Friday, March 22, 2013

Ulasan Minit ke Minit: Malaysia vs Yaman.





Ada cakap-cakap mengatakan malam ini adalah ibarat penentu hidup dan mati buat Rajagopal. Pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau. Namun hatinya tetap tenang. Beliau membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa gelaran Datuk itu adalah sesuatu yang paling dibanggakan pernah dicapai dalam hidupnya. Harapan untuk membelasah Yaman dikandang sendiri menjadikan darah pahlawan Rajput dalam dirinya berkobar-kobar. 


Sebelum perlawanan bermula beliau sempat berpesan kepada semua pemainnya. "Beraksilah umpama ini perlawanan terakhir kamu!! Saya tidak menjadikan kamu pemain terbaik. Semua ini kurniaan dari Tuhan kepada kamu. Bakat yang kamu ada membolehkan kamu mewakili negara. Jangan sesekali menghampakan harapan rakyat Malaysia"


Pesanan Rajagopal disambut dengan sorakan semangat dari ketua pasukan Safiq Rahim. Ada juga segelintir pemain yang hampir menitiskan air mata mengenangkan pelbagai kritikan yang telah dihamburkan kepada mereka lewat ini. Tapi itu semua dilupakan. Mereka kini bersedia untuk misi yang sangat penting. Misi hidup mati!!

Preeeeetttt!!!!

Pengadil Peter Green meniup wisel permulaan.

Sepak mula dari pasukan Yaman. Selama 10 minit perlawanan berlangsung dan Malaysia jelas menguasai bola. Namun hujan yang turun pada minit ke-11 bagaikan rahmat besar buat Yaman. Penyerang harapan mereka Aiman Saleh Abdullah Al-Hagri berjaya meloloskan diri dari kawalan Mahali lalu membuat lambungan cantik menewaskan Khairul Fahmi. Seluruh penyokong Harimau Malaya terdiam sebentar. Hanya titis hujan sahaja yang kedengaran ketika ini.


Tetapi pemain Harimau Malaya tidak patah semangat. Bagaikan mengimbas kenangan menewaskan Indon pada Suzuki 2012 yang lalu, Wan Zack dan Azamuddin Akil mula memainkan peranan mereka. Mereka bertukar posisi sekali lagi. Hasilnya Mahali dapat bermain satu-dua dengan Wan Zack dan larian kencang pemuda dari Selayang itu ke dalam kotak penalti disusuli dengan hantaran lintang terus mencari Azamuddin Akil yang kosong di sebelah kanan. Azamuddin Akil yang tidak dikawal tenang menewaskan penjaga gol Yaman, Salem Abdullah. Seluruh Malaysia bersorak kegembiraan. Bergegar sebentar restoran mamak yang menyiarkan perlawanan ini. Namun diharap tiada kerusi dan meja yang beterbangan.


Keputusan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama. Penjual burger dan kuaci memulakan operasi mereka. Harga masih sebelum sepak mula, RM2 untuk satu burger dan RM1 untuk sepaket kuaci. Mungkin ramai yang merancang untuk membeli selepas perlawanan kerana waktu itu ada potongan 50%.

Preeeeetttt!!!!

Separuh masa kedua dimulakan. Masih ada 45 minit lagi untuk skuad Harimau Malaya memenangi perlawanan ini. Rajagopal ketika ini lebih tenang di tepi padang berbanding sebelum perlawanan ini bermula.


Malaysia menguasai hampir 90% perlawanan pada separuh masa kedua dengan tidak kurang daripada 20 cubaan ke arah gol yang berjaya mereka hasilkan. Serangan bertali arus dari rangkaian peyerang Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan sesekali membuatkan kem Yaman tersentak. Namun gol kedua masih tidak kunjung tiba.


Pada minit ke-78, pemain kegemaran ramai buat masa ini, Badri Radzi dibawa masuk untuk menggantikan Gurusamy. Seluruh stadium bersorak kegembiraan. Norshahrul Idlan bagaikan terkena sawan apabila melihat kelibat Badri Radzi. Dengan mengambil iktibar daripada kesilapannya sendiri yang melepaskan banyak peluang gol, Norshahrul Idlan mula menukar status penyerangnya kepada pengumpan pula. Pada minit ke-79, satu hantaran dari beliau singgah  tepat ke kepala Khyril Muhymeen yang masuk menggantikan Amri Yahyah. 


Gooooooooooooooool!!!!!!!!!!! 2-1. Kali ini bukan sahaja restoran mamak. Malahan seluruh rumah urut di sekitar Damansara juga bergegar dengan jaringan hebat Khyril Muhymeen ini. Menteri Buih tersenyum kembali sambil semakin laju mengunyah kacang di kerusi VIP. Penyokong Yaman pula semakin tertekan. Dan mereka mula merasakan masa bergerak terlalu pantas. 


Preeeeetttt!!!!

Tamat perlawanan dengan Malaysia menang 2-1. Walaupun bukan menang dengan bergaya, tetapi ia sudah cukup untuk menyelamatkan karier Rajagopal untuk kesekian kalinya. Ternyata strategi beliau pada malam ini menjadi dan berhasil. Apa yang pasti ruangan sukan di seluruh akbar akan terus memuji kejayaan ini paling tidak pun selama seminggu lamanya.

4 comments:

  1. bosan la ko punya ulasan. terlampau over..

    ReplyDelete
  2. bosan la ko punya ulasan. terlampau over..

    ReplyDelete
  3. En lampu ade blog?ade buat ulasan pasal bola?mintak link....bole kawe blajar buat ulasan yg tak bosan dan tak over dari kamu....

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...