Friday, March 27, 2015

Di Mana Mereka? Gaizka Mendieta.

Di Mana Mereka? Gaizka Mendieta.

Aku sedang menonton perlawanan bola sepak tidak bermaya antara Yaman dengan Malaysia yang membawa kepada satu persoalan kenapa kita gagal melahirkan pemain tengah bertaraf dunia?

Ingatan aku pantas memainkan aksi kemas Gaizka Mendieta di atas padang. Pasukan Malaysia bukan sahaja tiada pemain sehandal Gaizka Mendieta, malahan sepandir Joey Barton dan cikai macam Guti pun kita tiada. Nak menangis jugak kalau difikirkan perihal ini secara mendalam.

Pernah pada satu ketika semasa zaman keagungan Kelab Bola Sepak Valencia, terdapat satu susuk individu berbakat yang menyepak bola di situ. Beliau tidak lain tidak bukan ialah Gaizka Mendieta.

Walaubagaimanapun ada  beberapa pemain lain yang tidak kurang hebatnya yang beraksi di sisi beliau seperti Santiago Cañizares, Claudio López, Miguel Ángel Angulo, Kily González, Adrian Ilie, John Carew, Roberto Ayala, Rubén Baraja dan Pablo Aimar. Kesemua pemain berbakat ini diadun secara sebati oleh Héctor Cúper dalam membentuk sebuah pasukan yang terampil dan berdaya saing sekitar tahun 2000 hingga 2001 yang mana menyaksikan pasukan ini melangkah ke perlawanan akhir Champions League secara berturut-turut dengan Gaizka Mendieta sebagai teraju utama pasukan.

Dalam kamus bola sepak Gaizka Mendieta lebih berperanan sebagai 'combative midfielder' yang sentiasa berada dalam radar menjaringkan gol di sekitar kotak penalti. Beberapa kualiti yang ada pada dirinya juga jika kita lihat boleh menjadikan beliau seorang pemain terbaik dunia pada masa tersebut. Mungkin sebab itulah dia dinamakan sebagai Pemain Tengah Terbaik Eropah sebanyak dua kali. Jadi sekiranya kita celik bola sepak, pemain seperti inilah yang wajar dijadikan idola, bukannya seperti Steven Gerrard mahupun Safiq Rahim.

Berbalik kepada zaman kegemilangan Valencia, pasukan asuhan Héctor Cúper ini bermain sangat cantik. Lama sebelum tiki-taka dilahirkan, Valencia sudah memukau dengan hantaran pendek dan pantas. Larian kencang Kily González disulam dengan ketenangan Ruben Baraja serta kebijaksanaan Mendieta memudahkan tugas menjaringkan gol sama ada buat John Carew mahupun Claudio López.

Ramai yang mengakui antara penyebab kehebatan Valencia pada ketika itu adalah kerana dengan kehadiran Gaizka Mendieta. Mendieta ni pulak kalau sekali pandang, nampak macam Tua Lembik. Dan itulah sebabnya pihak lawan mudah 'disunat' oleh beliau dek kerana tertipu dengan wajahnya yang lemah tak bermaya.

Kegemilangan Mendieta bersama Valencia telah menarik minat Lazio untuk menjadikan beliau sebagai pemain termahal dunia pada tahun 2001. Selepas meninggalkan Valencia dan bersama Lazio, kehidupan bola sepak Mendieta berubah secara drastik. Daripada seorang pemain bintang kepada seorang pemain yang boleh kita katakan sebagai sampah. Antara sebab utama ialah corak permainan bola sepak Itali yang amat tidak serasi dengan jiwa Mendieta. Selepas hanya semusim, dia dipinjamkan pula ke Barcelona.

Karier Mendieta seakan kembali bersinar apabila dia beraksi untuk Middlesbrough dengan membantu pasukan ini menjulang Piala Liga atau kini dikenali sebagai Piala Capital One. Walaupun begitu beberapa siri kecederaan memaksa Mendieta bersara daripada menyepak bola pada usia 33 tahun.

Gaizka Mendieta adalah antara contoh pemain yang jangan sesekali kita berani pandang dia dengan hanya sebelah mata. Dia akan sentiasa diingati sebagai seorang pemain tengah yang serbah boleh, berkemahiran dalam menyerang dan mempunyai bentesan yang kemas serta bekemampuan mencipta gol untuk rakan sepasukan serta dirinya sendiri. Gila.

Valencia Maestro - Gaizka Mendieta akan sentiasa berada dalam senarai antara pemain tengah terbaik dunia yang pernah mewarnai kancah bola sepak era millennium.


Posted via Blogaway

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...