Tuesday, September 17, 2013

Piala Malaysia 2013: Terengganu vs Kelantan




Terengganu vs Kelantan
8.45 malam
Sultan Ismail Nasiruddin Shah stadium
Siaran Langsung Astro Arena 801
 
 
Tiket habis dijual seawal jam 2.30 petang menunjukan perlawanan ini amat penting dan teragung buat rakyat pantai timur. Kelantan amat memerlukan 3 mata pada perlawanan ini sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk ke suku akhir. Begitu juga dengan pasukan Terengganu. Jadi tidak menghairankan sekiranya tiket perlawanan ini habis begitu awal.
 
Kelantan pada aksi malam ini dijangka akan diperkuatkan kembali dengan kehadiran Shakir Shaari, Fakri Saarani dan Nik Shahrul yang baru selesai dengan tugas negara dan harimau muda. Manakala Khairul Fahmi yang pulih dari kecederaan juga akan memperkuatkan barisan utama pasukan Kelantan.
 
Pemain Kelantan perlu segera melupakan kekalahan kepada Negeri Sembilan di tempat sendiri tempohari dan kembali mempamerkan aksi terbaik mereka apabila wisel sepak mula bertemu Terengganu ditiupkan.
 
Tetapi Bojan Hodak silap sekiranya memandang rendah keupayaan skuad Penyu ini. Kejayaan Terengganu yang menjinakkan Pahang 2 minggu yang lepas membuktikan anak buah Elavarasan masih perlu diberi perhatian oleh setiap lawan mereka. Manakala kejayaan menundukkan Perak 2-1 dalam perlawanan persahabatan merupakan tonik ajaib buat mereka menjelang aksi menentang Kelantan.
 
Zubir Azmi yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Pestabola Merdeka sudah pasti akan bersemangat untuk menyekat larian merbahaya Nor Farhan dari sebelah kanan pasukan Kelantan. Seperti biasa juga tumpukan perhatian kepada pemain berprofil tinggi seperti Ashaari Samsudin, Manaf Mamat, Indra Putra dan juga siapa lagi kalau bukan Fakri Saarani.
 
Ramalan: Terengganu akan mengutip 3 mata berdasarkan kapasiti mereka yang turun sebagai tuan rumah. Namun kedudukan kedua pasukan ini masih juga ditentukan oleh keputusan perlawanan antara Negeri Sembilan dan Pahang.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...