Friday, July 13, 2012

Harimau Malaya: Part I

Karya kali ini ingin mengabadikan segala 'post' di facebook profile saya. Kebanyakannya dari hasil tulisan saudara Lucius Maximus. Kredit kepada beliau. Moga ia menjadi salah satu arkeb negara buat kenang-kenangan..terimalah...

23 February 2012



Majoriti penyokong Malaysia ialah yang begini. Apa yang aku katakan sebelumnya sebagai 'the silent majority' dan hanya bising bila gol dijaringkan atau pemain Malaysia beraksi secara bangang. Tengok brader yang pakai jersi Malaysia itu, tak lain dan tak bukan mesti tengah maki pemain Malaysia. Brader (ke akak?) jersi Chelsea sebelah dia pula jenis yang mungkin tak peduli pasal bola Malaysia tapi lebih prihatin dengan bola Inggeris. Dia turun stadium pun sebab masa itu Chelsea datang lawan Malaysia di Stadium Shah Alam. Mereka inilah yang orang katakan 'bersorak ketika menang tetapi tidak menyokong ketika kalah'. Habis nak buat macam mana, dah pilihan hidup mereka begini.

24 February 2012



Ini abang Mansor Abdul Khoni, jika tak silap aku orang panggil dia Tok Mo. Siapa rajin tengok acara sukan yang melibatkan Malaysia pasti perasan Tok Mo ini, dengan kompangnya, bendera Malaysia dan perangai tak reti duduk diam. Baik menang atau kalah, main bagus atau bangang, Tok Mo tidak pernah berputus asa memberi sorakan. Penglibatan Tok Mo dalam karier menjadi tukang sorak Malaysia untuk semua jenis sukan ini sudah bertahun lamanya. Malahan jauh lebih lama sebelum istilah Ultras dikenali oleh awek-awek Facebook atau makcik Felda. Tapi apa yang pasti, Tok Mo bukan Ultras walaupun ciri-ciri beliau boleh dikatakan sama macam kebanyakan Ultras (kecuali bab usia). Sebaliknya Tok Mo bernaung di bawah kumpulan bernama Famemas.

25 February 2012



Kemudian selain dari Famemas ada pula kelab penyokong yang sepenuhnya milik swasta, seperti Team Malaysia yang ditaja oleh TM. Bayar yuran keahlian, dapat baju seragam dah boleh jadi ahli Team Malaysia dan peluang berlakon dalam iklan TV. Lagi senang kalau diri sendiri itu kakitangan TM. Oleh kerana di belakangnya ialah sebuah syarikat telekomunikasi gergasi, Team Malaysia dapat bajet yang cukup untuk pergi Sukan SEA macam Famemas. Dan seperti mana Famemas itu dilihat agak kerajaan, Team Malaysia dilihat agak korporat dan ini membuatkan sebilangan besar rakyat Malaysia yang anti berpersatuan tidak berminat dengan kelab sebegini. Atas sebab itu juga Team Malaysia ini dilihat tidak sebulu dengan Ultras Malaya yang cukup anti dengan benda-benda kapitalis ini, selain dari kedua puak ini sejak kebelakangan dilihat selalu bersaing di stadium ketika perlawanan bola.

27 February 2012


Tetapi ada juga yang masih suka berpersatuan, khususnya dalam kes bola sepak peringkat negeri. Mereka ini ahli-ahli kepada persatuan penyokong negeri dan pada masa yang sama juga mungkin ahli JKKK atau Belia 4B dan tak mustahil juga ahli UMNO berdaftar. Ini adalah kelompok penyokong yang telah wujud sejak zaman Semi Pro lagi. Kecenderungan mereka ialah untuk memukul rebana atau kompang sepanjang perlawanan, juga menggunakan bateri yang berkuasa selama 90 minit. Persatuan sebegini juga lazimnya akrab dengan persatuan bola sepak negeri selain biasa bergesel bahu dengan YB yang juga ahli majlis pimpinan persatuan bola sepak negeri.

28 February 2012



Untuk persatuan penyokong ini juga, jika pasukan bola sepak negeri mereka berjaya, kecenderungan mereka ialah untuk memuja-muja YB selaku presiden persatuan bola sepak negeri. Ini selalunya dizahirkan melalui kain rentang 'glossy' dengan muka YB tersebut ditempek sebesar alam. Bajet untuk kain rentang mahal sebegini tidak mustahil datang dari poket YB sendiri atau tabung cawangan UMNO terlibat sementara tempahan kain rentang mestilah dibuat di syarikat Bumiputera yang dimiliki oleh salah seorang ahli UMNO cawangan tersebut.

29 February 2012


Kemudian, ada pula kelompok yang sebegini. Ya jenis yang jangan dibuat main dalam hal ehwal bola sepak. Mereka ini boleh saja terdiri dari ahli persatuan penyokong atau kelompok 'silent majority' tadi. Tapi sekali bila dah panas, mereka tidak teragak-agak untuk mengkepala bana sesiapa pun. Ini baru tahap keluar kain rentang bajet ciput. Lagi 'real' punya marah ialah bila baling botol atau bakar mercun. Tahap 'dewa' punya marah pula boleh membawa kepada bakar stadium. Tapi terus terang, maki hamun boleh lagi diterima tapi baling botol, bakar mercun atau bakar stadium itu dah dikira bangang namanya.

1 March 2012


Namun ada juga jenis yang tenang, penyabar dan sudah cukup gembira kalau dapat ke stadium untuk makan kuaci atau burger. Mereka ini ialah Ultras Kuaci atau Ultras Burger. Bersorak ketika menang, makan kuaci ketika semua pemain sedang menggaru telor di padang dan mungkin pulang awal kalau dah jenis tak ada harapan nak menang. Amat sukar dilihat ketika zaman gelap bola sepak Malaysia. Tetapi bila dah mula ada cerah sikit-sikit masa depan bola negara mereka ini akan kembali rajin turun ke stadium sekaligus mengukir senyuman di wajah akak jual kuaci atau brader jual burger.

2 March 2012


Samalah juga dengan satu lagi kelompok penyokong yang boleh dikatakan baru muncul ini. Iaitu Ultras Awek. Dahulu sangat sukar dilihat tetapi kini seperti sudah menjadi kebiasaan di stadium. Mungkin satu masa dulu kecenderungan mereka sekadar menyarung jersi Manchester United dan menemani boyfie mereka yang ala-ala David Beckham atau Cristiano Ronaldo ke Hartamas Square untuk bola sepak Inggeris hujung minggu. Tapi kini dengan Manchester United sudah jatuh nombor dua dan pemain paling hensem mereka hanya tinggal Shrek Rooney, para gadis beralih arah ke Harimau Malaya, Apex dan juga adik Nazmi Faiz. Kaedah sokongan mereka ialah bertepuk-tepuk ketika Apex menangkap bola atau menggigit jari bila adik Nazmi Faiz dijatuhkan pihak lawan. Mereka juga cenderung bergambar ketika perlawanan supaya ada gambar untuk dimuat naik ke Facebook nanti. Tak kisahlah, sekurang-kurangnya ada bahan cuci mata untuk Ultras Kuaci dan Ultras Burger.

7 March 2012


Bagi yang telah mengikuti bola Malaysia lama sebelum zaman Piala AFF 2010 pasti tahu tentang HarimauMalaya.Com. Bermula dengan hanya beberapa kerat, HMC mula dikenali ramai apabila mereka buat gila dengan menyarung jersi hitam kuning Malaysia ketika Manchester United turun ke Bukit Jalil pada tahun 2009. Sekali pun berdepan puluhan ribu rakyat Malaysia keturunan Manchester, HMC tetap lantang memberi sokongan sehingga pemain macam Ari Yahyah pun boleh menewaskan Edwin van der Sar dan Ben Foster. Mengikut sumber tertentu asalnya Ultras Malaya bersekutu dengan HMC sejak tahun 2007, tetapi pada tahun 2010 berlaku perpecahan di antara HMC dan Ultras Malaya akibat perbezaan ideologi dan hari ini kedua-dua entiti telah membawa haluan masing-masing.

8 March 2012



Dan yang terakhir sekali, tidak lain dan tidak bukan ialah Ultras Malaya. Dari hanya beberapa kerat ketika tahun 2007 dan sewaktu Harimau Malaya dikepala banakan dalam Piala Asia, kini suku-sakat Ultras telah bercambah malahan turut wujud di kalangan penyokong pasukan negeri. Awalnya tidak diterima oleh kelompok penyokong yang lain, tetapi kini populariti mereka semakin meningkat dengan keupayaan mengumpul bala tentera yang ramai pada setiap perlawanan dan kelantangan mereka di stadium. Seperti Ultras lain di serata dunia, Ultras Malaya adalah penyokong yang radikal dan fanatik. Tetapi radikal-radikal mereka pun masih belum mampu menurunkan Sultan Bola dari takhta kesultanan bola sepak FAM.

21 March 2012

Harapan terakhir umat bolasepak nampaknya kini terletak pada satu susuk tubuh yang power lagi berdaulat. Ya, tidak lain dan tidak bukan Sultan Bola sajalah yang boleh mencabar Sepp Blatter. Dengan status sebagai Raja Melayu dan sokongan padu dari Perkasa dan Parti Cap Keris tidak mustahil Ketuanan Bolasepak Melayu dapat ditegakkan satu hari nanti.

23 March 2012

Kurangnya promosi bermakna kurangnya minat rakyat Malaysia kepada liga tempatan. Kerana kita ketandusan maklumat, berita dan juga gosip. Kita tahu dan arif mengenai perpindahan pemain luar ke kelab lain dan nilai bayarannya tetapi kita tidak tahu apa-apa mengenai pergerakan pemain tempatan. Namakan 25 pemain Kedah untuk musim ini dan kita semua akan ternganga mulut. Namakan 25 pemain Manchester United setiap permulaan musim dan kita ada maklumatnya.

28 March 2012

Satu masa dulu di zaman Malaysia bermain bolasepak sebenar, Liga M kita sangat popular dan mewah. Jumlah penonton yang datang ke stadium tidak boleh dikira dengan jari tangan atau kaki. Dan liga bolasepak kita sangat mewah sehingga pasukan negeri boleh pergi ke Eropah untuk perlawanan pemanas badan dan setiap pemain mampu memiliki sebuah Honda Civic ‘mayat’ dengan duit bermain bola. Sumber kemewahan bolasepak kita pada waktu itu selain kerana kepadatan penonton di stadium adalah kerana wang tajaan yang dihulurkan oleh Dunhill. Khabarnya sebanyak RM33 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun lamanya, membawa kepada jumlah penuh RM330 juta.

29 March 2012

FAM yang sebenarnya makan hati dengan FA negeri. Bila Harimau Malaya bermain macam Kucing Malaya dulu semua pihak menuding jari pada FAM tapi yang sebenarnya FA negeri juga bersalah. Grassroot development, atau pembangunan akar umbi sepatutnya bermula dari FA negeri. Tapi aku nak tanya berapa kerat FA negeri yang ada menganjurkan liga bolasepak negeri atau membuka akademi bolasepak di peringkat negeri secara berkesan? Jawab.

4 April 2012

Kesimpulannya dari senario bola sepak domestik Malaysia ini adalah mudah. Sebuah pasukan perlu menjadi seperti Terengganu pada musim lepas, yakni bermain dalam Liga Super, bermain hingga ke perlawanan akhir Piala FA dan juga Piala Malaysia untuk mendapatkan sejumlah 44 perlawanan kompetitif. Dan itu pun ia masih kurang 1 perlawanan dari kadar purata 'standard' yang boleh kita sasarkan untuk mana-mana pasukan pro di seluruh dunia. Tapi kalau bermain terlalu banyak perlawanan, bukankah pemain akan keletihan?Itu soalan yang selalu dibangkitkan khususnya di Malaysia. Dan juga alasan yang kerap digunakan oleh jurulatih dan pemain khususnya selepas mereka kalah dalam satu perlawanan antarabangsa. Ketika negara bola sepak lain sedang sibuk mencari jalan meningkatkan kecergasan pemain supaya mereka boleh bermain jumlah perlawanan semaksimum mungkin di Malaysia kita masih lagi mencari jalan untuk kurangkan perlawanan supaya pemain tidak letih. Ini saja sudah jelas menunjukkan mentaliti bola sepak kita yang mundur.

6 April 2012

Fokus Player Preview PDRM VS ATM:Hairuddin Omar
Siapakah pemain Malaysia pertama yang merobek gawang Chelsea? Siapakah pemain Malaysia yang mengakhir ketandusan gol Malaysia selama 12 tahun menentang lawan dari England sejak Matlan Marjan kali terakhir melakukannya pada 1991? Hairuddin Omar ialah orangnya wahai adik-adik, turut popular dengan nama Hai-O. Tinggi lampai, bernafsu buaya dan pandai melompat, beliau pernah menumpaskan John Terry dalam pertarungan udara pada tahun 2003 untuk menyumbat gol Malaysia ketika bertemu Chelsea.Kejayaan Hairuddin Omar menjulang Piala Malaysia 3 kali bersama 3 pasukan berlainan (Terengganu, Neger Sembilan & Kelantan) bagaimanapun tidak ada sangkut paut dengan amalan minum air tapisan berteknologi nano keluaran Hai-O Marketing.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...