Saturday, November 26, 2016

Ulasan Minit ke Minit: Malaysia Melawan Myanmar.




Malaysia 0 - 0 Myanmar.

1. Perlawawanan antara Malaysia dan Myanmar diselubungi isu kemanusiaan etnik Rohingya. Negara Malaysia yang berpegangan Ahlil Sunnah Waljamaah segera mahu pasukan Malaysia menarik diri daripada kejohanan Piala AFF ini. Aku segera beristighfar dengan corak penyelesaian 'mee segera' ni. Kenapa bola sepak yang menjadi mangsa? Hah?

2. Sekali lagi Apek diletakkan sebagai penjaga gol. Trio Rizal Ghazali, Ronny Harun dan Shahrom Kalaam dikekalkan sebagai pemain pertahanan. Penambahan Nazirul Naim menggantikan Matt Davies di posisi bek kiri bagi aku adalah satu perkara yang positif selepas mengambil kira persembahan pemain Pahang tersebut dalam 2 perlawanan yang lepas. Fakri dan Baddrol berganding di bahagian tengah. Syazwan Zainon, Amri Yahyah di sebelah sayap. Manakala Hazwan Bakri dan Mat Yo diturunkan sebagai penyerang. Okay tak line-up malam ni? Hah?

3. Seawal minit ke-6 Malaysia sudah menduga emosi pasukan Myanmar. Cubaan kaki kiri Hazwan Bakri dari jauh mengenai tiang. Bergegar seluruh Myanmar seketika. Aku masih rileeeekss makan buah kedondong yang diambil dari rumah jiran merangkap sahabat lama aku bernama Apoi.

4. Kemudiannya aku tengok Baddrol Bakhtiar melakukan 2 kesilapan dalam tempoh satu minit. Satu daripadanya menyebabkan sepakan percuma yang diberikan kepada Myanmar pada minit ke-10. Mujur tiada sebarang kecelakaan yang berlaku kepada Malaysia.

5. Secara tiba-tiba pula Hazwan Bakri bermurah hati menghadiahkan sepakan penalti kepada Myanmar pada minit ke-12. Mujur Apek power dan menangkap kemas sepakan lemah pemain Myanmar. Malaysia selamat barang sejenak. Legaaaa.

6. Aku perhatikan makin steady corak permainan Rizal Ghazali ni. Setakat separuh masa pertama dia sahajalah yang kelihatan power setapak daripada pemain yang lain. Manakala aku berpendapat Baddrol adalah pemain yang tidak berguna kerana dia seringkali melakukan hantaran jauh mencari bayang-bayang rakan sepasukan. Dia seolah-olah tidak tahu hendak membina permainan daripada bawah dan kemudiannya develope secara tertib naik ke atas melalui satu dua hantaran yang lebih mudah. Cubaanya untuk terus melakukan hantaran jauh dari bawah kawasan Malaysia adalah bukti dia pendek akal. Sedap jugak komen panjang aku ni.

7. Tamat separuh masa pertama. 0-0. Malaysia menyerang dengan gaya tiada hala tuju dan tidak bernafsu. Sedangkan Myanmar apabila menyerang kadangkala sehingga 5 orang berada dalam kotak penalti. Entah apa yang Ong Kim Swee ajarkan pada pemain dia tu pun aku tak tahulah.

8. Separuh masa kedua dimulakan dengan tiada pertukaran pemain yang dilakukan oleh Malaysia. Ada satu dua cubaan liar yang melangit daripada Amri Yahyah dan Hazwan Bakri. Geram jugak aku nengok gaya sepakan macam gini.

9. Ong Kim Swee kemudiannya melakukan 3 pertukaran di antara minit ke-65 hingga 75 - Mat Yo(Darren Lok), Shahrom Kalam(Safee Sali) dan Fakri Saarani(Shahrul Saad). Kononnya dengan harapan nasib Malaysia akan menjadi lebih baik.

10. Tapi apa aku perasan Shahrul Saad hanya menerbitkan corak kelam kabut apabila dia masuk. Barisan pertahanan menjadi berterabur. Hasilnya Myanmar berjaya menjaringkan gol pertama yang menjadi jaringan kemenangan mereka dala perlawanan ini. Seluruh Myanmar bergembira. Macam biasa Malaysia kalah dan sudah dijangka.

11. Dahulu Thailand, Indonesia dan Singapura seakan-akan setara kekuatan dengan Malaysia. Kini ketiga pasukan itu aku rasa sudah jauh meninggalkan kita. Vietnam dan Myanmar sudah boleh menewaskan Malaysia. Timur Leste, Laos dan Kemboja boleh membuatkan pasukan Malaysia berpeluh telur untuk menang.

12. Wahai saudaraku sekalian, kita kena sedar bola sepak kita sudah jahanam. Tak boleh nak pulih dah. Ini realiti. Realiti pahit yang perlu kita telan.

 


Wednesday, November 23, 2016

Ulasan Minit Ke Minit: Malaysia Melawan Vietnam.

Vietnam 1 - Malaysia 0.

1. Penjaga gol pada petang ini masih lagi Apek. Walaupun dia sudah mula merindukan masakan Kelantan, persembahan dia agak memuaskan dalam perlawanan ini.

2. OKS membuat tempahan keranda awal apabila menyenaraikan Fakri Saarani sebagai pemain tengah berganding dengan Shahrul Saad. Mengucap panjang aku dibuatnya.

3. Ronny Harun juga dapat peluang bermain. Ini adalah gandingan pertamanya bersama Shahrom Kalam.

4. Muncul juga desas desus mengatakan Malaysia nak menarik diri daripada kejohanan AFF ni. Entah ada pasukan lain peduli ke tidak agaknya.

5. Sekali imbas aku rasa OKS menggunakan taktikal 4-2-3-1. Dua defensive midfielder (Fakri-Shahrul) dengan Hazwan Bakri sebagai penyerang tunggul. Eh, tunggal. Tetapi selepas dua kali imbas, dah serupa formasi 0-0-0. Macam tiada siapa bermain menentang Vietnam.

6. Matt Davies pada pandangan aku sangat lemah bermain sebagai bek kiri. Dia tak buat langsung larian ke atas untuk membantu serangan. Bila bertahan pulak kucar-kacir. Main pasukan Pahangkan? Nombor berapa Liga Super ni?

7. Tiada kreativiti di bahagian tengah. Shahrul Saad ke laut. Fakri pulak macam mana OKS pilih dia ni? Boleh kira dengan jari berapa minit dia main musim ni. Bila masuk Veenod barulah nampak sedap sikit Malaysia main. Hihi..

8. Apabila tengah tak hidup, penyerang pun terkial-kial nak buat gol. Pemain Malaysia sudahnya berman tanpa tujuan. Nak menang tak reti. Nak bertahan tak kuat.

9. Secara peribadinya aku berpendapat pemain Malaysia gagal bermain dengan cemerlang dalam satu unit yang lengkap dan baik. Kita juga kena akui pasukan kali ini adalah yang paling lemah pernah dibawa ke Piala AFF. Beberapa pemain dari liga perdana terpilih, pemain kerap memanaskan bangku simpanan, pemain yang keluar masuk rehabilitasi dan tak cukup minit permainan dibawa ke Myanmar. Jelas kita semakin ketandusan bakat sebenarnya dek kerana liga utama dan pool pemain yang kecil. Sebab itulah Malaysia bergelut nak menewasakan Kemboja dan lengit apabila melawan Vietnam. Inilah masalah yang perlu diselesaikan oleh Tengku Bola dan hulubalang FAM. Tapi dia peduli ke?

10. Goooooool!!! Macam biasa apabila aku menaip panjang, mesti ada gol yang dijaringkan. Akhirnya dapat jugak Vietnam menyumbat gol melalui Trong Hoang pada minit ke-80. Masa yang paling sedap untuk skor dan membunuh semangat pihak lawan.

11. Tamat 90 minit. Malaysia tewas 1-0. Secara jujurnya bola sepak gaya haramjadah telah dipersembahkan oleh pasukan Harimau Malaya pada hari ini.

12. Kita tak perlu tarik diri dari Piala AFF sebenarnya. Cukuplah dengan sekadar perbuatan taubat dari FAM, Presidennya dan seluruh institusi bola sepak yang ada di negara ini yang melahirkan pemain bola sepak jenis yang kita ada sekarang ini. Jenis yang tidak tahu membuka permainan, menahan bola dengan keting, belari atas padang serupa pergi IKEA, kabur mengatur gerak serangan, lawan pemain sama fizikal pun bersepah bila body challenge, berambut fesyen anak anjeng dan bermain bola lagak binatang itu jugak.

13. Cukuplah. Selamat malam.


Sunday, November 20, 2016

Ulasan Minit Ke Minit: Malaysia melawan Kemboja.

Malaysia 3 - Kemboja 2.

1. Perlawanan bermula dalam cuaca panas terik. Hati pun menjadi panas apabila terlihat nama Irfan Fazail berada dalam kesebelasan utama. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Apek sebagai penjaga gol. Dilindungi secara berjemaah oleh Shahrom Kalam, Shahrul Saad, Rizal dan Matt. Irfan ditemani Baddrol, Syazwan Zainon dan Wak Amri di bahagian tengah. Darren Lok dan Hazwan Bakri melengkapkan senarai 11 pemain bertemu Kemboja.

2. Dengan penuh garang Malaysia melakukan asakan dan serangan awal ke atas Kemboja. Satu tandukan dari Wak Amri ditepis keluar oleh penjaga gol Kemboja.

Sehinggalah satu kecelakaan awal melanda pasukan Malaysia. Hantaran ke belakang oleh Hazwan Bakri disambar penyerang Kemboja, Chan Vathanaka. Penjaga garisan mengangkat bendera offside. Pertahanan Malaysia juga berhenti berlari kerana menyangkakan perkara yang sama. Namun pengadil tetap tidak meniupkan wisel.

Dengan tenang penyerang Kemboja itu menewaskan Apek untuk jaringan pertama. Seluruh Malaya panas hati. Seawal minit ke-7 Malaysia sudah bolos.

3. Ketenangan. Itulah yang diperlukan oleh pasukan Malaysia selepas bolos awal. Gerakan demi gerakan diatur secara tertib. Hantaran lintang dari kanan ke kiri, dari kiri ke kanan.

Sehinggalah pada satu ketika hantaran cantik dari sebelah kanan oleh Irfan Fazail sampai tepat ke kaki Syazwan Zainon yang mengawalnya dengan cermat. Beliau berjaya meloloskan diri dari kawalan pemain Kemboja dan melepaskan rembatan kencang dengan kaki kanannya. Yaty tertewas. Akhirnya Malaysia berasa lega buat seketika.

Pada minit ke-36 kedudukan menjadi 1-1.

4. Tamat separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1. Ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia bermuhasabah diri dengan gol pertama milik Kemboja.

Ternyata tindakan pengadil adalah tepat dan Shahrom Kalam harus bertaubat. Dia sepatutnya terus bermain selagi pengadil hanya mengulum wisel dan tidak meniupnya.

Inilah yang dinamakan sebagai pengetahuan melalui pengalaman.

5. Separuh masa kedua bermula. Tiada sebarang pertukaran dilakukan oleh Malaysia.

Pada awalnya Syazwan Zainon berjaya menggegar palang gol Kemboja. Mengucap panjang aku dibuatnya.

Selepas pada itu Malaysia teruk diasak. Percubaan gol satu lawan satu Kemboja ditepis Apek. Dua tiga sepakan penjuru Kemboja hampir membolosi gawang Malaysia.

6. Akhirnya pada minit ke-58 usaha keras Kemboja mendatangkan hasil. Mereka berjaya menjaringkan gol kedua sekali lagi melalui Chan Vathanaka hasil kelemahan pertahanan Malaysia sendiri yang aku nampak berterabur kedudukan posisi mereka. Padanlah muka.

Kedudukan kini 2 gol Kemboja berbalas 1 dari Malaysia.

7. Syukur Alhamdulillah pada minit ke-68 Malaysia berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Wak Amri selepas larian solo Hazwan Bakri dari sebelah kanan menewaskan beberapa pemain pertahanan Kemboja. Malaysia tenang seketika.

Selepas itu ada juga percubaan Malaysia yang menggegar palang Kemboja melalui Irfan Fazail. Ia turut disulami dengan aksi kelam kabut Shahrom Kalam yang kelihatan seperti hilang pedoman dalam perlawanan ini. Ia sekaligus memberi kesan kepada persembahan Shahrul Saad dan mendedahkan bahaya percuma kepada Apek.

Kerapkali aku nengok Shahrom Kalam naik ke atas membantu serangan. Tapi dia lupa pemain tengah dia bukan Roy Keane ataupin Viera. Shahrom juga pada satu ketika kelihatan agak perlahan apabila bersaing dengan pemain Kemboja.

8. Malaysia kemudiannya memasukan Safee Sali (Darren Lok) dan Hadin (Syazwan Zainon).

Ia kelihatan berhasil apabila Hadin hampir menjaringkan gol untuk Malaysia.

Namun keadaan menjadi lebih manis apabila gerakan satu dua antara Safee dan Wak Amri membolehkan Amri menjaringkan gol ke-3 buat Malaysia dan yang ke-15 bagi karier antarabangsa beliau. 3-2 Malaysia mengatasi Kemboja.

9. Minit ke-85 OKS memasukan Veenod Subramaniam. Jadi secara dasarnya kita tahu Malaysia akan memenangi perlawanan ni dengan jayanya.

10. Wisel penamat ditiupkan pada minit ke-93. Buat masa ini tuah dan rezeki masih milik Malaysia. Lawan seterusnya ialah Vietnam dan Myanmar. Bukan jalan mudah sekiranya corak permainan seperti ini yang menjadi anutan Ong Kim Swee dan anak buahnya.


Piala Suzuki 2016: Malaysia.


Piala Suzuki 2016: Malaysia.

Penjaga Gol.

Penjaga gol yang dipilih oleh Ong Kim Swee ialah Khairul Fahmi yang berpengalaman, Khairul Azhan yang terampil dan anak muda dari pasukan Perak iaitu Hafizul Hakim.

Mengikut statistik sepanjang Liga Super 2016 berjalan Apek dan Hafizul masing-masing beroleh clean sheet sebanyak 6 kali bersama-sama Farizal Harun dan Izham Tarmizi yang terlepas kapal terbang ke Myanmar.

Manakala Khairul Azhan pula semua sudah maklum bagaimana prestasi beliau bersama pasukan Selangor yang kerap digilirkan dengan Norazlan

Namun apabila ia berkaitan dengan pasukan Malaysia, segala statistik mak nenek mahupun ranking akan ditolak ke tepi. Untuk posisi ini aku merasakan Khairul Azhan akan menjadi pilihan utama. Kau tak ingat ke aksi lincah beliau semasa perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari? Tak? Oooo..sebab pasukan engko tak main final ye tak?

Pertahanan.

Kalau prestasi semasa menjadi ukuran, gandingan pertahanan tengah secara semulajadi boleh disandarkan kepada Shahrom Kalam dan Khairul Helmi. Duo dari pasukan Selangor dan Kedah ini beraksi secara konsisten selama dua musim untuk pasukan negeri mereka. Kenapa sahaja tidak mereka ini digandingkan berdua?

Pemilihan Fadhli Shas pula telah mengerutkan banyak dahi di bumi Malaysia. Akan tetapi terpilihnya Ronny Harun pula membuatkan terangkat telor sebelah kiri sang penulis. Mujur Fadhli Shas yang menjadi pemanas kerusi simpanan JDT ini kadangkala beroleh peluang bermain di Piala AFC. Jadi kita takdelah terasa syahdu sangat menengok namanya terpilih kerana sedikit sebanyak pengalamannya nanti mungkin dapat membantu pasukan negara. Mungkin.

Si Ronny Harun ni pula aku rasa dia jarang-jarang turun bermain untuk pasukan Sarawak tahun ni. Mungkin sebab itulah Sarawak telah berjaya merekodkan 40 bolos dengan hanya pasukan Terengganu sahaja yang melebihi mereka dengan 44 kali bolos(Penjaga gol Terengganu ialah Sharbinee Allawee).

Shahrul Saad adalah pemain utiliti yang juga boleh bermain di posisi pemain tengah bertahan. Namun aksi terakhir menentang Papa New Guinea memperlihatkan mutu permainan yang agak steady daripada beliau. Mungkin juga beliau akan dapat menyingkirkan Khairul Helmi dan bermain bersama Shahrom Kalam di posisi pertahanan tengah.

Sementara itu Nazirul Naim, Matthew Davies dan Rizal Ghazali melengkapkan senarai pemain pertahanan yang akan diberi kepercayaan sepanjang kejohanan ini berlangsung kelak. Aku tak banyak sangat masalah dengan Matt dan Rizal. Aku Cuma risau Nazirul ni ajek. Entah-entah dia ni terpilih sebab yang sama dengan Irfan Fazail jugak. Bukankah kita Melayu yang kuat bersangka buruk?

Tengah.

Beberapa hari yang lepas aku ada mengatakan yang gandingan tengah antara Baddrol Bakhtiar dan Irfan Fazail adalah yang paling mengelirukan pihak lawan dan kawan. Ya, aku tahu bermain di posisi tengah ni amatlah susah. Ia memerlukan stamina yang tinggi, gaya kerja keras, kreativiti tiada sempadan dan cekal hati. Jika semua ini tiada pada kedua pemain ini aku berharap agar wujud sedikit kerajinan untuk berusaha menang dan bagi aku itu sudah memadai. Nak mengharap mereka berdua bermain seperti Zidane dan Makelele umpama berharap Farahdhiya menjadi suri hati. Sukar direalisasikan.

Namun begitu kehadiran Veenod adalah ibarat mutiara yang muncul dari dalam tiram. Veenod ialah seorang pemain yang tidak kenal maksud penat dalam kamus dewan bahasa dan pustaka. Mr. Duracell, 4 Jantung dan pelbagai lagi gelaran yang diberikan kepada beliau dek kerana stamina luar biasanya yang sentiasa berada di mana-mana sahaja pelusuk padang. Mungkin OKS akan beroleh manfaat daripada sifat semulajadi pemain yang juga dipanggil King Veenod ini. Buat pengetahuan semua King Veenod ini masih bujang dan belum pernah bernikah. Ape macam?

Selain itu Hadin Azman, Syazwan Zainon, Zaquan Adha dan Fakri Saarani melengkapkan barisan pemain tengah Malaysia. Kesemua mereka kecuali FakriMan kini sedang berada dalam prestasi terbaik. Kenapa FakriMan masih terpilih ye wahai abang adik kakak sekalian? Aku pun tiada jawapan sedap untuk itu. Mungkin inilah takdir yang perlu kita hadap secara ikhlas.

Serangan.

Apabila 11 pemain import mendominasi senarai teratas penjaring terbanyak Liga Super 2016, ini bermakna kita terpaksa bergantung harap kepada Hazwan Bakri, Amri Yahyah, Mat Yo, Safee Sali dan seorang pemain misteri Darren Lok untuk meyumbang gol kepada pasukan Malaysia. Apa sudah jadi dengan pemain tempatan sekarang? Susah betol aku nak menjawab permasalahan seperti ini. Tapi jawapannya kita semua sudah sedia tahu dan lebih baik kita simpan sendiri di dalam hati.

Hazwan Bakri walaupun tidak dapat memecahkan senarai penjaring terbanyak Liga Super, tetapi dia adalah harapan Malaysia buat masa ini. Muda dan pantas adalah senjata utamanya. Jika pasukan lawan terleka barang sesaat, Hazwan sedia menghukum mereka.

Terpilihnya The Tripple Tua – Wak Am, Mat Yo dan Safee pada aku adalah tidak lebih kepada pengalaman luas yang mereka telah miliki. Walaupun sudah agak senja, tapi jika kena pada taktikalnya mereka bertiga ini boleh mendatangkan gerun dan bahaya kepada pertahanan lawan. Pada tahun 2014 kita dapat lihat Indra Putra dan Shukor Adan berjuang habis-habisan demi membuktikan pemilihan mereka adalah tepat. Kali ini giliran The Tripple Tua pula menyerlahkan perkara yang sama.

Seorang lagi penyerang misteri ialah Darren Lok. Punyalah power dia ni dengan hanya bermain 45 minit sahaja sudah terpilih mewakili negara. Macam yang aku kata tadi, istimewanya bola sepak di Malaysia ini apabila boleh pergi mampos sama semua statistik. Darren Lok membuktikan perkara yang sama semasa bertemu Papa New Guinea. Aku yang turun stadium secara percuma menyaksikan sendiri bagaimana Darren seringkali menyukarkan pertahanan lawan dengan lariannya yang kencang serta body contact shoulder to shoulder yang boleh tahan garang sehinggakan bersepah rentak pemain pertahanan Papa New Guinea pada petang tersebut.

Antara Hazwan, The Tripple Tua dan Si Misteri Darren, siapalah agaknya yang akan menjadi pilihan Ong Kim Swee ye..