Friday, March 23, 2018

Piala Dunia 2018: Nigeria


Piala Dunia 2018: Nigeria.

Nigeria Membuka Lembaran.

Nigeria dengan populasi besar seramai 194 juta penduduk dan mempunyai lebih 500 kelab bola sepak, muncul pada era 90-an sebagai salah satu kuasa bola sepak dari benua Afrika. Kemunculan sensasi mereka sudah tentulah semasa Piala Dunia 1994 dan 1998 yang mana mereka layak sehingga ke pusingan kedua.

Ia sebenarnya adalah kesinambungan daripada kejayaan skuad remaja bawah umur mereka. Pada tahun 1985 mereka memenangi Kejohanan Dunia bawah-17 tahun – pasukan Afrika pertama memenangi kejohanan rasmi FIFA. Pada tahun 1989, Nigeria menjadi Naib Juara Kejohanan Dunia bawah-20 tahun. Dan pada tahun 1993, skuad yang juga terkenal dengan jolokan ‘Super Eagles’ ini memenangi gelaran kedua Kejohanan Dunia bawah-17 tahun. Handal. 

Sejarah Piala Dunia

Penampilan sulung Piala Dunia mereka pada tahun 1994 di Amerika Syarikat hampir-hampir menjadi satu hikayat yang indah buat bangsa Nigeria. Dengan tenang mereka menjuarai kumpulan D selepas menewaskan Bulagaria (3-0) dan Greece (2-0). Di pusingan kedua pula Nigeria hanya ditewaskan oleh Itali pada masa tambahan dengan skor 1-2.

Di celah-celah itu pula Nigeria berjaya memenangi pingat emas Sukan Olimpik pada tahun 1996 dengan menewaskan Brazil di separuh akhir dan Argentina di pentas akhir. Jadi apabila mereka melayakan diri ke Piala Dunia 1998 di Perancis pula, ada cakap-cakap di jalanan yang mengatakan pasukan ini akan menjuarai Piala Dunia. Astaga..tinggi betul cita-cita umat Afrika ni.

Ya, seperti empat tahun yang sebelumnya Nigeria sekali lagi berjaya menjuarai peringkat kumpulan. Menewaskan Sepanyol 3-2 (aku menangis masa ni nengok Sepanyol kalah) dan Bulgaria dengan skor 1-0. Malangnya kemaraan Nigeria disekat oleh Denmark apabila tewas pada pusingan kedua dengan jaringan 4-1.

Di Piala Dunia 2002 mereka tidak pergi jauh apabila terkandas di peringkat kumpulan dengan menghuni tangga tercorot. Empat tahun kemudian di Jerman pula mereka tidak layak langsung. Di Piala Dunia 2010 sekali lagi Nigeria sangkut di peringkat kumpulan dan menamatkannya di tempat tercorot.


Walaubagaimanapun sedikit sinar menjengah Nigeria di Piala Dunia 2014. Mereka akhirnya berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan dan layak ke pusingan 16 pasukan terbaik. Tetapi kali ini kempen mereka ditamatkan pula oleh Perancis apabila ditewaskan dengan skor 2-0.

Bagaimana Mereka Layak Ke Russia?

Nigeria adalah juara kumpulan B pusinga kelayakan dengan 5 mata mendahului Zambia dan 6 mata meninggalkan Cameroon. Sejumlah 11 gol telah berjaya mereka jaringkan dalam 6 perlawanan. Manakala Victor Moses muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan Nigeria dengan 3 gol. Pemain Chelsea ni. Power.


Piala Dunia 2018 ini akan menjadi penampilan keenam mereka dan yang ketiga secara berturut-turut. Selain itu, ‘The Super Eagles’ juga telah berjaya layak sebanyak 3 kali ke pusingan 16 pasukan terbaik – 1994, 1998 dan 2014. Namun begitu mereka masih belum pernah mara lebih jauh dari ini.

Mungkinkah nasib mereka akan berubah pada tahun 2018 ini? Entahlah.

Pemain Fokus

Majoriti skuad Nigeria kali ini adalah pemain yang masih muda dan bertenaga. Oleh itu, siapakah pemain harapan untuk pasukan Nigeria ini? Hah?

John Obi Mikel Si Kapitan adalah pemain paling berpengalaman dalam skuad Nigeria dengan 80 caps telah menjadi miliknya. Bekas pemain Chelsea ini sedang berkelana di China dengan mewakili pasukan Tianjin Teda. Pastinya beliau akan menjadi figura penting kepada ‘Super Eagles’ di Russia nanti. Tahun ini juga merupakan penampilan kedua Piala Dunia buatnya. Pemain yang berusia 30 tahun ini adalah antara wajah penting yang membantu Nigeria layak ke peringkat kalah mati pada edisi 2014 – kali pertama sejak 1998.


Selain itu, tidak dapat dinafikan juga kelincahan Kelechi Iheanacho dan Alex Iwobi yang sudah tentu amat ditagih oleh pasukan Nigeria. Walaupun begitu masih banyak ruang yang  boleh diperbaiki oleh kedua pemain ini. Hanya masa yang akan menentukan kemajuan dua anak muda ini.

Antara pemain lain yang boleh menjadi kunci kejayaam pasukan Nigeria nanti ialah Victor Moses –
Pemain Chelsea yang dianugerahkan sebagai pemain terbaik tahunan Nigeria pada bulan Februari lepas. Dan juga Wilfred Ndidi -  Pemain tengah kental yang beraksi untuk kelab Leicester City. 

Gernot Rohr


Individu ini telah mengembara ke serata dunia bermula dari Nice ke Gabon, dari Burkina Faso ke Nigeria. Pengalamannya sangat luas. Pengetahuan bola sepak beliau juga sangat mantap. Pada usia 64 tahun beliau masih lagi bertenaga merangka strategi untuk mengeluarkan yang terbaik daripada skuad Nigeria ini.

Sebagai seorang pemain pula Rohr pernah beraksi untuk pasukan Bayern Munich dan Bordeaux. Dan bersama Bordeaux beliau melalui satu karier yang gemilang dengan merekodkan 352 penampilan.
Beliau turut menjadi pengurus pasukan Bordeaux ketika kelab ini tewas kepada Bayern Munich di perlawanan akhir 1996 Piala UEFA

Antara pasukan lain yang pernah dilatih oleh Rohr ialah Nantes, Young Boys Berne di Switzerland dan juga Etoile du Sahel dari Tunisia.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...