Monday, April 21, 2014

Piala Dunia 2014 : Argentina


Piala Dunia 2014 : Argentina

Pengenalan

Jika dikaji menerusi sejarah bola sepak Argentina, mereka hanya sekali gagal layak ke Piala Dunia iaitu pada tahun 1970. Manakala 3 edisi yang lain adalah disebabkan mereka enggan mengambil bahagian atas alasan politik. 

4 tahun yang lepas Argentina telah memilih Maradona sebagai jurulatih mereka. Pendekatan ini bagi aku sebenarnya lebih kepada beromantisme terhadap sejarah. Dan Argentina hanya mengharapkan barisan pemain bintang mereka untuk menyerlah.   

Namun lambakkan pemain yang berbakat sahaja tidak mampu menjulang Argentina kepada kejayaan yang lebih mutlak. Apa yang dikesalkan ialah persembahan mereka kurang menyakinkan apabila tiba di kejohanan sebenar meskipun menguasai pusingan kelayakan dengan mudah semudah mudahya, tiada yang mudah melainkan yang mudah mudah belaka. 

Tahun ini Argentina sekali lagi tampil dengan menjanjikan corak permainan penuh menarik dengan barisan pemain serangan hebat seperti Higuain, Lavezzi, Aguero, dan tidak ketinggalan Messi. Sebenarnya inilah gaya Argentina sejak dahulu lagi dan aku amat sukakannya. Gandingan beberapa pemain yang bertubuh kecil yang sebenarnya mampu memberi kejayaan kepada mereka. 


Jurulatih: Alejandro Sabella. 


Mungkin nama Alejandro Sabella tidak sebesar Maradona. Pernah bermain di Liga Inggeris bersama Sheffield United dan Leeds United semasa zaman mudanya.   

Sabella kemudiannya mula melatih Argentia pada July 2011. 

"Kami tahu pasukan lawan pasti gerun dengan barisan serangan Argentina," ujar beliau dalam laman sesawang rasmi pasukan bola sepak Argentina. Namun apabila ditanya tentang peluang Carlos Tevez yang telah menjaringkan 18 gol dalam Serie A musim ini untuk bermain di Piala Dunia, beliau hanya menguap dan meneruskan makan kacang. 

Jadi, di sini bukan sahaja taktikal yang menjadi taruhan utama, tapi paling penting sejauh mana Alejandro Sabella menjadi seorang motivator terulung. 


Ketua Pasukan: Javier Mascherano.   


Ketua pasukan Argentina ini pernah memenangi 2 kali pingat emas sukan olimpik iaitu pada 2004 dan 2008. Selepas itu dengan tanpa ragu, bekas lagenda Argentina Jorge Voldano dan Jorgen Solari menganggap pemain ini sebagai antara pemain tengah terbaik dunia. 

Namun apabila bersama Barcelona, dia lebih banyak diturunkan sebagai pertahanan tengah. Ini kerana kemampuannya dalam bertahan disamping kekurangan pemain Barcelona untuk beraksi di posisi ini. 


Pemain Bintang: Lionel Messi. 


Lionel Messi adalah antara beberapa pemain era moden yang memiliki reputasi hampir serupa dengan Maradona. Ini dibuktikan lagi dengan kejayaan dia menggondol anugerah Ballon d’Or untuk 4 musim berturut-turut sebelum dirampas kembali oleh Cristiano Ronaldo. 

Sekali lagi Argentina akan bergantung harap kepada Messi untuk membawa kejayaan serta Piala Dunia dan ia bergantung pada apa yang akan berlaku di sekelilingnya. 

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Marcos Rojo.


Tinggi lampai dan berbadan sasa. Mempunyai kaki kiri yang kuat. Kini bermain untuk Sporting Lisbon. 

Hanya baru berusia 24 tahun dan semakin mula mendapat kepercayaan jurulatih Sabella untuk pilihan kesebelasan utama pasukan Argentina. 

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...