There was an error in this gadget

Monday, November 4, 2013

Ulasan Minit ke Minit Kelantan vs Pahang



Hujan yang turun membasahi rumput di Shah Alam bagaikan satu rahmat buat anak buah Dollah Salleh. Mereka melangkah gagah ke atas padang dengan sedikit perasaan bangga kerana stadium dipenuhi dengan lautan kuning. Walaupun kurang berbanding penyokong Kelantan, namun sergahan sorakan daripada tentera Tok Gajah mampu membuatkan sesiapa sahaja berasa gentar.

Ada cakap-cakap mengatakan malam ini adalah peluang buat Pahang mengulangi sejarah gemilang pada tahun 1992. Seluruh skuad membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa mereka bukannya pasukan muda belasahan. Harapan untuk menewaskan Kelantan di Shah Alam semakin berkobar-kobar selepas dengan bersahaja Pahang menumpaskan Sarawak di separuh akhir. 

Usai lagu negaraku berkumandang, secara tiba-tiba darah pejuang Mat Kilau menyelinap ke dalam urat darah pemain skuad Tok Gajah ini. Bulatan dibuat oleh kesebelasan pasukan Pahang sambil doa dilafazkan oleh pemain beragama Islam. Tidak ketinggalan juga Surendran dan Gopinathan yang memohon ketengangan dengan cara mereka yang tersendri.

Sebelum perlawanan bermula, Jalaluddin Jaafar si Ketua Pasukan ataupun lebih mesra dengan panggilan Abang Jalal sempat berpesan kepada semua rakannya. 
"Beraksilah umpama ini perlawanan terakhir dalam hidup kamu!! Ingat, jurulatih tidak menjadikan kita pemain terbaik. Semua ini kurniaan dari Tuhan kepada kita. Bakat yang kita ada membolehkan kita mewakili skuad Tok Gajah. Jangan sesekali menghampakan harapan rakyat Pahang"
Pesanan Abang Jalal disambut dengan sorakan semangat dari seluruh pasukan. Ada juga segelintir pemain yang hampir menitiskan air mata mengenangkan pelbagai cabaran yang telah mereka lalui sepanjang semusim ini. Tapi itu semua dijadikan pemangkin semangat buat mereka malam ini. Mereka kini bersedia untuk misi yang sangat penting. Misi '92!!

Preeeeetttt!!!!

Pengadil Nagor Amir meniupkan wisel permulaan.

Sepak mula dari pasukan Kelantan. Selama 20 minit perlawanan berlangsung dan penguasaan bola masih setara antara kedua pasukan. Namun hujan yang turun bagaikan rahmat besar buat Pahang. Penyerang harapan mereka Azammuddin Akil berjaya mendapat peluang terhidang, tapi cubaan beliau gagal menewaskan Khairul Fahmi. Seluruh penyokong Tok Gajah terdiam sebentar. Hanya titis hujan sahaja yang kedengaran ketika ini.

Tersentak dengan ketumpulan barisan hadapan pasukan Pahang, Dollah Salleh bingkas bangun. Dia kelihatan membisikan sesuatu ke telinga Amirulhadi yang bermain di bahagian tengah. Nampaknya Amirulhadi diarahkan untuk melakukan lebih tekanan kepada bahagian tengah Kelantan yang dikawal oleh Badri Radzi. Hasilnya selepas 32' minit permainan, Pahang telah menguasai 60% kawalan bola. 

Tamat separuh masa pertama. Kedudukan terikat 0-0. 

Ketika masa rehat, Dollah Salleh berpesan kepada pemainnya agar lebih fokus. Jadikan perlawanan ini sebagai tonik untuk lebih mengharumkan nama Pahang. Dengan nafas turun naik, ketua pasukan Abang Jalal melaungkan kata-kata semangat sambil di sambut oleh rakan sepasukan yang lain. HOGOH PAHANG HOGOH!!!! Bergegar bilik persalinan pasukan Pahang dengan sorakan semangat mereka.

Separuh masa kedua dimulakan oleh pasukan Pahang. Dollah Salleh melakukan perubahan taktikal dengan mengeluarkan Surendran lalu memasukan Fauzi Roslan 'The Anak Pekan'. Azammuddin Akil diletakkan di kawasan sayap untuk lebih mengancam pertahanan Kelantan dengan hantaran silang serta gerakan lincah beliau.

Ternyata percaturan ini berkesan apabila hantaran lintang dari Azammuddin Akil berjaya ditanduk cantik oleh Matias Conti yang melonjak tinggi bagaikan helang di udara. Satu tandukan lambung ke sebelah kanan gawang Khairul Fahmi sudah cukup memberi Pahang kelebihan 1 gol ketika ini pada minit ke-59.

Belum pun sempat habis kuaci yang dimakan oleh penonton Kelantan semasa waktu rehat tadi, pasukan mereka kini sudahpun ketinggalan. Pemain Pahang meraikan gol seperti mereka seperti berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini semua rakyat Pahang boleh berasa lega. Yang berada di rumah dengan tenang boleh ke dapur sebentar untuk membancuh kopi. Manakala seluruh kedai di sekitar Bentong dan Jerantut yang memilih saluran RTM bergegar dengan ulasan berapi-rapi dari Hasbullah Awang. Kini rakyat Pahang semakin hampir dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia.

Bojan Hodak bingkas bangun dan terus memanggil Fakri Saarani untuk memanaskan badan. Nampaknya Fakri akan dibawa masuk untuk menggantikan Zairo Anuar yang tenggelam ditelan Hafiz Kamal. Bojan berpesan kepada Fakri Saarani supaya mengasak kubu pasukan Pahang habis-habisan yang mana setakat ini amat kebal dikawal oleh Damion Stewart dan Razman Roslan. Fakri mengangguk seperti faham walaupun Bojan tidak berbahasa Kelantan.

Apabila Fakri masuk, aura milik beliau terasa sungguh mengujakan. Seluruh stadium bersorak nama beliau. Yang berada di kedai mamak pula terus menambah 2 cawan sirap ais lagi. Mungkin untuk membasahi tekak yang kekeringan kelak akibat memaki hamun pemain tersebut.

Ternyata pasukan Kelantan tidak mengenal erti tewas. Serangan demi serangan diatur mereka. Hasilnya Fakri Saarani berjaya menguji Khairul Azhan menerusi tandukan cantik pada minit ke-84, namun penjaga gol muda Pahang tersebut menepis dengan tenang cubaan tersebut.

Pada minit ke-92, gawang Pahang sekali lagi diuji. Hantaran Indra Putra berjaya mencari Nor Farhan yang bijak melepasi perangkap offside. Namun beliau masih gagal menewaskan Khairul Azhan walaupun berhadapan satu lawan satu. Mengucap panjang semua penonton Pahang di Stadium Shah Alam hatta di rumah sekalipun. 

Preeeeetttt!!!!

Tamat perlawanan dengan Pahang menang 1-0. Walaupun bukan menang dengan bergaya, tetapi ia sudah cukup untuk menggembirakan seluruh warga Pahang. Seluruh negeri Pahang turut bersorak kegirangan. Hasbullah Awang tak henti-henti memuji 'Golden Boy' Pahang iaitu Azammuddin Akil. Semua umat Malaysia terlupa sebentar tentang JDT dan Pablo Aimar.

Akhirnya Pahang pula yang berjaya  melenyapkan angkuh pasukan Kelantan.

Tamat.


2 comments:

  1. Merembaih air mate teringat SSA smlm.syukur!

    ReplyDelete
  2. Merembaih air mate teringat SSA smlm.syukur!

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...