There was an error in this gadget

Thursday, February 20, 2014

Piala Dunia 2014: Ivory Coast



Piala Dunia 2014: Ivory Coast 

Pengenalan

Romantiknya bola sepak dengan jiwa rakyat Ivory Coast ialah apabila pasukan bola sepak mereka berjaya menamatkan perang sivil yang telah berlarutan selama 5 tahun dengan melayakkan diri ke Piala Dunia 2006. Sedangkan di negara kita penyokong pasukan negeri masing-masing masih sibuk 'berperang' di dalam dan luar stadium serupa tidak berotak dengan berkelahikan pasukan kesayangan mereka yang bermain untuk Liga bertaraf D. 

Selepas Didier Drogba membantu pasukan Ivory Coast layak ke Piala Dunia 2006, beliau mencabar Presiden Gbagbo untuk menamatkan perang saudara. Beliau membuat rayuan ke atas para pejuang perang dan meminta mereka untuk meletakkan senjata mereka. Permintaan Drogba dan rakan-rakannya itu dibalas dengan persetujuan mengadakan gencatan senjata selepas kali pertamanya tercetus perang sivil ini pada tahun 1999. Seluruh Ivory Coast terasa aman buat seketika dan meraikan kejayaan pasukan bola sepak mereka layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya dalam sejarah. 

Piala Dunia edisi 2014 ini adalah yang ke-3 buat mereka selepas 2006 dan 2010. Sebagai rekod juga Ivory Coast masih belum berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Dunia dengan secara keseluruhannya menduduki tangga ke-19 (2006) dan 17 (2010). Peminat bola sepak masih lagi menantikan potensi sebenar pasukan ini untuk menggegar kejohanan paling berprestij di muka bumi ini. 


Jurulatih: Sabri Lamouchi. 


Susuk yang kacak dan bergaya ini dilahirkan di Lyon, Perancis pada  9 November 1971. Semasa zaman mudanya, Lamouchi telah mewakili negara Perancis sebanyak 12 kali. 

Hayatnya sebagai pemain bola sepak banyak dihabiskan di Perancis dan Itali. Kemudiannya pada usia 42 tahun, beliau ditawarkan untuk menguruskan Ivory Coast yang merupakan negara pertama yang akan dilatihnya. 


Ketua Pasukan: Didier Drogba. 


Kata orang, tidak manis dan tidak baik memperkecilkan kelemahan pasukan lain. Jadi aku tidak akan menulis tentang kejayaan Didier Drogba yang telah menjaringkan 15 gol dalam 15 perlawanan menentang Arsenal. Aku juga takkan menulis mengenai statistik yang menunjukkan selama 1175 minit Drogba turun bermain menentang Arsenal, beliau sudah menjaringkan satu gol untuk setiap 78 minit dan 20 saat bagi aksinya. 

Bagi sesetengah pemain, pada usia 35 tahun ini mungkin gereja sudah mula menjadi sahabat karib. Tetapi ia tidak berlaku kepada figura hebat yang telah mengecapi pelbagai kejayaan baik di Perancis, England dan terkini Turki. Kelibatnya masih lagi diperlukan oleh negara beliau. Mungkin ini juga adalah peluang terakhirya untuk bersama Ivory Coast di Piala Dunia. 


Pemain Bintang: Yaya Toure. 


Yaya Toure sememangnya pemain terbaik Afrika buat masa ini. Di Manchester City dia adalah umpama Batu Bersurat di tengah padang. Mampu bertahan dengan cemerlang dan boleh menjaringkan gol serta seorang pengambil sepakan percuma yang baik. 

Sekiranya Yaya Toure mendapat bantuan secukupnya dari keseluruhan pasukan. tidak mustahil dia dapat menterjemahkan aksi yang serupa ketika bersama Manchester City dalam Piala Dunia 2014 nanti. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Serge Aurier. 


Pemain yang berusia 22 tahun ini sedang beraksi untuk pasukan Toulouse sebagai bek kanan. Dia yang juga memiliki kerakyatan Perancis membuat debut untuk Ivory Coast pada 8 Jun 2013 ketika perlawanan menentang Gambia. 

Persembahan yang cemerlang dalam kempen Piala Dunia nanti sudah semestinya akan menarik perhatian kelab besar di serata Eropah. 

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...