Sunday, February 15, 2015

Di Mana Mereka? Alexi Lalas.

Di Mana Mereka? Alexi Lalas.

18 June 1994 | 23:00 PM.

Pagi sebelumnya aku telah bersengkang mata bagi menonton pertembungan antara juara bertahan Piala Dunia 1990, Jerman dengan pasukan berjersi hijau macam gampang dari Amerika Selatan iaitu Bolivia. Perlawanan ini berakhir dengan keputusan 1-0 berpihak kepada Jerman selepas jaringan sulung daripada Jürgen Klinsmann memberikan 3 mata kepada Die Mannschaft.

Perlawanan kedua berlangsung di Pontiac Silverdome yang mana merupakan kali pertama dalam sejarah Piala Dunia perlawanan diadakan secara 'indoor'. Ia melibatkan pasukan tuan rumah Piala Dunia 1994 iaitu Amerika Syarikat yang menanti cabaran daripada Switzerland. Kalau nak diikutkan memanglah tak power nak mampos kedua pasukan ini pada waktu itu. Aku bangun pun semata-mata nak nengok tim tuan rumah beraksi. Khabarnya ini adalah pasukan bola sepak terbaik yang pernah Amerika Syarikat miliki. Dan juga dalam masa yang sama aku ingin mentertawakan Amerika sekiranya mereka tewas. Almaklumlah..sentimen Asal Bukan Amerika amat menebal ketika ini. Sekarang ni lainlah..main golf dengan Amerika..mintak petisyen pun dengan Amerika. Macam gampang. Tapi itu cerita lain. Abaikan.

Mata aku semakin mengantuk sehinggalah secara tiba-tiba aku terpandang satu susuk pemain yang berbeza penampilan imejnya daripada pemain yang lain. Sekali imbas macam beruk kuning. Wajahnya dipenuhi jambang yang keperang-perangan. Juga rambutnya yang panjang menambah imej 'rock star' pada dirinya. Aku tertanya-tanya di dalam hati, dari mana pula si Bora Milutinovic kutip pemain ni?

Rupa-rupanya itu adalah Panayotis Alexander Lalas ataupun lebih dikenali sebagai Alexi Lalas. Budak punk yang dilahirkan di Birmingham, Michigan, Amerika Syarikat. Dia antara pemain penuh warna-warni dalam Piala Dunia 1994 selain daripada Jorge Campos dengan jersi kain percanya, rambut kembang Valderrama dan juga Maradona dengan cerita dadahnya.

Perlawanan pertama pasukan Uncle Sam ini berakhir dengan keputusan seri 1-1. Alexi Lalas yang ditemubual selepas perlawanan tersebut ada berkata...

"Teman aje memang tak pernah main dalam stadium penuh dengan umat seramai 70 ribu ni. Inilah kali pertama dalam idup teman selepas bergelar pemain bola sepak professional."

Aku juga masih ingat sekitar 1998, aku ada meminta seorang rakan untuk menyenaraikan 11 pemain terbaik pilihannya. Dan aku terlihat nama Alexi Lalas ada dalam senarainya. Aku tersenyum kerana bangga ada juga yang sependapat dengan aku.

Selain daripada penampilan uniknya, Alexi Lalas juga mengukir sejarah sebagai pemain pertama daripada Amerika Syarikat yang berjaya bermain dengan pasukan dalam Serie A Itali iaitu Calcio Padova. Namun karier beliau bersama pasukan Los Angeles Galaxy adalah yang paling diingati dengan kejayaannya merangkul gelaran Juara Piala CONCACAF, Piala Lamar Hunt dan Juara Liga MLS sebelum bersara pada tahun 2002. Hari ini beliau menjadi pengulas dan penganalisis bola sepak di rangkainan tivi sukan terkemuka iaitu Fox Sports.

Sepanjang hayatnya sebagai pemain, dia memang dikenali sebagai seorang pemain pertahanan yang mengutamakan keupayaan fizikal dan ketahanan mental tahap tertinggi sambil dihiasi wajah 'rock star' beliau. Jadi, bila sekarang ni aku nengok wajah pemain pertahanan yang bermuka licin tanpa bulu, aku kadangkala cepat berasa mual.

Alexi Lalas, dia bukan beruk kuning di lapangan hijau. Tetapi 'rock star' yang sentiasa menghiburkan peminatnya dengan gayanya yang paling manis dan menawan.


Posted via Blogaway

Friday, February 6, 2015

Di Mana Mereka? Carlos Roa.

Di Mana Mereka? Carlos Roa.

Lama sebelum Argentina menghidangkan kita dengan aksi daripada keeper kodi bernama Sergio Romero, mereka terlebih dahulu menarik perhatian dunia dengan Carlos Roa yang nyanyok. Namun ia berbeza dengan Sergio Romero kerana nyanyok di sini bukannnya daripada segi aksi, tetapi apabila dia meramalkan dunia akan kiamat pada 1 Januari 2000. Bukankah nyanyok tak patut di situ?

Walaupun begitu kehadirannya dalam Piala Dunia 1998 meninggalkan kesan yang mendalam apabila beliau tidak bolos dalam aksi di peringkat kumpulan sebelum menjadi hero ketika pertemuan menentang England dengan menyekat sepakan penalti David Batty. Malangnya kemaraan Argentina dalam edisi 1998 ini direncatkan oleh Belanda selepas itu apbila tewas dengan skor 1-2.

Apa yang mengejutkan ialah apabila Carlos Roa mengumumkan persaraannya setahun selepas itu pada usia 29 tahun dengan alasan kiamat akan mampir pada 1 Januari 2000. Dipercayai juga ketika itu beliau menolak deretan tawaran daripada kelab kebanyakannya daripada pasukan yang beraksi di Liga Sepanyol.

Walaubagaimanapun lebih kurang setahun selepas itu, dengan perasaan malu-malu berikutan ramalan kiamatnya yang tidak menjadi, beliau kembali semula ke Real Mallorca untuk menghabiskan sisa baki kontraknya. Malangnya kariernya agak merosot selepas itu dan beliau berpindah ke pasukan Divisyen Kedua Sepanyol, Albacete Balompié.

Dugaan terbesar dalam hidup Carlos Roa datang menjengah beliau apabila dirinya disahkan menghidap kanser prostat. Setahun lebih jugaklah dia menerima rawatan selepas menjalani pembedahan. Selepas pulih, beliau turun ke padang untuk mewakili pasukan Olimpo de Bahía Blanca di Argentina dan bersara sepenuhnya semusim selepas itu.

Pada tahun 2010 pula beliau dilantik sebagai penolong pengurus untuk pasukan Club Sportivo Ben Hur yang beraksi di dalam liga entah divisyen mende entah di Argentina.

Kini sudah 2015 dan kiamat tidak berlaku seperti yang Carlos Roa ramalkan. Namun ia pasti akan berlaku. Hanya Allah yang mengetahui bila ketika waktunya. Kita semua selaku manusia yang hina ini? Haruslah bertaubat selalu.


Posted via Blogaway

Mencari Bola Sepak Lelaki

Mencari Bola Sepak Lelaki

Masih segar dalam ingatan aku ketika menonton perlawanan akhir Piala FA 1993 antara Arsenal dan Sheffield Wednesday bersama arwah abah aku. Kedua pasukan terpkasa bermain dua kali selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama. Arsenal akhirnya muncul pemenang selepas berjaya mengatasi Sheffield Wednesday 2-1 dalam laga kedua. Perlawanan ini juga kami abadikan dalam bentuk VHS. Aku pula berulang kali dihipnosis oleh abah dengan rakaman VHS ini dek kerana abah adalah seorang penyokong The Gunners. Tetapi ia masih tidak mampu mempengaruhi aku menyertainya. Jadik, sejak aku kecik lagi aku sudah dibesarkan dengan bola sepak LELAKI. Dan bukannya bola sepak ANJING seperti mana sesetengah muda-mudi anuti zaman sekarang.

Kelmarin ada yang bertanya pendapat kepada aku melalui orang ketiga tentang kain rentang anjing yang kecoh minggu lepas. Aku dengan tenang mengatakan ia adalah kerja budak-budak baru nak mengenal bola sepak Malaya. Aku tak amek pusing sangat sebenarnya perihal kerja amatur macam gini dan aku sendiri tidak pasti maksud sebenar kain rentang tersebut kerana yang membawanya ke stadium juga secara tidak langsung menyumbang wang kepada anjing yang mereka maksudkan. Hah!!! Siapa anjing kepada anjing sekarang ni?

Tetapi inilah realiti bola sepak dari sebuah negara yang tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia. Sesetengah daripada mereka juga bersatu padu apabila sebuah kelab dari selatan tanah air bermain di peringkat ASIA. Sesuatu yang tidak akan berlaku di England - sebuah negara yang pernah menjulang Piala Dunia. Bagi aku secara peribadi bola sepak kita hanya syok sendiri. Setiap tahun bergaduh dan mempertahankan pasukan yang melahirkan pemain yang menyepak angin dan menahan bola menggunakan keting.

Minggui ini aku nak mengajak engkorang semua kembali ke fitrah asal. Menonton bola sepak yang berkualiti tinggi dari negara yang pernah menjajah negara kita. Ataupun bak kata Tun Mahathir berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Okeh kita kembali semula ke cerita bola sepak Inggeris. Minggu ini akan ada sajian London derby. Arsenal yang kini berada di belakang Southampton hanya dipisahkan satu gol sahaja dalam kedudukan kelayakan Champions League. Manakala Tottenham pula dalam pemburuan untuk kembali ke pentas Eropah dengan sentiasa mencucuk rapat Arsenal dan Southampton. Dengan Santi Cazorla dan Christian Eriksen berada dalam prestasi terbaik mereka, perlawanan pertama minggu ke-24 ini sudah pasti menyediakan kita hiburan tahap tertinggi dalam bola sepak matang dan LELAKI.

Kemudian menjelang pagi pula satu lagi derby agung akan bersiaran. Merseyside derby namanya ye adik-adik. Selepas melalui permulaan musim yang teruk, pasukan asuhan Brendan Rodgers kini kembali berada di landasan yang betol dengan berjayanya mengutip 16 mata dalam 6 perlawanan. Hanya seri ketika bertemu Leicester City sahaja yang sedikit mencalarkan pencapaian mereka. Ia sekaligus meletakkan Liverpool di tangga ke-7 liga dengan dipisahkan 5 mata sahaja dengan pasukan di tempat ke-3 iaitu Manchester United.

Sementara itu tidak banyak harapan yang diletakkan kepada pasukan Everton untuk menewaskan Liverpool. Namun seperti yang kita semua tahu, Merseyside derby selalunya penuh dengan kejutan dan klimaks yang tidak terjangga. Dengan mengumpul sebanyak 20 kad merah sesama mereka, janganlah kita risaukan sama ada berbaloi ataupun tidak untuk berjaga sehingga jam 1.30 pagi Ahad nanti.

Setakat ini sahaja rebiu untuk minggu ini. Ingat, bola sepak secara anjing itulah sebenarnya wajah bola sepak Malaysia secara keseluruhannya.


Posted via Blogaway