There was an error in this gadget

Tuesday, December 27, 2016

Di Mana Mereka? Alpay Ozalan.



Di Mana Mereka? Alpay Ozalan.


Sungai Angkat, Disember 2016.

Nik Shukor membuang pandangan ke sungai yang mengalir deras itu. Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu begitu menenangkan. Air sungai cetek yang mengalir jernih menjadikannya salah satu daya penarik, apatah lagi disapa angin sepoi-sepoi bahasa tatkala menikmatinya dengan rokok daun dan tembakau China.

"Sedap betol melepak ponteng kelas dekat sungai ni ek?"

Ku Raimi - rakan ponteng kelas Nik Shukor laju menyedut rokok daun sehingga berlubang kedua belah pipinya pesuk ke dalam. 

Nik Shukor masih memandang jauh ke arah sungai yang mengalir deras itu. Dia kemudiannya berkata-kata dalam nada tertib.

"Sungai Angkat kita ni mengingatkan aku kepada Sungai Rhine. Nama Rhine ini berasal daripada bahasa Celt, iaitu Renos yang membawa maksud mengalir. Perkataan ini dipercayai menjadi asas kepada kata kerja Inggeris 'to run', kata kerja Jerman 'rinnen' dan juga perkataan Yunani, 'rhëin'. Semuanya membawa maksud yang sama iaitu mengalir. Perkataan ini juga dikaitkan dengan satu pepatah kuno Greek yang membawa erti semuanya mengalir, tiada jua yang kaku."

Ku Raimi terlopong mendengar huraian panjang lebar sahabatnya itu. Setahu dia mereka hanya menghisap tembakau biasa yang disumbat di dalam daun. Risau dengan perangai Nik Shukor yang seperti semakin hilang akal, Ku Raimi berhajat untuk menukar tajuk.

"Aku nengok kau ni pagi petang siang malam bercakap pasal bola. Tapi sampai sekarang aku tak tahu pemain kegemaran engkau. Sebenarnya kau minat siapa ek dalam arena bola sepak dunia ni? Takkanlah kau hanya taksub pada Hadi Awang aje?"

Pertanyaan Ku Raimi dibalas dengan satu renungan tajam dari Nik Shukor. Nik Shukor kemudiannya berdiri sambil mencekak pinggang. Dibibirnya masih melekat rokok daun yang kecil kepulan asapnya.

"Alpay Ozalan." Ringkas dan penuh yakin jawapan yang Nik Shukor berikan kepada Ku Raimi.

"Kenapa?"

"Aku masih ingat aksi mantap dia semasa Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun. Pada akhir kejohanan namanya tersenarai dalam 'All-star team' untuk barisan pertahanan bersama-sama Sol Campbell, Fernando Hierro, Hong Myung-bo dan Roberto Carlos. Turki juga turut menamatkan kejohanan tersebut di tangga ke-3 yang mana ia adalah pencapaian terbaik mereka sepanjang zaman.

Karier kelabnya bermula di Besiktas dengan dua kejuaraan Piala Turki serta satu Juara Liga Super Turki. Alpay kemudiannya berpindah ke Aston Villa pada tahun 2000 dengan nilai 10.5 Juta Euro. Walaubagaimanapun kehidupan bola sepaknya di England penuh dengan kenangan pahit.

Dia pernah mengalami kecederaan seawal gandingannya bersama Olof Mellbeg di bahagian pertahanan tengah Aston Villa. Kecemerlangannya bersama Turki pada Piala Dunia 2002 tidak menghalang Graham Taylor untuk membekukan punggung Alpay di bangku simpanan Villa Park. Hubungannya dengan peminat Villa juga tidak berapa baik termasuklah pernah di boo semasa memanaskan badan ketika perlawanan pertamanya pada musim 2003-2004 menentang Charlton. Dia kemudiannya menjaringkan gol pada perlawanan tersebut dan meraikannya dengan isyarat jari di mulut seolah-olah menyuruh penyokong Villa menutup mulot mereka. Diam.

Tetapi insiden ketika perlawanan kelayakan Piala Eropah 2004 pada awal Oktober 2003 antara Turki dengan England mengubah nasib Alpay apabila dia segera dicop sebagai musuh nombor satu di England. Ini semuanya gara-gara perangai dia menganjeng Beckham yang gagal menyempurnakan sepakan penalti. Pergaduhan seterusnya melarat sehingga ke dalam terowong. Kesan dari kemarahan umat England tersebut, kontraknya bersama Aston Villa ditamatkan pada 23 Oktober 2003."

Ku Raimi terlopong lagi besar mulotnya mendengar huraian panjang lebar serupa buku sejarah sahabatnya itu. Dia berhajat untuk bertanyakan soalan terakhir kepada Nik Shukor.

"Di mana Alpay Ozalan sekarang?"

Nik Shukor membakar hujung rokok daunnya dengan mancis sebelum menjawab soalan Ku Raimi.

"Dia sekarang adalah pengurus pasukan Eskişehirspor yang mana pasukan ini sudahpun relegasi ke TFF First League Turki untuk musim 2016-20017. Pasukannya kini di tangga kedua selepas mengharungi 16 perlawanan."

Ku Raimi mengangguk perlahan seoalah berpuas hati dengna jawapan itu. Petang itu Nik Shukor meneruskan kerja melepaknya dengan Ku Raimi sambil ditemani rokok daun dengan tembakau China dalam suasana yang paling harmoni dan penuh semangat juang.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...