Friday, February 9, 2018

Piala Dunia 2018: Peru



Piala Dunia 2018: Peru.

Ramai daripada kita hanya mengetahui tentang pasukan Brazil, Argentina, Brazil, Argentina, Brazil, Argentina. Siapa pemain utama, siapa pemain simpanan. Dengan siapa Neymar kahwin. Siapa isteri Messi. Bila sebut pasal Peru. Ramai yang ternganga mulut dan buat-buat sibuk main telefon bimbit sambil kaki menguis-nguis pasir di tanah. Heh! Apalah kau orang semua ni.

Mari baca apa yang saya nak tulis ni. Moga ia menjadi panduan menjelang Piala Dunia 2018 nanti.

Permulaan Bola Sepak Peru

Untuk pengetahuan semua, sebagai rekod Peru telah tampil dalam empat edisi Piala Dunia iaitu pada 1930, 1970, 1978 dan 1982. Piala Dunia 2018 ini adalah yang kelima buat mereka selepas 36 tahun menghilang. 

Sebelum terlibat dalam Piala Dunia yang pertama, pasukan Peru terlebih dahulu membuat debut antarabangsa pada Kejohanan Amerika Selatan 1927 yang berlangsung di negara mereka sendiri. Tiga tahun selepas itu Peru dijemput untuk menyertai Piala Dunia 1930. Namun nasib mereka kurang baik apabila tewas kedua-dua perlawanan di peringkat kumpulan kepada Romania (1-3) dan juga Uruguay (0-1). Ia meletakkan Peru secara keseluruhan di tempat ke-10 daripada 13 pasukan.



Pada Kejohanan Amerika Selatan 1939, Peru sekali lagi dipilih untuk menjadi tuan rumah dan berhasil menggondol gelaran juara selepas menewaskan Uruguay dengan skor 2-1. Monopoli  Argentina, Uruguay dan Brazil Berjaya mereka robohkan. Peru mula mencuri tumpuan. Hiaaaaap!

Sayang seribu kali sayang. Kehebatan Peru tidak berjaya dikekalkan secara konsisten. Mereka tidak mengambil bahagian dalam empat edisi Piala Dunia selepas itu - 1934, 1938, 1950 dan 1954. Manakala untuk edisi 1958, 1962 dan 1966 mereka terkandas di pusingan kelayakan. 

Zaman Gemilang

Empat puluh tahun selepas muncul dalam Piala Dunia yang pertama, mereka kembali bagaikan dinasaur yang baru bangkit dari lena yang panjang. Kini Peru sudah bersedia untuk berebut podium dengan pasukan Amerika Selatan yang lain.

Pada era 70-an inilah munculnya generasi emas buat pasukan bola sepak Peru.  Antaranya ialah penjaga gol Ramon “el loco” Quiroga, Encik Kapitan Hector Chumpitaz dan juga pemain tengah maestro Teofilo Cubillas. Berkat asuhan bekas pemenang Piala Dunia, Didi (Waldyr Pereira) pasukan Peru berjaya mara sehingga ke suku akhir pada Piala Dunia 1970.

Lapas tahun selepas itu di Piala Dunia 1978 yang berlangsung di Argentina, Peru mara sehingga ke pusingan kedua. Manakala di Piala Dunia 1982 pula amat jelas sekali zaman kehebatan pasukan Peru sudah menemui jalan penghujung apabila sekadar menghuni tangga tercorot peringkat kumpulan.


Pulang selepas 36 Tahun

36 tahun lamanya mereka ghaib dari Piala Dunia. Tidak banyak sedikit pun ia mungkin adalah disebabkan oleh ketidakstabilan sistem ekonomi dan politik di Peru itu sendiri. Ini kerana sukan dan politik adalah dua entiti yang berkait rapat antara satu sama lain.




Sebaik sahaja Peru layak ke Piala Dunia selepas menundukkan New Zealand 2 - 0, seorang sahabat pantas bertanya.


“Adakah ini pasukan terbaik pasukan Peru selepas sekian lama?”


Susah juga nak menjawabnya. Peru  layak ke Piala Dunia 2018 selepas menamatkan kempen mereka di tempat kelima pusingan kelayakan. Itu pun selepas hanya mampu seri dengan Colombia pada perlawanan terakhir. Dan ini menemukan Peru dengan New Zealand untuk perlawanan ‘play-off’ antara benua.


Pemain Harapan

“Siapa pemain bintang mereka?”
Lincah pula sahabat saya ni bertanya dan mendesak jawapan.

Jefferson Farfán adalah nama yang melintas di kepala saya. Pengalaman beliau bermain dengan pasukan PSV dan Schalke 04 satu masa dahulu mungkin dapat membantu keupayaan pasukan Peru ini. Walaupun dengan usia sudah mencecah 33 tahun, beliau adalah entiti penting yang membantu negaranya layak ke Piala Dunia di Russia. Penyerang yang berpengalaman ini mempunyai tabiat menjaringkan gol-gol yang penting dan beliau sudah bersedia untuk membuat penampilan pertamanya atau juga yang terakhir di pentas Piala Dunia.

Farfan & Guerrero
Selain itu ketua pasukan Paolo Guerrero juga antara pemain yang berpengaruh besar dalam pasukan ini. Cuma pada bulan Oktober 2017 pemain ini terlibat dengan kontroversi selepas kegagalan ujian dadahnya ketika menentang Argentina. FIFA kemudiannya mengatakan pemain ini boleh menyertai Piala Dunia selepas tempoh penggantungannya tamat pada bulan Mei 2018 nanti.

Ada Peluang Atau Tidak?

Pada 1 December 2017, pasukan Peru diundi dalam kumpulan C bersama Perancis, Australia dan Denmark. Dan ini julung kali pasukan Peru dijodohkan dengan tiga pasukan ini di medan Piala Dunia.
Gareca
Mungkin sang jurulatih Ricardo Gareca ada resipi tersendiri untuk mengejutkan 3 pasukan tersebut. Atau mungkin juga Gareca perlu memanggil si veteran Claudio Pizzaro untuk menajamkan lagi sengat di bahagian serangan pasukan yang bergelar La Bicolor ini. Bekas penyerang Bayern Munich ini sentiasa siap siaga untuk beraksi walaupun pada usia 39 tahun.

Ketika artikel ini ditulis, Peru berada di tangga ke-11 dalam rangking FIFA. Dan jika dikaji pasukan Peru telah mengalami peningkatan mendadak dalam rangking FIFA sejak tahun 2014 (53).

Ada peluang atau tidak? Susah untuk dikatakan peluang Peru buat masa ini dek kerana kini FIFA masih lagi memantau aktiviti kerajaan negara Peru yang dikhabarkan telah cuba campur tangan dalam urusan pentadbiran bola sepak mereka. Jika masih lagi berlaku cubaan campur tangan, tempat Peru mungkin akan digantikan dengan pasukan lain. 

Kita harap yang baik-baik sahajalah untuk pasukan bola sepak Peru ini.



No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...