There was an error in this gadget

Sunday, December 21, 2014

Kenapa Aku Tengok Harimau Malaya Begitu Terkial-kial Di Rantau Asia Tenggara?


Kenapa Harimau Malaya Begitu Terkial-kial di rantau Asia Tenggara?

Dari mana aku nak mula ni? Aku pun jadi serba-salah. Bagi aku simpan Keris Pusaka dalam kain kuning dulu.

Hah? Apa? Malaysia kalah? Suka? Sedih? Terpulanglah pada kehendak masing-masing. Aku okay jek....

Tapi aku secara peribadi bergembira dengan kekalahan ini. Kerana ia sepatutnya segera dapat menyedarkan FAM betapa pentingnya perubahan drastik dalam budaya bola sepak di Malaysia. Cuma aku tak pasti berapa banyak lagi kekecewaan yang kita semua perlu tanggung untuk menyedarkan FAM dan mereka yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga hal bola sepak di Malaysia.

Aku tak nafikan pembangunan bola sepak di Malaysia ini amat bagus. Aku berikan beberapa contoh. Dahulu kita ada skuad projek Olimpik 1996 yang dibimbing oleh ketua jurulatih berpengalaman dari Perancis yang begitu tegas sifatnya serta mempunyai etika profesionalisme yang tinggi iaitu Mr. Claude Le Roy. Beliau dibantu oleh Encik Irfan Bakti dan Encik Lim Chuan Chin sebagai jurulatih penjaga gol. Mereka ini bukan calang-calang individu. Namun di mana pengakhiran pemain-pemain dalam skuad ini?

Kemudian kita ada skuad Piala Dunia Belia 1997 yang dilatih oleh Hatem Souissi yang bermisai lagi lebat daripada Wak Doyok. Masa ini nama-nama V. Saravanan, Gilbert Cassidy Gawing, Mohd Sany Muhammad Fahmi, Nik Ahmad Fadly Nik Leh dan Tengku Hazman Raja Hassan antaranya menjadi bualan di jalanan. Mereka berpeluang bergesel keting dengan Fabián Carini, Marcelo Zalayeta dan Nicolás Olivera. Tetapi di manakah pemain Malaysia ini berada ketika Fabián Carini menjadi penjaga gol pilihan ke-4 pasukan Inter Milan di belakang Francesco Toldo, Júlio César dan Paolo Orlandoni?

Skuad Rajagopal pula yang terdiri daripada bakat hebat dari Sekolah Sukan Bukit Jalil berjaya menggegar Asia Tenggara pada 2009 dan 2010 sebelum dimalukan oleh Singapura untuk terkandas dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Dan sehingga kini sebahagian besar kelompok pemain ini berada dalam skuad utama Harimau Malaya.

Beberapa tahun dahulu kita mempunyai skuad Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee yang seolah-olah mampu menembusi tembok ASIA. Setakat mana pula bakat Irfan Fazail, Gary Stevan Robbat mahupun Nazmi Faiz berjaya diketengahkan?

Dan terbaru kita masih lagi segar dengan pencapaian skuad Bawah 16 negara yang hanya tersingkir di pentas suku akhir Kejohanan Asia Bawah 16 Tahun. Juga penubuhan Frenz United Football Academy. Serta Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang mana sedang di selenggarakan oleh lagenda Lim Teong Kim yang amat disegani di Bayern Munich.
Persoalan besar di sini ialah kemana nanti berakhirnya limpahan bakat-bakat ini? Adakah hanya cukup dengan status gah di benua Asia Tenggara barang dua hingga tiga tahun dan kemudiannya kembali ke fitrah asal iaitu bergelut untuk mencapai kemenangan dengan pasukan seperti Myanmar?

Kita ada penyokong yang besar semangatnya. Kita ada fasiliti bertaraf dunia. Namun malang sekali tanpa kita sedari kita mempunyai sebuah liga kecil yang hanya ditubuhkan untuk berubah-ubah formatnya setiap tahun. Penswastaan liga yang sepatutnya dilaksanakan sepenuhnya pada 2015 akan ditangguhkan ke satu tarikh lain. Dalam masa yang sama juga FAM mengizinkan setiap pasukan di Liga Malaysia tahun depan menurunkan kesemua 4 pemain import dalam satu perlawanan. Dan aku melihat perkara ini amat merbahaya. Sudahlah kita punya jumlah pemain berbakat yang terhad. Kini mereka terpaksa pula bersaing dengan pemain import yang mana kita tahu secara automatiknya akan menjadi pilihan utama setiap jurulatih dalam pasukan yang bermain di Liga Malaysia.

Bagi aku, FAM badan berwajib yang mengelolakan sukan bola sepak negara mempunyai tugas yang berat selepas ini untuk membangunkan semula bola sepak negara. Wujudkan gaya permainan yang baharu dan lebih berkesan serta pemerkasaan terhadap Liga Malaysia. Kelab-kelab bola sepak yang diuruskan secara POWER NAK MAMPOS  macam JDT harus ditambah agar 'pool' pemain dapat diperluaskan. Dan apabila pasukan telah bertambah, secara tidak langsung perlawanan kompetitif dalam liga juga akan bertambah. 22 perlawanan liga untuk semusim adalah terlalu sedikit dengan peluang pemain tempatan bermain semakin terhad. Penat kalau main banyak perlawanan semusim? Engko berhenti jelah main bola kalau macam gitu.

Sudahlah. Setakat ini sahaja yang aku nak tuliskan. Jadik aku takkan pernah salahkan kawan-kawan aku bila ada yang cakap "Ini yang aku malas layan bola sepak Asia Tenggara ni".

Posted via Blogaway

2 comments:

  1. saya terpaksa mengaku, JDT la harapan bola sepak malaysia, nak harap fam, apa la sangat asia tenggara ni kalau dah terkial2 nak menang

    ReplyDelete
  2. Malaysia=JDT..hehehehe..f332a

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...