Sunday, November 20, 2016

Piala Suzuki 2016: Malaysia.


Piala Suzuki 2016: Malaysia.

Penjaga Gol.

Penjaga gol yang dipilih oleh Ong Kim Swee ialah Khairul Fahmi yang berpengalaman, Khairul Azhan yang terampil dan anak muda dari pasukan Perak iaitu Hafizul Hakim.

Mengikut statistik sepanjang Liga Super 2016 berjalan Apek dan Hafizul masing-masing beroleh clean sheet sebanyak 6 kali bersama-sama Farizal Harun dan Izham Tarmizi yang terlepas kapal terbang ke Myanmar.

Manakala Khairul Azhan pula semua sudah maklum bagaimana prestasi beliau bersama pasukan Selangor yang kerap digilirkan dengan Norazlan

Namun apabila ia berkaitan dengan pasukan Malaysia, segala statistik mak nenek mahupun ranking akan ditolak ke tepi. Untuk posisi ini aku merasakan Khairul Azhan akan menjadi pilihan utama. Kau tak ingat ke aksi lincah beliau semasa perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari? Tak? Oooo..sebab pasukan engko tak main final ye tak?

Pertahanan.

Kalau prestasi semasa menjadi ukuran, gandingan pertahanan tengah secara semulajadi boleh disandarkan kepada Shahrom Kalam dan Khairul Helmi. Duo dari pasukan Selangor dan Kedah ini beraksi secara konsisten selama dua musim untuk pasukan negeri mereka. Kenapa sahaja tidak mereka ini digandingkan berdua?

Pemilihan Fadhli Shas pula telah mengerutkan banyak dahi di bumi Malaysia. Akan tetapi terpilihnya Ronny Harun pula membuatkan terangkat telor sebelah kiri sang penulis. Mujur Fadhli Shas yang menjadi pemanas kerusi simpanan JDT ini kadangkala beroleh peluang bermain di Piala AFC. Jadi kita takdelah terasa syahdu sangat menengok namanya terpilih kerana sedikit sebanyak pengalamannya nanti mungkin dapat membantu pasukan negara. Mungkin.

Si Ronny Harun ni pula aku rasa dia jarang-jarang turun bermain untuk pasukan Sarawak tahun ni. Mungkin sebab itulah Sarawak telah berjaya merekodkan 40 bolos dengan hanya pasukan Terengganu sahaja yang melebihi mereka dengan 44 kali bolos(Penjaga gol Terengganu ialah Sharbinee Allawee).

Shahrul Saad adalah pemain utiliti yang juga boleh bermain di posisi pemain tengah bertahan. Namun aksi terakhir menentang Papa New Guinea memperlihatkan mutu permainan yang agak steady daripada beliau. Mungkin juga beliau akan dapat menyingkirkan Khairul Helmi dan bermain bersama Shahrom Kalam di posisi pertahanan tengah.

Sementara itu Nazirul Naim, Matthew Davies dan Rizal Ghazali melengkapkan senarai pemain pertahanan yang akan diberi kepercayaan sepanjang kejohanan ini berlangsung kelak. Aku tak banyak sangat masalah dengan Matt dan Rizal. Aku Cuma risau Nazirul ni ajek. Entah-entah dia ni terpilih sebab yang sama dengan Irfan Fazail jugak. Bukankah kita Melayu yang kuat bersangka buruk?

Tengah.

Beberapa hari yang lepas aku ada mengatakan yang gandingan tengah antara Baddrol Bakhtiar dan Irfan Fazail adalah yang paling mengelirukan pihak lawan dan kawan. Ya, aku tahu bermain di posisi tengah ni amatlah susah. Ia memerlukan stamina yang tinggi, gaya kerja keras, kreativiti tiada sempadan dan cekal hati. Jika semua ini tiada pada kedua pemain ini aku berharap agar wujud sedikit kerajinan untuk berusaha menang dan bagi aku itu sudah memadai. Nak mengharap mereka berdua bermain seperti Zidane dan Makelele umpama berharap Farahdhiya menjadi suri hati. Sukar direalisasikan.

Namun begitu kehadiran Veenod adalah ibarat mutiara yang muncul dari dalam tiram. Veenod ialah seorang pemain yang tidak kenal maksud penat dalam kamus dewan bahasa dan pustaka. Mr. Duracell, 4 Jantung dan pelbagai lagi gelaran yang diberikan kepada beliau dek kerana stamina luar biasanya yang sentiasa berada di mana-mana sahaja pelusuk padang. Mungkin OKS akan beroleh manfaat daripada sifat semulajadi pemain yang juga dipanggil King Veenod ini. Buat pengetahuan semua King Veenod ini masih bujang dan belum pernah bernikah. Ape macam?

Selain itu Hadin Azman, Syazwan Zainon, Zaquan Adha dan Fakri Saarani melengkapkan barisan pemain tengah Malaysia. Kesemua mereka kecuali FakriMan kini sedang berada dalam prestasi terbaik. Kenapa FakriMan masih terpilih ye wahai abang adik kakak sekalian? Aku pun tiada jawapan sedap untuk itu. Mungkin inilah takdir yang perlu kita hadap secara ikhlas.

Serangan.

Apabila 11 pemain import mendominasi senarai teratas penjaring terbanyak Liga Super 2016, ini bermakna kita terpaksa bergantung harap kepada Hazwan Bakri, Amri Yahyah, Mat Yo, Safee Sali dan seorang pemain misteri Darren Lok untuk meyumbang gol kepada pasukan Malaysia. Apa sudah jadi dengan pemain tempatan sekarang? Susah betol aku nak menjawab permasalahan seperti ini. Tapi jawapannya kita semua sudah sedia tahu dan lebih baik kita simpan sendiri di dalam hati.

Hazwan Bakri walaupun tidak dapat memecahkan senarai penjaring terbanyak Liga Super, tetapi dia adalah harapan Malaysia buat masa ini. Muda dan pantas adalah senjata utamanya. Jika pasukan lawan terleka barang sesaat, Hazwan sedia menghukum mereka.

Terpilihnya The Tripple Tua – Wak Am, Mat Yo dan Safee pada aku adalah tidak lebih kepada pengalaman luas yang mereka telah miliki. Walaupun sudah agak senja, tapi jika kena pada taktikalnya mereka bertiga ini boleh mendatangkan gerun dan bahaya kepada pertahanan lawan. Pada tahun 2014 kita dapat lihat Indra Putra dan Shukor Adan berjuang habis-habisan demi membuktikan pemilihan mereka adalah tepat. Kali ini giliran The Tripple Tua pula menyerlahkan perkara yang sama.

Seorang lagi penyerang misteri ialah Darren Lok. Punyalah power dia ni dengan hanya bermain 45 minit sahaja sudah terpilih mewakili negara. Macam yang aku kata tadi, istimewanya bola sepak di Malaysia ini apabila boleh pergi mampos sama semua statistik. Darren Lok membuktikan perkara yang sama semasa bertemu Papa New Guinea. Aku yang turun stadium secara percuma menyaksikan sendiri bagaimana Darren seringkali menyukarkan pertahanan lawan dengan lariannya yang kencang serta body contact shoulder to shoulder yang boleh tahan garang sehinggakan bersepah rentak pemain pertahanan Papa New Guinea pada petang tersebut.

Antara Hazwan, The Tripple Tua dan Si Misteri Darren, siapalah agaknya yang akan menjadi pilihan Ong Kim Swee ye..


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...