There was an error in this gadget

Thursday, November 6, 2014

Manchester United Pasukan Yang Melawan Kesedihan Di Setiap Pagi Rabu dan Khamis Waktu Malaysia.



Manchester United Pasukan Yang Melawan Kesedihan Di Setiap Pagi Rabu dan Khamis Waktu Malaysia.
 
Kali ini aku nak menulis secara rilek-rilek. Punyalah rileks sampaikan aku menaip ni pun sambil layan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 versi definisi tinggi. Sebab aku teringin nak tengok JDT kalah dalam bentuk digital pulak. 

Oleh itu, izinkan saya merebiu perlawanan antara Liverpool menentang Chelsea yang akan berlangsung pada 8 November 2014 jam 8.45 malam dengan penuh tertib.

Chelsea baru saja mengukir keputusan seri menentang Maribor dalam persaingan Champions League. Jaringan satu gol daripada Nemanja Matic menyelamatkan Chelsea daripada tewas kepada pasukan Maribor yang sangat terkenal dengan keampuhan mereka apabila bermain di tempat sendiri.

Kenapa aku kata Maribor ampuh di tempat sendiri? Setakat ini dalam aksi di 1.SNL mereka telah bermain sebanyak 8 perlawanan di tempat sendiri dan menang 5 daripadanya. Memberikan Maribor 63 peratus kemenangan bermain di laman mereka. Manakala dalam persaingan Champions League pula, daripada 5 perlawanan yang mereka telah harungi di Ljudski vrt, 3 keputusan seri berpihak kepada mereka termasuk seri dengan pasukan yang biasa bermain di Champions League iaitu Celtic, Sporting Lisbon dan Chelsea Power. Selain 2 kemenangan yang juga mereka berjaya rekodkan. Tiada kekalahan setakat ini dalam persaingan Champions League apabila mereka turun bermain di gelanggang keramat tersebut.

Liverpool pula awal-awal lagi telah bungkus sehari sebelum itu selepas tumpas kepada Real Madrid. Aku juga mendapat info mereka merehatkan ramai pemain utama mereka semata-mata mahu menghadapi Chelsea pada Sabtu ini. Oleh sebab itu barangkali mereka tidak berminat dengan Champions League dan rela dimalukan pasukan Real Madrid. Cuma aku merasa sedikit pelik. Bukankah tiada beza kerendahan kualiti pemain utama dengan pemain simpanan Liverpool? Aku biarkan persoalan ini untuk The Kops jawab.
Seperti yang aku pernah tulis sebelum-sebelum ini, kesemua perlawanan yang melibatkan Liverpool, seakan-akan mereka tidak berminat untuk menang.  Selepas dikaji secara mendalam, barulah aku tahu yang Brendan Rodgers sengaja buat macam tu sebab mahu penyokong Liverpool kembali ke jalan yang lurus iaitu tidak lagi bongkak dengan kehebatan sejarah silam mereka.
Selepas empat kekalahan dan kemungkinan besar akan terjerumus ke Europa League, akhirnya Rodgers sedar yang ketiadaan Suarez adalah punca kepada semua masalah ini. Dan ternyata kehadiran Balotelli adalah pelengkap aksi sarkis mereka di atas padang. Jadi mereka memilih untuk bermain di Europa League bagi baki musim ini dan mensasarkan kedudukan di pertengahan liga sahaja.
Sebelum terlanjur dengan lebih jauh, mari kita berbalik semula kepada Chelsea, pasukan yang sentiasa serius dalam perjuangan memenangi Liga Perdana Inggeris dan juga Champions League. Keputusan seri antara Maribor dan Chelsea dalam Champions League pada pertengahan minggu ini berlaku di luar Stamford Bridge. Begitu juga Sabtu ini apabila Chelsea terpaksa bermain di tempat lawan dengan Liverpool beroleh kelebihan sehari waktu berehat berbanding Chelsea. Tetapi ini bukanlah masalah besar bagi pasukan SEPOWER Chelsea. Dan dugaan serta cabaran ini akan dihadapi dengan tenang dan berdedikasi.
Jose Mourinho seperti biasa bakal menurunkan kesebelasan utama demi mendapatkan 3 mata pada perlawanan ini. Captain Marvel John Terry bakal mengepalai barisan pertahanan Chelsea. Manakala hero tua The Drogba bakal bermain sebagai penyerang tunggal itupun kalau Mourinho kasihan kepada Liverpool. Jika tidak, sudah pasti kita akan kembali dapat melihat kelibat Diego Costa menyumbat 3 gol ke gawang Mignolet.
Dengan Fabulous Fabregas dan Nemanja Matic berada dalam prestasi yang baik serta berganding pula dengan Hazarad dan Oscar, aku optimis 3 mata penuh bakal jadi milik Chelsea. Jika Diego Costa kembali bermain dalam perlawanan ini, firasat aku mengatakan Chelsea bakal menang dengan jaringan 3-0. Penjaring gol? Ini kerja mudah buat Diego Costa (3 gol).

Lain-lain perlawanan pula macam mana?
Arsenal bakal berdepan tugas sukar dalam kunjungannya ke Wales untuk bertemu dengan Swansea. Kali terakhir kedua pasukan ini bertarung adalah pada bulan Mac tahun ini. Dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Sekali lagi kedua pasukan ini dijangka bakal berkongsi mata.
Manchester City bertandang ke Loftus Road untuk menguji anak buah Harry Redknapp. Berdasarkan pemerhatian cetek aku, QPR musim ini diakui agak liat apabila bermain di tempat sendiri maka ada kemungkinan hanya satu mata untuk Manchester City minggu ini. Kebetulan pula prestasi City yang tidak berapa nak mantap sejak kebelakangan ini. Heh!
Manchester United pula bakal bertemu Crystal Palace yang luka parah kerana ditewaskan oleh Sunderland minggu lepas. Red Devils juga agak terluka selepas tewas kepada Manchester City sekaligus merekodkan permulaan terburuk mereka sejak tahun 1986.
Kini selepas 10 perlawanan, Van Gaal hanya mampu mengumpul 13 mata berbanding Moyes yang beroleh 17 mata dalam jumlah aksi yang sama. Dengan pelbagai tohmahan yang dihamburkan kepada Manchseter United, aku merasakan mereka bakal mengganas kali ini meskipun ada khabar mengatakan Rojo akan berehat selama 6 minggu dan boleh membawa kepada 6 bulan.
Oleh itu aku meletakkan tiga mata penuh untuk Manchester United dan Fellaini boleh sambung kerja-kerja meludah pemain pasukan lawan.
Akhir kata, selamat menonton bola sepak di hujung minggu. Dengan ucapan, sambil tengok bola dekat mamak tu, tak payahlah nak hisap rokok sangat. Ingat, rokok itu haram dan merbahaya serta sangat boleh membunuh.

Nota tambahan : Nampak? Bukan ke rilekssss aku tulis minggu ni.

2 comments:

  1. Boleh tahan minat tegar dengan bola ye hihi. blogwalking here :D

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...