Sunday, November 30, 2014

Kehebatan Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.


Kehebatan Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.
 
Malam tadi Malaysia menang dengan Singapura 3-1. Ia sekaligus melebarkan rekod  Harimau Malaya apabila bertemu dengan negara Temasik ini menjadi kepada 21 menang, 24 seri dan hanya tewas 18 perlawanan. 

Malam tadi juga kedengaran satu Malaya bersorak macam orang gila dan lupa pada sistem FAM yang bangang. Lupa pada penswastaan liga yang ditunda oleh FAM, lupa masih ada lagi pemain liga Malaysia yang tidak dibayar gajinya dan juga lupa pada perjalanan Liga Malaysia yang serba kelam kabut. Mujur juga selepas perlawanan malam tadi tiada yang berkata "Kita seronok menang bola, adakah kita ingat saudara kita di Palestin?". 

Tapi aku tahu Malaysia menang bukan sebab handal. Aku memang dah lama kaji bende ni. Malaysia menang sebab Singapura memang 10 takuk ke belakang. Majoriti pemain daripada kedua-dua pasukan pun sama-sama beraksi dalam liga Malaysia yang syok sendiri tu. Apa lagi yang kita jangkakan?

Aku secara peribadi bukan mahu berbicara tentang menang atau kalah. Apa yang perlu kita sedari ialah bagaimana caranya mereka mencapai kemenangan dan kekalahan dalam sesebuah permainan. Lihat sahaja perbezaan kualiti bola sepak antara Malaysia dan Thailand tempohari. Sangat jauh sekali ketinggalan dari segenap segi.

Menang pula dengan Singapura adalah perkara biasa bagi aku. Tiada apa-apa yang istimewa jika dilihat dari segi visi, misi dan variasi taktikal yang dipamerkan. Cumanya memang Singapura itu sendiri adalah sebuah pasukan bangang sekiranya tanpa kuderat pemain naturalisasi. Dengan corak permainan macam gini, celah gigi Vietnam sahaja Harimau Malaya akan dikeronyok nanti. Tetapi aku sedikit kecewa lawan Harimau Malaya seterusnya adalah Vietnam. Bukannnya ape, nak ajak bergaduh pun tak seronok. Bukan diorang faham pun bahasa kita. Lainlah kalau Indonesia ke...Sedap sikit bergaduh. 

Okeh, kita kembali kepada persoalan serius. Jadi, bilakah kita mahu menguasai rantau Asia secara total ketika kita masih lagi terkial-kial hendak menewaskan Myanmar, Singapura dan mungkin juga Vietnam minggu depan? 

Bagaimana kita hendak menguasai pentas ASIA sedangkan kita umpama kanak-kanak kecil bertatih di ASIA TENGGARA? Walaupun sekiranya jika kita berjaya menguasai rantau ini semula, aku yakin kita akan kembali ke fitrah sebenar. Kembali menjadi pasukan bola sepak yang tidak bedaya saing walaupun dikelilingi fasiliti serta kelengkapan bertaraf dunia.

Aku berharap peminat-peminat bola Malaysia era Justin Bibir dapat kurangkan perangai cepat teruja ni. Baru menang dengan Singapura mereka sudah bilang ‘this is our year’. Bukannya apa...aku takut akhirnya ‘year’ yang dinanti-nantikan bertahan 7 hari sahaja. Kemudian apabila muncul Safee Sali yang merokok menjaringkan gol, mereka bercakap pula tentang ‘a striker reborn’ atau ‘a team reborn’ secara khasnya. Bertenanglah wahai anak mude...

Tapi aku bagi muka sikitlah dekat korang yang nak sambut kegembiraan mengalahkan Singapura semalam. Bak kata pepatah 'Biar kita tak menang Piala, asalkan Singapura jadi mangsa'.

Saturday, November 22, 2014

Salam Takziah

Salam Takziah
.
Alhamdulillah..segala urusan sudah selesai. Terimakasih kepada semua yang memberi ucapan dan doa serta sokongan.

Macam biaselah ramai yang sms, whatsapp, telegram, anto surat layang, email berantai, talipon tak dapat (pasal yang korang talipon tu nombor broadband). Maaf jugek sebab aku tak dapat nak reply on the spot semua pesanan pesanan tersebut.

Al-Fatihah kepada Abah - Tuan Haji Abdul Kadir bin Abdul Rahim. Individu yang bertanggungjawab dalam memberi pengaruh besar sehingga terlahirnya Mata Pena Si Hitam kerana dialah puncanya aku menggilai sokan bola sepak ini. Aku pakai nama Affendi Julaihi ni pun sebagai tribute kepada Abah yang memperkenalkan aku kepada bola sepak Melayu seawal tahun 1993.

Lain lain kePOWERAN beliau biar aku simpan dalam kenangan. Takkan semua nak kongsi dekat sini pulak. Kena tulis bukulah macam gitu.

Apa-apa pun terima kasih kepada semua. Assalammualaikum.

- Hadriegas -

Friday, November 14, 2014

Di Mana Tempat Kalang Tie Dalam Skuad Dollah Salleh?



Di Mana Tempat Kalang Tie Dalam Skuad Dollah Salleh? 

Masa aku belajor dulu ada sorang mamat dari Borneo (aku tak sure Sabah atau Sarawak) yang aku dan beberapa kerat member aku panggil dia IDOLA. 

Sebab apa? Kepantasan dia ketiika bermain bola amat mengagumkan. Dan jika kita menengok bentuk badan dia, akan membuatkan kita istighfar beberapa kali. Cukuplah jika aku sebutkan bentuk badannya adalah ibarat Maradona pada tahun 2010 tetapi dilengkapi dengan pakej Javier Mascherano versi 2008. 

IDOLA adalah seorang pemain bola yang tangkas. Membuka permainan, melakukan hantaran, mendada bola, membuat bentesan, memecut laju dan kadangkala merembat kencang dari jauh sudah cukup membuatkan makwe makwe bola jaring di gelanggang sebelah terpaku 10 minit. Yang terus pitam jangan pula engko tanya.

Dan sepanjang aku mengenali sahabat handai dari Borneo (tidak termasuk makwe Sarawak dan jugek Maria Octavia yang hurrrrrrrmmmms) mereka memang mempunyai stamina yang jauh berbeza daripada kami kami yang dari Semenanjung. 

Jadi, aku masih tertanya-tanya..kenapa jurulatih pasukan Malaysia amat payah nak masukkan pemain-pemain yang hebat dari Borneo ni? 

Ini adalah pandangan peribadi aku terhadap individu yang bernama Kalang Tie. Itu aku belum sembang pasal Afendi Julaihi, Ramos Sari, Ramles Sari dan juga makwe Sarawak. Hmmmmm..

Thursday, November 6, 2014

Manchester United Pasukan Yang Melawan Kesedihan Di Setiap Pagi Rabu dan Khamis Waktu Malaysia.



Manchester United Pasukan Yang Melawan Kesedihan Di Setiap Pagi Rabu dan Khamis Waktu Malaysia.
 
Kali ini aku nak menulis secara rilek-rilek. Punyalah rileks sampaikan aku menaip ni pun sambil layan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 versi definisi tinggi. Sebab aku teringin nak tengok JDT kalah dalam bentuk digital pulak. 

Oleh itu, izinkan saya merebiu perlawanan antara Liverpool menentang Chelsea yang akan berlangsung pada 8 November 2014 jam 8.45 malam dengan penuh tertib.

Chelsea baru saja mengukir keputusan seri menentang Maribor dalam persaingan Champions League. Jaringan satu gol daripada Nemanja Matic menyelamatkan Chelsea daripada tewas kepada pasukan Maribor yang sangat terkenal dengan keampuhan mereka apabila bermain di tempat sendiri.

Kenapa aku kata Maribor ampuh di tempat sendiri? Setakat ini dalam aksi di 1.SNL mereka telah bermain sebanyak 8 perlawanan di tempat sendiri dan menang 5 daripadanya. Memberikan Maribor 63 peratus kemenangan bermain di laman mereka. Manakala dalam persaingan Champions League pula, daripada 5 perlawanan yang mereka telah harungi di Ljudski vrt, 3 keputusan seri berpihak kepada mereka termasuk seri dengan pasukan yang biasa bermain di Champions League iaitu Celtic, Sporting Lisbon dan Chelsea Power. Selain 2 kemenangan yang juga mereka berjaya rekodkan. Tiada kekalahan setakat ini dalam persaingan Champions League apabila mereka turun bermain di gelanggang keramat tersebut.

Liverpool pula awal-awal lagi telah bungkus sehari sebelum itu selepas tumpas kepada Real Madrid. Aku juga mendapat info mereka merehatkan ramai pemain utama mereka semata-mata mahu menghadapi Chelsea pada Sabtu ini. Oleh sebab itu barangkali mereka tidak berminat dengan Champions League dan rela dimalukan pasukan Real Madrid. Cuma aku merasa sedikit pelik. Bukankah tiada beza kerendahan kualiti pemain utama dengan pemain simpanan Liverpool? Aku biarkan persoalan ini untuk The Kops jawab.
Seperti yang aku pernah tulis sebelum-sebelum ini, kesemua perlawanan yang melibatkan Liverpool, seakan-akan mereka tidak berminat untuk menang.  Selepas dikaji secara mendalam, barulah aku tahu yang Brendan Rodgers sengaja buat macam tu sebab mahu penyokong Liverpool kembali ke jalan yang lurus iaitu tidak lagi bongkak dengan kehebatan sejarah silam mereka.
Selepas empat kekalahan dan kemungkinan besar akan terjerumus ke Europa League, akhirnya Rodgers sedar yang ketiadaan Suarez adalah punca kepada semua masalah ini. Dan ternyata kehadiran Balotelli adalah pelengkap aksi sarkis mereka di atas padang. Jadi mereka memilih untuk bermain di Europa League bagi baki musim ini dan mensasarkan kedudukan di pertengahan liga sahaja.
Sebelum terlanjur dengan lebih jauh, mari kita berbalik semula kepada Chelsea, pasukan yang sentiasa serius dalam perjuangan memenangi Liga Perdana Inggeris dan juga Champions League. Keputusan seri antara Maribor dan Chelsea dalam Champions League pada pertengahan minggu ini berlaku di luar Stamford Bridge. Begitu juga Sabtu ini apabila Chelsea terpaksa bermain di tempat lawan dengan Liverpool beroleh kelebihan sehari waktu berehat berbanding Chelsea. Tetapi ini bukanlah masalah besar bagi pasukan SEPOWER Chelsea. Dan dugaan serta cabaran ini akan dihadapi dengan tenang dan berdedikasi.
Jose Mourinho seperti biasa bakal menurunkan kesebelasan utama demi mendapatkan 3 mata pada perlawanan ini. Captain Marvel John Terry bakal mengepalai barisan pertahanan Chelsea. Manakala hero tua The Drogba bakal bermain sebagai penyerang tunggal itupun kalau Mourinho kasihan kepada Liverpool. Jika tidak, sudah pasti kita akan kembali dapat melihat kelibat Diego Costa menyumbat 3 gol ke gawang Mignolet.
Dengan Fabulous Fabregas dan Nemanja Matic berada dalam prestasi yang baik serta berganding pula dengan Hazarad dan Oscar, aku optimis 3 mata penuh bakal jadi milik Chelsea. Jika Diego Costa kembali bermain dalam perlawanan ini, firasat aku mengatakan Chelsea bakal menang dengan jaringan 3-0. Penjaring gol? Ini kerja mudah buat Diego Costa (3 gol).

Lain-lain perlawanan pula macam mana?
Arsenal bakal berdepan tugas sukar dalam kunjungannya ke Wales untuk bertemu dengan Swansea. Kali terakhir kedua pasukan ini bertarung adalah pada bulan Mac tahun ini. Dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Sekali lagi kedua pasukan ini dijangka bakal berkongsi mata.
Manchester City bertandang ke Loftus Road untuk menguji anak buah Harry Redknapp. Berdasarkan pemerhatian cetek aku, QPR musim ini diakui agak liat apabila bermain di tempat sendiri maka ada kemungkinan hanya satu mata untuk Manchester City minggu ini. Kebetulan pula prestasi City yang tidak berapa nak mantap sejak kebelakangan ini. Heh!
Manchester United pula bakal bertemu Crystal Palace yang luka parah kerana ditewaskan oleh Sunderland minggu lepas. Red Devils juga agak terluka selepas tewas kepada Manchester City sekaligus merekodkan permulaan terburuk mereka sejak tahun 1986.
Kini selepas 10 perlawanan, Van Gaal hanya mampu mengumpul 13 mata berbanding Moyes yang beroleh 17 mata dalam jumlah aksi yang sama. Dengan pelbagai tohmahan yang dihamburkan kepada Manchseter United, aku merasakan mereka bakal mengganas kali ini meskipun ada khabar mengatakan Rojo akan berehat selama 6 minggu dan boleh membawa kepada 6 bulan.
Oleh itu aku meletakkan tiga mata penuh untuk Manchester United dan Fellaini boleh sambung kerja-kerja meludah pemain pasukan lawan.
Akhir kata, selamat menonton bola sepak di hujung minggu. Dengan ucapan, sambil tengok bola dekat mamak tu, tak payahlah nak hisap rokok sangat. Ingat, rokok itu haram dan merbahaya serta sangat boleh membunuh.

Nota tambahan : Nampak? Bukan ke rilekssss aku tulis minggu ni.

Sunday, November 2, 2014

Ulasan Minit ke Minit Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 : JDT vs Pahang  


Heboh cakap-cakap di jalanan mengatakan malam ini adalah ibarat penentu hidup dan mati buat Zainal Abidin Hassan. Pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau. Namun hatinya tetap tenang. Beliau membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa sudah sampai masanya dia beroleh gelaran Datuk sekaligus menjadi detik yang paling dibanggakan pernah dicapai dalam hidupnya. Harapan untuk membelasah JDT di Bukit Jalil menjadikan semangat dalam dirinya berkobar-kobar. 

Sebelum perlawanan lain pula ceritanya. Tiket semuanya habis dalam sekelip mata. Tidak kiralah yang membeli secara atas talian mahupun yang beratur. Kebanyakannya habis dilanyak oleh Pak Menteri yang sibuk menghadiahkan tiket untuk orang kampung yang memangkah mereka menang di DUN masing-masing. Maka tidak hairanlah banyak kelihatan muka-muka yang seperti pertama kali turun ke stadium.

Pada jam 6.00 petang, penyokong sudah mula membanjiri stadium. Segenap pelosok Stadium penuh dengan kenderaan. Jumlah penonton yang ramai pada malam ini dijangka akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga air, kuaci dan berger.

Sementara itu di dalam bilik persalinan Razman Roslan si ketua pasukan tidak henti-henti meniupkan semangat rakan-rakan.

"Aku Razman Roslan. Dan aku sedang melihat sebuah pasukan bola sepak negeri kesayangan aku menuju ke arah kejayaan. Malam ini tiada alasan untuk kalah!!! Kita telah mara sejauh ini dan tamatkan ia dengan penuh kebanggaan!!!!"

Pesanan Razman disambut dengan sorak sorai gemuruh dari seluruh pasukan. Ada antara mereka yang hampir menangis mengenangkan terpaksa berpuasa dek kerana bonus kejuaraan Piala FA yang masih belum kelihatan dalam Maybank2u dan CIMB Clicks. Terlalu banyak cabaran yang telah mereka lalui sepanjang semusim ini. Tapi itu semua dijadikan pemangkin semangat buat mereka berjuang habis-habisan merebut kejuaraan Piala Malaysia secara berturut-turut.

Hujan yang turun membasahi rumput di Bukit Jalil pada hari perlawanan bagaikan satu rahmat buat anak buah Zainal Abidin Hassan. Mereka melangkah gagah ke atas padang dengan penuh bangga kerana stadium dipenuhi dengan lautan hitam kuning. Lagu negaraku berkumandang dan secara tiba-tiba darah pejuang Mat Kilau menyelinap ke dalam urat darah pemain Pahang. Bulatan dibuat oleh kesebelasan pasukan Pahang sambil doa dilafazkan oleh pemain beragama Islam. Tidak ketinggalan juga Gopinathan dan Matias Conti yang memohon ketenangan dengan cara mereka yang tersendri.

Preeeeetttt!!!!

Pengadil Nagor Amir meniupkan wisel permulaan.

Sepuluh minit pertama Pahang lebih mengancam dengan larian-larian deras dari Azamuddin Akil dan Gopinathan dari sebelah kanan dan kiri padang. Peluang Pahang muncul pada minit ke-14 apabila Gopi dijatuhkan disebelah kiri kotak penalti pasukan JDT. Sepakan percuma diambil oleh Azidan Sarudin yang berambut kuning. Tangan diangkat memberi isyarat kepada rakan yang berada dalam kotak penalti. Satu sepakan lencong dilepaskan secara deras. Bola berpusing menuju tepat ke arah kepala satu susuk sasa yang dikenali ramai - Dickson Nwakaeme yang sebelum itu melompat tinggi menewaskan Asraruddin Putra.

Gooooooool!!!!!!

Seluruh penyokong JDT terdiam sebentar. Ada juga yang berpura-pura melihat talipon di tangan masing-masing. Kini yang kedengaran hanya keluhan tak sudah dari lidah pendukung setia JDT.

Tersentak dengan ketumpulan barisan hadapan pasukan JDT, Bojan Hodak bingkas bangun. Dia kelihatan membisikan sesuatu ke telinga Mahali Jasuli yang bermain di bahagian pertahanan kanan. Nampaknya Mahali diarahkan untuk melakukan lebih tekanan kepada bahagian pertahanan Pahang dengan melakukan lebih kerap hantaran silang ke dalam kotak penalti.

JDT akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 selepas hantaran silang Mahali berjaya mengkucar-kacirkan keadaan dalam kotak penalti pasukan Pahang. Secara tiba-tiba juga bola terjatuh tepat dihadapan Diaz yang seperti biasa tidak mensia-siakan peluang yang terhidang sebegitu rupa.

Dua minit selepas itu malapetaka mula menimpa Pahang. Ketua pasukan mereka, Razman Roslan didapati menampan bola menggunakan tangan dan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan JDT. Figueroa tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus memberi nafas lega kepada seluruh penyokong JDT. Khairul Azhan tertewas lagi buat kali yang kedua.

Tamat separuh masa pertama. JDT 2 - Pahang 1.

Ketika masa rehat, Zainal Abidin Hassan berpesan kepada pemainnya agar menyerang habis-habisan.
"Dalam kamus bola sepak aku, tiada istilah kalah. Seri apatah lagi. Hari ini hari kita. Masuk padang dan selesaikan JDT. Serang mereka dari segenap arah. Ingat tu!!!"

Sekali lagi bulatan dibuat. Dengan nafas turun naik, ketua pasukan Razman Roslan yang masih sedih dengan kesilapannya pada separuh masa pertama tadi melaungkan kata-kata semangat dengan tona suara sedikit syahdu sambil disambut oleh rakan sepasukan yang lain.

"HOGOH PAHANG HOGOH!!!!" Bergegar bilik persalinan pasukan Pahang dengan sorakan semangat mereka.

Sejurus sebelum semua pemain keluar dari bilik persalinan, Zesh Rehman dipanggil oleh Zainal Abidin Hassan. "Zesh, aku nak kau bersiap sedia. Aku tak sedap hati ni", bisik Zainal ke telinga capang milik Zesh Rehman.

Separuh masa bermula. Namun nampaknya tuah masih menjauhi Pahang apabila Saifulnizam Miswan didapati menumbuk perut Amri Yahyah pada miniti ke-68. Kelihatan Amri Yahyah berguling-guling serupa kena 'chokeslam'. Tipudaya cilik yang kemas. Saifulnizam a.k.a Poyeng dilayangkan kad merah. Seluruh Pahang seakan-akan berduka.

Namun Pahang masih tidak mengenal erti tewas. Serangan demi serangan diatur mereka. Rezeki Tuhan siapa yang tahu?

Khalid Jamlus yang dari tadi tidak henti-henti menyuruh pemain Pahang berjuang habis-habisan (padahal dia dulu pun sibuk 'berjuang' dalam disko) akhirnya tersenyum di bilik ulasan Astro Arena apabila Nwakaeme berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71. Ini adalah gol keduanya malam ini. Mengucap panjang semua penonton JDT di stadium hatta di rumah sekalipun. Manakala keraian gol dari pasukan Pahang dilakukan dengan penuh inzal. Pemain Pahang meraikan gol seperti mereka berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini semua rakyat Pahang boleh berasa lega. Yang berada di rumah dengan tenang boleh ke dapur sebentar untuk membancuh sirap. Manakala seluruh kedai di sekitar Pekan dan Temerloh kembali ceria dengan sorakan gembira. Inilah yang dinamakan bola sepak sebenar. Kini rakyat Pahang semakin yakin peluang buat mereka menjulang Piala Malaysia sekali lagi masih ada.

Preeeeetttt!!!!

Keadaan kekal 2-2 sehingga tamat masa penuh.

Zainal Abidin Hassan melakukan perubahan taktikal pada permulaan masa tambahan dengan mengeluarkan Conti bagi memberi peluang kepada Zesh Rehman mempamerkan bisa. Razman ditarik bermain di posisi pertahanan kanan manakala Damion Stewart dan Zesh Rehman membentuk gandingan padu di bahagian pertahanan tengah. Kebijaksanaan ini berhasil apabila Pahang berjaya mengheret JDT ke penentuan sepakan penalti dengan hanya bermain dengan 10 orang sahaja.

Penentuan penalti dimulakan dengan Pahang terlebih dahulu mengambil sepakan penalti. Gol demi gol dijaringkan oleh pemain yang dipertanggungjawabkan. Kini kedudukan menjadi 4-3. Penendang ke-4 bagi pasukan JDT iaitu Mat Yo mesti menjaringkannya jika tidak mahu melihat JDT menangis di hujung perlawanan.

Penyerang kebangsaan, Mat Yo 'The Linesman' meletakkan bola di titik penalti. Para pemain yang lain masih menunggu dengan penuh debaran di tengah padang. Penjaga gol Pahang sudah bersedia. Jika dia berjaya menepis sepakan ini dan kemudian Pahang berjaya menjaringkan gol terakhir, maka dia akan dianggap wira. Penyokong Pahang ketika ini bersorak untuk memberi sokongan. Mat Yo berlari-lari anak dan dengan kencang merembat ke sebelah kanan gol. Khairul Azhan bagaikan seorang Spiderman Pencen melayangkan badan ke arah yang betul dan berjaya menepis bola tersebut keluar.

Pemain JDT tergamam. Penyokong dan pemain Pahang melompat kegembiraan. Kini kedudukan masih lagi 4-3 dan Pahang mempunyai kelebihan. Jika penalti terakhir ini berjaya dijaringkan, maka Pahang akan menjadi Juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Tugas penalti terkahir diserahkan kepada Hafiz Kamal. Setelah mengucup bola dan meletakkannya di atas titik penalti, cuma satu sahaja benda yang ada dalam fikiran beliau. Sepak sekuat hati ke arah kiri gol! Al Hafiz cuba memberi sedikit tekanan dengan melakukan aksi melompat-lompat di atas garisan gol dan menendang tiang. Mulutnya terkumat-kamit menbaca doa. Dari kejauhan terlihat Zanal Abidin Hassan menutup muka tidak mahu melihat sepakan ini. Hafiz Kamal tenang dan membuat satu sepakan padu ke kiri gol. Al Hafiz melayangkan badan ke arah yang bertentangan. Bola menerjah jaring. Goooooooooooool!!!!!!

Para penyokong yang tadi belum habis meraikan kejayaan Khairul Azhan, kini terus menyambung sorak kemenangan Pahang. Pemain JDT tertunduk kecewa. Semua pemain serta pegawai Pahang meluru ke arah Hafiz Kamal bagi meraikan sepakan penalti beliau. Dua hero pada malam ini disanjung, Dickson Nwakaeme dengan 2 gol darinya dan Hafiz Kamal dengan penalti kemenangan.

Pahang kini sah bergelar juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Tamat perlawanan dengan Pahang menang penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam masa penuh permainan. Seluruh negeri Pahang turut bersorak kegirangan. Sudah tentu malam ini akan menjadi satu malam yang panjang buat warga Pahang untuk meraikan kegembiraan mereka.

Akhirnya Pahang berjaya juga melenyapkan angkuh pasukan JDT dan dalam masa yang sama masih ramai yang berkerut seribu apabila nama Safiq Rahim diumum sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Heh?

Tamat.