siapa tahu nama beliau sudah sebaris dengan Raul, Ronaldo ataupun paling tidak Morientes.
Tetapi bagi saya ia masih satu pengakhiran yang mulia jika kita hendak bandingkan dengan terjun ke landasan keretapi.
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...