There was an error in this gadget

Saturday, October 22, 2016

Piala Malaysia 2016: Selangor Melawan Kedah.


Piala Malaysia 2016: Selangor Melawan Kedah.


Senja nan merah tadi aku tertidur di atas sejadah. Elok comei duduk bersimpuh siap bagai. Sekali imbas tak ubah seperti seorang pendekar metafizik yang kepenatan menjual air liur.

Dalam mimpi yang permai itu aku didatangi Sang Tua dari Gunung Ledang. Berjambang dan kekuningan rambutnya. Sekali imbas tak banyak beza dengan rupa beruk kuning. Dia menghampiri aku yang sedang leka melapah daging kerbau untuk santapan makan malamku. Lalu dia berbisik ke telinga kananku dan berkata dengan yakin.

"Anak mudeeeee..Piala Malaysia tahun ini akan sekali lagi menjadi milik pasukan Selangor. Bersaksilah engkau wahai anak mudeeeee yang bijaksana..."

Kaaaaapooof!!!

Aku pun terjaga dari lena dengan senyuman palong lebar di wajah. Hampir ke cuping telinga. Dengan muka manja baru bangun tidur aku menggosok-gosok mata bundar ini dengan tertib. Di hujung jari terlunjuk aku korek taik mata yang sempat melekat lalu aku jentik ianya jauh-jauh. Sejauh mentari di ufuk timur.

Kini aku berasa sedikit segar. Dalam keadaan baring tanpa belengah dengan segera jari lincah aku menaip ulasan jujur tentang perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 di telefon cerdikku. Ya. Piala Malaysia. Satu kejohanan bola sepak tertua serta teramat agung di rantau Asia yang mempunyai prestij dan nilai sejarah tersendiri. Piala yang kalau negeri engkau menang pun kau akan terhegeh-hegeh mintak cuti peristiwa. Takkan kau dah lupe?

Aku dapat tahu sejak setahun yang lalu ada beberapa suara sumbang yang mengatakan ini piala kampung. Ini piala tak penting. Piala pelengkap jadual dan pelbagai tohmahan serupa budak baru layan bola sejak 2010. Sebagai seorang lelaki yang berdarah pendekar, aku kesian pada mereka. Sangat kesian.

Oleh itu mari aku ceritakan serba sedikit kenapa aku berbeza pendapat dengan sesetengah orang yang memandang enteng Piala Malaysia ini.

Bola sepak aku dengan pasukan Kedah ini ada kisah romantisnya yang sendiri. Secara jujur aku mula menengok Piala Malaysia pada tahun 1993. Dengan mengulang tayang tanpa rasa jemu VHS perlawanan akhir antara Kedah dan Singapura nama-nama seperti Ahmad Sobri, Radhi Mat Din, kembar Farouk dan Feriza Ismail, Nidzam Adzha Yusof, Peter Nieketin, Alubumi Adigun dan Jan Janostak sentiasa kekal dalam ingatan aku sehingga kini. Semasa Kedah menewaskan Singapura ketika itu hampir seluruh umat Malaysia meraikannya. Aku yakin kau orang yang terkial-kial memboikot Piala Malaysia baru-baru ni entah dah buang tali pusat ke belum masa tu.

Seperti musim lepas, tahun ini Kedah sekali lagi akan menghadap pasukan paling power dalam sejarah Piala Malaysia iaitu tidak lain dan tidak bukan pasukan Selangor. 

Sejarah pasukan Selangor ini tidak perlulah kita ceritakan dengan berulang kali. Naik muak mendengar kehebatannya. Dari segi sejarah memang Selangor tak terkalahkan. Dari dulu hinggga kini tidak terkalahkan. Pasukan Kedah sendiri baru sahaja menang 4 kali Piala Malaysia berbanding Selangor yang secara bersahaja merekodkan 33 kejuaraan.

Walaupun Selangor masih tiada jurulatih tetap, presiden bola sepak yang sibuk ke gerai nasik lemak anak dara dan tandas stadium yang tidak semenggah, mereka masih mampu melangkah ke Perlawanan Akhir dengan penuh bergaya. Tidak perlu juga bilik persalinan siap dengan jakuzi. Mebazir. Inilah perbezaan antara pasukan matang seperti Selangor dengan pasukan lemah yang mengharapkan ehsan pemotongan mata untuk kekal dalam liga super. Jurangnya sangat jauh. Selangor sentiasa 2.6 billion langkah ke hadapan. Paham?

Minggu depan adalah penetuan segala-galanya. Penentu sama ada pasangan suami isteri akan balik beraya Deepavali ke Kedah atau meraikannya di Batu Caves sahaja. Penentu negeri mana yang akan mendapat cuti peristiwa. Ia adalah perlawanan penentu maruah. Siapa menang mereka adalah pasukan yang power dan kuat. Manakala pasukan yang tewas akan memikul malu barang seminggu dua. Tugas kita ialah menyokong pasukan yang disayangi ini tanpa berbelah bahagi. Bukanlah susah sangatkan?

Ramalan: Aku amat berharap agar Kedah tak menurunkan mana-mana pemain yang sudah memiliki kad kuning ataupun sedang dalam penggantungan. Nanti Selangor menang percuma pulak Piala Malaysia. Nak tolong kawan pun berpada-pada jugaklah yeeee. 


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...