Wednesday, January 15, 2014

Preview Piala Soltan Bola 2014: Pahang VS Lions XII FC.


Pahang VS Lions XII FC
Stadium Darul Makmur
17 Januari 2014 | 8.45 malam

Pahang dan Lions XII FC adalah dua pasukan elit yang tidak asing lagi pada musim 2013. Pasukan Tok Gajah layak bermain dalam Piala Sumbangsih ini atas kapasiti Juara Piala Malaysia 2013. Manakala Lions XII ialah juara bagi Liga Super 2013. Untuk makluman semua ia bukanlah JDT dan juga bukan pasukan Kelantan. Yang ini kita kena selalu ingat. 

Pada edisi 2014 ini juga Piala Sumbangsih dilangsungkan di tempat yang sepatutnya iaitu Stadium Darul Makmur. Nama pun Piala Soltan Bola, jadi adalah lebih manis sekiranya ia dimainkan di Pahang. Mungkin juga kerana Stadium Shah Alam dan Bukit Jalil ketika ini ditutup untuk kerja baik pulih. Baik pulih stadium jelah kerjanya. Kualiti padang tetap sama jugak aku nengok. 

Pahang adalah finalis dalam edisi sulung pada tahun 1985. Namun ketika itu mereka tewas kepada pasukan yang paling hebat di muka bumi, Selangor dengan skor 2-1. Sebagai rekod juga Pahang sudah bermain sebanyak 6 kali di Piala Sumbangsih dengan 2 kali muncul Juara menewaskan Johor FA dan Sarawak pada tahun 1992 dan 1993. 

Pada musim 2014 ini, Ronald Smith yang menggantikan Dollah Salleh akan mengetuai barisan pemain Pahang dalam misi memburu 3 Piala mereka - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Mungkin Piala Sumbangsih ini akan menjadi makanan pembuka selera bagi pasukan Pahang sebelum mereka benar-benar mentekedarah kesemua piala yang dipertandingkan di Malaysia. Tetapi persoalannya sekarang mampu ke? 

Secara peribadi aku merasakan kepulangan Fandi Ahmad ke Temasik bukanlah satu rahmat besar buat pasukan Lions XII. Ini kerana selepas Fandi Ahmad berjaya mengkucar-kacirkan jiran seberang tambak mereka, kini giliran pasukan Temasik ini pula merasai pengalaman yang sama. 

Bolehlah dikatakan skuad Lions XII ini adalah barisan termuda dalam Liga Malaysia 2014 kerana dalam barisan 24 orang pemain Lions XII ini hanya Khairul Amri, Sufian Anuar dan Isa Halim sahaja yang berumur melebihi 23 tahun. Selebihnya berumur 23 tahun dan ke bawah. Selain itu, Fandi Ahmad juga turut akan dibantu oleh Nazri Nasir bagi melancarkan pengurusan pasukan Lions XII. 

Walaupun ini adalah perlawanan Piala Sumbangsih, namum pengiraan mata bagi Liga Super akan mula dikira. Pasukan yang menang akan mendapat 3 mata. Jika seri pula satu mata akan diberikan kepada setiap pasukan. Namun sepakan penalti akan dilakukan bagi memilih Juara Piala Sumbangsih 2014. 

Pemain tumpuan Pahang: Khairul Azhan Khalid. 
Pemain tumpuan Lions XII: Mohamad Izwan Bin Mahbud. 
Ramalan: Pahang 3 - Lions XII 1. 

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...