Piala Dunia 2018: Argentina
Wajah uzur penuh kedut Rahmat tidak menghalang dirinya daripada menyedut asap rokok Saat sehingga kempong pipinya. Sehingga nampak tulang rahangnya. Semakin ke penghujung rokoknya, semakin laju pula hisapannya.
Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...
Kerusi malasnya berayun perlahan di hadapan anjung yang dibinanya sendiri. Melepaskan lelah sambil melayan rokok selepas penat turun ke laut adalah syurga kecil bagi nelayan seperti Rahmat. Matanya dikecilkan memandang jauh kejiranan sekitarnya. Susunan rumah kampung yang rapat dan mesra tetangga menjadikan pemandangan jerlus terlihat kepada anjung rumah jiran hadapan. Ya, Rahmat bersyukur kerana mempunyai seorang jiran yang peramah orangnya.
Mat Jambang - jiran Rahmat begitu berkobar mengibarkan bendera Argentina bersempena Piala Dunia yang bakal tiba.
"Woih! Argentina la woih! Ape bendeee Malaysiaaaa." Sergah Mat Jambang pada satu hari dengan rambutnya yang kuning. Mat Jambang memang berperangai cilake. Kalau dia mengejek orang tak apa. Kalau dia kena ejek orang, habis satu kampung dia sembang baktinya sebagai ketua pasukan kompang Kampung Telangi. Eleh..pasukan kompang aje pun.
Rahmat sediakala tahu jirannya itu meminati Argentina. Dia berhajat mengajak Mat Jambang menyertainya melepak di anjung rumah sambil melayan rokok barang sebatang dua.
Keyakinan Kepada Messi dan Argentina
Mat Jambang berjalan tenang ke rumah Rahmat selepas jirannya yang pendiam itu melambai-lambai dari kejauhan persis Ratu Dunia.
Penuh santun Mat Jambang mengambil tempat duduk di sebelah Rahmat. Kerusi yang diperbuat daripada rotan itu tidak berayun seperti yang Rahmat punya. Ia statik namum Mat Jambang masih bersyukur dapat duduk di atas kerusi dan bukannya bersila di atas lantai bagai Hang Tuah melawat Sultan Melaka.
"Kenapa kau panggil aku Rahmat?" Tidak menunggu lama Mat Jambang terus bertanya dengan muka konfiden.
"Saja nak ajak engko borak-borak," balas Rahmat sambil merenung tajam ke dalam biji mata Mat Jambang.
Mereka berdua bertentang mata selama 3 saat. 1, 2, 3...apabila terbit perasaan lain macam, masing-masing kembali memandang ke hadapan. Seperti tiada apa yang berlaku.
"Aku nengok beria betul kau gantung bendera Argentina. Boleh ke Argentina menang Piala Dunia tahun ni?" Soal Rahmat lalu sebatang rokok dan sekotak mancis Superman dihulur kepada Mat Jambang
Mat Jambang menyambut dengan tertib.
"Rokok je? Al-Pacino tak ada?" Mat Jambang cuba-cuba berlawak dengan menukar cappuccino kepada nama seorang aktor veteran terkenal dari Hollywood. Menyedari lawaknya tak berapa 'punch' dan disambut Rahmat dengan muka kelat, Mat Jambang terus fokus pada rokok yang dihulur oleh jirannya itu.
Rokok dikepit di hujung bibir. Batang mancis dilagakan dengan sekali hentak sahaja di tepi kotak mancis. Api menyala. Perlahan Mat Jambang merapatkan mancis yang berapi dengan hujung rokok.
Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...
Asap rokok berkepul-kepul dilepaskan dari mulut Mat Jambang. Dia masih memikirkan jawapan yang hendak diberikan kepada Rahmat.
"Kali terakhir Argentina menang Piala Dunia ialah pada tahun 1986. Kejohanan paling gemilang untuk Argentina dan Maradona khususnya. Selepas itu Argentina kemarau kejuaraan sehinggalah pada empat tahun yang lepas di Brazil. Mereka layak ke perlawanan akhir tetapi tewas pula kepada Jerman. Errrrmmmss..entahlah Rahmat. Tapi aku rasa Argentina masih lagi penguasa bola sepak dunia yang sebenar," ulas Mat Jambang panjang lebar. Sedikit keluhan kedengaran sayup di hujung hujahnya.
Rahmat hanya diam mendengar jawapan Mat Jambang dengan penuh teliti sebelum menyambung dengan pendapatnya sendiri.
"Aku rasa pula ada dua atau tiga pasukan yang lagi bagus daripada Argentina sebenarnya. Pertama ialah Brazil, kemudian Jerman dan Sepanyol. Selepas itu barulah Argentina kot aku rasa. Kau jangan marah pulak dengan apa yang aku cakap ni."
"Takkanlah aku nak marah. Dalam meraikan pendapat, kita tak boleh rasa yang kita sentiasa betul. Lagipun aku masih tetap yakin dengan adanya Messi, peluang Argentina untuk menang Piala Dunia tahun ni masih cerah dan terbuka luas. Bersama Argentina, Messi sudah menjaringkan 61 gol dalam 123 penampilan. Bukankah ia satu pencapaian yang maha dahsyat?" Soal Mat Jambang kepada Rahmat.
"Iyelaaah..takkanlah Messi seorang sahaja penyelamat bangsa Argentina? Macam mana dengan pemain-pemain yang lain?" Soalan Mat Jambang dijawab dengan satu lagi soalan oleh Rahmat.
"Rumah engko takde internet ke Rahmat?"
Rahmat menjeling tajam Mat Jambang.
"Heeeee..aku gurau jek. Janganlah marah. Begini ceritanya. Walaupunlah skuad Argentina yang agak berusia ini banyak bergantung kepada Messi, tapi mereka masih memiliki barisan serangan yang mantap. Paulo Dybala dan Mauro Icardi misalnya melalui musim yang hebat bersama Juventus dan Inter Milan sejak dua musim yang lepas. Kedua mereka musim ini menyumbat gol tak kurang daripada 20 jaringan. Masing-masing baru berumur 25 tahun. Mereka inilah masa depan bola sepak Argentina. Si Dyabala ni pula memang serasi apabila bermain dengan Gonzalo Higuaín di Juventus. Haaa..Higuaín ni satu lagi pemain yang perlu diberi fokus. Kalau kena pada aturan formasi, Jorge Sampaoli akan mendapat banyak manfaat pada Piala Dunia nanti."
Mat Jambang berhenti bercakap dan menyedut rokok percuma dengan syahdu serta penuh nikmat. Abunya diketis ke dalam 'ashtray' sebelum dia menyambung kembali...
"Selain itu Argentina juga memiliki Angel Correa yang bermain untuk Atlético Madrid. Pemain yang berusia 23 tahun ini sesuai dijadikan sebagai 'super-sub' seperti mana yang dilakukan oleh Diego Simeone. Sekali imbas beliau seperti jelmaan Carlos Tevez dari segi kualiti dan gaya permainan. Pemain seperti Correa dan Dybala mungkin akan menjadi nadi penting kepada Albiceleste pada kempen Piala Dunia nanti. Jangan dilupa juga kepada Ángel Di María serta dua pemain yang berkelana di China iaitu Ezequiel Lavezzi dan Nicola Gaitan. Power tak Argentina punya berisan serangan?"
Rahmat mengangguk perlahan seakan akur dengan pendapat Mat Jambang.
"Tapikan Naziman Rizky, bila kita lihat pasukan Argentina ni, kita akan nampak 10 penyerang berbisa. Kita bermain bola sepak bukan bergantung pada penyerang sahaja. Pertahanan juga sangat penting. Kau tengok kempen kelayakan Piala Dunia mereka yang lepas. 16 gol mereka telah bolos daripada 18 perlawanan. Ini petanda kurang baik untuk pasukan Argentina. Mungkin sahaja Jorge Sampaoli seorang individu yang bertuah kerana mempunyai barisan serangan yang hebat. Namun begitu beliau masih dikira sebagai tidak bertuah kerana ketiadaan pemain pertahanan yang mantap."
Mat Jambang buat muka terkejut. Bukan kerana mendengar pendapat yang Rahmat lontarkan. Ia adalah disebabkan kerana jirannya itu tahu namanya yang sebenar. Wow!
"Aku tak nafikan apa yang engko cakap tu Rahmat. Buat masa ni aku masih tetap yakin dengan kehadiran Javier Mascherano dan pengaruhnya di atas padang. Nicolas Otamendi juga musim ini agak mantap bersama Manchester City. Selain itu Argentina turut mempunyai Mateo Musacchio dan Federico Fazio yang menyerlah di Serie A. Aaaaahhhh...macam manapun aku tetap akan sokong Argentina masa Piala Dunia nanti. Argentinalah pasukan yang akan menjadi juara. Tidak ragu lagi. Kau sokong Malaysia jugak keeeeee?"
Sekali lagi Mat Jambang cuba berseloroh tetapi tak kena tempat. Rahmat masih dengan muka ketatnya.
"Hehe..janganlah marah..aku gurau jek," Mat Jambang cuba menyejukkan hati Rahmat.
Kedua mereka diam memandang jauh kehadapan. Mat Jambang masih dengan keyakinannya terhadap pasukan Argentina. Manakala Rahmat tetap berahsia tentang pasukan yang disokongnya untuk Piala Dunia nanti. Entah-entah betul dia sokong Malaysia.
Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...
Rahmat dan Mat Jambang a.k.a Naziman Rizky terus menghembus asap rokok mereka sehinggalah matahari terbenam di celahan ufuk barat.
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...