Monday, April 30, 2012

PRESIDEN FAM SILA LETAK JAWATAN

Dan 'ranking' Malaysia terus jatuh...dan jatuh....
Pengenalan Kisah

Petang yang panas belum tentu dapat mengeringkan baju di ampaian..Umum semua sudah mengetahui lewat ini ungkapan "PRESIDEN FAM SILA LETAK JAWATAN" seringkali kedengaran di setiap kawasan sehingga ia bergema-gema di Felda Taib Andak. Andaikata selepas moreh 17 Ramadhan kelak, Presiden FAM mengumumkan perletakan jawatan, maka siapakah yang bersedia menggantikannya? Ultra Malaya kah? Uncle Seekers kah? Ataupun Fakri Saarani? Adakah pengganti baginda bersedia untuk memikul tugas yang maha berat dan 'ber-migrain' ini?

Bercakap memang senang, melaksanakan amat payah. Ibarat pepatah kuno Acheh "Mengail ikan di lautan takan sama dengan mengail ikan di daratan". Sekiranya Presiden meletakan jawatan, mereka yang selama ini mendesak baginda hendaklah tampil dengan strategi dan taktik ampuh untuk mengembalikan maruah bolasepak negara. Jangan pula masih terkial-kial nak memilih siapa pengambil minit mesyuarat, siapa menjaga kaunter tiket dan siapa tukang urut pasukan? Namun begitu siapakah yang benar-benar layak menggantikan baginda?

Siapa?

Seperti yang kita semua tahu, bola sepak  Malaysia sejak 1984 telah jatuh merudum bagaikan buah kelapa yang berguguran dipukul ribut. Kali terakhir kejayaan kita di peringkat antarabangsa adalah layak ke Olimpik Moscow 1980 namun kita menarik diri atas alasan boikot terhadap keterlibatan Kesatuan Soviet dalam menghantar tenteranya ke Afganistan. Kemudian kita dihidangkan dengan bersiri episod kegagalan di peringkat antarabangsa. Bagaikan seperti menonton telenovela episod kegagalan ini bersambung-sambung dari tahun ke tahun. Kandas di Kelayakan Piala Dunia sudah menjadi rutin setiap 4 tahun. Begitu juga dengan kegagalan layak ke Olimpik dan Piala Asia. Malaysia juga pernah bermain di Piala Asia 2007 tetapi hanya sebagai tuan rumah bersama dan hanya untuk dimalukan oleh pasukan Asia yang lain.

Bukanlah untuk menidakan jasa baginda, namun sudah sampai masanya muka-muka baru diberi peluang mengemudi persatuan yang 'popular' ini. Ijazah dari United Kingdom dan pernah terlibat dengan rancangan realiti televisyen bukanlah tiket mudah untuk memimpin FAM. Bukan juga dari golongan Datuk dan ahli politik. FAM sepatutnya ditadbir oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan kelayakan dalam bolasepak. Roh dan batin mestilah diliputi nafsu dalam memajukan bolasepak dan bukannya demi kepentingan poket sendiri.

Kita sebenarnya tidak ketandusan pakar yang benar-benar layak mengemudi FAM ini. Seperti mana ramainya bakat muda kita bermain bolasepak di luar negara. Seramai itulah juga pakar bolasepak rakyat Malaysia yang berkelana di luar. Kita tolak dahulu isu mengenai kesombongan FAM untuk memperlawa bakat muda bermain mewakili pasukan Harimau Malaya. Sama ada mereka sendiri tidak berminat mewakili Malaysia ataupun FAM gagal menarik mereka pulang ke perantauan, itu kita tidak tahu.

Bebalik pada tokoh yang layak mengisi kepimpinan FAM. Pemilihan dalam menduduki organisasi FAM ini sewajarnya lebih terbuka dan diisi oleh mereka yang benar-benar berkelayakan. Antara pakar yang telah berkelana di luar negara dan bukannya 'berkelana jaya' ialah:


Lim Teong Kim - Beliau telah mengambil lesen paling tinggi dalam bola sepak Jerman di Cologne pada Jun 2005 dan terlibat secara langsung dalam mencungkil bakat Thomas Muller dan Mesut Ozil. Beliau memperolehi lesen A beliau di Sekolah Sukan Hennef pada 1997 sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1998 untuk mengambil tawaran sebagai ketua akademi di FAM. Beliau kemudiannya mengetuai pasukan Malaysia ke kejohanan Antarabangsa Nike Premier Cup Zon Asia Pasifik bawah 14 tahun. Selepas beroleh kemenangan hebat 3-0 ke atas Thailand dalam perlawanan akhir pada bulan Jun 1998, pasukan bimbingannya layak ke Peringkat Akhir Dunia di Paris bersempena dengan Kejohanan Piala Dunia France'98 .Namun Teong Kim, meninggalkan jawatannya secara tiba-tiba pada tahun 1999 selepas cubaan membawa pembaharuan di negara ini telah ditentang oleh segelintir pihak-pihak tertentu.


Subkhiddin Mohd Salleh - Beliau kini anggota jawatankuasa pengadil FIFA. Subkhiddin Mohd Salleh, adalah salah satu daripada pengadil terbaik Asia pada zamannya. Beliau telah dipilih untuk mengadili Kejohanan Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2007 di Kanada dan juga pada tahun 2009 di Mesir. Beliau juga pernah mengadili perlawanan dalam Kejohanan Piala Asia. Sejak dari tahun 2008 beliau sudah berada dalam senarai Elite Pengadil AFC dan beliau telah dipilih untuk pergi ke Piala Dunia 2010 di Afrika.


Windsor Paul John - Adakah benar beliau dikhabarkan akan menjadi penolong Pep Guardiola? Anak jati Kedah ini bekas ketua penyelidikan dan pembangunan FAM, pernah menjadi penolong jurulatih kepada M. Chandran di Selangor. Dari seorang Ketua Penyelaras dalam Piala Dunia FIFA dan FIFA Club Championship, tidak ramai yang menyedari bahawa dia berada di Jepun baru-baru ini sebagai ketua penyelaras pertandingan untuk Kejohanan Piala Kelab Dunia dan beliau juga adalah Ketua Pasukan Pemeriksaan FIFA ke Sukan Olimpik London. Beliau juga telah menulis sebuah buku mengenai Pengurusan Acara Bola Sepak untuk Presiden FIFA, Sepp Blatter. Buku ini dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi. Bayangkan semua orang termasuk Diego Maradona terpaksa meminta kebenaran Windsor untuk masuk bilik persalinan ketika Piala Dunia 2010 yang lepas.


Dell Akbar Khan - Bekas pertahanan kanan Malaysia ini merupakan anggota jawatankuasa stadium dan keselamatan FIFA sejak tahun 2008. Pada 2009, beliau berkhidmat untuk 'Confederations Cup' di South Africa dan juga Club World Cup di Abu Dhabi.


Yap Nyim Keong - Individu yang pernah meletak jawatan selaku penolong setiausaha agung FAM pada 2005 dan kini menasihati Chinese FA. Ketika ditanya oleh seorang wartawan termuka Malaysia Rizal Hashim tentang isu perletakan jawatan tersebut, beliau menjawab..."Rizal, over there 2 billion people will listen to what I say, but over here....." keluhan ikhlas beliau mengenai budaya di FAM.


Tokoh Tempatan?

Sekiranya mereka yang bekelana itu tidak mahu kembali berkhidmat di tanah air. Kita masih lagi mempunyai jurulatih,pengkritik dan individu yang berkaliber serta berkelayakan untuk mengisi organisasi FAM. Antaranya...



Haji Abdul Rahman - Muncul menjadi jurulatih Malaysia pada tahun 1999 yang mana ketika itu bolasepak kita sedang ketandusan bakat. Namun beliau masih berjaya membawa Harimau Malaya ke tempat ketiga Piala Tiger 2000. Terkenal dengan taktikal yang hebat dan kadangkala lantang bersuara memberi kritikan terhadap pasukan Harimau Malaya. Apa yang berharga adalah OTAKnya. Sudah sampai masanya beliau berehat dari arena kejurulatihan dan duduk di kerusi empuk memerah otak untuk kemajuan bolasepak negara.


Zainal Abidin Hasan - Bakatnya berjaya dicungkil oleh Frank Lord pada 1982 ketika bermain untuk Pahang. 'Permata Hitam' Malaysia ini bermula sebagai permain pertahanan di Selangor, namun ditransformasikan menjadi penyerang ketika bersama Pahang. Barangsiapa yang tidak mengenali Zainal Abidin Hasan, ia umpana "Meminati Metallica, tetapi tidak menghafal lirik lagu Nothing Else Matters" Namun kini setelah berusia 49 tahun, beliau lebih selesa menjadi pengkritik untuk rancangan Maharaja Lawak Mega sahaja. Kalau kritik FAM, kena 'cantas' pulooook.


Dollah Salleh - Menggemparkan Asia apabila menjadi penjaring gol tunggal ketika penampilan pertama beliau menentang Korea Selatan pada Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 1986. Perlawanan yang berlansung di hadapan 35, 000 penyokong Harimau Malaya ketika itu menjadi bukti kepada kehadiran seorang anak muda yang berusia 22 yang pastinya akan menggemparkan arena bolasepak tempatan. Kecermelangan beliau sebagai pemain di teruskan pula di arena pengurusan. Membawa pasukan yang berstatus kelab, MPPJ menjulang 3 piala ketika musim 2003-3004. Kemudiannya membawa Selangor menjulang 3 piala juga pada musim 2005. Kini bersama Zainal Abidin Hasan membimbing pasukan Pahang untuk layak ke Liga Super musim hadapan. "Pahang not dead"



Khalid Ali - Secara konsisten mengkritik FAM. Teringin juga melihat Khalid Ali terlibat secara lansung dalam pembangunan bolasepak Malaysia. Beliau juga adalah peminat setia Tan Sri Anuar Musa (TSAM) apabila secara terang-terangan mengatakan 'kabinet FAM' cacat setelah TSAM hanya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak wanita. Terbaru Khalid Ali mengkritik tindakan FAM menggantung TSAM.



Shebby Singh - Shebby Singh atau nama sebenarnya Serbegeth Singh adalah merupakan bekas pemain kebangsaan Malaysia berketurunan Punjabi daripada tahun 1978 hingga 1996. Beliau juga merupakan kapten Kuala Lumpur F.A. membantu pasukan berkenaan menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989. Kerjayanya di dalam liga bola sepak Malaysia telah berlangsung kira kira lapan belas tahun daripada 1978-96. Beliau telah memenangi banyak anugerah tempatan, termasuklah Piala Malaysia, Piala FA Malaysia dan kejohanan liga Malaysia. Beliah pernah bermain menentang Bayern Munich, Hamburg SV, Aston Villa dan Newcastle. Antara projek terbaik beliau ialah My Team. My Team menimbulkan sedikit fenomena ketika mereka mencabar untuk menentang Harimau Malaya. Namun ketika ini beliau lebih selesa menjadi pengulas sukan di ESPN dan menjadi penulis di ruangan surat khabar..


Kesimpulan yang takkan ada sudahnya....

Nama-nama di atas hanyalah cadangan peribadi aku sahaja. Mungkin lebih ramai lagi calon yang hebat bagi menggantikan individu yang sedia ada. Tidak semestinya mereka adalah wajib terdiri daripada bekas pemain. Mereka boleh jadi juga orang perseorangan yang betul-betul minat dan sayangkan bolasepak. Kegagalan demi kegagalan dalam bolasepak Malaysia adalah perlu diambil perhatian secara serius. Dan ianya lebih SERIUS dari segala bentuk pembentangan dan syarahan ahli politik di Parlimen di Malaysia.






2 comments:

  1. nice one bro...alangkah bagusnyer kalau ada orang2 'sana' yg nak ambik port demi bola sepak mesia...aiii

    ReplyDelete
  2. silap besar la lu lupa mention TSAM sbagai calon bro,..huhuu

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...