Saturday, April 12, 2014

Piala Dunia 2014: Perancis


Piala Dunia 2014: Perancis


Pengenalan.

Kira-kira 110 tahun yang lalu pasukan bola sepak Perancis telah ditubuhkan. Selain menduduki tempat ketiga di Sweden pada tahun 1958, Perancis telah lama dianggap sebagai negara yang pulang awal ataupun dalam bahasa yang lebih kejam, BUNGKUS. Namun lakaran tersebut mula berubah apabila munculnya satu susuk yang memimpin Perancis dalam Piala Dunia 1982 iaitu Michel Platini. Pada edisi 1982 ini mereka berjaya menduduki tangga ke-4. Satu kejayaan yang mencetuskan fenomena kepada seorang individu bernama Platini. 

Perancis kemudiannya hanya berjaya muncul sekali sebagai juara pada edisi 1998 yang juga ketika itu beraksi sebagai tuan rumah. Nama-nama seperti Zinedine Zidane, Fabien Barthez, Bixente Lizarazu, Emmanuel Petit, Lilian Thuram dan Youri Djorkaeff antaranya menjadi basahan bibir setiap peminat bola sepak ketika itu. Namun selepas 16 tahun kejayaan ini pasukan Perancis masih kekal hidup dalam kenangan silam. 

Walaupun begitu mereka masih antara kuasa bola sepak besar dunia yang perlu disegani. Ini dibuktikan dengan kemampuan mereka mengejutkan ramai apabila layak ke perlawanan akhir Piala Dunia 2006 sebelum Zidane mengakhiri kariernya dengan cara yang menyedihkan sewaktu Itali bergelar juara menerusi penentuan penalti. 

Menariknya skuad Perancis kali ini bertunjangkan barisan pemain yang masih muda usianya. Antaranya ialah kapitan Hugo Lloris (27), Varane (20), Paul Pogba (21) dan juga penyerang terbilang Real Madrid, Karim Benzema (26). Menengok dari usia mereka, pasukan ini terbukti mempunyai potensi untuk maju lebih jauh lagi. Itu belum lagi aku sebut nama pemain lain seperti Ribery, Matuidi, Clichy, Giroud dan Nasri. Melihat senarai penuh skuad Perancis untuk Piala Dunia 2014 kelak sudah pasti akan menaikkan adrenalin pencinta pasukan Les Blues ini. 


Jurulatih: Didier Deschamps. 


Didier Deschamps adalah ketua pasukan Perancis yang menjulang Piala Dunia 1998. Kredibiliti beliau sebagai pemain tidak perlu dibahaskan lagi. 

Sebagai seorang pengurus pula, dia berjaya memberikan Marseille kejuaraan Ligue 1 pada musim 2009-10 dan juga membimbing AS Monaco ke perlawanan akhir Champions League 2003-04. 

Didier Deschamps juga seorang pengurus yang menitikberatkan kekuatan pasukan melalui pertahanan dan kita akan dapat lihat nanti sama ada beliau berjaya memberikan Perancis Piala Dunia ke-2 ataupun tidak. 


Ketua Pasukan: Hugo Lloris. 


Penjaga gol terbilang yang mewakili Tottenham ini memegang peranan sebagai ketua pasukan semenjak sebelum bermulanya Euro 2012. 

Walaupun wajahnya tidak sebengis José Luis Chilavert mahupun Oliver Kahn, tetapi beliau masih lagi tersenarai antara 20 penjaga gol terbaik dunia masakini. Apa yang pasti ialah ketangkasan Hugo Lloris akan menjadi penentu masa depan Perancis dalam Piala Dunia kali ini. 


Pemain Bintang: Franck Ribery 


Antara masalah utama Perancis ialah untuk mencari pemain yang boleh mencipta keajaiban seperti lagenda mereka Zinedine Zidane. Kenyataan bahawa Frank Ribery adalah pemain yang diharapkan dapat mencetuskan kebangkitan pada edisi 2014, sememangnya tidak dapat diragui lagi. 

Walaupun begitu, beliau hanya menduduki tempat ke-3 untuk Ballon d’Or 2013 di belakang  Messi dan Cristiano Ronaldo. Kelincahan serta kepantasan beliau di bahagian sayap untuk pasukan Bayen Munich turut membantu kelab ini memenangi kejuaraan Champions League dan 4 tahkta Bundesliga. 

Ribery yang usianya sudahpun mencecah 31 tahun yakin inilah peluang terakhir beliau untuk menjulang Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan Perancis.  Mungkin tekanan untuk memenangi Piala Dunia ini akan membantu dirinya menjadi inspirasi kepada seluruh skuad Les Blues. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Paul Pogba 


Mungkin ada segelintir peminat Manchester United yang berjujuran air mata setiap kali melihat aksi pemain ini bersama pasukan Juventus. Beliau meninggalkan kelab Manchester untuk mendapatkan lebih banyak peluang bermain dengan menyertai Juventus pada tahun 2012. 

Hanya berumur 21 tahun dan kelihatan masih banyak masa dan ruang peningkatan buat pemain ini. 

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...