There was an error in this gadget

Sunday, February 15, 2015

Di Mana Mereka? Alexi Lalas.

Di Mana Mereka? Alexi Lalas.

18 June 1994 | 23:00 PM.

Pagi sebelumnya aku telah bersengkang mata bagi menonton pertembungan antara juara bertahan Piala Dunia 1990, Jerman dengan pasukan berjersi hijau macam gampang dari Amerika Selatan iaitu Bolivia. Perlawanan ini berakhir dengan keputusan 1-0 berpihak kepada Jerman selepas jaringan sulung daripada Jürgen Klinsmann memberikan 3 mata kepada Die Mannschaft.

Perlawanan kedua berlangsung di Pontiac Silverdome yang mana merupakan kali pertama dalam sejarah Piala Dunia perlawanan diadakan secara 'indoor'. Ia melibatkan pasukan tuan rumah Piala Dunia 1994 iaitu Amerika Syarikat yang menanti cabaran daripada Switzerland. Kalau nak diikutkan memanglah tak power nak mampos kedua pasukan ini pada waktu itu. Aku bangun pun semata-mata nak nengok tim tuan rumah beraksi. Khabarnya ini adalah pasukan bola sepak terbaik yang pernah Amerika Syarikat miliki. Dan juga dalam masa yang sama aku ingin mentertawakan Amerika sekiranya mereka tewas. Almaklumlah..sentimen Asal Bukan Amerika amat menebal ketika ini. Sekarang ni lainlah..main golf dengan Amerika..mintak petisyen pun dengan Amerika. Macam gampang. Tapi itu cerita lain. Abaikan.

Mata aku semakin mengantuk sehinggalah secara tiba-tiba aku terpandang satu susuk pemain yang berbeza penampilan imejnya daripada pemain yang lain. Sekali imbas macam beruk kuning. Wajahnya dipenuhi jambang yang keperang-perangan. Juga rambutnya yang panjang menambah imej 'rock star' pada dirinya. Aku tertanya-tanya di dalam hati, dari mana pula si Bora Milutinovic kutip pemain ni?

Rupa-rupanya itu adalah Panayotis Alexander Lalas ataupun lebih dikenali sebagai Alexi Lalas. Budak punk yang dilahirkan di Birmingham, Michigan, Amerika Syarikat. Dia antara pemain penuh warna-warni dalam Piala Dunia 1994 selain daripada Jorge Campos dengan jersi kain percanya, rambut kembang Valderrama dan juga Maradona dengan cerita dadahnya.

Perlawanan pertama pasukan Uncle Sam ini berakhir dengan keputusan seri 1-1. Alexi Lalas yang ditemubual selepas perlawanan tersebut ada berkata...

"Teman aje memang tak pernah main dalam stadium penuh dengan umat seramai 70 ribu ni. Inilah kali pertama dalam idup teman selepas bergelar pemain bola sepak professional."

Aku juga masih ingat sekitar 1998, aku ada meminta seorang rakan untuk menyenaraikan 11 pemain terbaik pilihannya. Dan aku terlihat nama Alexi Lalas ada dalam senarainya. Aku tersenyum kerana bangga ada juga yang sependapat dengan aku.

Selain daripada penampilan uniknya, Alexi Lalas juga mengukir sejarah sebagai pemain pertama daripada Amerika Syarikat yang berjaya bermain dengan pasukan dalam Serie A Itali iaitu Calcio Padova. Namun karier beliau bersama pasukan Los Angeles Galaxy adalah yang paling diingati dengan kejayaannya merangkul gelaran Juara Piala CONCACAF, Piala Lamar Hunt dan Juara Liga MLS sebelum bersara pada tahun 2002. Hari ini beliau menjadi pengulas dan penganalisis bola sepak di rangkainan tivi sukan terkemuka iaitu Fox Sports.

Sepanjang hayatnya sebagai pemain, dia memang dikenali sebagai seorang pemain pertahanan yang mengutamakan keupayaan fizikal dan ketahanan mental tahap tertinggi sambil dihiasi wajah 'rock star' beliau. Jadi, bila sekarang ni aku nengok wajah pemain pertahanan yang bermuka licin tanpa bulu, aku kadangkala cepat berasa mual.

Alexi Lalas, dia bukan beruk kuning di lapangan hijau. Tetapi 'rock star' yang sentiasa menghiburkan peminatnya dengan gayanya yang paling manis dan menawan.


Posted via Blogaway

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...