Tuesday, June 28, 2016

Piala Eropah 2016: Suku Akhir



POLAND vs PORTUGAL| Friday 1 July 2016 | 3:00am

Sejak Jakub Blaszczykowski kembali bermain untuk Poland beliau sudah menjadi pembekal kepada 3 gol terakhir pasukan tersebut dengan satu bantuan gol dan 2 jaringan daripada sumbangan beliau sendiri. Kesudahannya Poland berjaya melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Switzerland melalui sepakan penalti dalam perlawanan yang lepas untuk bertemu dengan pasukan Portugal.

Portugal pula terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Croatia. Pada perlawanan tersebut Ronaldo dan Nani gagal menjaringkan gol. Namun muncul seorang lagi pemain tua iaitu Quaresma yang menyelamatkan maruah timnas Portugal. Satu perkara yang kita semua nampak ialah Renato Sanchez perlu diberikan peluang bermain sekiranya Portugal bercita-cita mahu melangkah ke Separuh Akhir.

Ramalan: Aku memilih Poland untuk menang 2 - 1.


 WALES vs BELGIUM | Saturday 2 July 2016 | 3:00am

Wales dan Belgium menepati ramalan aku untuk terus mara ke Suku Akhir. Wales dalam satu aksi membosankan berjaya menumpaskan Northen Ireland. Lawan mereka seterusnya ialah Belgium - pasukan ranking nombor dua dunia ketika ini. Namun begitu 3 perlawanan terakhir kedua pasukan ini berakhir dengan 2 keputusan seri dan satu kemenangan berpihak kepada Wales iaitu ketika kempen kelayakan Piala Eropah pada 12 Jun 2015 yang lalu.

Sementara itu Belgium pula semakin menunjukkan potensi sebenar mereka. Eden Hazard membuktikan yang dirinya masih lagi antara pemain terbaik dunia masakini. Mula timbul cakap-cakap yang Belgium akan menyembelih Wales untuk layak ke Separuh Akhir. Walaubagaimanapun apa yang pasti Belgium telah memenangi 3 perlawanan berturut-turut setelah Fellani dibuang dari kesebelasan utama. Kau nak bukti apa lagi?

Ramalan: Belgium menang 3-0.



JERMAN vs ITALI | Sunday 3 July 2016 | 3:00am

Jerman belum bolos dalam Piala Eropah 2016. Buffon juga belum bolos. Dua rival terulung Eropah ini akan bertembung sesama sendiri dalam satu lagi perlawanan super bumper blockbuster yang kita sendiri pun masih tak tahu pasukan yang mana satukah akan muncul sebagai pemenang.

Sebagai rekod kedua pasukan telah bertemu sebanyak 33 kali. Itali mencatatkan 15 kemenangan, Jerman pula 8. Manakala 10 perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Kali terakhir mereka beradu tenaga adalah pada bulan Mac yang lepas dengan keputusan perlawanan 4-1 berpihak kepada pasukan Jerman.

Perlawanan kali ini dijangka akan lebih sengit. Jika Itali berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu, maka tugas sukar menanti Low dan seluruh pemain Jerman. Haaaissshhh..susah betol nak mengagak pasukan mana yang akan mara ke separuh akhir nanti.

Ramalan: Jerman menang dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua pasukan seri 2-2 dalam masa penuh permainan.


PERANCIS vs ICELAND | Monday 2 July 2016 | 3:00am

Haaaaa...dunia telah melihat bagaimana England - sebuah negara kuasa bola sepak dunia telah dilondehkan oleh Iceland. Bersediakan kita untuk menengok pasukan tuan rumah Perancis pula menyerah panji kepada Iceland The Frozen One?

Pada kempen kali ini Iceland agak tajam di hadapan gol. 29 percubaaan mereka menghasilkan 6 jaringan gol. Sedangkan Perancis juga menjaringkan 6 gol. Namun ia adalah hasil daripada 72 cubaan gol. Ini bermakna Perancis agak segan di hadapan pintu gol walaupun berderet peluang yang terhidang. Adakah Giroud punca segalanya? Hah?

Rekod pertemuan kedua pasukan ini tidaklah banyak mana. 11 perlawanan berlaku antara mereka dengan Perancis memenangi 8 daripadanya. 3 lagi berkesudahan dengan keputusan seri.

Susah untuk kita terima hakikat sekiranya Perancis yang beraksi sebagai tuan rumah ini bakal tersingkir keluar seawal peringkat suku akhir. Namun dalam hati kecil kita juga mahu melihat pasukan kerdil yang berjiwa besar seperti Iceland ini untuk mara dengan lebih jauh lagi.

Ramalan: Perancis 3 - 1 Iceland

Thursday, June 23, 2016

Piala Eropah 2016: Pusingan Kedua [16 pasukan]




Piala Eropah 2016: Pusingan Kedua (16 pasukan)

Tamatlah sudah peringkat kumpulan. Kita dapat lihat pasukan yang pada awalnya adalah pilihan kini semakin menjauhi status tersebut. Pasukan underdog pula semakin mencuri tumpuan. Begitu juga dengan pasukan yang pertama kali beraksi di Piala Eropah ini. Mungkin semua rencah perisa ini menjadikan sukan bola sepak adalah sukan paling menarik untuk ditonton oleh seluruh umat manusia.

Buat masa ini tidak perlu kita pening kepala memikirkan tentang nasib pasukan Malaysia dalam jelalah Oceania mereka. Kita ada bola sepak Eropah yang lebih penting.

Switzerland-Poland | 25 June | Saturday | 9:00 PM.

Kedua pasukan ini perlu membuktikan kepada semua kaki judi sekalian alam bahawa Piala Eropah 2016 tahun ini berkemungkinan besar akan mendapat juara baru. Secara peribadi aku berpendapat yang Poland nampak lebih garang sedikit berbanding Switzerland.

Ramalan: Poland menang 2 - 1.


Wales-Northen Ireland | 26 June | Sunday | 12:00 AM.

Sejarah Britania Raya ataupun Inggeris Raya kalau nak diceritakan di sini memang tak cukup perenggan. Cukuplah kita simpulkan bahawa perlawanan ini membawa keindahan kepada umat United Kingdom khasnya. Joe Allen 'Pirlo', Gareth Bale dan Aaron Ramsey pada aku terlalu kuat untuk Northen Ireland.

Ramalan: Wales sumbat 3 gol berbalas 1.

Croatia-Portugal | 26 June | Sunday | 3:00 AM.

Portugal kalau masih mengharapkan Nani dan Ronaldo nak menjaringkan gol, mereka akan mereput apabila bertemu dengan Croatia nanti. Croatia pula secara tiba-tiba mendapat roh Davor Suker apabila menewaskan Sepanyol dengan satu gerakan serangan balas yang cantik. Aku tak tahulah macam mana Pepe dan Carvalho yang dah tua tu nak kawal kelincahan Perisic dengan Kalinic nanti.

Ramalan: Croatia 2 - 2 Portugal. Sepakan penalti berakhir dengan kemenagan berpihak kepada Croatia.

France-Ireland | 26 June | Sunday | 9:00 PM.

Kali terakhir kedua pasukan ini berentap ialah pada tahun 2009 dalam perlawanan play-off Piala Dunia. Ketika itu Thiery Henry dengan selamba menjaringkan gol dengan menggunakan tangan. Mungkin inilah masanya untuk bala tentera Roy Keane membalas dendam dengan disulami kehebatan taktikal caturan Martin O’Neill.

Ramalan: Perancis menang 1-0. Tapi kalau Ireland menang, ia adalah kejutan terbesar Piala Eropah 2016.


Suatu masa dahulu England pernah membelasah Iceland dengan skor 7-1.


Jerman-Slovakia | 27 June | Monday| 12:00 AM.

Jerman kalau tak menang dengan Slovakia ni memanglah depa ketiak itam. Statistik pertemuan kedua pasukan ternyata berpihak kepada Jerman dengan 7 kemenangan. Manakala 3 lagi kemenangan diperolehi Slovakia. Tiada keputusan seri dicatatkan. Jerman perlu merantai Marek Hamsik jika tidak mahu dimusnahkan secara individu oleh pemain ini. Cabaran lain Jerman ialah kekentalan Martin Skrtel.

Ramalan: Jerman menang dengan skor 2-1.


Hungary-Belgium | 27 June | Monday| 3:00 AM.

Semangat juang pemain Hungary yang berapi-api hampir sahaja membangkitkan Ferenc Puskas dari kubor yang mana tempohari Ronaldo and Co. sikit sahaja lagi akan ditendang keluar dari Piala Eropah 2016 ini. Kali ini Belgium menanti Hungary. Jika Belgium mengekalkan pasukan tanpa Fellaini ada di atas padang. InsyaAllah The Red Devils akan ke suku akhir.

Ramalan: Hungary tewas 0-2 kepada skuad emas Belgium.


Itali-Sepanyol | 28 June | Tuesday| 12:00 AM.

Aku mendapat info bahawa bergegar seluruh 7 benda ajaib di dunia apabila mengetahui kedua pasukan ini bertembung seawal pusingan kedua. Maklum sahajalah Itali dan Sepanyol sudah pun memenangi 5 Piala Dunia dan 4 Piala Eropah. Tidak hairanlah perlawanan ini menjadi bualan di setiap pelusok muka bumi. Kali ini aku akan merendah diri dengan memilih Itali sebagai pemenang. Kembalinya Buffon nanti sebagai penjaga gol dan ketua pasukan akan memberi pengaruh yang besar kepada skua Azzurri.

Ramalan: Itali menang 1-0.


England-Iceland | 28 June | Tuesday| 3:00 AM.

Aku mungkin antara sebilangan kecil peminat bola sepak yang mahukan Iceland melakukan banyak kejutan dalam kejohanan kali ini. Dan apa lagi kejutan yang lebih agung selain daripada menewaskan England yang baru sahaja keluar dari Kesatuan Eropah? Semangat pemain Iceland sememangnya melebihi populasi penduduk mereka pada ketika ini. Jika mereka tewas sekalipun dengan England, pasukan Iceland ini sudahpun mendapat tabik hormat dari seluruh pecinta bola sepak dunia.

Ramalan: Iceland akan melakukan kejutan terbesar dalam kejohanan ini dengan menewaskan England 3-2.








Sunday, June 12, 2016

Piala Eropah 2016: Turki melawan Croatia.


Piala Eropah 2016: Turki melawan Croatia.

Sebelum kita melarat bersembang tentang Tok Roy yang meletakkan 5 pemain Spurs (Pasukan Paling Lemah Di London) dalam perlawanan England padi tadi, adalah lebih baik kita alihkan fokus kepada salah satu perlawanan terpenting dalam Piala Eropah 2016 ini. Ya, perlawanan antara Turki dan Croatia.

Pertembungan suku akhir antara Turki dan Croatia merupakan antara yang paling epik dalam sejarah Piala Eropah 2008. Kedua pasukan seri 0-0 dalam masa perlawanan normal. Mati-mati Croatia merasakan mereka akan memenangi perlawanan ini apabila Ivan Klasnic menjaringkan gol pada minit ke-119.

Namun secara tiba-tiba Semih Senturk menyumbat gol penyamaan dalam masa kecederaan di masa tambahan tersebut. Perlawanan diheret ke acara sepakan penalti. Dan apa yang lebih pilu buat Croatia ialah mereka tewas dalam penentuan penalti sementara seluruh Turki bergegar meraikan kejayaan layak ke separuh akhir.

Malam ini ketika seluruh umat Islam Malaysia sedang sibuk berterawih, kedua pasukan ini akan beradu tenaga. Turki kembali ke kejohanan eropah selepas kali terakhir muncul pada tahun 2008. Manakala Croatia pula pastinya mahukan 3 mata dalam perlawanan ini kerana yang menunggu mereka selepas ini adalah Sepanyol dan Republik Czech.

Menarik untuk kita lihat bagaimana Mario Mandzukic berhadapan dengan Mehmet Topal - pemain bintang Fenerbahce yang bermain sebagai pemain tengah untuk kelabnya namum akan turun sebagai pertahanan tengah apabila beraksi untuk pasukan Turki. Mampukah Topal mendiamkan Mandzukic dalam pertemuan 90 minit ini?

Sementara itu pertarungan dua ketua pasukan iaitu antara Arda Turan dan Dario Srna juga akan menambah rencah dalam perlawanan ini. Srna yang sudah berusia 34 tahun berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk bertahan di sebelah kanan Croatia sekiranya Turan turun beraksi sebagai pemain sayap kiri. Diharap dengan 18 penampilan serta 2 gol yang dijaringkannya bersama Bercelona musim ini cukup untuk mendatangankan manfaat kepada Turki malam ini.

Pemain bintang Turki: Hakan Calhanoglu
Pemain bintang Croatia: Luka Modric
Ramalan: Turki 2 - 1 Croatia

Saturday, June 11, 2016

Piala Eropah 2016: Perancis 2 - 1 Romania

Perancis 2 - 1 Romania

Bekas pemain tengah Chelsea membimbing pasukan negaranya dengan penuh bergaya apabila melakar kemenangan pertama untuk Les Blues pagi tadi ketika kita semua sedang sibuk kiamulail dan tahajjud. Jika Arsene Wenger yang jadi coach Perancis mesti terlikup pasukan ini dibuatnya.

Pasukan Romania bermula sebagai underdog dengan barisan pemain yang kurang dikenali berbanding Perancis. Namun mereka kadangkala tetap garang semasa menyerang Perancis.

Perancis pula agak tidak teratur pada mulanya. Hugo Lloris dilindungi oleh Rami dan Koscielny yang kelihatan agak goyah. Sagna seperti biasa boleh tahan mantap jugaklah bertahan di sebelah kanan. Tetapi masih jauh dari level Thuram. Manakala Evra pula ternyata sudah tua dan membuktikan dia adalah jenis pemain yang lemah. Bekas pemain Manchester United ini kalau kena pada pasukan lawan yang lebih kuat dan power boleh menjadi lubok untuk pasukan Perancis.

Bahagian tengah Perancis bermasalah dengan aksi longlai Pogba dan Matuidi yang juga sering hilang arah. Mujur Payet dan Kante membawa prestasi cemerlang mereka dalam Liga Perdana Inggeris ke dalam perlawanan ini. Kante bertahan dengan tenang di tengah. Manakala Payet merbahaya dengan gerakan larian dan hantarannya kepada penyerang Perancis di barisan hadapan. Gol pertama adalah berpunca daripada hantaran lintangnya. Dan gol kedua adalah hasil daripada cubaan jarak jauh beliau. Payet memang POWER.

Sayangnya Griezmann agak menghampakan dalam perlawanan ini. Tidak seperti yang dilihat ketika bermain bersama Torres di Atletico Madrid. Namun Giroud seperti belut di sawah bendang, licin dalam menyelinap di celah-celah pertahanan Romania. Giroud - Penyerang Terbaik Dunia membuktikan dia adalah penyerang luar biasa apabila menanduk menggunakan belakang kepala sambil memejam mata. Jika penyerang biasa-biasa seperti Benteke, Rashford mahupun Safee Sali sudah pasti terkial-kial untuk berbuat demikian.

Cakap-cakap sumbang pengulas di Astro iaitu seorang bekas perasuah mengatakan gol pertama Perancis itu adalah foul. Ah pedulikan beliau. Singapore dulu kalau tak main rasuah takkan boleh menang 4-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1994 dan beliau takkan boleh jaringkan hatrick ketika bertemu dengan Pahang - Pasukan Terbaik Malaysia.

Romania tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan. Lapan minit selepas itu, Evra - Bekas Pemain Manchester United menunjukkan kebodohannya meningkat seiring usianya apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Romania. Ternyata Stancu rupanya lebih tenang apabila berhadapan tekanan penyokong pasukan tuan rumah dengan menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Gol kedua Perancis hadir seminit sebulum tamat masa permainan sebenar. Ia adalah gol milik khas Payet yang berusaha keras sepanjang musim ini sejak Ogos 2015. Kita melihatnya pulun setiap minggu ketika bersama West Ham. Kita juga boleh faham punca titisan air matanya apabila ditukarkan dengan Sissoko. Terbukti Payet sedang perlahan-lahan bertukar menjadi pemain terbaik dunia tanpa perlu bergambar dengan Ford Mustang.